Unknown
Eruwan Gerry Affiliates
 

2 peniaga saman Sosilawati

Oleh Murni Wan Omar

KUALA LUMPUR: Dua ahli perniagaan memfailkan saman terhadap syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya selepas mendakwa wujud pelanggaran perjanjian jual beli tanah yang di atasnya mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Saman difailkan pada 5 Ogos lalu iaitu 25 hari sebelum Sosilawati, 47, dilaporkan hilang dan kemudian disahkan dibunuh mati bersama pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, pada 30 Ogos lalu.

Plaintif, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, menamakan Nouvelle Beauty sebagai defendan dalam saman mereka yang difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada 5 Ogos lalu.

Peguam SH Tang hadir mewakili kedua-dua individu itu, namun Nouvelle Beauty tidak diwakili peguam.


Kes ditetapkan untuk pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hilmiah Yusof, di sini, semalam.

Mahkamah menetapkan 1 Disember depan mendengar permohonan Low dan Lim bagi memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nouvelle Beauty selepas syarikat itu gagal memfailkan afidavit balasan selepas 14 hari saman dikemukakan.

Berdasarkan surat tawaran yang dipersetujui dan ditandatangani wakil Nouvelle Beauty pada 2 April lalu, defendan bersetuju menjual sebidang tanah seluas 144.9 meter persegi bersama dengan kedai dan pejabat empat tingkat di tanah milik syarikat itu pada harga RM3 juta.

Plaintif mendakwa sudah membayar RM60,000 ketika surat tawaran jual beli itu ditandatangani dan baki deposit RM240,000 dibayar ketika Perjanjian Jual Beli ditandatangani manakala selebihnya dibayar dalam masa 90 hari dari tarikh Perjanjian Jual Beli ditandatangani.

Mereka mendakwa, terma dan syarat dalam draf Perjanjian Jual Beli sudah dipersetujui dan dijadikan muktamad oleh kedua-dua pihak pada 22 April 2010.

Dalam afidavit itu mereka mendakwa, selepas sebulan surat itu ditandatangani, Nouvelle Beauty melalui surat peguam caranya bertarikh 30 April 2010, memaklumkan tidak berniat meneruskan transaksi jual beli itu.

Plaintif mendakwa, melalui surat bertarikh 3 Mei, Nouvelle Beauty terikat dengan terma dalam Perjanjian Jual Beli hartanah.

Pada 25 Mei 2010, Nouvelle Beauty memulangkan surat Perjanjian Jual Beli, suratcara pindah milik, borang permohonan kebenaran pindah milik serta cek RM240,000, tetapi gagal membayar balik wang deposit RM60,000.

Mereka memohon perintah mahkamah supaya Nouvelle Beauty meneruskan pelaksanaan Perjanjian Jual Beli hartanah itu, selain perintah injunksi bagi menghalang Nouvelle Beauty daripada melupuskan hartanah itu kepada orang lain selain daripada plaintif.

Kedua-dua individu itu menuntut ganti rugi akibat pelanggaran kontrak perjanjian, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | 2 peniaga saman Sosilawati
1 Response
  1. Unknown Says:

    Terkini berita Datuk Sosilawati Lawiya


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...