Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

Skuad Malaysia kembali dihormati
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

BANGGA...ketua pasukan bola sepak negara, Mohd Shafiq Rahim menjulang trofi Piala AFF di hadapan ribuan penyokong bola sepak negara di KLIA, semalam.
KEJAYAAN menjulang Piala Suzuki AFF kelmarin dicapai dengan jalan yang penuh berliku dan mendebarkan membuktikan bola sepak tempatan kini sudah terjaga daripada lena serta melepasi zaman kegelapan.

Mereka kini sudah mengembalikan maruah dan reputasi negara untuk kembali digeruni di rantau Asia Tenggara selepas dipersendakan sejak sedekad sebelum ini tanpa sebarang pencapaian yang membanggakan.

Negara di rantau ini seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Myanmar dan Vietnam seharusnya tunduk hormat kepada Harimau Malaya yang kembali mengaum gagah membaham mangsa dengan memenangi Piala Suzuki AFF untuk kali pertama dan pingat emas Sukan Sea 2009 yang membabitkan pemain bawah 23 tahun.

Nyata Harimau Malaya yang terbaik di Asia Tenggara di peringkat senior dan bawah 23 tahun walaupun dibarisi kebanyakan pemain muda berusia 19 dan 21 tahun.

Kesukaran mencapai kejayaan ini sebenarnya bermula sebelum kejohanan berlangsung secara rasmi lagi dengan kecederaan melanda sebahagian besar tonggak utama memeningkan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal.

Bermula di barisan pertahanan, Aidil Zafuan Adha Abd Radzak, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Nasriq Baharom, Azmi Muslim diikuti barisan tengah Mohd Bunyamin Omar, S Chanturu, Baddrol Bakhtiar serta penyerang utama, Mohd Zaquan Adha sehingga tiada sebarang harapan diletakkan untuk muncul juara buat kali pertama.

Namun ia bukanlah halangan besar kepada Rajagobal untuk meneruskan 'sentuhan magis' bagi mencipta sejarah baru bola sepak negara apabila menaruh kepercayaan kepada pemain muda dan senior untuk menggalas cabaran edisi kelapan ini.

Pertaruhan paling tinggi adalah menggunakan dua pemain pertahanan tengah yang masih mentah jika dibandingkan dengan semua pasukan lain dengan menggandingkan Mohd Muslim Ahmad (21) dan Mohd Fadhli Shas (19).

Kepercayaan diberikan dibalas pemain dengan mempamerkan peningkatan di tengah padang ketika menentang Thailand dan Laos selepas dimalukan Indonesia 5-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.

Mereka tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus mempamerkan kematangan di dalam permainan manakala pemain senior seperti Mohd Safee Sali kembali dihormati apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Malah corak permainan skuad kebangsaan dirancang Rajagobal sememangnya menarik untuk ditonton sama ada ketika menyerang atau bertahan dan kini mereka mampu untuk menjaringkan gol melalui serangan balas, sesuatu yang jarang dilihat sejak kebelakangan ini.

Ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat di gawang, keampuhan Mohd Muslim dan Mohd Fadhli di pertahanan tengah, rempuhan Mahali Jasuli, kematangan Mohd Asraruddin Putra Omar, ketenangan Amar Rohidan, kebijaksanaan Mohd Safiq Rahim, larian pantas S Kunalan dan Mohd Amirulhadi, kelicikan Norshahrul Idlan Talaha, kerajinan Mohd Safee serta barisan pemain simpanan yang bersedia untuk diturunkan adalah kunci kejayaan pada kejohanan ini.

Pemain negara sudah lengkap dari segi fizikal dan kemahiran untuk berdepan dengan pemain berpengalaman dari negara lain termasuk ketika menyingkirkan juara bertahan, Vietnam di peringkat separuh akhir dan Indonesia semalam.

Ketahanan mental pula adalah yang terbaik diberikan terutamanya di final kedua di Gelora Bung Karno kelmarin dengan kehadiran 95,000 penyokong fanatik Sang Garuda di dalam stadium dan puluhan ribu lagi di luar stadium untuk menggerunkan mereka.

Suasana bising dan nyanyian lagu patriotisme Indonesia setiap minit nyata tidak menggerunkan Harimau Malaya yang hampir mencatatkan kemenangan di gelanggang keramat lawan itu sejak kali terakhir melakukannya pada 2004 dengan kemenangan 2-1.

Apa pun kejayaan memberi petanda baru sinar bola sepak Malaysia selepas dikatakan malap sebelum ini dan momentum itu berterusan untuk beberapa kejohanan besar yang menanti terutamanya kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang bermula Februari depan.

“Kami mempunyai perancangan empat tahun untuk menjadi salah satu pasukan digeruni di Asia.

“Untuk itu kami memberi peluang kepada pemain muda seawal 17 tahun untuk beraksi di dalam kejohanan tertinggi sebagai pendedahan,” kata pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal, kelmarin.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut menjelaskan Malaysia kini mempunyai sekumpulan 50 hingga 60 pemain muda yang dikumpulkan untuk bermain bersama di dalam satu tempoh masa dan disediakan mewakili negara bila tiba masanya.

Mungkin salah satu faktor kejayaan kerana larangan pemain import di dalam Liga Malaysia sejak beberapa tahun ini sehingga membolehkan lebih ramai pemain tempatan kerap bermain dan memberikan kesan yang positif apabila mereka mewakili negara.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Belasah sampai lembik


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hanya kerana kereta mewah miliknya terkena ludah, seorang lelaki bertindak kejam membelasah seorang kanak-kanak berusia enam tahun sehingga mangsa parah dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama empat hari.

Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang Ahad lalu, apabila mangsa, Solihan Ramzan, secara tidak sengaja meludah sisa makanannya dari rumahnya yang terletak di tingkat satu bangunan rumah kedai di Jalan Batu Belah, Jalan Ipoh, di sini.

Bapa saudaranya, Mohd Amir Salamatula, 43, berkata ludahan Solihan itu terkena kereta BMW milik lelaki berusia 30-an itu yang diletakkan di tingkat bawah.

“Melihat perbuatan anak saudara saya menyebabkan keretanya kotor, lelaki itu terus masuk ke dalam rumah lalu membelasahnya sehingga nyawa-nyawa ikan.

“Ketika kejadian hanya ibu Solihan berada di rumah, namun dia tidak sedar kerana sedang tidur di dalam bilik. Mujur ibu saudaranya yang tinggal berjiran menyedari kejadian itu dan segera merayu lelaki itu menghentikan perbuatannya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Amir, rayuan itu tidak dihiraukan malah seperti dirasuk dia terus membelasah Solihan sehingga lembik.

“Tidak tahan dengan perbuatan lelaki berkenaan, saudara saya menawar diri supaya dia dibelasah dan Solihan dilepaskan, namun usaha itu juga tidak berhasil.

“Selepas Solihan lembik dan muntah darah, barulah lelaki itu melepaskannya dan meninggalkan rumah,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Mohd Amir berkata, ibu Solihan yang menyedari kejadian itu terkejut apabila melihat anaknya berlumuran darah dan segera membawa kanak-kanak itu mendapat rawatan di Hospital Selayang.

“Solihan berada di hospital itu selama empat hari selepas doktor mendapati ada darah beku di kepalanya dan matanya juga rosak. Dia baru dibenarkan pulang petang ini (semalam), namun perlu mendapatkan rawatan susulan untuk pemeriksaan mata pada Sabtu ini dan darah beku di kepalanya pada 28 Februari depan,” katanya.

Menurutnya, laporan mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Jinjang pada 26 Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Laporan Penuh Di Sini:



Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

Sebulan jadi hamba seks

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

HULU SELANGOR: Tiga remaja perempuan dikurung dan dijadikan hamba seks selama sebulan oleh seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru, di sini, sebelum diselamatkan polis, Rabu lalu.

Ketika serbuan di rumah guru yoga berusia 54 tahun terbabit, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua peket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy, berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan oleh keluarga mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru terbabit pada hujung November lalu. “Seorang daripada ibu mangsa membuat laporan anaknya yang berusia 16 tahun keluar bersama suspek dan selepas itu tidak pulang ke rumah. Ibu mangsa memberitahu dia menghubungi suspek, tetapi suspek enggan memberitahu di mana anaknya berada,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Norel Azmi berkata, selepas menerima laporan ibu mangsa yang juga seorang penoreh getah berusia 38 tahun pada 30 November lalu, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan dia kini direman empat hari sehingga 3 Januari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan mendakwa dirogol rakan teman lelakinya di Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, di sini, pada 22 hingga 27 Disember lalu.

Sumber polis berkata, sepasukan anggota forensik pergi ke lokasi kejadian semalam bagi mencari bahan bukti dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol. “Namun, polis menyiasat kemungkinan kejadian berlaku kerelaan wanita itu,” katanya.

Laporan Penuh Di Sini:



Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Sebak lihat kepala putus

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Iskandar Shah Mohamed


PORT DICKSON: “Saya sebak melihat keadaan mayat mangsa yang kepala terbelah dan putus terhimpit dalam kereta yang remuk teruk,” kata seorang kontraktor yang juga saksi terawal kemalangan maut mengorbankan lima sekeluarga di Kilometer 19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, dekat sini, semalam.

Hardi Jamu, 37, berkata dia melihat lima mangsa yang berada dalam kereta berkenaan tidak bergerak dan percaya mereka sudah meninggal dunia akibat parah.

“Saya berkejar mendapatkan beberapa lagi mangsa dalam kenderaan lain untuk memberi bantuan selain cuba menahan kenderaan yang lalu lalang bagi mengelak mereka terbabit kemalangan ngeri itu.

“Keadaan kelam-kabut dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar serta pengguna jalan raya lain datang memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, lima sekeluarga yang menaiki Proton Wira dari Port Dickson maut selepas kenderaan dinaiki berlanggar sebuah trak tentera.

Mereka yang maut ialah Mohd Said Lakan, 58, isterinya, Rosnani Buyong, 50, anak mereka, Nordiana, 30, menantunya, Saipol Naaim Mat Dan, 36, (pemandu kereta) dan cucunya, Muhammad Harith Firdaus Saipol Naaim berusia empat tahun.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kereta yang datang dari Port Dickson menghala Linggi memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh belakang trak tentera yang menuju Port Dickson menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh Proton Wira dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Dua lagi kenderaan terbabit iaitu sebuah Perodua Myvi dan Kia Spectra. Empat mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak dan mereka dikejarkan ke Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu, Hardi berkata, ketika kejadian, dia berada di simpang di depan lokasi nahas itu untuk keluar membeli barangan.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat sebelum melihat sebuah kereta melanggar sisi belakang trak tentera menyebabkannya hilang kawalan.

“Trak tentera itu kemudian terlanggar Proton Wira dan terbalik sambil menyeret Proton Wira itu ke tepi jalan.

“Sejurus kemudian saya terdengar beberapa lagi dentuman dipercayai akibat kemalangan susulan di belakang trak tentera berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas melihat keadaan pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan, dia segera pergi ke beberapa lagi kenderaan yang turut terbabit dalam kemalangan untuk memberikan bantuan.

“Saya dan beberapa pengguna lain serta orang ramai yang berada di tempat kejadian memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

“Pasukan bomba dan polis yang dihubungi datang ke lokasi tidak lama selepas kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.

Hardi berkata, pemandu dan beberapa anggota tentera dalam trak tentera itu, bagaimanapun tidak cedera serius.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


2 'spa songsang' degil

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Mohd Zaidi Ya’acob



MELAKA: Dua pusat spa yang menjalankan perniagaan di rumah kedai di Jalan Kampung Pantai dan Jalan Hang Jebat di sini, yang disyaki terbabit aktiviti seks songsang diserbu kali kedua oleh pihak berkuasa kelmarin, selepas dikesan masih menjalankan aktiviti itu walaupun pernah didedahkan kira-kira sebulan lalu.

Serbuan dilakukan Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa (BPPA) Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bermula kira-kira jam 10 malam kelmarin. 

Dalam serbuan pertama di Jalan Kampung Pantai, pihak berkuasa menemui kondom dan sarung kondom sudah digunakan. 

Bagaimanapun, dalam serbuan di premis kedua, pengusahanya dikesan licik menyembunyikan aktiviti songsang itu apabila mengetahui operasi dilakukan pihak berkuasa.

Sebelum ini, rahsia dua premis tanpa tanda perniagaan di bahagian luar itu yang menjadi tumpuan lelaki termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dibongkar pihak berkuasa hasil maklumat awam apabila ibu bapa pelajar sebuah IPT di negeri ini mengesyaki anak mereka terbabit dengan aktiviti berkenaan.

Pengarah BPPA, Shadan Othman berkata, pihaknya bimbang dengan penularan aktiviti kelab gay di negeri ini dan operasi berterusan akan dilakukan bagi menanganinya. 

Katanya, ketika serbuan, kebanyakan pengunjung premis pertama hanya memakai tuala dan mandi dalam keadaan bogel serta berada dalam sauna yang terletak di tingkat atas. 

“Dalam operasi itu, kita memeriksa 30 lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an yang berada dalam premis, namun tiada sebarang tangkapan. 

“Bagaimanapun, Jaim mengeluarkan saman kepada empat lelaki Islam untuk hadir ke pejabat pihak berkuasa agama itu untuk sesi kaunseling manakala MBMB pula mengeluarkan dua saman kepada pemilik premis kerana menyalahgunakan lesen perniagaan,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya mendapati satu daripada premis terbabit mempunyai lesen perniagaan kedai kecantikan tetapi pengusahanya disyaki menyalahgunakannya dengan menawarkan aktiviti songsang, manakala sebuah lagi masih dalam proses memohon tetapi sudah memulakan operasi.

Laporan Penuh Di Sini:



Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Naluri Ibu Mendalam


Oleh MURSHID EUNOS
murshid@hmetro.com.my






LAMA tidak ketemu bintang jelita ini. Sesekali waktu terluang, banyak cerita terungkai. Petang hujung minggu lalu Rozita Che Wan menyusun kata, meluah rasa dan menterjemah rajuk dalam sulaman bicaranya yang tidak henti.

Kononnya, artis popular yang banyak mewarnai drama dan filem termasuk Gentayangan, Kantoi, Jangan Tegur, Sifu & Tongga dan Sepi ini kecewa kerana sering dianggap serong. Tidak cukup dengan pelbagai spekulasi, ada kalanya kisah negatif yang datang bagai langsung tidak berasas.


Pujuk hati sendiri, lumrah menjadi anak seni dan dianugerahkan wajah jelita, tidak lekang dipalit kontroversi. Namun stigma itu tetap mengundang luluh dan berbekas luka jauh di lubuk jiwa.

“Siapa pula meminta untuk dijadikan papan sasaran bagi melepaskan tembakan. Bukan sekali saya dikecam. Kelakarnya, saya dituduh melalaikan golongan suami yang asyik memerhati. Ada kalanya saya ketawa mendengar cerita sedemikian.



“Saya berdiri sebagai pelakon dan bukan menjual rupa atau tubuh. Namun untuk menutup segala cerita atau memberhentikan mulut yang tidak penat bersuara itu adalah di luar kemampuan saya. Justeru, petua paling mujarab adalah tebalkan telinga dan pejamkan mata.


“Itu belum lagi mulut yang sibuk mengatakan saya dibela dan menjadi wanita tajaan gara-gara berkereta mahal dan bergaya mewah. Jujurnya saya gemarkan sesuatu yang indah dan berjenama, namun itu bukan alasan buat saya mencari sesiapa membelikannya.

“Saya bekerja keras siang dan malam untuk membesarkan anak serta membina kehidupan. Kadangkala saya rasa mahu menghantar faks saja jadual kerja saya setiap bulan untuk mereka yang sibuk menjaja cerita supaya mereka senyap kemudian,” selorohnya.

Rayu wanita kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkali-kali, usah diungkit lagi gosip yang pernah cuba membunuh kerjaya serta reputasinya. Kali ini, SELEBRITI membongkar sisi keibuan padanya dalam membesarkan dua putera kesayangannya, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra yang baru saja langsai pengajian di tahun enam serta percaturannya dalam menyingkap langkahnya menjelang esok.

Bingkas ‘mama vogue’ ini mengukir senyum dan lantas berkongsi cerita. Khabarnya, di sebalik populariti dan kesibukannya mengejar jadual penggambaran, dia yang bermula dengan drama Cinta Terhalang empat tahun lalu masih mampu membentuk sempurna dua anaknya.

Bukan saja membesar dengan cukup makan dan pakai, malah Rozita bangga mempunyai anak bijak dan punya potensi besar sebagai pelajar cemerlang.

Meskipun tidak pernah diundang senyum menggenggam anugerah atas lakonannya, bintang peramah yang bijak berjenaka dalam bicara slanga utaranya ini menangis bangga apabila anak bongsunya mendapat keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Mengikut jejak si abang memiliki keputusan sama dua tahun lalu dan kini menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Rozita menyifatkan saat itu adalah anugerah terindah dalam hidupnya serta cenderahati mengubat beban mengheret status ibu tunggal.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan kejayaan anak. Dulu abang dan kini adiknya pula mendapat keputusan cemerlang. Insya-Allah saya ingin menghantar Aniq Ezzra ke MRSM yang sama dengan abangnya.

“Setidak-tidaknya mudah sedikit untuk saya datang melawat memandangkan kedua-duanya memang suka bersekolah di asrama penuh.

“Soal pelajaran memang saya pentingkan sejak dulu lagi. Bayangkan, sepanjang Ogos lalu saya mengambil cuti sebulan untuk menemani Aniq mengulangkaji pelajaran.

“Malah ketika mengambil keputusan peperiksaan juga saya mencuri masa lari daripada penggambaran semata-mata mahu pergi bersamanya.

“Meskipun saya dan bekas suami sudah berpisah, saya tidak mahu perpisahan kami meninggalkan kesan kepada mereka. Kami sepakat untuk sama-sama menjaga kebajikan mereka, terutama soal pelajaran. Malah sekarang Ammar dan Aniq bercuti di Gold Coast, Australia bersama ayah mereka.

“Rasa kecewa itu datang apabila sepanjang empat tahun menjadi pelakon, yang hanya dipandang adalah aspek populariti, kerjaya dan pelbagai spekulasi membabitkan saya.

“Tidak pernah pula orang pandang sudut keibuan saya yang bangga membesarkan anak dan menangis dengan kejayaan mereka.

“Lihat saja Aniq, sebelum UPSR, dia turut menjadi johan Tilawah Al-Quran. Betapa indahnya perspektif hidup sebagai ibu yang saya miliki,” katanya.
Ingin sekali kita membongkar rahsia ‘janda meletup’ ini dalam membesarkan puteranya.

“Tiada apa rahsia, saya mengutamakan disiplin pada mereka. Saya bukan ibu yang memanjakan mereka, sebaliknya di rumah, saya ibu yang tegas namun dalam masa sama saya jadikan mereka seperti kawan yang sedia mendengar apa saja masalah mereka.

“Percaya atau tidak, seawal usia tujuh tahun lagi mereka berdua ada jadual waktu masing-masing dan hingga kini mereka sentiasa mengikut jadual yang dibuat sendiri itu.

“Mereka tahu waktu untuk belajar, mengaji, bersolat, berehat atau bermain bola. Jadi saya tidak perlu bimbang kerana kedua-duanya memang berdisiplin.

“Saya tidak mahu memaksa mereka melakukan sesuatu. Sebagai ibu, saya hanya menjadi pemerhati yang peka untuk membimbing dan menasihat jika ada kesilapan mereka.

“Walaupun kedua-duanya sudah besar, namun jika ada kelapangan dan waktu cuti, mereka akan tidur bersama saya dan ketika itu kami mencuri masa untuk berborak dan bertukar-tukar cerita,” katanya.

Taburan pelbagai kisah panas dan kontroversi yang menghempap dirinya tidak sesekali memanggil rasa ragu pada anaknya. Sebaliknya, jelas Rozita, mereka memang bijak dan menyedari yang nawaitu ibunya untuk mencari rezeki.

“Tidak pernah mereka bertanya atau mempersoalkan apa saja cerita mengenai saya di akhbar kerana mereka percaya dan yakin dengan ‘mummy’ mereka. Sejak kecil, saya sudah amalkan untuk bercerita apa saja dengan mereka.

“Justeru, hingga kini saya akan bercerita terlebih dulu dengan siapa saya berkawan atau apa saja yang saya lakukan dan rancangkan. Apabila mereka terbaca sesuatu cerita, mereka sudah tahu lebih awal,” katanya.

Sebelum ini, bintang yang mengakui menjalin hubungan cinta dengan jejaka S, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah bank di Singapura ini pernah membuat keputusan mengejut untuk bersara daripada sinar glamor pada tahun depan.

Khabarnya Rozita ingin menumpukan pada perniagaan yang masih dirahsiakan. Malah ada juga yang berbisik bahawa Rozita ingin menumpukan pada rancangan peribadinya untuk melangsungkan perkahwinan.

“Memang saya akan bersara bermula tahun depan. Sekarang pun saya sibuk di lokasi drama bersiri 13 episod, Ummu Hani, drama kedua terakhir sebelum sebuah lagi telefilem arahan Rashid Sibir pada 25 Disember ini sebagai titik akhir kerjaya saya sebagai pelakon.

“Saya mengaku ia keputusan drastik dan merancang untuk menjalankan perniagaan sendiri. Namun bukanlah kerana ingin memberi ruang untuk berkahwin.

“Jujurnya saya bukan minat berlakon, namun selama ini saya memandang kerjaya lakonan lebih mudah bagi saya mendapat pendapatan lumayan berbanding kerja lain. Justeru, saya sasarkan untuk mengumpul seberapa banyak simpanan bagi menjamin masa depan anak dan keluarga.

“Saya terlalu penat dan tidak mampu lagi untuk terus berlakon. Malah saya rasa bersalah kerana sepanjang empat tahun ini, saya tidak punya masa untuk anak dan mungkin tiba masanya buat saya menjadi ibu sepenuh masa dan hanya menjalankan perniagaan sendiri.

“Saya dengan S masih baik dan belum sempat merancang mengenai masa depan dengan muktamad. Insya-Allah jika sudah ketentuan dan jodoh, ia tidak ke mana,” katanya tersenyum.




Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Cari Kepuasan Diri

Oleh ISMA ISMAIL dan FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Tidak sekadar mengadakan pelbagai parti liar di kelab malam mahupun rumah, golongan lesbian kini semakin aktif mencari dan menambah kenalan baru menerusi laman sosial popular, Facebook.

Ini berikutan laman maya itu memudahkan golongan bernafsu songsang berkenaan mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan dalam tempoh singkat.


Hakikat ini diakui oleh Ling, 23, dan Shira, 25, yang turut menyertai pelbagai ‘kelab’ lesbian di alam siber itu.



Menurut Ling, dia menyertai kelab berkenaan atas ajakan rakannya bagi membolehkan mereka menerima layanan mesra dan manja daripada komuniti laman itu.


“Hanya wanita memahami perasaan wanita lain. Sebab itu saya menyertai kelab seperti ini kerana beberapa kali kecewa dipermainkan lelaki. Kebanyakan lelaki hanya mahu mengambil kesempatan.



“Bila bercinta dan menjalin hubungan dengan golongan sejenis, saya rasa dihargai. Malah, golongan lesbian lebih baik daripada lelaki dan lebih memahami jiwa dan kemahuan sesama sendiri.



“Ada juga beberapa rakan saya sering bertukar-tukar pasangan selepas mengenali wanita lain di Facebook. Namun, ia tidak seperti bertukar-tukar pasangan dengan lelaki. Mereka tidak dipermainkan dengan sesuka hati seperti berkawan dengan lelaki yang hanya mahukan seks semata-mata.


“Paling tidak, golongan lesbian hanya melakukan seks ‘ringan’ sesama sendiri. Malah, masing-masing tahu cara untuk kepuasan sendiri dan bagaimana mahu memenuhinya,” katanya yang ditemui Metro Ahad.

Ling berkata, dia kini memiliki ratusan kenalan lesbian yang diperoleh daripada Facebook dan berasakan tidak rugi berkenalan dengan mereka, malah ramai sudi menghulurkan tangan untuk membantu jika dia dalam kesusahan.



“Bagi saya, tidak perlu menjalin hubungan hingga ke bilik tidur. Cukup sekadar berkawan dan berkongsi perasaan kasih. Lagipun, golongan ini bersifat terbuka dan lebih baik daripada lelaki. Mereka tidak berkira jika saya memerlukan pertolongan.



“Ia juga sama seperti kelab lain yang ditubuhkan pelbagai individu. Selain menambah kenalan, Ia bertujuan mengeratkan hubungan sesama kami menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan. Bezanya, ia hanya dihadiri golongan wanita,” katanya.



Bagi Shira pula, kelab lesbian seperti yang diwujudk di Facebook bukan bertujuan mengadakan aktiviti negatif saja.



Sebagai contoh, kebanyakan wanita lesbian tidak bercampur dengan golongan lain, justeru kelab itu memastikan mereka tidak tersisih.



“Kadangkala, orang ramai yang tahu kami lesbian akan memandang dengan pelbagai tanggapan negatif. Sedikit sebanyak, ia membuatkan kami tersisih.



“Jadi, kewujudan kelab seperti ini mampu membuatkan kami berasa dihargai dan mendapat perhatian individu lain. Walaupun kami tidak ambil pusing pandangan orang, dalam diam ia masih memberi impak terhadap diri sendiri,” katanya.



Menurutnya, saluran Facebook banyak membantunya mencari kenalan yang ‘sealiran’ dan membuatkannya lebih mudah menambah rakan yang sama minat sepertinya.



Katanya, meskipun ada cara mudah untuk menambah kenalan yang mempunyai minat kepada golongan sejenis seperti itu, terserah kepada seseorang individu itu untuk menentukan sejauh mana hubungan mereka iaitu hingga melakukan hubungan seks atau sekadar berkongsi minat.



“Saya akui ada yang terlanjur selepas terpengaruh mengenai ‘kelab’ yang ada, malah saya juga hampir terjebak untuk menjalin hubungan istimewa dengan rakan lesbian. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat menyedari kesan negatifnya.



“Namun, hingga kini minat dan keghairahan saya kepada golongan sejenis tidak pernah padam walaupun ada lelaki cuba mendekati saya.



“Akhirnya, saya terpaksa menolak kerana kini saya tidak mempunyai sebarang perasaan kepada golongan itu,” katanya.



Laporan Penuh Di Sini:



Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Halang Dedah Maklumat Sulit


SYED ABDULLAH HUSSEIN...defendan pertama
KUALA LUMPUR: Bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman kelmarin memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang, terhadap Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers selepas mendakwa lelaki itu mendedahkan maklumat sulit beliau.

Dalam saman itu, Siti Aishah menamakan Syed Abdullah Hussein sebagai defendan pertama dan bapa pengamal perubatan tradisional berkenaan, iaitu Syed Hussein Al-Attas sebagai defendan kedua. 

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Gunaselan & Associates di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Akhtar Tahir.

Kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 22 Disember ini.

Siti Aishah memohon perintah injunksi bagi melarang Syed Abdullah dan bapanya tidak mendedahkan sama ada secara lisan, blog, akhbar atau wakil berhubung sebarang maklumatnya.

Siti Aishah juga memohon perintah untuk melarang kedua-dua defendan menerbitkan buku, majalah, risalah atau terbitan melalui blog atau laman web mengenai plaintif. 

Berdasarkan penyata tuntutan, Siti Aishah mendakwa pada Jun lalu, beliau ada meminta bantuan Syed Abdullah untuk membantunya menangani masalah emosi yang dihadapi selepas lelaki itu memberitahu boleh mengubati dan menjalankan kaunseling. 

Selepas membuat persetujuan, plaintif bersetuju menjalani rawatan itu dengan bayaran RM15,000. Bagaimanapun, Siti Aishah menamatkan rawatannya selepas berlaku perselisihan faham dengan defendan pertama.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Suami Terpana Belaian Mak Nyah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: “Saya tak kisah dan sanggup bermadu jika dia (suami) ada hubungan gelap dengan wanita lain, tapi bukan dengan manusia dua alam atau mak nyah. Sebagai wanita tulen, saya rasa terhina seolah-olah tidak berupaya melayan suami,” kata seorang wanita.

Ibu tiga cahaya mata berusia lima hingga 12 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Lin berkata, hatinya kini luluh lebih-lebih lagi mengetahui suami dikahwini sejak hampir 15 tahun lalu bersikap dingin terhadapnya kerana mempunyai hubungan sulit dengan mak nyah popular berasal dari Indonesia yang terkenal dengan jolokan ‘bencong’. 

Hubungan terlarang itu terbongkar selepas dia menemui ratusan SMS mengandungi madah cinta dihantar bencong terbabit kepada suaminya sejak lebih tiga bulan lalu. 

Menurutnya, pendedahan ini bukan bertujuan memalukan suaminya, sebalik mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mak nyah warga asing yang mengambil kesempatan menggoda lelaki warga tempatan.

Lin berkata, suaminya yang bekerja sendiri mula berkelakuan pelik sejak tiga bulan lalu apabila kerap keluar malam dengan alasan mahu berjumpa rakan atau menguruskan perniagaan.

“Mulanya saya tidak curiga kerana kami sudah lama berkahwin, namun perangainya mula berubah apabila dia semakin jarang untuk ‘bersama’ saya. 

“Malah, ada kalanya dia lebih selesa tidur di ruang tamu dan jarang berbual dengan saya dan anak-anak. Bila ditanya dia memberi alasan kepenatan, sakit badan dan macam-macam lagi. 

“Sejak itu saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena dengannya, apatah lagi dia kerap kali menyembunyikan dua telefon bimbitnya daripada saya setiap kali ia berbunyi,” katanya. 

Lin berkata, segala-galanya terbongkar apabila dia mendapatkan nombor telefon bimbit yang sering menghubungi suaminya dengan melakukan semakan pada bil diterima. 

“Saya menghubungi satu nombor yang kerap tertera dalam bil berkenaan sebelum ia dijawab suara seakan-akan wanita. Apabila diajukan soalan, ‘wanita’ bersuara sedikit garau itu memperkenalkan diri sebagai Yuni. Namun, apabila ditanya lebih lanjut, dia yang bercakap dengan loghat Indonesia mematikan telefon. 

“Saya yang masih tak berpuas hati menghantar SMS bertanyakan identiti dan hubungannya dengan suami saya, namun tidak dijawab. Berikutan itu, saya minta bantuan adik menyiasat dan mengekori suami setiap kali dia keluar rumah,” katanya. 

Menurutnya, persoalan itu terjawab apabila adiknya mengintip pertemuan sulit suaminya dengan seorang pondan jelita yang berpeleseran di Lorong Haji Taib 2, di sini. 

“Hasil maklumat mendapati lelaki lembut berusia 20-an itu warga Indonesia yang menjaja tubuh di kawasan berkenaan hampir setiap malam. 

“Saya diberitahu, suami menghabiskan masa dengan minum dan berhibur dengan pondan terbabit di pusat dangdut berhampiran sebelum berasmara di bilik sewa pondan itu,” katanya. 

Menurutnya, dia yang menjejaki pondan terbabit akhirnya mendapat maklumat lelaki lembut itu menjaja tubuh di kaki lima kawasan terbabit dengan bayaran RM50 sekali perkhidmatan. 

“Saya tak dapat bayangkan apa yang ditawarkan pondan itu kepada suami saya, namun yakin ia menyebabkan suami saya ketagih. Saya dilayan seolah-olah tidak wujud padahal saya juga inginkan perhatiannya. 

“Jika ikutkan hati mahu saja saya mengupah orang memukul pondan terbabit, namun bimbang ia akan lebih mengeruhkan rumah tangga kami. Apa yang saya tahu pondan warga asing hanya berminat pada wang dan bukan cinta,” katanya.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Ketahui Cara Pembelajaran Betul


CUTI persekolahan bukan waktu untuk berehat sahaja sebaliknya perlu diisi dengan aktiviti berfaedah bagi menimba ilmu dan kemahiran.

Tiada salah sesekali memerdekakan anak-anak daripada buku, cuma jika gagal mengurus masa mereka, cuti sekolah akan berlalu begitu sahaja.

Justeru, ibu bapa perlu merancang cuti sekolah anak-anak dengan baik sama ada makan angin bersama keluarga, balik kampung, mengunjungi tempat-tempat berfaedah atau menghadiri kursus motivasi MAP Training & Consultancy Sdn Bhd menganjurkan beberapa siri program motivasi bagi membantu ibu bapa mengisi waktu sekolah anak-anak mereka.

Perunding Motivasi MAP Training, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata program Motivasi Alihan Pelajar mendedahkan anak-anak mengenai pembelajaran berkesan, pembentukan sahsiah, kemahiran komunikasi, membina keyakinan diri dan meningkatkan penghayatan hidup beragama.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia, berkata program dua hari itu diadakan di Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Kelantan.

"Dalam memberi peluang anak-anak ke program ilmu ini, ibu bapa perlu berani melabur kerana ia adalah untuk kebaikan mereka di masa depan.

"Ibu bapa yang prihatin akan menangguhkan perbelanjaan lain yang tidak penting dan menyalurkan wang bagi pembangunan diri, minda dan sahsiah anak-anak," katanya.

Melalui program Motivasi Alihan Pelajar, anak-anak akan didedahkan keseimbangan akal, emosi dan rohani.

"Dalam program motivasi dua hari yang kami jalankan, anak-anak mendapati belajar itu mudah kerana mereka didedahkan teknik dan strategi belajar berkesan," katanya.

Beliau berkata, agak kasihan apabila menasihati anak-anak rajin belajar, tetapi ibu bapa enggan membantu mereka cemerlang.

"Justeru, serahlah tugas ini kepada yang pakar yang tahu bagaimana untuk membimbing mereka menjadi pelajar cemerlang," katanya.

Katanya, setiap anak itu unik dan mereka dianugerahkan bakat, kebolehan dan kehebatan yang berbeza.

Peluang memasuki kursus Motivasi Alihan Pelajar membolehkan kehebatan diri mereka terbongkar dan potensi mula digilap.

"Mungkin bukan semua pelajar dapat semua A dalam peperiksaan dan masuk universiti, tetapi mereka berhak diberi peluang berusaha bersungguh-sungguh.

"Soal berjaya dalam pelajaran atau tidak itu bukanlah persoalan utama yang penting usaha.

"Malah, jika cara berfikir dan sikap anak-anak kita betul, mereka tetap berjaya meskipun mungkin terpaksa melalui jalan lebih jauh dan berliku," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kursus Motivasi Alihan Pelajar, hubungi MAP Training di talian 03-22734622 atau 05-3134622 atau layari laman web, http://www.laman-map.com.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Zizan, Juliana mula serasi

Oleh Rozdan Mazalan 
rozdan@bharian.com.my
2010/12/02

Pasangan muda ini saling menghormati kerjaya seni masing-masing

HAMPIR tiga minggu perancangan diatur untuk menemukan dua Zizan dan Juliana Evans, dua bakat muda yang namanya semakin melonjak dalam dunia seni.

Jadual seni mereka sentiasa diisi dengan pelbagai aktiviti. Tiada sedikitpun ruang diberikan kepada penulis untuk mencuri masa mereka walaupun hanya sejam. Namun penulis terpaksa akur dan menghormati jadual kerja mereka yang terpaksa menghabiskan kerja mengikut masa yang sudah ditetapkan.


Itulah sebenarnya kerja seni yang harus dibayar mereka selepas mengambil keputusan berada di dalam dunia yang serba pancaroba termasuk membawa diri berhadapan dengan masyarakat.

Pengorbanan masa, tenaga, keluarga, kawan-kawan dan sebagainya adalah lumrah yang harus dilalui mereka.

Mereka bersetuju untuk ditemubual dan digandingkan dalam satu sesi fotografi yang terpaksa diadakan pada jam 10 malam. Ini kerana itulah saja masa yang mereka ada. Dan, sesi ini berakhir dua jam selepas itu. 

Kebetulan, keduanya baru saja habis menjalani penggambaran filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham yang menemukan mereka buat pertama kali selepas lebih setahun perkenalan.

Penerima anugerah pengacara kegemaran dalam kategori Favourite TV Personality Award di Shout! Awards 2010 yang berlangsung baru-baru ini, Zizan tidak pernah menyangka karier seninya semakin jelas.

“Syukur alhamdulillah, sejak dua tahun lalu rezeki saya tidak putus-putus, banyak tawaran saya terima baik berlakon, mengacara mahupun persembahan pentas. 

“Maknanya jalan yang saya lalui kini semakin jelas hala tujunya. Tapi saya kena mengatur setiap kerjaya seni saya agar ia lebih tersusun dan profesional,” katanya akur terpaksa berkorban banyak perkara demi memastikan hidupnya dan industri seni menerima dirinya.

Jejaka yang lahir menerusi program realiti Raja Lawak musim kedua empat tahun yang lalu juga merasai perubahan kehidupannya selepas kemunculannya mula diterima banyak pihak.

“Sejak akhir-akhir ini masa saya dengan keluarga semakin berkurangan, Kalau nak jumpa, merekalah yang terpaksa datang ke Kuala Lumpur. “Bila difikirkan semula, inilah yang harus saya bayar apabila berada di dalam dunia seni ini, saya tidak menyesal dan bersyukur kerana kerja ini akan berhasil apabila dalam diri kita ada tersemat minat yang mendalam apa saja kerja yang kita lakukan itu.

“Ini adalah kerjaya yang memang saya pilih, jika dulu saya tidak menjangka hidup saya akan jadi macam ini tetapi apabila merasainya sendiri barulah saya tahu ia bukan seperti yang kita jangka. 

“Penat memang penat tetapi ini adalah kerjaya yang saya pilih. Mungkin saya lalui sampai akhir hayat,” katanya.

Senang berkawan dengan Zizan

Tidak pernah terlintas untuk dipertemukan bergandingan dalam satu filem bersama gadis berdarah campur Melayu-Inggeris, Juliana Evans walaupun titik perkenalan sudah berlangsung setahun yang lalu.

“Sebenarnya kami sudah berkenalan sejak setahun yang lalu dan menerusi filem Hantu Bonceng ini kami dipertemukan. Tidak pernah kami menjangka langsung lebih lagi di dalam cerita hantu.

“Pada mulanya saya agak segan maklumlah sebelum ini sekadar kenal dan jarang bersembang, lebih-lebih lagi saya dan dia masing-masing tidak tahu bagaimana cara kami bekerja. 

“Akhirnya keserasian itu datang sendiri, apabila saya dapat rasakan bahawa pemikiran kami sama, dia boleh menerima lawak saya dan saya boleh menerima kenakalannya mengusik saya,” katanya.

Juliana pula menganggap keserasian bersama Zizan begitu cepat dirasai atas sebab kelucuan jejaka itu. 

“Sebenarnya saya dan Zizan sudah lama kenal cuma tak berpeluang kerja bersama. Apabila dapat bekerjasama dengan Zizan membuatkan hubungan kami lebih rapat. 

“Saya senang berkawan dengannya sebab utamanya dia kelakar dan suka buat saya ketawa. Adakalanya ketika dalam lakonan yang serius pun boleh membuatkan saya ketawa bila dengar lawaknya,” katanya yang melakar banyak kenangan bergandingan bersama Zizan.

Menurut Juliana lagi, menerusi Hantu Bonceng, dia buat pertama kali mendapat watak yang pernah diimpikan selama ini.

“Inilah kali pertama saya membawa watak hantu walaupun selama ini pernah mengimpikan. Namun selepas membawanya barulah saya tahu bahawa bukan senang untuk membawa watak hantu ini, saya harus memakai pelengkap mata, kena solek dengan kesan khas yang berlumuran darah dan tiap kali pakai itu, saya mesti rasa sakit. 

“Bagaimanapun ini adalah pengalaman baru bagi saya yang harus membawa beberapa karektor seperti watak hantu, budak kampung dan bohsia,” katanya yang pertama kali bekerja dengan Ahmad Idham selaku pengarah yang komited.

Bangga tersenarai dalam ABPBH2010

KEDUA-duanya bukanlah kali pertama disenaraikan dalam dalam percalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Biarpun belum merasai kemenangan pada anugerah ini, namun tersenarai sebagai lima pilihan awal dalam senarai akhir ABPBH atau Top 5 adalah pengiktirafan yang tidak ternilai.

“Saya tidak mahu mengharap terlalu tinggi untuk memenangi apa-apa anugerah. Dicalon pun sudah cukup baik ini kerana saya tidak pernah rasa yang saya ini layak untuk dicalonkan tetapi itu semua adalah ketentuan. Hanya berserah kepada masyarakat untuk menilai saya dan kalau dapat ia bonus.

“Apa yang penting bagi saya adalah mutu kerja saya harus meningkat dari masa ke semasa sebelum saya diiktiraf. “Selain itu juga, ABPBH inilah satu-satunya majlis penganugerahan yang memberi lalui kepada selebriti mendekati peminat dengan lebih dekat menerusi siri jelajah (roud tour ABPBH).

“Saya pernah mengikutinya dan terus terang ia adalah pengalaman yang paling best apabila kita bersama-sama artis lain diserbu oleh peminat. Ia juga menguji kebolehan saya berhadapan dengan peminat secara spontan.

“Nasihat saya kalau mana-mana artis yang dicalon dalam top 5 supaya ikutlah roud tour ini kerana inilah platform kita untuk bersama peminat yang tidak ada di mana-mana acara seni lain dalam negara kita ini,” kata Zizan yang namanya dicalonkan dalam kategori Penyampai TV Lelaki Popular, Pelakon Komedi Lelaki, Pelakon TV Lelaki dan Pelakon Filem Lelaki.

Bagi Juliana, perasaan berbangga pasti lahir apabila namanya turut tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH2010.

“Inilah membuktikan titik peluh kita selama itu dihargai. Semasa saya berusia 19 tahun, saya antara calon top 5 yang paling muda dalam senarai ABPBH dalam kategori pengacara TV Wanita Popular. Begitu juga dengan siri jelajah ABPBH yang menjadi salah satu pengisian majlis berprestij ini adalah wajib diikuti oleh setiap artis.

“Saya suka sangat roud tour ABPBH sebab saya pernah mengikutinya dua tahun lepas. Sekiranya saya masih tercalon dalam top 5 ABPBH kali ini, pasti saya akan meluangkan masa untuk turut sama bersama calon yang lain,” katanya.

Info

Zizan akan menjadi pengacara pada Mini Karnival Sukan di Mizi Sport Centre, No 8, Jalan Prima Sri Gombak 1, Taman Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, pada 4 Disember ini. Acara yang bermula pada jam 4 petang turut dihadiri Juliana Evans, Fizo Omar, Farahdhiya, Putri Mardiyana, Yana Shamsudin serta Aidil Zafuan dan Aidil Zaquan.

Laporan Penuh Di Sini:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...