Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


BicaraDariGuangzhou: Semoga bertemu kembali di Kota Incheon


DENDANGAN lagu tema Sukan Asia Guangzhou, ‘Reunion’ yang saban hari menjadi halwa telinga saya sepanjang berada di sini nampaknya pasti akan terngiang-ngiang selepas ini kerana sudah tiba masa Sukan Asia melabuhkan tirai malam ini dengan seribu kenangan yang akan dibawa pulang ke tanah air.

Sedar tidak sedar, tugasan saya di Guangzhou sudah hampir berakhir. Ya, ini jugalah bingkisan terakhir sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Minta maaf jika laporan dan coretan saya mengguris jiwa anda.

Maka berakhir jugalah perjuangan 333 atlet negara di kancah Sukan Asia dan pastinya ada nada gembira di kalangan anggota kontinjen negara apabila berjaya memenuhi sasaran sembilan pingat emas.

Tahniah kepada mereka yang merentasi segala dugaan demi memastikan Negaraku tetap berkumandang di Guangzhou, Jalur Gemilang terus berkibar megah di depan seluruh warga Asia.

Terima kasih juga kepada penyumbang pingat perak dan gangsa, kerana anda tetap menjadi pendukung kejayaan negara sepanjang perjuangan ini.

Bagi saya, sudah pasti ia satu pengalaman yang cukup berharga apatah lagi menjadi sebahagian daripada keluarga Sukan Asia, menjadi pelapor setiap kisah suka dan duka, kejayaan dan kegagalan atlet negara yang pastinya bakal mencetus inspirasi untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Ia juga menjadi penghujung hubungan 'benci-cinta' yang terjalin antara saya dan Guangzhou selama tiga minggu ini.

Tidak dinafikan ia tempoh cukup mencabar dan kadang kala menduga perasaan tetapi semua itu membawa kemanisan tersendiri dan akhirnya membuat saya menjadi lali dan senyum sendiri.

Bayangkan, menghadapi pemeriksaan keselamatan sehingga empat lima kali sehari cukup meresahkan sesiapa (terutama bagi perokok yang tercari-cari tempat menyorok pemetik api) tetapi hati terhibur dengan layanan mesra sukarelawan yang sentiasa sudi membantu.

Menempuh perjalanan jauh dari venue ke venue cukup memenatkan tetapi itulah melenakan tidur saya di dalam bas sementara tiba ke destinasi.

Melihat suasana di Guangzhou yang sibuk seperti di Kuala Lumpur membuatkan saya rasa tiada istimewa tetapi sayalah pemuja keindahan bandar itu di malam hari. apabila ia menjadi bandar bercahaya yang megah dengan obsesi bermain warna.

Itu hanya sebahagian peristiwa yang akhirnya memperkayakan pengalaman hidup.

Malam ini Guangzhou akan bermegah dengan cahaya dan warna sekali lagi, tanda ucapan selamat jalan sebelum obor kembali dinyalakan di Incheon, empat tahun lagi. Sekian. - Hairul

Laporan Penuh Di Sini:

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...