Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Hobi Baru Muda-mudi


Teks dan Gambar Mohamad Asraf Awaluddin

mEmuKau...pemandangan Gunung Rinjani dan Gunung Barujari menarik perhatian pendaki.
KEMBARA cara galas atau 'backpacker' memang menjadi kegilaan golongan muda lebih-lebih lagi selepas revolusi penerbangan tambang murah melanda dunia.

Pulau Lombok, Pulau Bali, Jakarta di Pulau Jawa, Indonesia menjadi destinasi persinggahan penulis dalam perjalanan lapan hari menggunakan pesawat, jalan darat dan laut dengan perbelanjaan seminimum mungkin - namanya pun kembara galas beg.

Berbanding Pulau Bali yang harum sedunia, tidak ramai mengetahui rahsia Pulau Lombok.

Terletak bersebelahan pulau dewata itu, Lombok dikelilingi pantai dan gunung-ganang yang memukau pandangan.

Seperti bermimpi di siang hari apabila melancong ke Lombok terletak di wilayah Nusa Tenggara Barat yang lebih dikenali sebagai tempat anak gadis Malaysia dilarikan.

Tiada perasaan gentar walaupun pertama kali berkunjung ke pulau 1,000 masjid itu ketika pesawat mendarat di Lapangan Terbang Selaparang, Mataram.

Penerbangan Malaysia (MAS) atau AirAsia tidak melakukan penerbangan terus dari Kuala Lumpur, tetapi anda boleh mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta atau Ngurah Rai, Denpasar, Bali sebelum bertukar ke pesawat domestik Indonesia ke Mataram yang memakan masa sejam penerbangan.

>Lombok

Tarikan utama lombok adalah Gunung Rinjani yang menjulang angkasa.

Rinjani diwartakan sebagai taman nasional Indonesia dan diiktiraf satu daripada empat destinasi terbaik dunia oleh Konservasi Antarabangsa serta majalah kembara National Geographic.

Mencecah ketinggian 3,726 meter (m) dari paras laut dan gunung kedua tertinggi di Indonesia membuat pendaki seluruh dunia cuba menawan gunung berapi aktif itu.

Namun, aktiviti pemuntahan lahar hanya berlaku pada Gunung Barujari yang terbentuk dalam linkungan kawah berkeluasan 8.5 kilometer dan turut dikelilingi danau Segara Anak sedalam kira-kira 200m.

Letusan kali pertama direkodkan pada 1847 dan aktiviti gunung itu semakin giat aktif pada 1994 hingga 1995.

Pendaki dinasihatkan menggunakan khidmat agensi pelancongan yang menawarkan pakej lengkap dengan jurupandu arah tempatan, porter, khemah serta makan dan minum sepanjang ekspedisi bermula dari Rp1.6 juta (RM555) hingga Rp1.8 juta (RM632) seorang bersama sijil penghargaan.

>Mataram

Mataram merupakan ibu negeri Lombok.

Populasi kira-kira 2.6 juta orang dengan 80 peratus penduduknya kaum Sasak beragama Islam.

Selebihnya masyarakat Bali, Tionghua-peranakan, Jawa, Sumbawa dan masyarakat Arab Indonesia.

Kebanyakan mereka petani dan nelayan.

Lombok kian membangun dengan sumber pendapatan utama ialah pelancongan.
Di sini mudah mencari makanan halal terutama nasi padang.

Jika mahu menikmati Pizza Hut, McDonald's atau KFC, kunjungi Mataram Mall.

Penginapan bajet untuk pengembara galas sekitar bandar boleh disewa dari harga Rp220,000 (RM80) semalam.

>Pantai peranginan Senggigi

Antara lokasi tumpuan pelancong selain Mataram adalah Senggigi di pantai barat Lombok kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar menggunakan teksi dan berdekatan lapangan terbang.Kawasannya agak terpencil bagi mereka inginkan percutian damai bersebelahan pantai.Senggigi menjadi pilihan kebanyakan pengembara galas kerana bukan hanya memiliki pantai menarik, malah kemudahan seperti kedai makan, penginapan murah dan perkhidmatan bank.Penjanaan kuasa elektrik di sini tidak sempurna seperti di Mataram malah sudah menjadi kebiasaan, kemudahannya terputus tetapi ia dapat dipulihkan semula.

>Tiga pulau Gili

Bagi penggemar hidupan laut, terdapat tiga pulau tumpuan harus dikunjungi iaitu Gili Air, Gili Meno dan Gili Trawangan yang menyediakan aktiviti menyelam serta snorkeling.

Tiga pulau ini terletak di pantai barat utara Lombok dan pengunjung boleh menaiki bot pantas dengan anggaran kos Rp260,000 (RM90) untuk perjalanan sehala atau feri penumpang biasa pada harga kira-kira Rp10,000 ribu (RM4) seorang, tetapi ia mengambil masa lama.

Kawasan menyelam itu dianggarkan mempunyai 3,500 spesies hidupan marin.

Terdapat 15 lokasi tumpuan penyelam sekitar tiga pulau berkenaan yang menyajikan padangan menarik dan 25 peratus terumbu karang di lautan dunia terdapat di Indonesia.

>Bali

Ke Bali, penulis memilih menggunakan khidmat feri dari jeti Lembar, Lombok menuju ke jeti Padang Bai di timur Bali merentasi Selat Lombok.

Perkhidmatan feri antara modus pengangkutan utama kerana tambangnya cuma Rp35,000 (RM12) sehala.

Televisyen disediakan untuk menghilangkan bosan dan dengan Rp21,000 (RM7), penumpang boleh menyewa tilam di tempat khas untuk tidur.

Selepas mengharungi perjalanan laut selama empat jam, penulis tiba di jeti Padang Bai, Kuta sebelum menempuh kesesakan lalu lintas hampir empat jam ke Kuta.

>Jakarta

Penulis mengakhiri kembara tiga pulau di Pulau Jawa dengan melawat Jakarta.

Kunjungan singkat di kota moden meninggalkan kenangan manis.

Siri animasi, Upin dan Ipin menjadi kegilaan rakyat di sini. Mereka gemar rancangan kanak-kanak terbitan Les' Copaque itu.

Seperti Sunway Lagoon di Selangor, Taman Impian Jaya Ancol (Ancol) di utara Jakarta adalah taman tema untuk rakyatnya.

Menyediakan pelbagai aktiviti seperti Gondola, Sea World, Dunia Fantasi termasuk Taman Pantai menghadap laut Jawa menjadikan ia tempat seisi keluarga bercuti di hujung minggu.

>INFO:


NAMA PULAU: Lombok
LOKASI: Nusa Tenggara Barat, Indonesia
IBU NEGERI: Mataram
POPULASI: 2.6 juta
MAJORITI: Suku kaum Sasak
EKONOMI: Pelancongan, pertanian dan perikanan

NAMA GUNUNG: Rinjani
KETINGGIAN: 3,726 meter dari paras laut
SEJARAH: Kali terakhir muntah abu panas pada Mei 2010
STATUS: Aktif
PAKEJ MENDAKI: Kira-kira RM632

Laporan Penuh Di Sini:

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...