Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


JOHOR BAHRU: Anggota bomba yang koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat dipatuk ular Khamis lalu mula menunjukkan perkembangan positif dan boleh berinteraksi dengan kakitangan hospital yang merawatnya.
Pengarah HSI, Dr Arbain Lani ketika dihubungi semalam berkata, mangsa ditempatkan di ICU berikutan masih memerlukan pemantauan berterusan.

“Mangsa sudah menjalani pembedahan pada hari minggu lalu untuk membersihkan luka di betis kanannya yang dipatuk reptilia berbisa itu.

“Kami juga berpuas hati dengan perkembangan yang ditunjukkan mangsa apabila dia sudah boleh bercakap dan tidak mengalami simptom seperti sesak nafas kesan sampingan bisa reptilia berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan pihak hospital juga mendapati sistem badan mangsa juga berfungsi dengan baik dan tidak terjejas akibat bisa ular berkenaan. Bagaimanapun, katanya, dia masih memerlukan rawatan susulan sebelum boleh dipindahkan ke wad biasa.

Dalam kejadian di kuarters Syarikat Air Johor Holdings di Kampung Sungai Telur di sini, kira-kira jam 12.37 tengah hari Khamis lalu, Mohd Safa Mausor, 50, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, dipatuk reptilia berbisa itu ketika cuba menyelamatkan rakannya, Nor Subory Md Esa, 40, yang terjatuh.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, reptilia sepanjang lebih satu meter itu mengejar Subory menyebabkan Safa bertindak mengalihkan perhatian haiwan berkenaan bagi menyelamatkan nyawa rakannya sebelum dia sendiri dipatuk.

Safa tidak sedarkan diri ketika ditahan di wad Hospital Kota Tinggi (HKT) menyebabkan dia dipindahkan ke HSI bagi rawatan lanjut.

Selepas lima hari tidak sedarkan diri dia menunjukkan perkembangan positif apabila mula membuka mata tengah hari kelmarin dan berinteraksi dengan kakitangan hospital.

Laporan Penuh Di Sini:


0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...