Unknown

Kontroversi pelakon hanya kebetulan



Aziz harap Azura versi baru dapat sambutan positif penonton


SELEPAS publisiti meluas diberikan ditambah kontroversi yang dicetuskan dua pelakon utamanya, iaitu Shahrizal yang sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle dan Neelofa, akhirnya filem Azura 2011 bakal ditayangkan kepada khalayak mulai Khamis ini. 



Naskhah terbaru arahan Aziz M Osman ini boleh dianggap sebagai pembikinan semula kepada sebuah filem yang pernah mencetuskan fenomena hampir tiga dekad lalu, yang menampilkan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.

Filem yang ditayangkan pada 1984 itu menjadi bualan kerana bukan saja kehebatan jalan ceritanya, tetapi turut dilatari lagu cukup merdu dan malar segar.

Persoalannya, mampukah filem Azura 2011 ini berjaya mengatasi ataupun sekurang-kurangnya meraih pencapaian sama dengan filem asalnya? 



Mengulas pertanyaan itu, Aziz berkata, soal sambutan yang bakal diterima cukup subjektif. 



"Walaupun publisiti diberikan terhadap filem ini cukup menggalakkan, namun ia tidak menjanjikan apa-apa. Kalau kita lihat, publisiti awal untuk filem KL Gangster cukup suram, tapi sambutannya amat hebat," katanya ketika ditemui pada malam gala filem berkenaan di GSC One Utama, Bandar Utama, malam tadi. 



Hadir sama pada majlis itu barisan pelakonnya iaitu Shahrizal, Neelofa, Afdlin Shauki dan ramai lagi. 
Ditanya apakah dia ada meminta keizinan untuk menerbitkan kembali filem itu, Aziz berkata, dia memang ada meminta restu daripada pengarah asalnya, Datuk Deddy M Borhan, sebelum memulakan projek berkenaan. 






Mengarahkan filem yang pernah mencetuskan fenomena ternyata bukan tugas yang mudah. Dibandingkan dengan filem asal ialah perkara utama yang harus ditempuh Aziz. Mengulas lanjut perkara itu, Aziz bersikap positif sambil menegaskan, dua filem itu masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. 

“Filem Azura popular kira-kira 30 tahun dulu dan tidak semua orang tonton filem ini. Anak saya pun tahu mengenai kewujudan filem ini selepas saya membeli DVD. Apa yang boleh saya katakan, saya buat filem ini adalah untuk anak saya, generasi masa kini," ujarnya. 

Dijolok pertanyaan apakah kontroversi membabitkan dua pelakon utamanya memberi kelebihan untuk mengumpan penonton, Aziz berkata, dia menganggap perkara itu sebagai kebetulan. 

"Saya ambil mereka berdua berlakon pun sebelum berlakunya kontroversi. Apa yang berlaku adalah kebetulan. Tapi, apabila pelakon dilanda kontroversi, pasti ada dua kemungkinan yang berlaku. Pertama, ia mungkin membantu menarik perhatian penonton untuk ke pawagam. Kedua, ia juga boleh menimbulkan perasaan menyampah kepada masyarakat dan mungkin menjejaskan filem itu sendiri. Namun begitu, saya harap filem ini mendapat maklum balas yang positif," katanya. 

Versi baru Azura mengisahkan Zack yang jatuh cinta pandang pertama terhadap Azura, petugas kaunter di sebuah pusat paintball yang sering dikunjunginya. Pemuda itu kemudian membawa Azura bertemu bapanya di Paris. Namun niatnya untuk mengahwini gadis itu ditentang si bapa dengan alasan Zack masih mentah dan belum mampu berdikari. Dengan bantuan neneknya (lakonan Afida S), Zack dan Azura kahwin lari di London. 

Sejurus selepas perkahwinan yang tidak mendapat restu itu, bapa Zack menghentikan segala bantuan kewangan terhadapnya, lalu dia pulang ke Malaysia dan belajar hidup berdikari di sisi Azura. 


Nota:


Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.


Unknown

Geng ‘rempuh-rompak’ larikan RM200,000


NILAI: Seorang pengusaha syarikat minyak kerugian RM200,000 apabila wang hasil perniagaan yang mahu dimasukkan ke bank, dirompak selepas kenderaan dipandunya dilanggar di Kilometer 287 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 40-an yang memandu berseorangan kereta jenis BMW dikatakan dalam perjalanan ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor dari Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE).








Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata sebaik mangsa tiba di R&R Nilai, kenderaannya tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Lexus dinaiki dua lelaki.

Katanya, mangsa yang bimbang akan keselamatan diri bertindak meneruskan perjalanan sebelum sekali lagi dilanggar kenderaan sama.



“Selepas dilanggar kali kedua dari arah belakang, mangsa terus memberhentikan kereta dan melarikan diri sebaik melihat dua suspek yang bertopeng dan bersenjatakan parang datang ke arahnya.



“Dua lelaki terbabit kemudian mengambil wang RM200,000 yang diletakkan di bonet belakang kereta,” katanya di sini, semalam.



Mohd Yusoff berkata, selepas berjaya mengambil wang berkenaan, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu dua rakan mereka yang turut bertopeng. 

“Keempat-empat suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an itu turut meninggalkan kereta Lexus yang digunakan sebelum itu di tempat kejadian.



“Saya percaya kenderaan yang ditinggalkan adalah kereta curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394/395 Kanun Keseksaan,” katanya.


Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.

Unknown
Tuah Awan Nano


KARYA Datuk M Nasir masih berbisa apabila lagu ciptaannya Awan Nano diangkat sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. 


Lagu itu yang seni katanya ditulis oleh Budi Hekayat dinyanyikan oleh penyanyi muda dari Sarawak, Hafiz.

Malahan dengan penghayatan yang baik ketika menyampaikan lagu itu, membuatkan Hafiz turut dipilih memenangi hadiah Vokal Terbaik AJL26.

Sementara itu, kemunculan Remy Ishak ketika Alyah menyanyikan lagu Kisah Hati antara persembahan atau gimik menarik membuatkan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, gemuruh dengan sorakan penonton.


Begitupun, vokal Alyah yang tampil dengan gaya patung di atas ‘music box’ memang mantap dan sudah membolehkan persembahan penyanyi ini ‘berdiri di atas kaki sendiri’ tanpa perlu ada aktor terbabit. Malam tadi, Alyah pulang dengan trofi Persembahan Terbaik.


Turut menampilkan persembahan mantap ialah gandingan tiga suara iaitu Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah menyampaikan lagu Beribu Sesalan. Ternyata gabungan suara mereka cukup serasi dan mantap. Aizat pula memulakan nyanyian lagu Sungai Lui dengan menampilkan persembahan angklung bersama lukisan pasir artis yang diundang khas.


Faizal Tahir menyanyikan lagu Karma dengan vokal yang padu dan bertenaga tetapi persembahannya seperti sudah dijangka. 


Pelbagai gimik diketengahkan oleh setiap penyanyi dalam persembahan masing-masing. Ia bagi memastikan persembahan mereka nampak hidup dan menghiburkan.


Yuna pula yang kurang menyerlah pada persembahan pertama ketika mengalunkan Gadis Semasa, tampil lebih yakin dengan lagu Penakut. Mungkin deretan chandelier menolongnya beraksi lebih baik. 


Terdahulu, persembahan Monoloque dan Atilia ketika menyanyikan lagu Adinda Kekanda pula mengingatkan kepada kategori Irama Malaysia kerana lagunya yang digubah khas menggabungkan irama moden dan tradisional. Tambahan pula Monoloque tampil dengan memakai tanjak, manakala Atilia pula berbaju kebaya.







Persembahan kumpulan Projek Pistol menyampaikan lagu Wanita Seluruh Dunia pula dianggap sebagai paling ringkas pada AJL kali ini.


Jaclyn Victor pula kelihatan agak biasa saja ketika menyanyikan lagu Sedetik Lebih. Tampil dengan baju gaun biru muda, penghayatannya ketika menyampaikan lagu itu kurang meyakinkan walaupun disokong vokal yang baik.


Sementara itu, sedutan daripada klip video yang menunjukkan Herman Tino menampar Hafiz menjadi pembuka persembahan kepada anak muda daripada Sarawak itu saat menyampaikan Awan Nano. Ternyata, Hafiz tampil sangat ringkas dan kelihatan cukup yakin dengan melodi, muzik dan seni kata lagu nyanyiannya.


Aksi Najwa Latif ketika membawakan lagu Cinta Muka Buku ciptaannya seperti tidak ada sebarang perasaan. Biasa saja. Mungkin Najwa gementar kerana pertama kali membuat mengadakan dalam pertandingan besar.


Persembahan lagu Kalau Berpacaran yang menggabungkan Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet pula agak kabur. Tidak ada elemen dramatik, ‘seram’ sebaliknya dinyanyikan dalam mood kegembiraan sedangkan kandungan seni kata lagu ini adalah berunsur nasihat. 


Tema air pada AJL26 memang agak menarik tetapi kurang jelas melainkan pada warna biru yang menjadi latar belakang utama keseluruhan persembahan anugerah ini. Ia turut mencabar kreativiti mereka yang bertanding.


Kemunculan awal Jamal Abdillah pada awal persembahan ketika menyanyikan lagu Senandung Semalam sedikit membingungkan penonton kerana penyanyi itu seperti muncul secara mengejut. Namun, aksi Awie memang cukup mantap dan bertenaga. Begitu juga dengan vokal Datuk Sheila Majid ketika menyanyikan lagu Warna. Mereka bagaimanapun berjaya mengembalikan nostalgia buat penonton. 

Nota:


Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.




Unknown

Miranda jadi Wonder Woman

WIRAWATI...Miranda bergaya sebagai Wonder Woman untuk edisi khas majalah Grazia Australia.
IA dianggap sebagai ikon di kalangan masyarakat Australia dan layak menjadi wirawati kerana dapat menguruskan karier yang sibuk dan perkahwinan yang bahagia serta tanggungjawab sebagai ibu.

Jadi, memang sesuai Miranda Kerr berubah menjadi Wonder Woman kerana dia berhak diberikan gelaran itu. 

Supermodel itu berubah menjadi wirawati untuk sesi fotografi bagi edisi khas majalah Grazia Australia untuk meraikan Hari Australia Khamis ini.


Wanita berusia 28 tahun itu kelihatan sensasi dengan pakaian Wonder Woman daripada gaya catwalk berubah kepada wajah wira tradisi.









Kakinya yang panjang nampak hebat dalam pakaian sendat hasil rekaan pereka fesyen Australia, Alex Perry yang direka khas untuk Miranda.

Miranda memadankan pakaian sendat itu dengan cekak kepala keemasan dengan motif bintang merah sama seperti watak wirawati komik DC. 


Daripada memakai but merah, Miranda memilih kasut tumit tinggi biru yang lebih menyerlahkan kakinya yang panjang.


Dengan semangat patriotik, dia turut memegang bendera Australia. 


Model Victoria Secret itu dibantu pengarah fesyen majalah berkenaan, Thelma McQuillan yang gembira kerana mengetepikan batasan tertentu untuk sesi fotografi itu.


“Kami mewakili majalah fesyen dan ini adalah seni. Kami mengambil risiko kerana Wonder Woman adalah ikon dunia yang terkenal dan bukan semua orang boleh dijadikan tema untuk sambutan seumpama ini. 


“Namun Miranda adalah ikon Australia. Dia adalah bintang yang dari semasa ke semasa disanjung pembaca kami daripada ahli perniagaan, isteri dan ibu. Dia adalah Wonder Woman.”


Thelma berkata Miranda tidak tahu apa yang akan dipakainya untu sesi fotografi itu hingga hari berkenaan tiba.

“Saya teruja dan tidak memberitahu Miranda mengenai pakaian itu, jadi saya tidak pasti apa yang akan dia difikirkan mengenainya.


“Tetapi dia melihat pakaian itu dan kemudian tersenyum lebar. Ia sesi fotografi yang paling saya sukai,” katanya.

Terdapat juga video di sebalik sesi fotografi itu, di mana Miranda bercakap mengenai pereka fesyen Australia dan berbicara tentang zaman kanak-kanaknya ketika meraikan tradisi Hari Australia termasuk membina rakit dan menghanyutkan ia di sungai.

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.




Label: , 0 ulasan | edit post
Unknown

Bukan satu jaminan



TIGA wajah ini sering mewarnai Anugerah Juara Lagu malah sudah membuktikan kehebatan mereka. Pengalaman memungkinkan Jaclyn Victor (Jac), Faizal Tahir dan Aizat Amdan punya kelebihan dalam kemuncak AJL26 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam ini.

Jac pernah melakar kenangan manis di AJL20 melalui lagu Gemilang yang juga membawa tuah kepadanya untuk muncul juara pertandingan Malaysian Idol pertama. Dua tahun selepas itu, menang Vokal Terbaik bersama Lah VE menerusi Ceritera Cinta di AJL22.

Faizal pula menang Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik di AJL23 dan sekali lagi menang Persembahan Terbaik di AJL25 tahun lalu menerusi aksi memukau sewaktu mendendangkan lagu Hanyut.



Aizat menjadi peserta paling muda memenangi anugerah utama apabila lagu nyanyiannya, Pergi ciptaan Pete Teo dan lirik Amran Omar, muncul juara di AJL 24 dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Kau Aku.











Selain itu kerana pengalaman juga, ketiga-tiga penyanyi berbakat besar ini mungkin tidak merasai debaran untuk berhadapan dengan persaingan AJL26 malam ini.


Ditemui di sesi fotografi khas yang diadakan di The Royale Ice Skating Rink, The Royale Bintang Damansara baru-baru ini, Jac atau nama penuhnya, Jaclyn A/P Joshua Thanaraj Victor menafikan peluang mereka lebih cerah berbanding peserta lain. Katanya, debaran berhadapan dengan persaingan lain tetap ada.



“Bagaimanapun saya tidak nafikan persaingan sewaktu mendendangkan lagu Sedetik Lebih di peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik lebih dirasai berbanding malam AJL26. Tanyalah mereka yang ada di sekeliling saya waktu itu. Mereka boleh nampak saya tidak tenang dan berpeluh di belakang pentas. Sebaik selesai menyanyi, saya berasakan segala beban terus hilang,” katanya.



Jelas Jac, dia berasa sedemikian mungkin kerana tekanan yang dirasai memandangkan lagu Sedetik Lebih nyanyian asal Anuar Zain dan dicipta sepenuhnya Edry Abdul Halim adalah karya besar. Waktu sama, Jac juga akan muncul bersama Ning Baizura dan Shila Amzah mendendangkan lagu Beribu Sesalan. 



“Latar belakang lagu itu sendiri mempunyai sejarah cukup gah. Penyanyi asalnya, Anuar Zain cukup hebat dan Sedetik Lebih berupa runut bunyi Hikayat Merong Mahawangsa, sebuah filem epik yang bagus dan memenangi anugerah Filem Terbaik. Ia turut menjadi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18). 



“Begitupun sebagai penyanyi, tawaran mendendangkan lagu sehebat Sedetik Lebih dianggap sebagai satu penghormatan apatah lagi berpeluang menyanyi di pentas AJL26. 



“Pada saya, walaupun ada tekanan dirasai tetapi peluang dan penghormatan diberikan itu lebih berharga menyebabkan saya menerima tawaran diberikan Edry untuk menyanyikan lagu terbabit,” katanya.



Jac tidak menafikan pada waktu sama, banyak komen diterima sewaktu dia membawakan Sedetik Lebih. Ada yang mendakwa dia mendendangkan lagu itu secara ‘selamat’ dan tidak begitu berusaha ketika Muzik Muzik Separuh Akhir.



“Saya faham apa yang mereka maksudkan. Tambahan pula sejak dulu daripada zaman Francissca Peters, kita tahu orang mahu mendengar penyanyi mendendangkan lagu balada dengan nada tinggi. Bagaimanapun, muzik ada evolusinya. Lagu Sedetik Lebih itu sudah kuat dari sudut melodi dan liriknya. 



“Lagipun saya tidak mahu memberikan semuanya pada pertandingan separuh akhir kerana takut apabila malam AJL26 tidak ada apa lagi yang dapat diberikan. Jadi, sudah tentu saya akan melakukan yang lebih baik pada hari kemuncaknya,” katanya.



Jac turut menjelaskan, dia berasa lega apabila giliran persembahan untuk Sedetik Lebih dan Seribu Sesalan agak jauh iaitu kedua dan 12. Ia memberikannya cukup masa untuk mempersiapkan diri.



“Pada saya tekanan untuk memberikan terbaik antara Sedetik Lebih dan Seribu Sesalan sama saja. Walaupun saya mendendangkan Seribu Sesalan bersama Ning dan Shila tetapi saya harus memastikan persembahan vokal kami setara. 



“Sekiranya seorang daripada kami menghadapi masalah, pasti ia akan memberi kesan kepada corak persembahan. Paling penting saya harus memastikan kesihatan dalam keadaan baik,” katanya.



Kehadiran Faizal pula dinantikan penonton kerana sering tampil dengan gimik menarik. Tapi selepas lima tahun menyertai AJL, Faizal mengakui untuk tahun ini mahu terus tampil di atas pentas dan menyanyi. Maknanya, tiada gimik khas dilakukan. 



“Bukan memandang mudah akan persaingan yang dihadapi tetapi kali ini corak persembahan lebih tertumpu kepada muzik. Waktu sama, ia untuk kepuasan peminat dan saya sendiri.



“Pada saya, tiada tekanan difikirkan kerana keseronokan berkumpul bersama rakan-rakan penyanyi dan pemuzik mengatasi segala-galanya. Setiap tahun memang saya nantikan penyertaan saya dalam AJL kerana inilah waktunya penyanyi dan pemuzik dapat berkumpul. Secara tidak langsung memberi peluang untuk saya bertukar pendapat,” katanya. 



Mengenai cabaran bakal dihadapi, penyanyi yang bakatnya mula mendapat perhatian selepas menyertai program realiti TV One In A Million (OIAM) mengakui setiap tahun ia berbeza dan kali ini setiap mereka yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing.



“Dulu kita nampak kebanyakan yang menyertai AJL adalah artis berkumpulan tetapi tahun ini banyak artis solo. Lebih menarik, ada artis yang tampil dengan karya dihasilkan sendiri dan mula mencipta nama menerusi laman sosial seperti You Tube.



“Pada saya, perubahan yang berlaku dalam AJL ini menjadi penanda aras kepada perubahan industri muzik semasa. Menerusinya, saya juga turut menilai ke mana arah muzik kita selepas ini,” katanya.



Sepanjang lima tahun penyertaannya dalam AJL, pelbagai anugerah sudah dimenangi Faizal cuma karya dihasilkan dan didendangkan belum pernah muncul sebagai juara. Ada yang memberikan komen, perkara itu berlaku kerana lagunya tidak punya keaslian.



Faizal, 33, berkata, dia gembira apabila karya dihasilkan diperkatakan orang. Baginya, apabila orang memperkatakan karya nyanyiannya, bermakna ia memberi petanda positif. 



“Perdebatan akan mencambahkan buah fikiran dan saya lebih risau sekiranya tiada orang mahu memperkatakan lagu yang dihasilkan atau dinyanyikan. Namun kita harus ingat, hasil kerja kreatif adalah sesuatu yang subjektif dan semua orang mempunyai pendapat masing-masing terhadap karya dihasilkan termasuklah apabila ia dipertandingkan dalam AJL.



“Sebagai pengkarya dan penyanyi, saya lebih mementingkan keselesaan. Apa yang saya persembahkan adalah sesuatu yang saya suka dan lebih penting, peminat juga suka. Dalam menghasilkan sesebuah karya, sudah tentu kita mempunyai rujukan dan pengaruh. 



“Saya rasa perkara itu turut berlaku kepada semua komposer dan pencipta lagu. Kita tidak boleh kata kita orang pertama buat perkara yang dilakukan kerana saya percaya idea menghasilkannya bercambah daripada apa yang pernah dilakukan orang lain sebelum ini,” katanya.



Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi Lagu Kita, Aizat yang nama penuhnya, Muhammad Aizat Amdan menjelaskan, karyanya yang dipertandingkan kali ini, Sungai Lui mempunyai peluang sama rata bergantung kepada apa yang mahu dilihat juri.



“Kebanyakan lagu dipertandingkan kebanyakannya bertemakan cinta antara lelaki dan perempuan. Ia berbeza dengan Sungai Lui. Apabila dinilai kembali, ia memberi kelebihan tetapi pada waktu sama ia juga boleh menjadi kekurangan. Begitupun, saya tidak mahu terlalu mengharap sebaliknya hanya memberikan fokus kepada corak persembahan,” katanya.



Menilai lagu yang bertanding, Aizat menjelaskan ada beberapa karya dilihat mempunyai kelebihan untuk muncul juara dan pilihannya secara peribadi adalah lagu Penakut ciptaan sepenuhnya Yuna dan Awan Nano ciptaan Datuk M Nasir dan dendangan Hafiz.



“Saya berasakan lagu ini mempunyai kelebihan dari sudut melodi. Pertama kali mendengarkannya ia sudah mampu menangkap minat pendengar. Pada saya, kedua-dua lagu ini mempunyai kelebihan kerana penghasilannya begitu kreatif dan ia sangat menangkap jiwa,” katanya.



Bagi Aizat, AJL26 menunjukkan satu perkembangan cukup sihat untuk industri muzik tempatan apabila menampilkan karya yang ditulis sendiri penyanyinya dan pastinya ia memberi cabaran juga kepada juri dipilih bagi memilih karya siapakah yang dirasakan layak untuk menggambarkan industri muzik secara keseluruhan untuk tahun lalu dan tahun ini.



SENARAI 12 LAGU BERTANDING DI AJL 26


1. Kalau Berpacaran - Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet

2. Karma - Faizal Tahir

3. Penakut - Yuna 
4. Sedetik Lebih - Jaclyn Victor
5. Awan Nano - Hafiz
6. Cinta Muka Buku - Najwa Latif
7. Wanita Seluruh Dunia - Project Pistol
8. Beribu Sesalan - Ning, Shila, Jacklyn 
9. Kekanda Adinda - Atilia & Monoloque
10. Sungai Lui - Aizat
11. Kisah Hati - Alyah
12. Gadis Semasa - Yuna

KEPUTUSAN MUKTAMAD AJL 26


Juara Anugerah Mobile Celcom – lagu Sedetik Lebih
Persembahan terbaik –  Lagu Kisah Hati (Alyah)
Vokal terbaik – Lagu Awan Nano (Hafiz)
Tempat ke 3 – Lagu Karma (Faizal Tahir)
Naib Juara – Lagu Beribu Sesalan (Ning Baizura/Jaclyn Victor/Shila Amzah)
JUARA AJL KE 26
Lagu Awan Nano oleh Hafiz (M.Nasir/Budi Hekayat)
HADIAH AJL KE 26
Juara AJL26:  -  trofi dan wang tunai RM36,000
Naib Juara AJL26: – trofi dan wang tunai RM15,000
Tempat Ketiga: – trofi dan wang tunai RM12,000
Persembahan Terbaik: – trofi dan wang tunai RM10,000
Vokal Terbaik: - trofi dan wang tunai RM10,000

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.






Label: , 0 ulasan | edit post
Unknown

Mayat atau bangkai?


AMPANG JAYA: Mayat atau bangkai? Itu persoalan yang masih belum terungkai selepas polis menemui sebuah beg besar yang berbau busuk dalam di sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan perumahan di Pandan Indah, di sini, semalam.

Beg bersaiz besar itu ditemui di tempat duduk belakang kenderaan terbabit oleh penduduk di situ jam 4 petang sebelum memaklumkannya kepada polis selepas curiga berikutan baunya yang terlalu busuk.

Namun, sehingga jam 8 malam tadi polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti kandungan sebenar beg itu selepas ia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk pemeriksaan lanjut.


Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, hasil pemeriksaan PPUKM itu dijangka diperoleh selewat-lewatnya hari ini.









“Selepas menerima aduan, sepasukan forensik dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum pemeriksaan lanjut di tempat duduk belakang kereta itu menemui sebuah beg berukuran agak besar.


“Pemeriksaan awal juga mendapati terdapat kandungan di dalam beg berkenaan. Ada kemungkinan ia mayat, namun kami belum pasti sehingga mendapat hasil pemeriksaan dilakukan PPUKM,” katanya.

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.



Unknown

Apek Keliru Tarikh Latihan




KELIBAT penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat akhirnya kelihatan pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, petang semalam selepas gagal melaporkan diri tanpa sebarang alasan bersama skuad Olimpik negara kelmarin sehingga menimbulkan keresahan pengendalinya, Ong Kim Swee.

Kapten skuad Olimpik negara itu tampil bersemangat menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan lain sebagai persiapan menghadapi aksi kelayakan Olimpik 2012 menentang Bahrain di Manama pada Ahad depan.

Ketika ditanya punca sebenar kegagalannya untuk melaporkan diri, Khairul Fahmi menjelaskan mungkin berlaku kesilapan komunikasi antara dirinya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan FAM sehingga menyebabkan insiden itu berlaku. 


“Surat (melapor diri) sampai, namun mungkin terdapat kekeliruan mengenai tarikh sebenar saya perlu menghadirkan diri, sama ada sebelum aksi Liga Super (menentang Kuala Lumpur pada Sabtu) atau selepas itu dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas dengan lebih lanjut kesilapan komunikasi itu.







“Saya mendapat pelepasan tengah hari tadi (semalam). Apa yang penting adalah saya sudah hadir di sini dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus memberikan fokus untuk aksi ini (menentang Bahrain),” katanya.


Dia bagaimanapun menegaskan insiden itu tidak menjejaskan semangatnya untuk terus menabur bakti kepada skuad negara serta pasukan diwakilinya, Kelantan.



“Saya hormati kontrak bersama Kelantan selain tugas besar untuk negara yang perlu digalas,” katanya yang dijangka pulang ke Kelantan hari ini bagi membantu Red Warriors menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super sebelum kembali ke pangkuan skuad Olimpik.


Khidmat Khairul Fahmi amat ditagih skuad Olimpik negara dan Kelantan selain skuad senior berikutan ketangkasannya mengawal gawang negara sehingga menjulang Piala AFF 2010 buat kali pertama dan mempertahankan pingat emas Sukan Sea 2011.

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.

Label: , 0 ulasan | edit post
Unknown

Nora bukan dalang




KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama mengambil sikap tunggu dan lihat, Rizal Ashram Ramli, 34, atau Jejai semalam mengesahkan hubungannya dengan pelakon Fasha Sandha sudah berakhir dan pada masa sama menegaskan bekas isterinya, Nora Danish sama sekali tiada kaitan dengan perpisahan itu.

“Dia (Nora Danish) tidak pernah masuk campur urusan peribadi saya. Apa yang berlaku antara saya dan Fasha sehingga menyebabkan kami berpisah tiada kena mengena dengan orang lain,” katanya menerusi e-mel yang dihantar kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Kenyataan Jejai itu sekali gus menamatkan teka-teki yang sebelum ini dicetuskan Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 27, apabila berkata hanya dia dan Jejai yang tahu mengenai status terkini perhubungan cinta mereka.


Kiriman e-mel Jejai itu juga secara tidak langsung membersihkan nama Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 29, yang sebelum ini didakwa menggunakan keluarga bekas mentuanya untuk memutuskan hubungan Jejai dan Fasha.




Jejai berkata, dia terpaksa membuat kenyataan dan penjelasan mengenai status perhubungannya dengan Fasha berikutan terlalu banyak fakta tidak betul mengenai mereka diperkatakan media dan di Internet, biarpun dalam bentuk gosip.




“Walaupun dalam penulisan (gosip di akhbar) tidak menamakan artis berkenaan, tapi sesiapa yang membaca pasti akan mengetahui siapa artis yang dimaksudkan. Sebenarnya ia tidak pernah berlaku seperti ditulis.



“Dakwaan dia (Nora Danish) menggunakan keluarga saya untuk memisahkan (saya dan Fasha) tidak pernah berlaku. Apa yang berlaku dalam keluarga saya, saya tahu semuanya,” kata Jejai menerusi e-melnya. 



Jejai turut menegaskan dakwaan mengatakan Nora gila talak amat keterlaluan. 






“Saya pasti dia (Nora Danish) tidak pernah gila talak. Dia sedang mengenali seseorang, malahan saya mengenali lelaki itu. Dia seorang yang baik dan dihormati. Fasha juga tidak pernah mengugut saya. Itu adalah pasti. Dia bukan seorang yang berkelakuan begitu,” katanya.



Jejai turut menegaskan kenyataan diberikan mengenai isu perhubungan cintanya itu yang terakhir dan berharap ia tidak lagi diperkatakan atau ada pihak cuba menjadikan ia sebagai satu isu.



Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.

Label: , 0 ulasan | edit post
Unknown

Titik tengah Semenanjung




PERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang.Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung.


Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar.Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini.Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.


Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.







Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan. 


Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.


“Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini.


Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.


Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.


"Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya.


"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.

Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi.

Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.


Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.

Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur.


Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan.



Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong.


Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar.


"Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya.


Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu.


"Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri.


"Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka.


"Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya.


Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu.


"Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik.


"Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya.


Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap.


Penduduk tempatan nanti limpahan


PENDUDUK Kampung Paya Siput, Lanchang, yakin pengiktirafan kawasan perkampungan itu sebagai titik tengah Semenanjung sudah tentu memberi makna yang mendalam kepada mereka.

Walaupun ia tidak merubah wajah kampung itu dalam sekelip mata, mereka percaya kawasan itu akan lebih dikenali dan menjadi sebutan kerana kedudukannya yang begitu unik berbanding tempat lain di negara ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang, Zainal Abidin Mat Taha berkata, Kampung Paya Siput adalah antara tiga kampung yang terletak di bawah pentadbiran JKKK Kampung Rantau Panjang selain Kampung Bukit Wau dan kampung Orang Asli Bukit Licin.


"Lebih menarik, titik tengah sebenarnya terletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama, Madrasah Darul Ulum yang diusahakan Sabaruddin Othman sejak lima tahun lalu.

"Sehubungan itu, kami berharap pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan membangunkan kawasan terbabit untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya.

Zainal Abidin berpendapat, suatu mercu tanda perlu dibangunkan di kawasan itu bagi membolehkan orang ramai sama ada penduduk setempat atau pelancong luar tahu kedudukan sebenar titik tengah berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga boleh disediakan di kawasan terbabit seperti jalan masuk, tempat jualan cenderahati dan ruang perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.


Bagi Sabaruddin, 43, beliau tidak keberatan membenarkan sebahagian tanahnya dibangunkan untuk kepentingan awam kerana percaya pemilihan kawasan itu ada hikmah tersendiri.


"Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas perkembangan ini, sebaliknya menerima apa juga keputusan pihak berkuasa tempatan.


"Saya difahamkan, titik tengah yang dimaksudkan itu terletak betul-betul di bawah satu daripada pondok yang digunakan sebagai asrama oleh penghuni madrasah ini. Apa yang saya tahu, pihak berkuasa bercadang mewartakannya untuk dibangunkan dengan prasarana.


"Cuma, saya berharap beberapa pondok yang berada dalam lingkaran titik itu dapat dialihkan ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya.


Madrasah Darul Ulum kini mempunyai kira-kira 100 penghuni termasuk dari kalangan remaja, anak yatim dan pasangan warga tua yang ingin mendalami ilmu agama secara percuma. 



Nota:


Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...