Unknown

MGM Diisytihar Muflis

Bangunan menara MGM di Hollywood, Los Angeles. – AFP

LOS ANGELES 4 Nov. – Studio Hollywood, Metro-Goldwyn-Mayer Inc. (MGM) yang juga penerbit filem James Bond mengemukakan permohonan untuk diisytiharkan muflis, semalam dalam pelan yang disokong oleh pemberi pinjamannya dan membolehkan studio itu membiayai pelaburannya dalam filem The Hobbit.

Pelan kebangkrapan ‘prapakej’ yang dirangka selama lebih setahun itu dijangka dilaksanakan dengan segera.

Di bawah pelan itu, MGM akan disusun semula dan diurus oleh kedua-dua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Spyglass Entertainment.

Pemberi pinjaman MGM akan menukar hutang berjumlah kira-kira AS$4 bilion (RM12.8 bilion) dengan saham dalam syarikat baru hasil penyusunan semula itu, pada nilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.4 bilion).

Pelabur bilionair, Carl Icahn terlibat dalam urus niaga itu sebelum permohonan tersebut difailkan, mula-mula menyokong percubaan Lions Gate Entertainment Corp. untuk mengambil alih MGM tetapi kemudian memberi sokongan beliau kepada Spyglass pada minggu lepas.
MGM dalam kenyataannya berkata, ‘beberapa pindaan tidak penting’ meyakinkan Icahn yang memberi hutang agak banyak kepada MGM, supaya menyokong pelan tersebut.

Pemberi hutang seperti Icahn, Anchorage Advisors dan Highland Capital Management kini bersiap sedia untuk mengambil alih studio tersebut, manakala pemilik ekuiti seperti Sony Corp. dan Comcast Corp. akan menyaksikan pegangan saham mereka dilupuskan.

Perubahan itu termasuk membenarkan Icahn melantik seorang daripada sembilan anggota lembaga pengarah yang turut termasuk kedua-dua CEO Spyglass, Gary Barber dan Roger Birnbaum.

MGM merancang mengekalkan pelaburannya sebanyak AS$40 juta (RM128 juta) dalam filem The Hobbit yang merupakan sebahagian daripada trilogi The Lord of the Rings.

Studio yang ditubuhkan pada 1924 itu terkenal kerana filem klasik seperti The Wizard of Oz dan Gone With the Wind. Ia telah banyak kali dibeli dan dijual semula. – AP

Laporan Penuh Di Sini:


1 Response
  1. Unknown Says:

    Sapa nak beli bangunan James Bond boleh tengok ni


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...