Unknown

Pengalaman Berharga Temu Bual Dr Mahathir

Oleh Ramlah Zainal 


fei...cinta mendalam dalam bidang penyiaran. 
SETIAP kali berbicara, wajahnya sentiasa menguntum senyuman manis. Ternyata, sekalipun baru kali pertama bertemu, dia sudah cepat mesra dan mudah didekati seolah-olah sudah kenal lama dengannya.

Itulah sedikit sebanyak menggambarkan diri personaliti yang juga wartawan penyiaran dan penyampai berita Buletin Pagi, Buletin 1.30 dan Buletin Utama di TV3, Pang Chinn Fei atau lebih mesra dengan panggilan Fei.

Lebih menarik, anak kelahiran Salak Selatan, Kuala Lumpur ini juga berjaya meraih perhatian penonton TV3 Kerana kefasihannya membaca berita dalam bahasa Malaysia sama seperti penyampai berita keturunan Melayu di stesen itu.

Ia mengingatkan penonton kepada bekas pembaca berita, Christine Ling; wartawan Melodi, Michelle Wee serta pelakon dan penyanyi Kelvin Lau yang sudah dikenali ramai kerana kefasihan mereka berbahasa Melayu dengan baik.

Fei, 33, anak bongsu daripada dua beradik yang juga bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Salak Selatan berkata, dia bergaul dengan masyarakat Melayu sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya belajar di sekolah kebangsaan dan bergaul dengan masyarakat Melayu sejak kecil. Ibu bapa menghantar saya ke sekolah kebangsaan kerana ia berhampiran kediaman kami.
"Saya juga memang minat bahasa Melayu sejak kecil dan berminat mempelajarinya dengan lebih mendalam lagi. Saya terus menguasai bahasa Melayu ketika belajar di tingkatan lima di Sekolah Menengah Convent, Bukit Nanas dan tingkatan enam di Sekolah menengah Methodist, Kuala Lumpur.

"Subjek Bahasa Malaysia saya dapat A begitu juga dalam Pengajian Melayu di tingkatan 6," katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Penyiaran dan Linguistik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengakui, dia juga tidak pernah terfikir untuk menjadi pembaca berita di stesen TV berbahasa Melayu.

"Semuanya berlaku secara kebetulan. Sebenarnya, cita-cita saya hendak jadi guru ketika di sekolah rendah. Namun, ia bertukar apabila saya memohon mengikuti Kursus Sains Sosial di UKM tapi pihak universiti pula tawarkan kursus komunikasi.

"Saya terus terima kerana secara kebetulan kursus itu memang diminati ramai di UKM. Minat saya juga terus dipupuk dalam bidang komunikasi ketika menuntut di UKM. Pada masa sama, saya juga sering menonton Buletin Utama di TV3 dan mula meminati pembaca berita ketika itu, Wan Zaleha Radzi ," katanya.

Selepas menamatkan pengajian di UKM, Fei menyertai TV3 sebagai wartawan penyiaran pada 2000, tetapi pada 2003 berhenti sekejap atas alasan peribadi dan kembali berkhidmat di TV3 pada 2004.

"Saya ditawarkan menjadi pembaca berita pada 2005 sehinggalah sekarang," katanya.
Sepuluh tahun berkhidmat di TV3, banyak suka duka ditempuhinya. Pengalaman paling berharga ialah ketika menemubual bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Katanya, beliau seorang yang kejar masa dan sangat praktikal orangnya.

"Kita kena sampai tepat pada masa majlis yang dihadirinya kerana beliau tidak akan menunggu kita. Saya berasa takut jika datang lewat ke majlis dihadirinya kerana beliau sudah sampai di majlis itu lima minit sebelum majlis bermula. Pernah saya sampai ketika beliau sudah berucap dan kita ketinggalan ucapannya yang awal itu," katanya.

Antara pengalaman sukar dilupakan Fei ialah ketika membuat liputan pilihan raya kecil di Lunas, Kedah.

Ketika itu Fei belum setahun berkhidmat dengan TV3, tetapi sudah diberi peluang membuat liputan.

"Saya masih ingat lagi ada tunjuk perasaan reformasi ketika pilihan raya di sana. Saya dan kru TV3 pula berada dalam kereta tapi orang yang buat tunjuk perasaan itu menendang kereta kami dan keluarkan kata-kata kesat seperti 'TV3 baliklah!' untuk melepaskan geram mereka. Nasib baik kami berada dalam kereta dan tidak diapa-apakan mereka," katanya.

Namun, kata Fei, paling membimbangkannya apabila berdepan dengan masalah teknikal ketika bersiaran secara langsung.

"Bila dapat Q, kita tidak tahu sama ada kita sudah boleh mulakannya atau tidak. Kalau tersalah Q, kita akan nampak bodoh di kaca TV," katanya.

Ditanya, impiannya yang belum tercapai dalam karier, Fei menegaskan, masih banyak lagi yang perlu diperbaikinya dalam sebutan yang digunakan.

"Banyak perkataan yang saya tidak boleh sebut dengan betul seperti tidak semena-mena. Kalau tersalah sebut, maksudnya jadi lain pula dan orang tidak faham nanti. Selain itu perkataan Allahyarham.

"Saya juga berusaha untuk tidak menyentuh sensitiviti masyarakat ketika membaca berita. Contohnya, saya pernah kena kritik dalam blog apabila membaca petikan dalam ayat al-Quran kerana menurut penulis blog itu, saya tidak boleh membaca petikan itu kerana bukan beragama Islam.

"Kini, saya lebih berhati-hati supaya isu seperti itu tidak berulang," katanya.
Berkongsi cerita peribadi pula, Fei sudah berkahwin dengan arkitek, Goo Huey Kian, 41. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan ini dikurniakan tiga anak perempuan, Goo Qian Ni, 3, Goo Qian Rau, 2 dan Goo Qian Jing, 11 bulan.

Bagaimanapun, Fei mengakui suami juga tidak memahami kariernya yang tidak tentu masa itu pada peringkat awal pembabitannya dulu.

"Bayangkan, saya sudah bangun seawal jam 4 pagi dan jam 5 pagi sudah sampai ke pejabat. Saya juga akan mula membaca berita pada jam 7 pagi. Pada masa sama, perlu bangun awal untuk memerah susu dan menyusukan bayi saya yang masih kecil.

"Selepas saya terangkan saya perlu turun padang sebagai wartawan penyiaran, barulah suami memahami minat saya itu. Anak pula masih kecil dan mereka belum faham lagi tugas saya. Selalunya, apabila saya pulang ke rumah, mereka akan beritahu, baru tengok mama di TV," katanya.

Apapun, Fei tetap mendidik anak-anaknya untuk belajar bahasa Melayu di rumah. Sekalipun dia dan suami bercakap bahasa Inggeris di rumah, anak mereka belajar bahasa Melayu apabila Fei bercakap dengan pembantu rumah warga Indonesia.

PROFIL
NAMA PENUH: Pan Chinn Fei
TARIKH LAHIR: 20 April 1977
ASAL: Salak Selatan, Kuala Lumpur
UMUR: 33 tahun
KERJAYA: Wartawan penyiaran dan penyampai berita TV3
AKADEMIK: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Penyiaran dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Goo Huey Kian, 41 tahun
ANAK: Goo Gian Ni, 3; Goo Gian Rou, 2, dan Goo Gian Jing, 11 bulan
HOBI: Membaca dan menulis

Laporan Penuh Di Sini:


0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...