Unknown

Ameng akur

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya reda dengan keputusan ini dan menganggap semua yang terjadi adalah ujian daripada Allah,” kata Ameng, 42, ketika ditemui pemberita di kaunter jaminan Mahkamah di sini semalam.

Vokalis kumpulan spring itu berkata demikian selepas dikenakan hukuman dua bulan penjara dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya, April lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan melampaui munasabah di akhir pembelaan terhadap Ameng.

Beliau turut memerintahkan Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail dikenakan tiga tahun pengawasan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sekiranya gagal menjelaskan denda, dia boleh dikenakan empat bulan penjara.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ameng untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan pengawasan itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dengan syarat tambahan, notis rayuan perlu difailkan pada hari ini (semalam) dan wang jaminan sebanyak RM3,500 dinaikkan kepada RM5,500.

Ameng yang hadir bersama isteri dan anaknya kelihatan tenang ketika mendengar keputusan itu.

Sementara itu, Majistret Zaki dalam penghakimannya berkata, keterangan tertuduh berhubung wujudnya konspirasi untuk menjatuhkannya adalah tidak berasas kerana ia tiada kaitan dengan pertuduhan.

“Dakwaan tertuduh ketika membela diri bahawa dirinya dianiayai adalah tidak berasas,” katanya Terdahulu peguam bela Kamarulzaman Abdul Rahman dalam rayuannya memohon anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara dengan mengambil kira latar belakang dan status tertuduh sebagai seorang penyanyi yang dikenali.

“Dia adalah penanggung tunggal keluarga yang perlu menyara isterinya yang tidak berkerja dan seorang anak berumur 3 tahun serta dua anak yang tinggal bersama bekas isterinya.

“Selain itu, dia turut menjayakan beberapa konsert amal dengan menyertai beberapa kempen antidadah kebangsaan serta turut menyumbangkan jasanya dalam memartabatkan seni dan budaya,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Sebagai orang yang dikenali di mata masyarakat sepatutnya dia menunjukkan teladan yang baik.

“Tambahan pula, ini adalah kali kedua dia didapati bersalah atas pertuduhan sama,” katanya.

Isteri Ameng, Sabariah Zakaria, 40, menjelaskan wang jaminan itu pada jam 2 petang di kaunter jaminan mahkamah.

Ameng yang dibebaskan pada jam 2.45 petang di kaunter jaminan sementara menanti proses rayuan di Mahkamah Tinggi dilihat terus memeluk anak lelakinya Wan Amar Haikal, 3.

Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | Ameng akur
1 Response
  1. Unknown Says:

    Akibat dadah siapa merana?Tidak kira siapa pun.Jangan berani cuba sebab keberaniaan bukan mcm ni.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...