Unknown
Eruwan Gerry Affiliates
 
'Alyah sumber inspirasi saya'
Oleh Norhayati Nordin


LIMA tahun menceburi bidang seni, Zehra Zambri nyata masih terkial-kial membina nama. Ini kerana, genre muzik pilihannya iaitu irama Malaysia kurang mendapat tempat dan semestinya ia memberi cabaran besar kepada Zehra untuk bergerak maju.

Apapun, sedar bukan mudah untuk berjaya membuatkan Zehra terus tabah. Lebih-lebih lagi, melihatkan ramai juga rakan artis yang popular sekarang mengambil masa lama untuk dikenali. Contoh paling ketara, tentunya penyanyi lagu Realiti Dewi, Alyah.

Zehra berkata dia begitu kagum dengan semangat Alyah yang tak kenal erti jemu, putus asa atau patah semangat untuk mencipta nama sebagai penyanyi. Hasilnya, kesabaran Alyah selama 10 tahun berusaha kini berbaloi dengan apa diperolehnya.

"Sekarang, siapa yang tidak kenal Alyah. Namanya menjadi sebutan peminat dan lagu nyanyian Alyah juga mendapat tempat di corong-corong radio tempatan. Bahkan, gaya Alyah turut menarik perhatian ramai dan ia bagi saya satu kejayaan besar.

"Bukan itu saja, Alyah sudah memenangi banyak anugerah. Jadi, pengiktirafan diterimanya itu juga jelas membuktikan Alyah memang berbakat dan saya menyimpan impian untuk berjaya sepertinya. Mana tahu, suatu hari nanti tuah ada buat saya pula.

"Saya tahu, soal nasib dan rezeki adalah ketentuan Tuhan. Namun, sebagai manusia biasa, penting bagi saya supaya tidak cepat mengalah. Rezeki itu memang sudah dijanjikan, cuma ada yang dapat cepat dan lambat. Oleh itu, saya harus bersabar.

"Bagaimanapun, jujur saya akui selagi ada peluang tentu akan mencuba. Ditambah lagi, kejayaan Alyah menjadi sumber inspirasi kepada saya yang mana gagal pasti tidak selamanya. Saya yakin, ruang dan peluang untuk saya tetap wujud," katanya.

Pada usia 23 tahun kini, Zehra berkata dia masih beruntung kerana bergelar penyanyi pada usia muda iaitu selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Justeru, ujarnya pada usia awal 20-an ini, semestinya peluang yang besar masih ada untuk diraih di hadapan.

Tegas Zehra, dia sentiasa terbuka melihat kejayaan individu lain sebagai pengukur diri. Ini kerana, pemangkin semangat untuknya memastikan kehendak dan cita rasa pendengar dapat ditawan. Katanya mungkin sekarang dia perlu berubah arah.

"Melihatkan lagu-lagu irama Malaysia dan etnik kontemporari kini kurang diterima pendengar, lebih baik saya cuba genre muzik baru. Lagipun, saya mempunyai rakan baik yang juga komposer berbakat, Arizal Thani yang sudi membantu.

"Mana tahu, keberanian saya menjalin kerjasama dengan Arizal akan membuahkan hasil seperti diharapkan. Oleh itu, saya baru selesai merakamkan lagu bergenre pop balada, Milikku Jua ciptaan sepenuhnya Arizal, kelmarin. Saya amat yakin dengan lagu ini.

"Apapun, saya puas dapat menonjolkan vokal dan perasaan dalam lagu ini. Maklum saja, lagu bertemakan cinta dan ia harus kena dengan caranya. Harapan saya besar terhadap lagu ini untuk peminat dan jalinan kerjasama daripada stesen radio," katanya.

Kata gadis dari Klang, Selangor itu, kalau sebelum ini, mungkin genre irama Malaysia diketengahkan tidak sesuai lagi. Namun, baginya tidaklah lagu baru Milikku Jua itu turut dipersoalkan. Menurut Zehra, ia pertama kali dicubanya dan satu idea yang segar.

"Saya sudah mengenali Arizal, tiga tahun lalu. Justeru, sebelum bekerjasama dengannya saya juga tahu dia banyak mencipta lagu untuk artis baru tanah air. Jadi, haruskah saya menolak peluang yang ada depan mata untuk karier nyanyian sendiri? "Asalkan sudah mencuba, mungkin ada sinar cerah menanti buat saya. Jadi, kenapa harus membiarkan peluang begitu saja memandangkan sebelum ini pun saya gigih berusaha. Buktinya, saya turut menyertai pertandingan Gadis Melayu di TV9," katanya.

Zehra berkata sekalipun terkandas di tengah jalan, dia tidak berasa malu. Ujarnya, sedih memanglah ada kerana siapa yang tak mengharapkan menang. Cuma, kena akur pada ketentuan Tuhan kerana mungkin masih belum ada rezeki diimpikan.

"Sudah puas saya mencuba selama ini, takkan mahu menarik diri begitu saja. Selagi ada kemahuan, pasti ada jalan untuk saya. Namun, andai kata sudah nasib mengundur diri, saya akur," katanya yang kini melanjutkan pengajian luar kampus di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengenai cerita peribadinya pula, Zehra berkata, dia ingin menumpukan perhatian pada pengajiannya terlebih dulu.

"Memang saya ada berkawan dengan seseorang tapi masih dalam proses mengenali hati budi lagi. Pada masa sama, karier nyanyian saya pun belum berjaya lagi seperti diharapkan," katanya.

>PROFIL
NAMA: Zehra Zambri
PANGGILAN KOMERSIAL: Zehra
USIA: 23 tahun
ASAL: Klang, Selangor
KARIER: Penyanyi & pelajar
STATUS: Bujang
PENDIDIKAN: Sarjana Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM)
ALBUM: Zehra Zambri, Mari Bersama
LAGU DALAM ALBUM: Antaranya Semaalakama, Mari Bersama, Puitis Sekeping Hati, Aku Cinta Mu, Cinta Seluruh Dunia dan Gelisah Berbisik
TEATER: Siti Di Alam Fantasi sebanyak dua kali iaitu pada 1998 dan 2000.
PERTANDINGAN: Antaranya Teen Star 2000, Are You Ready (ntv7), Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-20 (Lagu Semalakama) Gadis Melayu (TV9 (musim pertama)

Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | 'Alyah sumber inspirasi saya'

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...