Unknown
Eruwan Gerry Affiliates
 

Gadis Domestik Antarabangsa
Oleh MURSHID EUNOS
  




SEKILAS pandang, imej dan personaliti yang diperdagangkan bintang jelita, Mizz Nina tidak lari daripada pesona antarabangsa. Malah, pernah sekali kehadirannya disangka bukan anak tempatan.

Namun tatkala si empunya nama sebenar, Shazrina Azman ini disarungkan baju kurung, solekan klasik lengkap dengan rambut bersanggul kemas, refleksi kemelayuan padanya terserlah.

Sampuk gadis metropolitan berusia 30 tahun ini mencelah perbualan pendandan wajah, Bosco dan pereka busana petang itu, Wanpa di Restoran Istana Bambu jauh di hujung kota, Mizz Nina tidak henti-henti memuji sisi Melayunya.

"Saya memang anak Melayu yang sukakan sambal belacan!" selorohnya.

Buang jauh panggilan komersial padanya, melodi nyanyian serta penampilan yang sering digayakan kerana semuanya memang mencerminkan minatnya yang terlalu mendalam pada muzik bercorak antarabangsa.

Hakikat yang lama tersembunyi, gadis peramah ini kelakar, mesra dan sangat rendah diri. Masih fasih bercanda dengan bahasa ibundanya, Mizz Nina akur dengan persepsi kononnya dia 'minah urban'!

Andai sukar dikikis pandangan skeptikal sebegitu, tiada apa yang boleh dilakukan. Cuma kata bintang kelahiran Kuala Lumpur ini, usah meletak label kononnya dia terjerat dengan budaya Barat.

"Bukan baru semalam saya terusik dengan persepsi ini, sebaliknya sejak awal lagi saya menyertai kumpulan Teh Tarik Crew, ramai peminat atau mata sekeliling menganggap kononnya Mizz Nina penuh kebaratan. Tidak lagi bertanya atau cuba mendekati, pandangan seumpama itu terus dilempar, sedangkan kebenarannya belum pasti.

"Lihat pada penampilan dan konsep nyanyian selama ini, tidak saya nafikan pastinya peminat akan menyangka sebegitu. Namun hakikat sebenar, Mizz Nina gadis Melayu yang masih penuh dengan nilai budaya asalnya.

"Saya dibesarkan dalam keluarga Melayu. Cuma apabila ia bersangkut pada soal minat dalam lapangan nyanyian, saya akui muzik sentuhan antarabangsa lebih dijadikan pilihan serta rujukan.

"Biasalah penyanyi muda wanita yang menyanyikan lagu Inggeris memang kurang di Malaysia dan saya pula lahir daripada sebuah kumpulan yang memperjuangkan muzik hip hop.

"Kemudian lahir dengan naskhah yang ternyata penuh unsur kebaratan, justeru pandangan itu terus melekat dan kekal di situ. Namun saya tidak kisah dan merasa selesa kerana sangkaan itu hanya berpaksi pada kerjaya semata-mata, bukan pada peribadi diri.

"Mizz Nina memang lancar berbahasa Inggeris dan gemar memperagakan pakaian yang tampak ranggi namun di sebalik semua itu, dia masih gadis Melayu yang sayangkan budayanya.

"Bukan saja gemar masakan Melayu, saya juga suka makan dengan menggunakan tangan," jelas puteri bongsu kepada Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim ini.

Lain rasa agaknya membesar dalam sebuah keluarga mewah yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai amalan harian. Namun peliknya, sepanjang bersembang dengan gadis yang juga graduan Pengajian Media dan Perhubungan Awam di sebuah universiti di Australia ini, tidak sekali pun hadir rasa janggal atau kekok. Sebaliknya, Mizz Nina bijak menyusun kata dalam intonasi yang rendah diri.

"Tiada apa bezanya membesar dalam keluarga yang senang kerana keutamaannya masih pada budi pekerti dan nilai positif yang ada pada seseorang individu itu. Itu yang akan membezakan kita. Perkara sama juga ditekankan keluarga sejak kecil.

"Justeru, tuah itu hanya nampak kerana cara hidup yang mungkin senang, namun hakikatnya budaya dalam proses pembesaran adalah sama, mengikut cara Melayu dan Islam," katanya.

Tiada angin bertiup kencang, industri muzik bergegar baru-baru ini apabila nama Mizz Nina dikatakan terbabit dalam persembahan untuk sebuah konsert yang ditaja syarikat minuman keras.

Tidak mahu terus menembak, namun ramai pula menjadi skeptikal kononnya menyifatkan tiada apa yang pelik pada Mizz Nina dengan konsep persembahan sebegitu.

Lantas, peluang bertentang mata ini, gadis 'menang pakai' ini mencuri ruang menguraikan mana yang terpintal kuat.

"Saya mengaku ada membuat persembahan seperti didakwa atas undangan pihak penganjur. Memang konsert itu ditaja sebuah jenama minuman alkohol dan disertai banyak nama bintang antarabangsa lain.

"Namun kenapa perlu menjadi sempit dan terus menjatuhkan hukum tanpa melihat perspektif lainnya. Jika hina sangat seorang bintang tempatan berbangsa Melayu membabitkan diri dalam sebuah konsep persembahan besar begitu, kenapa tidak kita haramkan terus siri persembahan itu di negara kita?

"Saya hadir sebagai penyanyi dan ditemani tiga pembantu yang juga beragama Islam. Saya ke sana untuk menyanyi dan mencuri seberapa banyak mungkin pengalaman berguna.

"Peluang berkongsi pentas dengan ramai penyanyi dunia bukan mudah. Di sebalik jenama penaja, saya hanya meletak fokus kepada peluang yang diberi.

"Lihat pada imej dan konsep nyanyian, tidak dinafikan ada pihak melempar dakwaan yang memang melangkaui imaginasi sendiri.

"Namun ingin saya tekankan, saya tidak pernah mengusik minuman itu dan tidak pernah pula terfikir akan melangkah jauh dari nilai budaya dan agama.

"Gadis Timur seperti saya masih tahu mana yang baik dan mana pula yang haram," akurnya sulit untuk memuaskan hati semua pihak.

Sejurus nama vokalis kumpulan Hujan, Noh pula terpacul dalam sesi sembang petang ini, ia meringankan sedikit rasa resah dan rungutan di jelita ini.

Namun meleret senyuman yang zahir pada wajahnya tidak bermakna menyembunyikan satu rasa bahagia di dalam jiwanya. Perlahan-lahan, Mizz Nina memujuk supaya tidak lagi menjadikan Noh sebagai subjek sinonim padanya.

"Kami berdua hanya kawan rapat dan hingga kini masih berkawan. Semuanya atas urusan kerja dan selebihnya kami banyak berkongsi cerita dan bertukar-tukar pandangan dalam menguatkan empayar kerjaya masing-masing.

"Tidak pernah saya mengakui akan hubungan istimewa terjalin antara kami, namun banyak pula pihak meletakkan frasa itu, seolah-olah ia sudah rasmi.

"Noh hanya teman dan laluan hidup kami masih jauh. Saya punya cita-cita dan masa depan yang perlu dikejar. Justeru, mustahil soal cinta pula yang saya ketengahkan. Biar masa menentukan hubungan kami," katanya yang sibuk mengumpul material baru untuk album solo keduanya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Lebih lima tahun nama Teh Tarik Crew terkubur. Hilang entah ke mana meskipun pernah memiliki tiga album, termasuk sebuah mini album. Tempiasnya, nama Mizz Nina turut tenggelam sama.

Bagaimanapun, kelibat penyanyi yang juga pemilik syarikat Mizz Nina & Co ini muncul kembali membawa satu fenomena yang sukar diendahkan. Album What You Waiting For menjadi pemangkin baru buatnya untuk terus menyelinap masuk ke pentas komersial tempatan kali keduanya.

Album 14 lagu yang berada di pasaran ini menampilkan bintang Amerika Syarikat, Colby O'Donis untuk berduet dengannya menerusi single pertama, What You Waiting For.

Muziknya berbeza, setiap satu elemen yang menghidupkan melodi kedengaran padat. Tiada rasa longgar dan kurang, Mizz Nina yakin album yang turut mendapat kerjasama terbitan daripada Uno dan Aj dari Pop Shuvit, Noh (Hujan), DJ Fuzz selain penerbit antarabangsa Sakke dari Belanda dan Koolade (Croatia).

Kolaborasi Mizz Nina dengan pencipta lagu pelbagai negara, lantas menyerlahkan nuansa muzik standard antarabangsa.

"Setahun lamanya saya menyiapkan album ini dan proses rakamannya dilakukan di Kuala Lumpur dan Los Angeles bagi mendapatkan rasa yang benar-benar menepati piawaian selera saya selaku penyanyi.

"Saya yakin, sekarang masa sesuai untuk muncul dengan album solo ini kerana saya bersedia untuk kembali mewarnai dunia seni suara.

"Setiap lagunya menceritakan pengalaman kehidupan yang sangat peribadi. Ia refleksi kisah cinta sesama manusia, cinta sesama manusia dan kuasa wanita seperti dalam lagu Srikandi bersama Mawar Berduri (Ahli Fiqir)," katanya.
 
Laporan Penuh Di Sini:




1 Response
  1. Unknown Says:

    Siapa cakap Gadis Melayu tak cantik


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...