Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


500 wanita usahawan Internet

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

LEBIH CEKAP...(dari kiri) Samsiah, Florence dan dua usahawan wanita yang memajukan perniagaan mereka menggunakan perniagaan dalam talian.
CEKAP dan lebih menjimatkan masa, dua kriteria utama perniagaan dalam talian kini semakin berkembang pesat di negara ini.

Tambahan pula, faktor pertambahan jumlah pelayar Internet yang semakin meningkat setiap hari turut membuktikan penggunaan medium baru itu mampu menjana pendapatan lebih kepada mereka yang menggunakannya.

Apa jua perniagaan yang dijalankan tidak kira kecil atau besar, semuanya boleh dimajukan dengan penggunaan kedai dalam talian.

Justeru, kewujudan laman web www.1nita.my daripada usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) antara perantara yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin bagi semua peniaga wanita di negara ini untuk memajukan lagi perniagaan masing-masing.

Dikendalikan .my Domain Registry, laman web berkenaan memberi peluang kepada usahawan wanita yang berdaftar ruang untuk memajukan lagi perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas.

Projek berkenaan membuka ruang kepada apa jenis perniagaan termasuk pakaian, makanan, aksesori dan kraf tangan.

Usahawan manik dari Sarawak, Florence Anak Sujang berkata, dia mengetahui mengenai projek berkenaan daripada pejabat Ketua Menteri Sarawak yang kemudian memilih beberapa syarikat untuk diketengahkan.

Pada awal diperkenalkan dengan projek berkenaan, Florence mengakui terpaksa mempelajari banyak benda baru termasuk menyiapkan laman web sendiri untuk perniagaan manik dan seramik Borneo yang diusahakannya.

Katanya, perniagaan dalam talian sememangnya sangat cekap kerana boleh menguruskan perniagaannya walau di mana saja dia berada.

“Sebelum ini skop pasaran saya hanyalah sekitar Sarawak, tetapi menerusi projek ini, saya berpeluang mendapatkan pelanggan dari seluruh dunia.

“Sejak produk manik seramik yang diusahakan dipaparkan di dalam talian, saya mendapat banyak pertanyaan daripada penggemar aksesori berkenaan termasuk dari Australia.

“Lebih menggembirakan, pendapatan juga semakin meningkat dan saya berpeluang mendapat ramai jaringan pelanggan baru,” katanya.

Bagi pereka grafik, Samsiah Jendol, 38, dia menyertai projek berkenaan selepas berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Selaku pereka grafik bebas, dia perlu rajin mencari pelanggan dan platform yang disediakan .my Domain Registry amat sesuai untuk wanita yang bekerja dari rumah seperti dirinya.

“Bukan mudah untuk bertapak dalam bidang yang kebanyakannya dimonopoli lelaki.
“Tetapi saya percaya, ruang yang diberikan untuk memperkenalkan perniagaan di dalam talian sedikit sebanyak dapat membantu untuk mendapatkan pelanggan yang mahu menggunakan khidmat yang diberikan.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang memperkenalkan projek 1nita kerana tanpa bantuan mereka, kami mungkin tidak dapat bertapak di alam maya ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek 1Nita, Mohammad Amri Ramli berkata, projek .my Domain Registry yang pada asalnya dikenali sebagai projek W-X adalah organisasi pendaftar dan pentadbir tunggal yang memperkenalkan usaha itu dengan menggabungkan konsep 1Malaysia bagi wanita.

Sehingga kini, terdapat lebih 500 usahawan wanita yang dilatih di bawah projek 1Nita yang dimulakan di kawasan Lembah Klang.

Untuk menjadi ahli, wanita disaran supaya mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan penganjur akan menyediakan khidmat bimbingan pendaftaran secara dalam talian.

“Had umur yang ditetapkan adalah 18 tahun ke atas dan bakal ahli perlu menjalani kursus penuh serta seminar daripada projek 1Nita sebelum menerima pentauliahan sebagai peniaga projek dalam talian 1Nita.

“1Nita ini menggunakan Internet sebagai medium perantara untuk berurusan dengan pelanggan manakala laman web berfungsi sebagai kedai.

“Pengguna boleh memilih barangan yang dipaparkan dalam laman web dan membayarnya menerusi e-bayaran menggunakan akaun bank,” katanya pada satu majlis yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi .my Domain Registry, Datuk Noraini Ahmad; Pengarah .my Domain Registry, Shariya Haniz Zulkifli serta usahawan wanita berdaftar yang menggunakan laman web berkenaan.

Projek 1Nita itu mendapat sokongan daripada Multimedia Development Corporation (MDec), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita, Pusat Kajian E-Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Radical Box Sdn Bhd.

Badan sokongan lain projek terbabit adalah Jabatan Pembangunan Wanita, SMECorp dan Sirim Berhad.

Laporan Penuh Di Sini:


Unknown
Eruwan Gerry Affiliates
Ibu rentung
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
KUANTAN: Kegembiraan seorang ibu untuk menyambut menantu berakhir tragedi menyayat hati apabila dia rentung selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengedar kad kahwin anak perempuannya yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember ini.
Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Kemaman, di sini, semalam, mangsa, Senik Osman, 69, rentung selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama suaminya, Abdul Ghani Ahmad, 72, dirempuh sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki, Patrick Chai Yew Fai, 22.

Mangsa yang berasal dari Bukit Kuin, di sini, tidak sempat diselamatkan apabila kenderaan mereka terbakar selepas dirempuh kereta dipandu Patrick yang berasal dari Kubang Buaya, di sini.

Suami mangsa yang juga seorang mekanik dan Patrick dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, pasangan warga emas berkenaan dalam perjalanan pulang dari Kemaman selepas mengedarkan kad undangan perkahwinan anak keempat mereka, Fauziah Abd Ghani, 30, yang dijadualkan berlangsung bulan depan di rumah mereka kepada saudara-mara di Kemaman.

Adik mangsa, Mohamad Abdul Rahman, berkata kakaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi semalam dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik.

Katanya, kakaknya gembira kerana Fauziah akan melangsungkan perkahwinan dan segala persiapan untuk menyambut ‘orang baru’ dalam keluarga berjalan lancar.

“Saya sedih apabila mengenangkan peristiwa ini. Kali terakhir saya berbual dengannya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) dan dimaklumkan mereka berdua dalam perjalanan balik ke rumah.

“Dia hanya memaklumkan sudah mengedarkan kad undangan itu di sana (Kemaman),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati kereta Vios dipandu Patrick dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman cuba memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dipandu Abdul Ghani.

Katanya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta Proton Iswara yang parah sempat keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang di tempat duduk depan dipercayai tersepit gagal keluar sebelum kenderaan itu terbakar.

“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng, dekat sini, tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebelum mayat Senik dikeluarkan dan dihantar ke bilik mayat HTAA.

Zulkifli berkata, kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke HTAA untuk rawatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Ditinju Sebelum Bersalin

Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali
am@hmetro.com.my

MUAR: Penderitaan seorang wanita yang hampir melahirkan anak bertambah parah apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, awal pagi kelmarin.


Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun dihantar suaminya ke hospital itu selepas mengadu sakit perut mahu melahirkan anak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dipercayai ditumbuk suspek di dalam lif pusat perubatan berkenaan.

“Ketika kejadian, suami mangsa meletakkan kenderaan di petak parkir, manakala suspek membantu menolak mangsa menggunakan kerusi roda ke wad bersalin.

“Ketika berada di dalam lif, mangsa ditumbuk di perut beberapa kali, sebelum dia dihantar ke wad bersalin,” katanya.

Mangsa yang terkejut dan berada dalam kesakitan akibat tindakan tidak berperikemanusiaan pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang berumur 33 tahun, sebelum suami mangsa membuat laporan polis berkaitan insiden terbabit.

Menurut beliau, polis kemudiannya menahan pengawal keselamatan terbabit untuk membantu siasatan.

“Kami merujuk suspek ke Wad Psikiatri HPSF dan dia dipercayai mempunyai masalah mental.

“Siasatan awal mendapati suspek baru dua bulan bekerja di syarikat kawalan keselamatan di HPSF,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Jurucakap HPSF pula memaklumkan bahawa mangsa selamat melahirkan bayinya tidak lama selepas kejadian dan kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

Sujud Dakap Jenazah Suami
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my

PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.
KUALA LUMPUR: Hanya deraian air mata pilu dapat menggambarkan kesedihan seorang isteri ketika mencium mayat suaminya yang berlumuran darah akibat dihempap tunggul pokok tumbang secara tiba-tiba berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hayati Husin, 30-an hanya mampu bersujud sambil mendakap kepala suaminya yang ditimpa batang pokok sebesar dua pemeluk.

Sumber polis trafik berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila Mohd Helmi Hussin, 37, sedang menunggang motosikal bersendirian arah Jalan Raja Chulan, di sini.

Menurutnya, sebatang tunggul pokok setinggi kira-kira 10 meter tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa yang dipercayai tidak sempat mengelak.

“Difahamkan, mangsa baru saja menghantar isterinya Hayati yang bekerja di sebuah bank tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di sebuah bank berhampiran Jalan Raja Chulan, di sini.“Namun, selepas beberapa minit menghantar isterinya, mangsa dihempap tunggul pokok yang rebah menyilang di jalan berkenaan. Kejadian itu menyebabkan kepala dan tubuh mangsa cedera parah dan dia mati di lokasi kejadian,” katanya.Isteri mangsa yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh rakan sekerja bergegas ke lokasi kejadian.

Suasana di tempat kejadian menjadi pilu apabila Hayati dipapah rakan tidak dapat menahan sebak dan kemudian bersujud sambil mencium kepala suaminya sebagai tanda kasih.

Episod sedih itu turut meruntun hati beberapa anggota polis trafik dan orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian.

Anggota polis trafik bersama anggota bomba dan penyelamat serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memindahkan mayat mangsa selain mengalihkan batang pokok terbabit yang menghalang laluan.

Hayati kemudian turut menaiki kenderaan polis menghantar jenazah suaminya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Bapa saudara Hayati yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak buahnya memberitahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9 pagi.

Dia yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, bergegas pulang ke ibu kota dan terus ke HKL.

Menurutnya, melalui gambar dirakam kawan arwah di tempat kejadian, dia mendapati pokok itu sudah reput. Katanya, kejadian malang itu mungkin dapat dielak jika pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan dan menebang pokok yang boleh membahayakan nyawa.

“Namun, kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang,” katanya.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid HKL sebelum dibawa ke kampung halaman mangsa di Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Sultan Selangor kurang senang

Sultan Sharafuddin Idris Shah


SHAH ALAM 29 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan segelintir pihak yang berhijrah ke negeri ini, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Baginda bertitah, tindakan golongan terbabit mempersoalkan perkara-perkara itu adalah bertunjangkan matlamat supaya sistem Raja Berperlembagaan yang ada sekarang disemak dan dikaji semula.

Titah baginda, golongan berkenaan juga telah mengemukakan alasan yang amat tidak tepat untuk merasionalkan matlamat itu kononnya negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian.

"Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan 'Melayu' yang ada pada ungkapan 'Raja-Raja Melayu' hendaklah dihapuskan.

"Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka," titah baginda sewaktu berangkat ke majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-65 itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan kanan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa sedih dengan generasi Melayu sekarang yang malu untuk mengakui diri sebagai seorang Melayu.

Justeru baginda melontarkan persoalan adakah mereka tidak mempunyai perasaan bangga dan megah sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan 'Melayu' untuk dikorbankan sehingga lenyap dari dunia ini.

"Cuba kita baca sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris yang mana ada tertulis 'Tanah Melayu', 'Negeri-negeri Melayu Bersekutu' dan juga ada menyebut 'Raja-raja Melayu'.

"Ini menunjukkan penulis-penulis Barat ini mengiktiraf akan adanya Melayu yang memulakan sejarah di negara ini," titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan titahnya itu bukanlah bertujuan menyalakan api perkauman tetapi untuk menyatakan bahawa semua rakyat Selangor mesti berbangga dengan komposisi penduduk pelbagai keturunan di negeri itu.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya memahami sejarah negeri dan negara supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

"Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tumpah darah kita dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan," tegas baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bangga dan sukacita kerana kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah namun pada masa sama menegur rakyat Selangor yang dianggapnya kurang membaca buku berkaitannya.

"Beta dapati rakyat beta kurang minat untuk membaca buku sejarah, dalam erti kata lain, rakyat Selangor ini ramai yang buta sejarah.

"Beta berharap rakyat Selangor dapat mengubah sikap untuk membaca lebih banyak buku sejarah berkenaan negara kita dan jangan membuang masa membaca buku-buku atau majalah-majalah yang hanya mengandungi gosip yang tidak memberi manfaat kepada kita," katanya.


Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Belum Perlu Ada Satu Lagi Menara Tinggi: Mahathir 

2010/11/29

KUALA LUMPUR: Tidak perlu dibina satu lagi menara tinggi di negara ini buat masa ini kerana sudah ada tanda-tanda lebihan bekalan harta, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

"Saya rasa kita belum memerlukan satu lagi menara yang lebih tinggi (daripada Menara Berkembar) kerana kita mengalami sedikit lebihan bangunan," katanya ketika ditanya mengenai cadangan projek Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat oleh Permodalan Nasional Bhd.



Ada banyak iklan tentang ruang yang ada, katanya pada satu sesi soal jawab selepas menyampaikan ucapan pada acara "Revisiting Vision 2020" anjuran Institut Pemasaran Malaysia di sini hari ini.
Dubai adalah contoh klasik tentang lebihan bangunan, katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin. 

Katanya, Jepun dan Hong Kong juga mengalami keadaan yang sama pada masa lalu. 

"Jepun masih belum pulih daripada keruntuhan ekonominya disebabkan oleh lebihan bangunan. Begitu juga Dubai dan apa yang terjadi di sana, boleh terjadi di mana-mana sahaja. - BERNAMA 


Laporan Penuh Di Sini:


Unknown
Eruwan Gerry Affiliates



PROTON Keluar 200 Kereta Hibrid Januari Depan
Oleh Khairul Azran Hussin
bhbiz@bharian.com.my
2010/11/29

ANTARA kenderaan yang menyertai pertandingan ciptaan kereta sempena Fiesta Keluarga dan Inovasi PROTON di Stadium Shah Alam, Kelmarin.

Jadi kenderaan rasmi sebelum dikomersialkan 


PROTON Holdings Bhd (PROTON) sudah mendapat kelulusan kerajaan untuk mengeluarkan kira-kira 200 kereta hibrid sebagai kenderaan rasmi kerajaan mulai Januari tahun depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata langkah itu akan membantu PROTON menguji kemampuan sebenar kenderaan mesra alam itu, sebelum dikeluarkan secara komersial bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Kalau semuanya berjalan lancar ia akan digunakan oleh kerajaan di Putrajaya dan beberapa tempat lain sebagai percubaan supaya kami dapat membuat penilaian terhadap aspek teknikal dan prestasinya. 

“Jika semuanya dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan, kami akan mengeluarkannya secara komersial. 

“Setiap unit kereta hibrid yang dibekalkan itu akan dipantau oleh PROTON dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Fiesta Keluarga dan Inovasi PROTON di Stadium Shah Alam, kelmarin. 

Hadir sama Pengerusi PROTON, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh. Kira-kira 5,000 kakitangan PROTON dari seluruh negara hadir memeriahkan sambutan berkenaan. 
Syed Zainal berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh masa percubaan penggunaan kereta hibrid itu, sebaliknya PROTON akan mengambil kira semua maklum balas dan pandangan bagi memastikan pembangunan kereta jenis itu dapat memenuhi setiap standard piawaian syarikat serta di peringkat antarabangsa. 

“PROTON perlu segera membangunkan teknologi hibrid bagi memenuhi piawaian global. 

“Justeru, adalah penting bagi kerajaan untuk terus menyokong pembangunan kereta hibrid keluaran tempatan dengan memberi pelbagai inisiatif seperti memperkenalkan beberapa jenis cukai untuk menarik orang ramai membeli kereta jenis itu,” jelasnya. 

Penganalisis industri automotif ketika dihubungi berkata, beberapa barisan produk PROTON seperti Saga atau Persona berpotensi muncul sebagai model pertama yang akan dipasang dengan enjin hibrid. 

Katanya, dengan enjin hibrid dan ditambah dengan peningkatan kos semasa bagi bateri berkenaan, PROTON dijangka akan menjual kereta jenis mesra alam itu di pasaran bermula pada RM80,000 seunit. 

Awal bulan ini, Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pengeluar kereta nasional itu menyasar menjual kereta hibrid keluarannya pada harga di bawah RM100,000 bagi membolehkannya bersaing dengan kenderaan hibrid keluaran syarikat automotif terkemuka dunia. 

Terdahulu pada Fiesta Keluarga dan Inovasi PROTON, kumpulan ‘Gruner TF Exponent’ memenangi hadiah wang tunai RM12,000 dalam pertandingan prototaip kereta yang dibuat menggunakan bahan terpakai dan teknologi hijau. 

Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh ‘Innotech 2’ dan ‘Evolusi G’, masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,400. 

Pertandingan berkenaan diilhamkan oleh Dr Mahathir tahun lalu dalam usaha memupuk budaya inovasi dalam syarikat berkenaan. 

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

Anak Makin Ganas
Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Sehingga kini masih tiada siapa yang sudi membantu, malah anak saya semakin agresif kerana dia akan membawa bersama kayu, besi, atau mentol lampu ketika berjalan.

“Ada kalanya dia mengacukan kepada saya dan saya khuatir dia akan dipersalahkan atau ada orang tidak berdosa akan cedera,” kata Rokiah Ngah, 60, ibu seorang lelaki yang mengalami gangguan mental.

Menurutnya, anaknya Ahmad Shaari Mohamed, 27, turut mengoyak baju sebagai tanda protes ketika mereka bertemu baru-baru ini dan keadaan itu cukup meresahkan beliau.

Dia yang berasal dari Kampung Laut dekat sini berkata, dalam keadaan sekarang, ubat yang diberikan bagi mengurangkan tekanan jiwa juga dibuang anaknya itu.

“Saya sungguh sedih memikirkan masalah anak saya ini kerana bimbang dia akan mencederakan orang lain kerana dia sering berada di tempat saya bekerja dan tidak pulang ke rumah,” kata ibu tunggal berkenaan.

Harian Metro sejak seminggu lalu melaporkan mengenai keluhan Rakiah berikutan anaknya yang mengalami masalah mental sering kali bertindak ganas.

Sejak berita itu disiarkan, pelbagai pihak berkuasa memberikan kenyataan.

Sehingga kini, belum ada sebarang tindakan diambil walaupun tiga pihak sudah memberikan kenyataan.Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr T Ramelah T Senik, sebelum ini memberitahu, pemeriksaan dan penilaian doktor ke atas pesakit mental akan menentukan sama ada seseorang pesakit akan berada lebih lama di wad mental atau sebaliknya.“Penilaian bergantung kepada satu-satu kes yang dikendalikan doktor sebelum keputusan seterusnya diambil dan sekiranya masih terkawal, pesakit akan dibenarkan pulang,” katanya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar, pula pernah memberitahu, JKM tidak mempunyai tempat perlindungan untuk menempatkan pesakit yang mengalami masalah mental.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, turut berkata, kes seperti itu harus dilaporkan kepada pihak polis terlebih dulu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin pula berkata, keluarga lelaki berkenaan perlu berunding dengan pihak hospital.

Rakiah berkata, sebagai orang kampung, tidak banyak dapat dilakukan dan dia kecewa apabila kisah hidupnya tidak ditangani oleh pihak berkenaan.

Menurutnya, dia tidak mampu menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan kerana setiap kali dia menyuarakan hasrat itu, anaknya akan menunjukkan sikap ganas.


Laporan Penuh Di Sini:


Unknown
Eruwan Gerry Affiliates



Marah Benar Suami Curang

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim 
am@hmetro.com.my

SABAK BERNAM: Seorang isteri diceraikan dengan talak tiga melalui SMS selepas mengadu kepada ketua kampung mengenai tingkah laku suaminya yang membawa pulang wanita lain ke rumah untuk melakukan maksiat.

Lebih malang, ketika membawa pulang teman wanita itu, isteri berkenaan bersama tiga anaknya berada di rumah dan melihat tingkah laku lelaki terbabit.

Isteri berkenaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 29, berkata bukan sekali, malah banyak kali suaminya berkelakuan sedemikian dan jika ditegur, suaminya itu akan memukulnya dan anak-anak dan lapan laporan polis dibuat berhubung kejadian dera itu.

Berikutan tidak tahan dengan perilaku suaminya, dia membuat aduan kepada ketua kampung meminta menasihati suaminya itu.

Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan suaminya berang dan tidak lama kemudian dia menerima SMS daripada suami yang menceraikannya dengan talak tiga.

“Kejadian berlaku sebulan lalu, kira-kira jam 10.30 malam, suami saya yang juga seorang anggota tentera membawa pulang seorang wanita berusia 21 tahun yang didakwa adik angkatnya.

“Saya sudah tidak sedap hati apabila melihat perilaku suami yang berpelukan dengan ‘adik angkat’ itu di depan mata dan percaya mereka ada hubungan sulit.

“Isteri mana yang sanggup melihat suami melakukan maksiat di depan mata. Ketika itu hancur luluh hati saya.

“Malah, anak saya turut melihat perbuatan ayah mereka itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.


Kes cerai itu katanya dirujuk ke Mahkamah Rendah Sungai Besar, di sini, dan mereka disahkan bercerai pada 10 November lalu.

Menurutnya, pernah sebelum ini dia menegur tindakan suaminya yang gemar bertukar wanita dan akibatnya dia diterajang tanpa belas kasihan.

“Saya akan disepak terajang, diketuk seluruh badan dengan tukul besi setiap kali menegur perbuatan terkutuknya yang gemar membawa kekasih ke rumah kami.

“Bukan saya saja menjadi mangsa, malah dua anak kami yang masih kecil menerima nasib sama,” katanya menceritakan nasibnya yang mendakwa sering dipukul suami jika menegur perbuatan suaminya membawa pulang wanita ke rumah sejak berkahwin 11 tahun lalu.

Menurutnya, disebabkan itu, kedua-dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun kini trauma.

“Kerana tidak tahan dengan pukulan dan hinaan suami yang memukul kami anak beranak, saya membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar dan lebih lapan laporan sudah dibuat, tetapi tiada tindakan diambil ke atas bekas suami saya itu,” katanya.

Hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun yang kini menghidap penyakit paru-paru berair.

Katanya, walaupun baru berstatus janda, tetapi dia reda kerana terselamat daripada menjadi mangsa belasahan suami.

“Walaupun suami sudah keluar dari rumah, tetapi dia meninggalkan hutang along berjumlah RM15,000 menyebabkan saya kini ketakutan jika samseng datang ke rumah mencari suami saya. Dulu, kami pernah berpindah rumah kerana tidak tahan menjadi buruan along. Kini tak tahu apa pula yang akan berlaku,” katanya.

Siti berkata, kini hidupnya cuma untuk tiga anaknya dan akan cuba membesarkan mereka menjadi insan yang berguna.

Selain itu, anak sulung Siti Aishah terpaksa berhenti sekolah kerana ingin membantunya menjaga dua adiknya. “Anak bongsu saya yang berusia dua tahun terpaksa dijaga rapi kerana menghidap penyakit paru-paru berair dan perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani rawatan setiap bulan,” katanya.

Beliau yang tidak bekerja kini buntu dan berharap sumbangan orang ramai yang simpati terhadap nasibnya. Mereka yang bersimpati boleh menghubunginya di talian 012-9433226.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Tepati Ramalan


GUANGZHOU mencatatkan kejayaan paling gemilang bagi atlet Malaysia apabila mencipta pingat emas terbanyak sejak penyertaan pertama di Tokyo pada 1958, kira-kira 52 tahun lalu.
Sembilan pingat emas, 18 perak dan 14 gangsa mengumpulkan jumlah keseluruhan 41 pingat tetap satu pencapaian terbaik negara menutup tahun sukan 2010.

Sekalipun hanya kelebihan satu emas berbanding lapan yang dikutip di Doha empat tahun lalu, sukan Malaysia menuju ke arah landasan tepat terutama menghadapi Sukan Olimpik London 2012.

Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama semua persatuan kebangsaan berjaya menghasilkan kejayaan di luar dugaan.

Di Sukan Komanwel New Delhi Oktober lalu, kontinjen negara mengumpul 12 pingat emas melepasi sasaran awal 10 dan kesinambungan itu diteruskan di Guangzhou.

Bukan mudah buat atlet terus konsisten pada dua temasya sukan besar yang berlangsung secara berturut-turut.

Selaku Ketua Pengarah MSN merangkap Chef de Mission, Datuk Zolkples Embong berjaya dalam tugasan sukar ini.

Ketika ramai yang meragui kemampuan atlet negara berdepan Sukan Asia yang tinggi tarafnya berbanding Sukan Komanwel, beliau membuktikan misi itu tidak mustahil untuk dilakukan.

Apatah lagi beliau sengaja menempah risiko selaku penjawat tertinggi kerajaan yang dinilai dengan KPInya.

“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa komitmen tinggi semua pihak membabitkan atlet, jurulatih, pegawai persatuan dan pegawai MSN sendiri yang berusaha keras menjayakan misi ini.

“Terima kasih dan tahniah kepada mereka kerana menjadikan impian yang kita bina di Kuala Lumpur, tercapai di Guangzhou,” katanya.

Atlet seperti Datuk Nicol David (gambar), Azlan Iskandar, pasukan skuasy wanita dan Azizulhasni Awang menepati jangkaan apabila menyerlah dalam sukan masing-masing dan kejayaan mereka menyuntik atlet lain yang tiada dalam sasaran emas seperti Chai Fong Ying, Alex Liew, Adrian Ang, Ku Jin Keat dan R Puvaneswaran untuk melengkapkan sembilan emas.

Sekalipun pasangan beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Datuk Lee Chong Wei hanya memenangi pingat perak, prestasi yang ditunjukkan cukup meyakinkan.

Ini termasuk Ibrahim Amir dalam acara snuker & biliard, pasukan hoki lelaki, pasukan sepak takraw, atlet karate, G Yamini dan Jamallia Jamaludin yang tidak diramal tetapi berjaya memenangi pingat perak.

Terjun antara sukan paling berjaya sekalipun mengumpul empat perak dan empat gangsa menerusi Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee, Ooi Tze Liang, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Ng Yan Yee dan Cheong Jun Hoong.

“Ini adalah acara Olimpik dan penerjun kita bersaing dengan semua jaguh terjun China yang bertaraf dunia.

“Saya terpaksa terima hakikat bukan mudah bagi kita memecah dominasi China. Mereka menyapu bersih semua 10 emas dipertandingkan.

“Apapun saya yakin, jika penerjun kita muncul pesaing kedua terkuat di sini, tidak mustahil kita boleh memenangi pingat Olimpik,” kata Zolkples yang turut memuji pencapaian ekuin.

Sukan lain yang turut membuat kejutan adalah penembak Nur Suryani Mohamed Taibi yang meraih gangsa dan muncul penembak pertama wanita memenanginya di Sukan Asia, skuad bola sepak yang mara ke pusingan kedua, bola tampar pantai dan ragbi.

Namun prestasi atlet olahraga, memanah, bowling wanita, gimnastik dan gimrama serta tinju cukup mengecewakan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) seharusnya memikirkan semula penghantaran atlet bagi sukan catur, catur weiqi dan xianggi, kriket, lawan pedang, golf, kabaddi dan triatlon.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Batu Delima Kebas Duit

Oleh Ahmad Othman

HELAH...seorang pegawai polis memicit butang LED untuk menyalakan batu delima palsu.

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia lewat 30-an bersama dua ‘pelakon tambahan’ dipercayai menjadi dalang kepada dua kes penipuan batu delima merah palsu di sekitar daerah ini membabitkan kerugian RM26,000.

Lelaki berperwatakan alim terbabit menyasarkan warga emas dengan mendakwa batu delima itu boleh digunakan untuk upacara ‘tarik duit’. 

Bagi meyakinkan mangsa, lelaki terbabit meletakkan batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air sebelum ia mengeluarkan cahaya kemerahan. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, siasatan polis mendapati batu delima itu sebenarnya palsu dan objek berkenaan dipasang lampu LED dan akan menyala apabila dipicit.

Menurutnya, dua individu yang juga teman subahat lelaki terbabit pula berlakon sebagai pembeli dan beria-ia mahu membelinya dengan harga RM350,000 daripada mangsa.

“Polis menerima laporan pertama pada 22 April lalu membabitkan seorang warga emas berusia 72 tahun yang menjadi mangsa sindiket ini. 

“Mangsa berada di sebuah restoran makanan segera sebelum dihampiri dan ditawarkan batu delima merah yang kononnya diperoleh ketika menggali kubur di Melaka serta didakwa mampu digunakan untuk upacara tarik duit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam. 

Menurutnya, mangsa yang mendakwa seolah-olah terpukau kemudian pulang ke rumah dan mengambil barangan kemas isterinya bernilai RM20,000 sebelum diserahkan kepada ketiga-tiga lelaki terbabit. 

Pada Isnin lalu, seorang lagi lelaki warga emas, menjadi mangsa membabitkan kerugian RM6,000. 

“Mangsa berusia 71 tahun dan suspek utama merendam batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air sebelum ia mengeluarkan cahaya kemerahan. 

“Suspek utama mengatakan dia hanya akan menjualnya kepada mangsa selepas mendapat firasat warga emas berkenaan individu paling sesuai menyimpan batu delima itu,” katanya. 

Osman berkata, pada masa sama, seorang lelaki yang dipercayai rakan suspek tiba-tiba muncul dan mengatakan mahu membeli batu delima itu pada harga RM350,000. 

Berikutan itu, mangsa terus ke Melaka untuk mengeluarkan wang pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM6,000 sebagai bayaran mendapatkannya.

Laporan Penuh Di Sini:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...