Unknown


Usah Jatuhkan Maruah Fauziah
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2010/11/04

PERSELISIHAN antara Pengarah Urusan Bruang Filem Sdn Bhd, Burhanuddin Radzi yang juga penerbit filem Zaiton Ceritaku dengan pengarah filem itu, Fauziah Nawi masih belum berakhir.

Kedua-duanya sudah pun membuat kenyataan pembelaan masing-masing di dalam akhbar.  

Fauziah dalam kenyataannya dilihat seakan-akan merelakan Burhanuddin mengkritiknya atau ‘berbuat apa saja’ kerana sebagai orang yang sudah berada lama dalam industri seni, dia faham penerbit itu mengeluarkan wang yang banyak untuk menghasilkan filem berkenaan.

Burhanuddin pula dilihat begitu lantang meluahkan rasa hampanya terhadap Fauziah, iaitu seorang pelakon yang penuh karakter. Dalam kenyataannya, Burhanuddin sanggup melabelkan Fauziah sebagai pemalas dan degil.

Fauziah dikatakan tidak mengendahkan kualiti visual dan audio dan bersikap lepas tangan. Pengarah itu juga dikatakan tidak boleh ditegur dan akan melenting apabila ada orang yang cuba mencampuri kerjanya.

Kelantangan Burhanuddin itu sedikit sebanyak mempengaruhi reputasi baik yang selama ini dipertahankan Fauziah. Sebagai orang lama, reputasi serta kredibiliti pelakon itu boleh terjejas gara-gara pendedahan Burhanuddin.

Dalam hal ini, wajarkah 100 peratus kesalahan diletakkan kepada Fauziah seorang? Adakah dia juga harus dipersalahkan apabila gangguan audio berlaku? Bukankah itu tanggungjawab juruaudio atau penata bunyi?
Hip mendapatkan komen daripada Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London mengenai krisis yang tercetus antara Burhanuddin dan Fauziah.

Ahmad berkata, dia memang ada menerima surat daripada Bruang Filem Sdn Bhd, menjelaskan mengenai masalah yang berlaku antara syarikat berkenaan dengan Fauziah.

Bagaimanapun, surat yang diterima minggu lalu bukanlah surat tindakan yang mahu diambil Bruang Filem ke atas pengarah itu, sebaliknya lebih kepada penjelasan mengenai krisis yang berlaku.

Sebagai presiden FDAM, beliau menjalankan tugas mendapatkan anak buahnya itu untuk mengetahui cerita di pihaknya. Namun Fauziah enggan memanjangkan lagi kisah itu mereka sambil menyerahkan semuanya kepada takdir.

“Saya ada menghubungi Fauziah tetapi dia menyerahkan perkara itu di tangan Tuhan. Persatuan tak boleh masuk campur jika ahli tidak mahu mengambil tindakan, lagipun surat yang dikirimkan Beruang Filem hanyalah sekadar hendak memberitahu kami apa yang berlaku antara mereka dengan Fauziah Nawi,” katanya.

Ditanya adakah Burhanuddin wajar mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan maruah Fauziah, Ahmad menjelaskan memang produser itu berhak untuk bersuara tetapi seelok-eloknya kedua belah pihak perlu bertemu serta berbincang dengan baik.

Bagaimanapun dia tetap berpendapat, kesalahan tidak sewajarnya diletakkan ke atas bahu Fauziah seorang. Masalah itu, katanya, tidak akan wujud jika dicetuskan oleh sebelah pihak saja, sebaliknya ia akan timbul jika kedua-dua belah pihak bermasalah.

“Seelok-eloknya hentikan tuduh menuduh antara satu sama lain. Tentu ada sebab kenapa Fauziah buat begitu. Mungkin dia melihat kelemahan pihak produser. Dan produser juga tentu ada sebab kenapa mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana mereka juga melihat kekurangan di pihak Fauziah,” katanya lagi.

Masalah audio bukan salah pengarah

AHMAD juga mengakui tindakan penerbit meletakkan gangguan audio juga di bahu Fauziah sebagai tidak wajar.

Ini kerana bahagian audio sepatutnya ditangani oleh juru audio bukannya pengarah kerana tugas sebagai pengarah adalah memastikan gerak kerja kamera, susunan dialog, tekanan suara dan aspek naratif berjalan lancar.

“Gangguan audio bukan salah pengarah, tetapi itu masalah juru audio. Mereka yang sepatutnya mengesan gangguan yang berlaku kepada audio kemudian dimaklumkan kepada pengarah kerana pengarah ada banyak lagi kerja lain.

“Dalam hal ini mungkin Fauziah tidak mahu masuk campur kerja juru audio kerana menganggap mereka profesional. Lagipun pengarah tak boleh sangsi kepada anak-anak buahnya kerana perkara itu hanya akan melambatkan kerja.

“Tetapi jika juru audio menjalankan kerja mereka dan sudah pun memaklumkan kepada pengarah mengenai gangguan yang berlaku kepada audio, tetapi pengarah buat tidak tahu. Barulah kita boleh menyalahkan pengarah,” katanya.

Sementara itu diminta menjelaskan pula mengenai proses suntingan, presiden FDAM itu berkata, pengarah juga seharusnya duduk bersama-sama dengan penyunting untuk memberikan sentuhan terakhir kepada sesebuah filem.

Katanya, sekiranya penyunting tidak memahami apa yang diingini oleh pengarah, dua perkara saja boleh timbul iaitu sama ada filem itu menjadi cantik atau sebaliknya.

“Sebelum pergi kepada adunan akhir, pengarah perlu hadir untuk melihat bahagian mana yang perlu dipotong, ditambah dan diperhalusi untuk melihat pergerakan filem itu,” katanya.

 Laporan Penuh Di Sini:

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...