Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Tepati Ramalan


GUANGZHOU mencatatkan kejayaan paling gemilang bagi atlet Malaysia apabila mencipta pingat emas terbanyak sejak penyertaan pertama di Tokyo pada 1958, kira-kira 52 tahun lalu.
Sembilan pingat emas, 18 perak dan 14 gangsa mengumpulkan jumlah keseluruhan 41 pingat tetap satu pencapaian terbaik negara menutup tahun sukan 2010.

Sekalipun hanya kelebihan satu emas berbanding lapan yang dikutip di Doha empat tahun lalu, sukan Malaysia menuju ke arah landasan tepat terutama menghadapi Sukan Olimpik London 2012.

Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama semua persatuan kebangsaan berjaya menghasilkan kejayaan di luar dugaan.

Di Sukan Komanwel New Delhi Oktober lalu, kontinjen negara mengumpul 12 pingat emas melepasi sasaran awal 10 dan kesinambungan itu diteruskan di Guangzhou.

Bukan mudah buat atlet terus konsisten pada dua temasya sukan besar yang berlangsung secara berturut-turut.

Selaku Ketua Pengarah MSN merangkap Chef de Mission, Datuk Zolkples Embong berjaya dalam tugasan sukar ini.

Ketika ramai yang meragui kemampuan atlet negara berdepan Sukan Asia yang tinggi tarafnya berbanding Sukan Komanwel, beliau membuktikan misi itu tidak mustahil untuk dilakukan.

Apatah lagi beliau sengaja menempah risiko selaku penjawat tertinggi kerajaan yang dinilai dengan KPInya.

“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa komitmen tinggi semua pihak membabitkan atlet, jurulatih, pegawai persatuan dan pegawai MSN sendiri yang berusaha keras menjayakan misi ini.

“Terima kasih dan tahniah kepada mereka kerana menjadikan impian yang kita bina di Kuala Lumpur, tercapai di Guangzhou,” katanya.

Atlet seperti Datuk Nicol David (gambar), Azlan Iskandar, pasukan skuasy wanita dan Azizulhasni Awang menepati jangkaan apabila menyerlah dalam sukan masing-masing dan kejayaan mereka menyuntik atlet lain yang tiada dalam sasaran emas seperti Chai Fong Ying, Alex Liew, Adrian Ang, Ku Jin Keat dan R Puvaneswaran untuk melengkapkan sembilan emas.

Sekalipun pasangan beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Datuk Lee Chong Wei hanya memenangi pingat perak, prestasi yang ditunjukkan cukup meyakinkan.

Ini termasuk Ibrahim Amir dalam acara snuker & biliard, pasukan hoki lelaki, pasukan sepak takraw, atlet karate, G Yamini dan Jamallia Jamaludin yang tidak diramal tetapi berjaya memenangi pingat perak.

Terjun antara sukan paling berjaya sekalipun mengumpul empat perak dan empat gangsa menerusi Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee, Ooi Tze Liang, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Ng Yan Yee dan Cheong Jun Hoong.

“Ini adalah acara Olimpik dan penerjun kita bersaing dengan semua jaguh terjun China yang bertaraf dunia.

“Saya terpaksa terima hakikat bukan mudah bagi kita memecah dominasi China. Mereka menyapu bersih semua 10 emas dipertandingkan.

“Apapun saya yakin, jika penerjun kita muncul pesaing kedua terkuat di sini, tidak mustahil kita boleh memenangi pingat Olimpik,” kata Zolkples yang turut memuji pencapaian ekuin.

Sukan lain yang turut membuat kejutan adalah penembak Nur Suryani Mohamed Taibi yang meraih gangsa dan muncul penembak pertama wanita memenanginya di Sukan Asia, skuad bola sepak yang mara ke pusingan kedua, bola tampar pantai dan ragbi.

Namun prestasi atlet olahraga, memanah, bowling wanita, gimnastik dan gimrama serta tinju cukup mengecewakan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) seharusnya memikirkan semula penghantaran atlet bagi sukan catur, catur weiqi dan xianggi, kriket, lawan pedang, golf, kabaddi dan triatlon.

Laporan Penuh Di Sini:

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...