Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Tidak Perlu Jadikan 13 Mei Hari Muhibah

PUTRAJAYA 17 Nov. - Kerajaan menolak cadangan supaya menjadikan tarikh 13 Mei sebagai Hari Muhibah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Tak perlu sebab 13 Mei ini kita jadikan satu peristiwa dalam lipatan sejarah (tanah air) sebagai iktibar dan sempadan untuk kita supaya ia (peristiwa rusuhan kaum berdarah itu) tidak berulang," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi perbualan video dengan perwakilan pelajar Malaysia di luar negara di kediaman Seri Perdana di sini pagi ini.

Turut serta ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dua Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay dan Datuk Richard Riot serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu minggu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan '13 Mei''.

Beberapa pemimpin seperti bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bersetuju dengan cadangan itu dalam konteks untuk mengingatkan rakyat pada setiap tahun terhadap bahaya sebarang konsep asing diperkenal dan diterima oleh rakyat negara ini.

Menurut Zainuddin, peristiwa 13 Mei di Malaysia berpunca daripada konsep Malaysian Malaysia yang diwarisi daripada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew oleh parti-parti tertentu di Malaysia setelah Singapura disingkirkan dari negara ini pada 1965.

Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia dan peristiwa itu hampir-hampir memusnahkan negara ini.

Antara pengajaran terpenting akibat peristiwa itu ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum.


Laporan Penuh Di Sini:



0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...