Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

Korban Demi Keluarga

KUALA LUMPUR: Atas dasar kesempitan keluarga, dua beradik terpaksa tinggal berjauhan dan berasingan dengan keluarga tercinta sejak setahun lalu.


Namun, kerana mahu berkorban demi kesejahteraan keluarganya, Fatin Nur Izzah Mohd Yusof, 10, dan adiknya, Nur Saadah, 8, rela dihantar ke Pusat Jagaan Lambaian Kasih di Kampung Sungai Penchala, di sini, oleh ibu-bapa mereka yang tidak berkemampuan untuk menyara mereka dan tujuh adik-beradik lain.

Fatin Nur Izzah berkata, ibunya terpaksa bekerja keras untuk membesarkan mereka adik-beradik.

“Ibu tidak mampu untuk menjaga saya dan adik sebab pendapatannya sedikit dan adik-beradik saya ramai.

“Waktu mula-mula terpaksa tinggal di sini memang rasa sedih tapi lama-kelamaan saya seronok sebab dekat sini ada ramai kawan,” katanya sambil ditemani Nur Saadah.

Selain mereka, Mohd Asiel Baqiatullah Ridwan, 11, turut mengalami nasib sama selepas keluarganya terpaksa berhijrah ke Labuan, Sabah.

Mohd Asiel berkata, selain dirinya, dua abangnya turut tinggal berjauhan daripada keluarga.

“Dulu kami tinggal di Kedah sebelum ayah dan ibu berhijrah ke Labuan untuk bekerja. “Ikutkan hati memang nak ikut tinggal dengan ayah tapi nak buat macam mana, sudah tak boleh sebab emak tak mampu,” kata anak kelapan daripada 12 adik-beradik itu.

Menurut penjaga di situ, Norhayati Idris, mereka jarang balik ke rumah masing-masing dan hanya menghabiskan waktu cuti persekolahan atau hari raya di pusat jagaan itu.

“Kebanyakan anak-anak di sini memang jarang balik mungkin disebabkan ibu bapa mereka sibuk bekerja dan menguruskan anak yang lain.

“Tapi, jika di sini sekalipun, waktu terluang mereka tetap diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah lain seperti berlatih nyanyian nasyid, bermain kompang, silat, sajak dan bercerita,” katanya.

Norhayati yang mesra dipanggil ustazah di kalangan anak-anak di pusat jagaan itu, bagaimanapun gembira kerana dapat menabur bakti dan berkorban demi keselamatan serta masa depan anak-anak berkenaan.

Laporan Penuh Di Sini:

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...