Unknown


Tak pandai menyanyi, menari
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

GANDINGAN MANTAP...bersama Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida yang turut membintangi Badai Semalam.
NAMA Aaron Aziz, 35, menjadi sebutan dan bakatnya rebutan ramai penerbit dan pengarah filem tempatan. Mereka sanggup melaburkan ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan pelakon bertubuh sasa itu menjadi bintang dalam filem dihasilkan.


Pada mereka, sekiranya Aaron membintangi filem dihasilkan, ia pasti mendapat sambutan dan ramai akan menontonnya di pawagam. Dalam erti kata lain, bakat dan namanya cuba dieksploitasi.


Bagaimanapun, perkara yang diharapkan tidak berlaku sebaik filem ditayangkan di pawagam. Percaturan mereka salah dan filem itu mendapat kritikan daripada penonton. Aaron juga melalui situasi ini dan sebagai pelakon, sudah tentu namanya turut tercalar.

Katanya, kadang-kadang apa yang dirancang pihak produksi tidak menjadi seperti apa yang digambarkan dan kerjaya sebagai pelakon juga mempunyai risikonya.


“Ada antara tawaran diterima nampak menarik di atas kertas. Malah apabila perbincangan dilakukan, pihak produksi bersungguh-sungguh dan menjanjikan filem dihasilkan pasti mampu menarik perhatian penonton.

“Sebagai pelakon, sudah tentu skrip diberikan itu menjadi penentu sama ada ia menarik atau tidak. Ada filem yang saya buat sebelum ini skripnya memang bagus.
Sewaktu perbincangan dilakukan juga sangat meyakinkan tetapi apabila melihat hasilnya, ia sangat mengecewakan.

“Sebagai pelakon, saya tidak boleh lakukan apa-apa sekiranya filem itu tidak bagus. Sebagai pelakon, kalau saya memberikan lakonan mantap macam mana sekali pun, tetapi hasil teknikal atau jalan ceritanya tidak menjadi seperti di dalam skrip, ia di luar bidang kuasa saya,” katanya.

Pelakon KL Gangster, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, 2 Alam, Syyhh...Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka dan Datin Ghairah ini tidak menafikan, dalam memberi kata putus terhadap tawaran itu, bayaran diterima turut menjadi faktor penentu.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada kerja yang harus dilakukan dan tidak sampai tahap sanggup untuk memusnahkan kerjaya sendiri semata-mata kerana mahu mengejar bayaran diberikan.

“Bayangkan kalau saya dibayar tinggi tetapi filem dihasilkan menerima kritikan hebat daripada penonton dan tiada siapa yang mahu menontonnya di pawagam.

“Sudahnya, apa akan jadi dengan kerjaya seni saya? Sudah tentu nama saya akan terus senyap dan lenyap. Sebagai pelakon, saya memikirkan perkara itu semua dan tidak mungkin saya mahu membiarkan ia terus berlaku,” katanya.

Pentas teater juga melihat kehebatan Aaron hingga dilamar untuk membintangi Badai Semalam yang diadaptasi daripada novel popular karya Khadijah Hashim. Ia akan mula dipentaskan di Istana Budaya dari 11 hingga 20 November ini.

Ternyata dalam memberi kata putus terhadap lakonan, Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, ada syarat dan pantang larangnya, hinggakan baru kini terbuka hati beraksi di pentas teater.

Bapa kepada dua cahayamata, Danish Anqi dan Dwi Ariana ini berkata, dia memberikan syarat bahawa pementasan itu bukanlah muzikal supaya tiada nyanyian dan tarian.

“Kalau ada dua perkara ini, saya akan tolak awal-awal kerana saya tidak mahu kelihatan bodoh di pentas nanti. Bukan tidak ada tawaran sebelum ini tetapi kebanyakannya berkonsepkan muzikal menyebabkan saya mengambil keputusan tidak menerimanya.

“Sebelum saya merosakkan hasil kerja orang, lebih baik saya tolak awal-awal tawaran diberikan. Kelemahan saya dua perkara ini iaitu menyanyi dan menari.
Memang orang kata sebagai pelakon perkara itu seharusnya diambil sebagai satu cabaran, tetapi saya kenal diri dan kemampuan saya. Memang saya tidak boleh menyanyi dan tidak pandai menari,” katanya.

Aktor yang cukup popular menerusi watak Malek dalam filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof ini berkata, sebelum ini Erma Fatima pernah melamarnya untuk membintangi Natrah tetapi kerana perlu menyanyi dan menari, dia terpaksa menolaknya.

“Saya juga menyaksikan Remy Ishak dalam drama teater muzikal itu. Dalam hati saya berkata, mujur saya tolak awal-awal. Jika tidak, pasti rosak keseluruhan produksi itu dengan gerak tari saya yang keras macam bangku dan suara pun entah ke laut.

“Pembabitan saya dalam teater ini bermula apabila pihak Istana Budaya merancang untuk mementaskan Salina. Bagaimanapun, kerana beberapa masalah, perkara itu terpaksa dibatalkan.

“Saya memang berminat untuk berlakon dalam Salina tetapi sayang ia terpaksa ditangguhkan. Kerana sudah bersetuju lebih awal, apabila datang tawaran untuk membintangi Badai Semalam, saya terima. Itupun dengan syarat tiada nyanyian dan tarian,” katanya.

Aaron juga menafikan pementasan Badai Semalam ditunda dari April kepada November bukan kerana produksi menunggunya, sebaliknya berlaku masalah membabitkan pertukaran naskhah novel yang mahu diangkat ke pentas teater.

Aktor kelahiran Pasir Ris, Singapura pada 23 Februari 1976 itu pendukung watak utama sebagai Karim iaitu kekasih Mazni lakonan Erra Fazira.

Kata Aaron, antara sebab lain dia menerima tawaran beraksi di pentas teater kerana mahu mencabar kebolehan yang ada pada dirinya dalam bidang lakonan.

“Pentas teater sangat berbeza dan ia sesuatu yang asing bagi saya. Kalau dalam drama, lakonan banyak bermain dengan mata tetapi di pentas, sudah tentu perkara itu tidak nampak jelas. Aksi seorang pelakon itu lebih penting dan itu yang mahu saya pelajari lebih mendalam.

“Teater turut menuntut komitmen tinggi dan berterusan daripada seorang pelakon.
Saya harus memberikan fokus yang bukannya sedikit. Pada saya selain daripada aksi di atas pentas, untuk menjiwai watak romantis dan bertutur dalam bahasa berbunga juga menjadi antara cabaran yang harus saya hadapi.

“Selepas meneliti skrip yang sudah diolah sebanyak tiga kali, saya menyifatkan watak Karim sangat mencabar. Dalam usaha menghidupkan watak itu, saya cuba mencari keselesaan sendiri dan memahami susunan plot dalam skrip. Saya juga akan meneliti novel yang ditulis Khadijah Hashim ini bagi menjiwai watak Karim,” katanya.

PROFIL:

Nama sebenar: Aaron Mustapha Aziz
Tarikh lahir: 23 Februari 1976
Tempat lahir: Pasir Ris, Singapura
Tinggi: 178 sentimeter
Berat: 78 kilogram
Kerjaya: Pelakon, model
Status: Berkahwin
Isteri: Diana Malik
Anak: Danish Anqi dan Dwi Ariana

Drama: Janji Diana, Sumayyah, Sadiq & Co, Cinta Gila, Cinta Lelong, rahsia Hati, Kasih Tercipta, Bulan Bertemu Matahari, Dilemma wanita, Cahaya Kasih, Malam 7 Likur, Hana Hani Strawberi, Oh Ibu, Emel Emilda, Cinta Q, Nora Elena dan Jiwa & Lara

Filem: KL Gangster, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, 2 Alam, Syyhh...Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka dan Datin Ghairah

Pencapaian: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2010

Laporan Penuh Di Sini:
myMetro | Tak pandai menyanyi, menari


Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.








Label: 0 ulasan | edit post
Unknown

Sentuhan anak Malaysia di Makkah


Oleh ANIZA ZAINUDIN
anizazainudin@hmetro.com.my

Bangga...kejayaan sebagai anak Malaysia di persada dunia.
DENGAN jolokan nama ‘Spiderman Malaysia’ di Makkah, sudah tentu tidak tercapai akal fikiran sekumpulan rakyat Malaysia mempunyai keberanian dengan hanya bergantung kepada tali keselamatan untuk memasang komponen pada struktur jam berketinggian 601 meter dari paras laut.

Umum tidak mengetahui kumpulan pakar berkenaan mengambil risiko tinggi mempertaruh nyawa mereka demi menjalankan tanggungjawab mengendalikan operasi pemasangan dan pemantauan Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau lebih dikenali dengan nama Abraj Al-Bait.

Selain menggambarkan keunikan menara jam gergasi menjadi kemegahan umat Islam seantero dunia, rakyat Malaysia juga patut berasa bangga dengan pencapaian anak tempatan yang turut berpeluang membina struktur Abraj Al-Bait.

Berpegang teguh pada ajaran Nabi Muhammad SAW, sekumpulan 14 anak Malaysia mewakili Syarikat Premier Composite Technologies LLC (PCT) menggembleng tenaga dan kemahiran bagi memastikan keutuhan struktur menara berkenaan terjamin.

Jurutera Reka Bentuk dan Seni Bina PCT, Hairul Nizam Baharuddin, 34, mengakui teruja menerima tanggungjawab itu apabila berkesempatan berganding bahu dengan rakan senegara daripada syarikat berbeza untuk projek antarabangsa.

Selaku ‘orang’ utama, anak kelahiran Melaka ini berperanan mengetuai 13 lagi rakan senegara yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang tersendiri, merangkumi operasi pemasangan, pemantauan dan pengurusan di bawah kendalian PCT.

Hairul Nizam bukan saja menguruskan hal pentadbiran, pemantauan pembinaan dan penghasilan struktur binaan diterima daripada Dubai, bahkan bertanggungjawab menjaga kebajikan anak buahnya.

“Ini cabaran terbesar yang pernah saya lalui dalam menguruskan projek raksasa. Bukan hanya berkisar kepada pengurusan, sebaliknya aspek kejuruteraan, reka bentuk struktur dan seni bina.

“Tambahan pula, tidak ramai yang mahir berkaitan ilmu bidang komposit teknologi tinggi. Ia memberi peluang untuk berkongsi pengetahuan, kemahiran dan idea daripada pihak terbabit.

“Biarpun memiliki pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang ini, masih banyak perlu saya pelajari dan terokai. Pengetahuan ini wajar dikembangkan bukan hanya keperluan diri, bahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Meluahkan rasa bangga menjadi insan terpilih bagi menjayakan projek Abraj Al-Bait, Hairul Nizam berpendapat ia satu manfaat berkongsi pendapat dan bertukar-tukar kepakaran.

Kerjasama membabitkan rakyat negara asing seperti Pakistan, India, Iran dan Syria membuatkan lelaki ini menggunakan pelbagai kaedah berkomunikasi bagi memastikan mesej difahami.

Biarpun menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantara utama, ia bukan jaminan keberkesanan komunikasi antara mereka, apatah lagi wujud perbezaan bahasa dan budaya.

Berada pada ketinggian 380 meter untuk memasang jam berkenaan, rakan sekerjanya, Armiazizul Ariffin menyifatkan bekerja di tempat tinggi menjanjikan kepuasan dirinya, selain teruja dengan kerjaya sebagai pendaki.

Menurutnya, bidang kepakaran pendaki terbahagi kepada dua kategori iaitu industri dan sukan.

Katanya, bagi kategori industri, segelintir syarikat memerlukan pendaki yang memiliki kelayakan akademik sama ada kejuruteraan awam mahupun mekanikal.

Malah, pendaki diharuskan memiliki lesen khas iaitu Industrial Rope Access Trade Association (IRATA) diiktiraf antarabangsa sebelum diajar aspek dan teknik keselamatan.

Sementara itu, rakannya, Zulkefli Sulaiman berkata, pengalaman yang ditimba sebelum ini membuatkan dirinya yakin melakukan kerja mengguna tali keselamatan.

Menjadikan halangan dan dugaan dilalui sebagai titik permulaan, beliau berkata, keberanian antara elemen penting yang perlu ada dalam diri individu. Ia bukan mudah untuk diperoleh, kecuali disertakan bersama minat mendalam.

Abraj Al-Bait cukup unik apabila setiap kali azan bergema menandakan masuknya waktu solat di tanah suci Makkah, cahaya berwarna hijau dan putih akan terpancar sejauh 30 kilometer.

Cahaya yang terhasil daripada 21,000 lampu itu menjadi isyarat kepada penduduk kota berkenaan untuk menunaikan perintah Allah, seperti mana di Malaysia, masyarakat Melayu tradisional menggunakan beduk sebagai peralatan hebahan.

Menara berkenaan menjadi lambang kemegahan terkini umat Islam apabila berjaya merebut gelaran jam gergasi dunia pada ketinggian 601 meter dan berdiameter 46 meter.

Meninggalkan jauh saingannya seperti Menara Jam Palace of Culture and Science di Warsaw, Poland, The Big Ben, London dan Ann-Bradley, Milwaukee, Amerika Syarikat, Abraj Al-Bait dibangunkan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud menerusi Yayasan Raja Abdul Aziz, selain menggunakan 250 tenaga mahir Muslim.

Memiliki empat muka yang diperbuat daripada jubin komposit berteknologi tinggi dan sebahagian bersalut emas, jam gergasi itu turut tertera perkataan Allah di bahagian atas selain bercahaya menggunakan dua juta lampu LED.

Menggunakan kepakaran jurutera Jerman dan Switzerland serta dibangunkan kontraktor Kumpulan Binladen, jam kebanggaan masyarakat padang pasir yang mampu dilihat seluruh kota Makkah itu memulakan operasi sejak 11 Ogos, tahun lalu.

Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | Sentuhan anak Malaysia di Makkah

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.

Label: 0 ulasan | edit post
Unknown


Enggan jadi gadis hipokrit


Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

MANJA...kuda pun suka bermanja dengan gadis secantik Anzalna dan Ramona.
WAJAH cantik dikatakan satu taruhan buat dua bintang baru, Nur Anzalna Md Nasir atau Anzalna dan Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam (Ramona) bagi mengukir nama dalam industri seni tempatan.

Tambahan pula mereka pernah menjadi finalis pertandingan Dewi Remaja, maka selalunya wajah yang cantik lebih disebut-sebut.


Sudah tertulis, rezeki menyebelahi mereka apabila disatukan dalam filem Sepah The Movie yang kini masih menjalani penggambaran di Johor Bahru, Johor.

Ditemui pada satu sesi fotografi khas bersama Rap di pusat Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts, baru-baru ini, kedua-dua artis jelita terbabit menafikan bahawa pembabitan mereka dalam dunia lakonan bersandarkan rupa semata-mata.




Kata Anzalna, 23, sebagai pelakon rupa bukanlah segalanya. Malah, sesiapa saja mampu kelihatan cantik kalau pandai bersolek.



“Saya bukannya cantik sangat,” katanya merendah diri dan kemudian menyambung, “Sebagai pelakon, saya seboleh-bolehnya mahu membuktikan kepada penonton akan bakat dimiliki. Waktu sama, sekiranya saya bergantung kepada rupa saja pasti kerjaya lakonan tidak akan bertahan lama.” 

Jinak bermanja dengan kuda, gadis ini menjelaskan, kalau seseorang pelakon itu mampu membawakan wataknya dengan berkesan, pasti penonton akan lebih ingat dan tidak lagi ‘ambil pusing’ soal rupa.

Atas alasan itu juga kata Anzalna, dia tidak pernah gentar untuk menonjolkan dirinya yang sebenar termasuk memperkenalkan teman lelaki kepada umum kerana baginya hal peribadi dan kerjaya tidak seharusnya dikaitkan.

“Saya tidak suka menipu kerana saya percaya walau macam mana pun saya cuba menyembunyikan perkara sebenar, kebenaran akan diketahui juga pada masa akan datang. Bayangkan kalau saya kata saya tidak ada teman lelaki, kalau orang nampak saya keluar berdua pasti kelak akan ada orang mencemuh dan kata saya hipokrit. Saya tidak mahu perkara itu berlaku.

“Mengaku sudah mempunyai teman lelaki juga bukanlah satu perkara yang salah.
Sebaliknya kalau kita menipu orang itu salah. Bagaimanapun, jangan ada pula pihak yang menyalah anggap dengan mengatakan, saya sengaja bercakap sudah mempunyai teman lelaki dengan niat untuk menunjuk-nunjuk. Cuma kalau ada yang bertanya saya akan bercakap benar. Itu sudah menjadi prinsip hidup saya,” katanya.

Bercerita mengenai persaingan yang ada sekarang terutama daripada rakannya sendiri yang sama-sama menyertai pertandingan Dewi Remaja dan menjadi pilihan penerbit, kata Anzalna, perkara itu tidak perlu dibimbangkan kerana rezeki setiap orang sudah ditetapkan.

“Begitu juga dengan perkahwinan. Mungkin ada orang takut hendak mengakui sudah mempunyai teman lelaki atau berkahwin dengan alasan peminat akan lari dan produser tidak mahu memberikan tawaran berlakon. Perkara seperti itu tidak akan berlaku sekiranya seorang pelakon itu benar-benar menunjukkan bakatnya,” katanya. 

Beralih kepada watak yang dilakonkan dalam filem Sepah The Movie, jelas Anzalna, dia memegang watak sebagai gadis kampung bernama Ayu Sofea bersifat lemah lembut dan menjadi rebutan.

“Watak yang saya bawakan dalam filem ini tidaklah berat sangat. Boleh dikatakan Ayu Sofea ini banyak persamaan dengan diri saya. mengenai babak cinta dalam filem ini sebenarnya tidaklah banyak sangat,” katanya.

Sementara itu bagi Ramona, dia menyangkal kenyataan yang mengatakan pembabitannya dalam dunia lakonan berbekalkan rupa dan statusnya sebagai peserta Dewi Remaja. Sebaliknya dia sudahpun berlakon sejak berusia 14 tahun lagi.

“Sebelum ini memang tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi pelakon tetapi pembabitan saya dalam filem Castello mengubah segala-galanya. Saya berasakan seperti lakonan sudah menyerap dalam diri, dan sejak itu saya tahu inilah yang saya mahu lakukan untuk kerjaya,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Ramona, dia terpaksa melupakan dunia lakonan buat sementara waktu kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran. Itu juga syarat yang diberikan ibu bapanya sekiranya dia mahu menjadikan lakonan sebagai kerjaya.

“Saya berlakon sewaktu berada di tingkatan dua, kemudian ibu bapa saya minta saya berikan tumpuan kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sehinggalah tamat pengajian sekolah menengah. Selepas itu, saya berlakon kembali tetapi tidak beberapa aktif. Mungkin sebab itu orang tidak berapa kenal saya sebagai pelakon sehinggalah selepas saya menyertai pertandingan Dewi Remaja,” katanya.

Pada Ramona, walaupun dia meminati bidang lakonan tetapi tumpuan terhadap pelajaran juga tidak boleh diabaikan kerana ia mampu dijadikan bekalan pada 
masa depan. Tawaran untuk membintangi filem Sepah The Movie pula berani 
diterima pada saat dia bakal menamatkan pengajian dalam bidang pengajian 
perniagaan tidak lama lagi.

Walaupun namanya tidak sehangat rakan seangkatan seperti Neelofa mahupun Izara Aishah, Ramona tidak menafikan Dewi Remaja sedikit sebanyak berjaya mengangkat namanya lebih dikenali dan dijadikan laluan untuk kembali aktif berlakon.

“Memang kami dilihat cuba bersaing sesama sendiri tetapi setakat ini, saya nampak semua yang menyertai bidang lakonan boleh berdiri dengan bakat masing-masing. Malah, saya sendiri secara peribadi banyak menerima tawaran berlakon. 
Alhamdulillah, masing-masing sudah didatangkan rezeki dan cuma sekarang ini saya harus bekerja keras untuk membuktikan kepada umum yang saya benar-benar berbakat dalam dunia lakonan,” katanya.

PROFIL ANZALNA

NAMA: Nur Anzalna Md Nasir
NAMA KOMERSIAL: Anzalna
TARIKH LAHIR: 9 Januari 1988
USIA: 23 Tahun
ASAL: Pulau Pinang
HOBI: Melancong, karaoke, menghias rumah
KERJAYA: Model, pelakon
DRAMA: Suria Di Cardoba, Ramadan Terakhir, Gemersik Kalbu
FILEM:: Sepah The Movie
IKLAN: Celcom, Tren2, French Oil

PROFIL RAMONA

NAMA: Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam
NAMA KOMERSIAL: Ramona Zamzam
TARIKH LAHIR: 25 Jun 1990
USIA: 21 Tahun
ASAL: Ipoh, Perak
HOBI: Menunggang Kuda, membaca novel, melancong
KERJAYA: Pelajar, pelakon, model
PENDIDIKAN: Pelajar Pengurusan Perniagaan di Segi College

DRAMA: Begitukah Cinta, Nora Elina, Kali Kedua, Nilapura, Sitcom Nana Tanjung, Otai 

FILEM: Castello, 2 Hati 1 Jiwa, Sepah The Movie

Laporan Penuh Di Sini:

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.



Label: 0 ulasan | edit post
Unknown



Sindiket pelacuran ‘uji pasaran’



KUALA LUMPUR: Tindakan sindiket pelacuran mewujudkan blog tertentu dalam Internet bagi memudahkan pelanggan memilih teman sosial disifatkan sebagai ‘menguji pasaran’.
Perkara itu diakui Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang menyifatkan sindiket pelacuran sentiasa mencari jalan bagi memastikan kegiatan haram itu sentiasa ‘hidup’.

Beliau mengulas laporan Harian Metro, Isnin lalu, mengenai kewujudan blog khas ‘Pretty Women Club’ atau ‘Kelab Wanita Cantik’ yang membuka peluang kepada lelaki hidung belang memilih teman sosial melalui Internet.


Laporan itu menyebut, melalui blog terbabit, pelanggan hanya perlu menghantar SMS bagi memilih wanita dikehendaki selain mendapatkan pasangan sosial masing-masing.

Menurut Abdul Jalil, modus operandi digunakan sudah lama ‘diaplikasi’ sindiket pelacuran, namun kewujudan semula hanya sebagai ‘menguji pasaran’ bagi memastikan sama ada ia masih berkesan atau sebaliknya.


Beliau berkata, sebelum ini, kebanyakan sindiket pelacuran menggunakan cara sama memancing pelanggan di Internet, namun atas usaha polis ia disekat sebelum muncul semula.

“Tanpa disangka, sindiket itu muncul kembali dan terbaru melalui Kelab Wanita Cantik iaitu sindiket yang memancing pelanggan mendapatkan pelacur secara mudah dengan hanya menghantar SMS.

“Kami (polis) sudah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara itu dan akan bekerjasama membendung gejala tidak sihat itu,” katanya.


Katanya, SKMM kini memantau pergerakan blog berkenaan dengan beberapa anggota dikerah melakukan siasatan terhadap sindiket terbabit.

“Polis memerlukan sedikit masa untuk menyiasat dan setakat ini mendapat tahu blog terbabit sudah pun dibubarkan,” katanya.



Laporan Penuh Di Sini:



Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.



Label: 0 ulasan | edit post
Unknown




7 perangai pelik Gaddafi



CARA HIDUP LUAR BIASA...selain sentiasa dikawal sehingga 40 anggota keselamatan khas terdiri daripada anak dara

TRIPOLI: Muammar Gaddafi yang memerintah Libya selama 42 tahun kini menjadi sejarah dan bakal dikenang sebagai diktator yang didakwa menaja keganasan di negara luar.

Namun, di sebalik legasi itu, Gaddafi juga akan diingat sebagai tokoh yang suka melakukan perkara pelik.


Laman sesawang ABCNews.com menyenaraikan tujuh keanehan utama yang dilakukan Gaddafi.

- Khemah kalis peluru: Ketika berada di Tripoli, Gaddafi tinggal dalam kubu dilengkapi dengan rangkaian sistem terowong untuk menyelamatkan diri.Apabila berkunjung ke luar negara, tokoh berdarah Badwi itu membawa bersamanya khemah untuk dipasang di tempat difikirkan sesuai. Disebabkan set khemah kalis peluru itu terlalu berat, ia terpaksa diangkut menggunakan pesawat berasingan yang mengiringi ke mana saja Gaddafi pergi. Untuk menghidupkan suasana padang pasir, dia juga menambat seekor dua unta di luar khemahnya.

- Pengawal anak dara: Nampaknya pengawal ini tiada ketika mereka sangat diperlukan apabila Gaddafi ditangkap kelmarin, tetapi biasanya tokoh itu dikelilingi 40 anggota terlatih sepanjang masa. Digelar sebagai Amazon, pengawal wanita itu dilaporkan semuanya masih dara dan mereka berikrar mempertahankannya sebelum menyertai pasukan berkenaan. Dilatih di sebuah pusat latihan wanita, pengawal terbabit dipilih sendiri oleh Gaddafi dan mengenakan mekap, kasut but bertumit tinggi.

- Jururawat seksi: Selama sedekad, seorang jururawat Ukraine, Galyna Kolotnytska, sering dilihat berada di sisi Gaddafi. Digambarkan sebagai mempunyai bentuk badan mengghairahkan, Galyna didakwa seorang daripada pembantu paling dipercayai Gaddafi dan dipercayai menjalin hubungan romantik dengan diktator terbabit. Sejumlah jururawat Ukraine turut berkhidmat untuk Gaddafi dan mereka memanggilnya dengan gelaran “papa” atau “daddy”.

- Jatuh hati kepada Condoleezza Rice: Pada 2007, Gaddafi menggelar bekas Setiausaha Negara AS itu sebagai “wanita kulit hitam Afrika yang dikasihi.” Ketika Condoleezza melawat Tripoli pada 2008, Gaddafi memberikan pelbagai hadiah bernilai AS$200,000 (RM629,880), termasuk cincin. Bagaimanapun, minatnya kepada wanita itu hanya terbongkar selepas pemberontak menawan Tripoli. Antara barangan yang ditemui di situ, satu album mengandungi puluhan gambar Condoleezza.

- Takut menaiki pesawat dan lif: Antara alasan Gaddafi gemar membawa bersamanya khemah jika ke tempat lain adalah kerana bimbang terpaksa menggunakan lif untuk menginap di hotel. Melalui kabel diplomatik yang bocor, Gaddafi juga tidak suka berada di tempat tinggi dan enggan terbang lebih dari lapan jam. Jika perlu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gaddafi akan singgah bermalam di Portugal.

- Had maksimum anak tangga yang mahu dinaikinya hanyalah 35 langkah.

- Bunga Bunga: Pada 2010, satu daripada aktiviti masa lapang Gaddafi didedahkan melalui laporan pendakwa Itali yang menyiasat salah laku Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

-Menurut laporan, pelacur berusia 17 tahun yang dilanggan Berlusconi, Karima el-Magroug, mendakwa Perdana Menteri Itali itu mengaku “menggunakan formula Gaddafi” ketika mereka berfoya-foya.

-Pakaian aneh: Ketika pemimpin negara berbaris untuk bergambar bersama, amat mudah mengenali Gaddafi kerana pemilihan pakaiannya yang berbeza daripada yang lain.

-Biasanya, Gaddafi mengenakan pakaian khas yang direka hasil gabungan di antara seragam tentera yang diubah suai dengan tradisi Badwi Afrika. - ABC

Laporan Penuh Di Sini:
myMetro | 7 perangai pelik Gaddafi


Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.

Label: 0 ulasan | edit post
Unknown



Budak kena gilis di China mangsa undang-undang lapuk

Oleh Khaidir A Majid

2011/10/22






MEDIA di China dan pelayar internet di seluruh dunia awal minggu ini mengecam ketandusan nilai kemanusiaan yang dipaparkan penduduk bandar Foshan di wilayah Guandong berikutan satu kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak kecil.

Insiden berkenaan menyaksikan kanak-kanak perempuan yang berusia dua tahun itu dilanggar dua kali oleh dua van berlainan di sebuah jalan raya. Kanak-kanak itu yang berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan, tidak langsung dibantu oleh lebih 10 orang yang lalu lalang di jalan yang sempit itu.
Insiden pada 13 Oktober itu dirakam oleh kamera kawalan dan disiarkan oleh stesen televisyen Southern Television Guangdong (TVS). Penonton televisyen di Malaysia turut menyaksikan insiden itu apabila ia disiarkan sebagai berita utama oleh TV3.
Pemandu van putih yang pertama melanggar kanak-kanak itu meninggalkan mangsa kecilnya itu berlumuran darah di tepi jalan. Kira-kira enam minit kemudian, lebih 10 orang lalu di jalan itu dan tidak seorang pun melakukan apa-apa untuk membantunya. Kanak-kanak itu kemudian digelek oleh sebuah van lagi dan hanya selepas itu seorang wanita tua yang mengutip sampah membantu mangsa. Wanita tua itu memberitahu ibu kanak-kanak itu mengenai nasib malang anaknya. 

Mangsa yang dibawa ke hospital kini dalam keadaan koma. Doktor berkata kanak-kanak perempuan itu kini dianggap ‘mati otak’ dan pada bila-bila masa boleh menghembus nafas terakhirnya. Walaupun sejak itu pemandu kedua-dua van terbabit sudah ditahan polis, insiden berkenaan memeranjatkan orang ramai dan mencetuskan debat mengenai tahap moral di negara itu. Apakah nilai kemanusiaan sudah lenyap langsung di China? Apakah pembangunan pesat sesebuah negara akan membuatkan seseorang terlalu sibuk mengejar kemewahan sehingga tidak lagi hirau mengenai nasib insan yang lain? 

Debat yang sama turut berlaku di Britain apabila seorang pelajar Malaysia dipukul perusuh yang berpura-pura membantu mangsanya yang jatuh daripada basikal yang ditungganginya. Selepas insiden berkenaan, penduduk Britain mula menyoal keruntuhan tahap moral di negara itu. Mereka mula melihat apakah punca keruntuhan itu dan mempersoalkan sama ada sistem pendidikan negara menyumbang kepadanya. 

Namun insiden terbaru di China itu bukan saja membabitkan soal moral. Kanak-kanak kecil terbabit mungkin juga menjadi mangsa kepada undang-undang yang tidak memihak kepada mereka yang membantu mangsa kemalangan. Ramai di China enggan membantu mangsa kemalangan kerana bimbang mereka akan dipersalahkan kemudian. Beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini menyaksikan mereka yang membantu disaman oleh mangsa yang dibantunya. 
Mungkin atas alasan inilah lebih 10 orang yang lalu lalang di depan kanak-kanak malang berkenaan enggan membantunya. Apa sekali pun moral yang tinggi yang dibanggakan rakyat China sebelum ini kini dilihat mula lenyap, digantikan dengan kegilaan mencari keuntungan dan menghimpun material. Apa-apa undang-udang dirangka sekali pun tidak akan menyelesaikan masalah keruntuhan nilai kemanusiaan ini. Apa yang penting ia harus dipupuk oleh pendidikan baik di sekolah, mahupun di rumah.


Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.



Unknown



Terbayang azab menanti



Oleh Hellinie Sina
hellinie@hmetro.com.my


LEBIH SELESA...Diana kini berimej baru bertudung sepenuhnya.

HAYATI...(dua dari kiri) Diana dalam filem 7 Petala Cinta.

SUATU ketika dulu, gadis lincah ini pernah terpalit dengan kontroversi sebagai pelakon seksi di awal pembabitannya dalam dunia seni.

Kini si cantik manis Diana Amir melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya dengan mengucapkan selamat tinggal kepada imej berkenaan. 



Semakin matang dan dewasa menempuhi kehidupan sebagai seorang artis menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berubah ke arah yang lebih baik sesuai dengan peningkatan usianya.

Pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Impian bergandingan dengan Wardina melakukan perubahan mengejut apabila mula memakai hijab sepenuhnya bermula pada bulan lalu tanpa memaklumkan kepada sesiapa termasuk ibu bapanya. Apa yang pasti, Diana nekad menutup aurat.




Bukan mudah gadis kelahiran Johor Bahru ini membuat perubahan besar seperti itu, tetapi apabila membayangkan masa kiamat nanti Diana tanpa menunggu lebih lama melakukan perubahan itu.



Mengambil masa selama empat bulan, Diana mengenakan tudung secara berperingkat bagi membiasakan dirinya dengan keadaan baru.

Kini gadis berusia 25 tahun itu tidak kisah sama ada peminat atau masyarakat di luar mengatakan dia lebih cantik jika tidak bertudung kerana baginya hijab bukan hanya di kepala, tetapi juga di hati. 

Diana lebih selesa dengan penampilan terbarunya kerana merasakan dirinya lebih terjaga daripada pandangan umum.

Mungkin sesetengah individu menganggap Diana bertudung hanya sebagai gimik untuk filem 7 Petala Cinta kerana buat pertama kalinya dia memegang watak dengan karakter bertudung labuh. 

Namun, realitinya ia adalah imej yang akan dikekalkan Diana sehingga ke akhir hayat. 

Yakin dengan keputusan itu, Diana cuba memenuhi tuntutan sebagai Muslimah iaitu hukum wajib bagi seorang wanita Islam memakai tudung.

“Saya mengambil masa selama empat bulan melatih diri sebelum memakai tudung sepenuhnya. 

“Pada mulanya saya memakai tudung untuk beberapa hari kemudian kembali ke imej lama iaitu ‘free hair’ apatah lagi apabila saya memenuhi tuntutan watak dalam lakonan. Apabila melakonkan watak dalam 7 Petala Cinta, saya terbiasa dengan hijab di kepala lalu selama beberapa minggu apabila keluar dari rumah saya mengenakan tudung, tetapi saya akui pada ketika itu saya masih belum cukup kuat lalu kembali tidak bertudung.

“Sebenarnya, niat untuk bertudung ini sudah lama namun mungkin sebab azab bukan 
di depan mata maka niat untuk bertudung ini ditangguhkan. 

“Tetapi, sejak beberapa bulan lalu, apabila saya seorang diri, selalu terbayang azab di hari kiamat. Sekarang ini kita ada kawan dan keluarga yang selalu bersama-sama dengan kita namun bila di akhirat kita tidak ada siapa-siapa,” katanya.

Mempunyai keluarga angkat di Shah Alam, Diana menyifatkan mereka golongan yang warak. 

Sebagai seorang Muslimah, dia segan sendiri apabila bertandang ke rumah itu kerana menyedari tanggungjawab sebagai seorang Islam namun tidak menunaikannya. 
Mencari ruang untuk melawat keluarga angkatnya ketika bulan Ramadan yang lalu, Diana berkata sepanjang berada di rumah itu, dia menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama.

Semuanya bermula apabila pada hari raya ketiga, Diana berkesempatan berjumpa dengan temannya yang terlebih dulu sudah memakai hijab. 

Berkongsi perjalanan hidupnya, pada malam itu Diana menilai dirinya dan merenung masa akhiratnya.

“Kenapa mesti berdegil sedangkan dalam al-Quran sendiri sudah menjelaskan mengenai perihal bertudung. 

“Jadi, tidak ada alasan lagi kenapa saya menangguhkan perkara yang baik. 

“Apabila sudah menutup aurat, semuanya terjaga. Dari segi percakapan, perlakuan, pergaulan dan pemakaian, semua perlu dilakukan seimbang dengan imej bertudung kerana saya tidak mahu dikatakan bertudung hanya kerana terikut-ikut,” katanya.

Apabila dilihat industri seni pada masa kini, fenomena artis bertudung seakan-akan menjadi ikutan. Bermula dengan Irma Hasmie, kemudian Raja Farah dan kini anak keempat daripada tujuh beradik ini.

Tidak kisah dengan rezeki selepas bertudung, Diana berkata dia percaya sekiranya rezekinya, maka ia akan datang tanpa dicari. 

Selepas ini, dia akan lebih berhati-hati ketika memilih watak yang sesuai dengan imej bertudungnya. 

Tidak menafikan pelakon yang tidak bertudung mungkin menjadi pilihan kerana boleh membawakan pelbagai peranan, tetapi Diana lebih takutkan akhirat berbanding tawaran berlakon.

Diana yang merancang untuk memasuki kelas usrah menjelaskan selagi dia tidak berkahwin, dosa yang dilakukan ditanggung oleh ayahnya. 

Tidak mahu kejam dengan orang tuanya, dia turut menambah bahawa ayahnya selalu mendoakan yang terbaik untuknya maka tidak ada sebab bagi Diana membiarkan dosanya diletakkan atas bahu insan yang disayanginya.

Tidak berniat untuk memberitahu peminat berita penghijrahannya, Diana mahu benar-benar selesa dengan imej baru dan yakini terlebih dulu sebelum uar-uarkan perubahan itu. Namun, peminat lebih dulu menghidu perkara baik itu dan Diana tidak mempunyai pilihan lain selain mengiyakan perkara terbabit.

Menafikan perubahan itu disebabkan oleh kekasih hati, Diana menjelaskan setakat ini hatinya masih belum dimiliki dan keputusan untuk bertudung adalah disebabkan diri sendiri dan bukan berpunca dari orang lain. Keluarganya juga hanya mengetahui Diana sudah bertudung selepas beberapa hari dia menutup aurat.

Bercakap mengenai filem 7 Petala Cinta, Diana memegang watak sebagai Hilma Aqila iaitu penuntut madrasah. Hilma sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain walaupun ia amat menyakitkan dirinya. Dia mencintai seseorang namun sanggup melepaskan lelaki itu demi kegembiraan insan lain.

Diana yang bernaung di bawah MIG Production Sdn Bhd merasakan keputusan yang dilakukannya itu tepat. Setakat ini masih ada lima filem yang bakal ditayangkan di pawagam - antaranya ialah Keramat, 7 Petala Cinta dan X. 

Menurut Diana, 7 Petala Cinta adalah lakonannya yang pertama dia memakai tudung labuh manakala X adalah filem terakhir lakonannya sebelum dia berhijab.




Laporan Penuh Di Sini:


myMetro | Terbayang azab menanti


Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.








Label: 0 ulasan | edit post
Unknown


Isteri terbocor rahsia sendiri


Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my



JOHOR BAHRU: Curiga sang suami terhadap isterinya yang beria-ia mahu menggugurkan kandungan membongkar kecurangan wanita terbabit yang dikahwini sejak 12 tahun lalu.


Semuanya bermula apabila si suami yang juga pakar psikologi dan hanya mahu dikenali sebagai Shan, 40, mengetahui isterinya hamil anak ketiga, tetapi hairan selepas wanita terbabit beria-ia mahu menggugurkan kandungan dengan alasan tidak mahu anak lagi.


Menurut Shan yang bertugas di sebuah syarikat swasta di bandar raya ini, isterinya yang hanya dikenali sebagai Rupa, 31, rupa-rupanya mengandungkan anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan rakan sepejabat berusia 40-an.

“Semuanya bermula pada Ogos 2009 apabila isteri memaklumkan dia hamil dua bulan. Saya sangat gembira, tetapi sebaliknya dia bengang dengan perkara berkenaan.



“Saya mula hairan dan selepas membuat perkiraan, saya sudah beberapa minggu tidak bersamanya dan mustahil dia hamil dua bulan,” katanya, semalam.



Laporan Penuh Di Sini:


Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.









Label: 0 ulasan | edit post
Unknown


Genius Apple ditewas barah



SAN FRANCISCO: Pengasas Apple Computer, Steve Jobs, meninggal dunia akibat kanser pankreas pada usia 56 tahun semalam, selepas dia berjaya merevolusikan budaya moden dan mengubah selama-lamanya perhubungan teknologi melalui pelbagai inovasi.


Antara sumbangan Jobs kepada dunia ialah mencipta iPad dan iPhone.

Dalam kenyataan lembaga pengarah Apple semalam, syarikat gergasi itu mengesahkan kematian Jobs dan bersedih atas kehilangan itu.




“Jobs seorang pintar, bersemangat dan bertenaga menjadi sumber pelbagai inovasi yang memperkaya dan meningkatkan kualiti hidup kita.

“Dunia ini menjadi lebih baik kerana Jobs,” kata kenyataan itu.


Lahir di San Francisco pada 24 Februari 1955, Jobs lahir tanpa bapa dan dijadikan anak angkat kira-kira seminggu selepas itu.





Dibesarkan di kawasan Mountain View - sebuah kawasan pertanian yang kemudian menjadi hab teknologi dunia dikenali sebagai Lembah Silicon.

Jobs juga menjadi pengasas bersama pengeluar filem dihormati, Pixar, pada 1986 selepas dia membeli unit komputer grafik penerbit Star Wars, George Lucas.


Semalam, Jobs meninggal dunia di kelilingi ahli keluarganya.

Kematian Jobs turut dirasakan di seluruh dunia, dengan peminat Apple membanjiri laman sesawang sosial dengan menyatakan ucapan dan penghargaan masing-masing.


Orang biasa - kebanyakannya tahu berita kematian itu melalui iPhone dan iPad mereka - menggunakan Twitter menyatakan penghargaan.


Jobs hanya berusia 21 tahun ketika dia mengasaskan Apple Computer bersama rakannya, Steve Wozniak - ketika itu berusia 26 tahun - pada 1976.


Daripada syarikat sederhana, Apple berkembang menjadi satu daripada firma paling bernilai di dunia kini.


Pada Julai lalu, perolehan keuntungan separuh kedua Apple mencapai RM23.2 bilion.


Presiden Barack Obama turut memberi penghormatan ke atas Jobs dengan menggelarnya sebagai “pakar inovasi terhebat” yang mengubah hidup manusia dan memberi makna baru kepada keseluruhan industri.


“Dia mengubah cara setiap kita melihat dunia,” katanya. Jobs meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Apple enam minggu lalu.


Jobs meninggal dunia sehari selepas Apple melancarkan produk terbarunya, iPhone 4S, tetapi gagal menarik sambutan seperti diharapkan.


Dia meninggalkan isteri, Laurene, bersama tiga anak mereka, selain seorang anak perempuan hasil hubungan Jobs dengan seorang wanita lain sebelum dia berkahwin. - AFP




Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | Genius Apple ditewas barah

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.










Label: 0 ulasan | edit post
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...