Unknown
KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta di sini terbongkar selepas polis menahan enam suspek sebaik saja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000, semalam. Suspek terbabit termasuk pemilik hospital, isterinya dan anak perempuan mereka serta tiga kakitangan ditahan dalam Ops Pintas Sayang yang dilancarkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman, kira-kira jam 4.30 petang.

Dalam serbuan di hospital itu yang diketuai Asisten Superintendan Nordin Ibrahim bersama lebih 20 anggota hasil maklumat awam, polis juga merampas sijil lahir bayi perempuan berusia seminggu itu dan wang tunai RM21,000 dipercayai yang dibayar suami isteri terbabit.

Menurut sumber, siasatan awal polis mendapati pasangan terbabit membeli bayi perempuan itu selepas berurusan dengan hospital berkenaan sejak sebulan lalu dan mereka sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Ibu kandung bayi itu dipercayai keturunan Melayu, manakala bapanya seorang warga Pakistan,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, hospital berkenaan yang dikatakan dimiliki seorang doktor bergelar Datuk, dipercayai menjalankan kegiatan menjual bayi sejak lebih 10 tahun lalu.

Hospital itu dipercayai memalsukan maklumat ibu bapa kandung bayi terbabit bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit mendapatkan sijil kelahiran bayi itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Seorang wanita yang juga kakitangan hospital berkenaan, turut mengiringi pasangan terbabit ke JPN di Putrajaya sejurus selepas urusan jual beli bagi membantu mendaftarkan kelahiran bayi itu dengan menamakan suami isteri terbabit sebagai ibu dan bapa kandung yang sah.

“Wanita itu kemudian ditahan polis di JPN Putrajaya selepas selesai menjalankan urusan berkenaan,” katanya.

Difahamkan, harga bayi yang dijual sindiket itu boleh mencecah lebih RM30,000 mengikut bangsa dan jantina. Harga bayi lelaki dikatakan lebih mahal yang biasanya dijual antara antara RM15,000 ke RM20,000.

Bayi berbangsa Cina pula paling mahal dan dijual mengikut berat, iaitu RM10,000 sekilogram berikutan permintaannya tinggi dan sukar diperoleh.

“Jika bayi itu beratnya tiga kilogram, maknanya harga bayi itu adalah RM30,000, berbeza dengan bangsa lain,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan wanita menjual bayi itu kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan perubatan yang mencecah sehingga RM5,000.

“Selalunya yang datang ke situ adalah wanita warga asing yang mengandung anak luar nikah selepas menjalin hubungan dengan lelaki senegara atau tempatan.

“Oleh kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan tidak mahukan bayi itu, mereka datang ke hospital berkenaan yang sememangnya diketahui menjalankan kegiatan menjual bayi.

“Si ibu akan bersalin di hospital itu dengan kos bersalin serta rawatan ketika pantang ditanggung hospital berkenaan, selain turut diberikan sedikit habuan selepas menyerahkan bayi mereka,” katanya.
Keluar sijil kelahiran asli tanpa perlu prosedur ketat

KUALA LUMPUR: Kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disyaki bersubahat dengan sindiket penjualan bayi bagi memudahkan urusan pendaftaran bayi dan pengeluaran sijil kelahiran asli tanpa prosedur yang ketat.

Menurut sumber, selepas transaksi jual beli, pembeli dibawa oleh anggota sindiket atau kakitangan hospital ke pejabat JPN, manakala ‘kaki’ mereka di kalangan kakitangan jabatan sudah sedia menunggu untuk mendaftar dan pengeluaran sijil kelahiran lengkap dengan nama bayi menggunakan bin atau binti bagi pasangan Islam dan bapa serta ibu bagi yang bukan Islam.
Katanya, sejurus tiba di JPN, pembeli hanya perlu mengambil nombor giliran dan duduk di tempat menunggu sehingga dipanggil pegawai di jabatan pendaftaran.

“Dokumen yang perlu diserahkan ialah borang pendaftaran yang ditandatangani doktor hospital tempat bersalin, surat nikah asal dan salinannya, kad pengenalan serta rekod sejarah perubatan membuktikan ibu pernah menjalani rawatan di mana-mana hospital yang berkenaan. Tiada soalan rumit ditanya atau kadang-kadang tiada langsung soalan ditanya,” katanya.

Selepas dokumen diteliti dan butiran kelahiran yang dicatat adalah betul, pembeli diminta menurunkan tandatangan sebagai pengesahan semua butiran adalah betul.

“Borang itu kemudian diserahkan kepada penyelia. Kira-kira 15 minit kemudian, pembeli akan dipanggil dan sekali lagi diminta meneliti butiran dicatatkan pada sijil kelahiran adalah tepat dan tandatangan diturunkan sekali lagi untuk melengkapkan pengeluaran sijil kelahiran,” katanya.
Sumber itu berkata, berdasarkan modus operandi yang dipercayai turut membabitkan kakitangan JPN, tidak sukar mendapatkan ‘bayi segera’ yang lengkap dengan sijil kelahiran lengkap dengan bin, binti atau nama pembeli sebagai bapa yang ‘sah’

INFO: Kes jualan bayi dibongkar



  • 12 Julai 2010: Polis Sarawak menyelamatkan bayi perempuan berusia 23 hari yang cuba dijual wanita warga Indonesia pada harga RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar pasangan suami isteri di Kuching dan membawa penangkapan pasangan ahli perniagaan terkemuka bergelar Datuk dan Datin dipercayai dalang sindiket.




  • 2 Mei 2010: Seorang wanita ditahan dalam serbuan di pasar raya di Kepong, dekat ibu negara selepas cuba menjual bayi masih dalam kandungan warga Indonesia yang didakwa adik angkatnya.




  • 15 Disember 2009: Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tiga tuduhan memperdagang tiga bayi perempuan berumur sehari dilahirkan tiga warga asing di hospital swasta di Jalan Klang Lama.




  • 11 Disember 2009: Polis menyelamatkan lima bayi berusia dua minggu hingga sembilan bulan dan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun sebelum dijual sindiket pada harga antara RM15,000 hingga RM20,000 serta menahan 13 individu dalam serbuan di Klang dan Banting.




  • 13 November 2008: Jabatan Imigresen menahan sembilan pendatang tanpa izin Indonesia di dua rumah di Pasir Gudang dipercayai terbabit menjual bayi, selain menemui dua bayi tiada ibu bapa, beberapa salinan MyKad, dokumen kelahiran klinik swasta dan borang daftar anak angkat.




  • 14 Januari 2005: Polis menahan dua wanita dan pemandu teksi di pasar Gombak, Jalan Setapak ketika cuba menjual seorang bayi berusia 25 hari.


  • Laporan Penuh Di Sini:

    Berita Harian Online | Eksklusif: Bayi RM21,000
    1 Response
    1. Unknown Says:

      Sanggupkah anda melakukan perkara ini demi RM21 ribu?


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...