Unknown
Eruwan Gerry Affiliates
 

Edry, Audi kuasai Muzik Muzik 25
Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2010/11/04

SEBAHAGIAN artis dengan nombor giliran persembahan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 25.
SEBAHAGIAN artis dengan nombor giliran persembahan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 25.
Separuh akhir musim kali ini terus tampilkan karyawan muzik generasi muda

MELIHAT senarai 30 lagu yang terpilih ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 25 kali ini, boleh dikatakan sebahagian besar pencalonan terdiri daripada mereka yang pernah menguasai pada pentas peringkat sama di pertandingan musim lalu. 

Bukan hanya sekadar penyanyi, barisan pencipta lagu serta komposer juga tidak banyak berbeza sekali gus membuktikan industri muzik tempatan masih dikuasai ‘orang muda’ seiring kehendak semasa.
Antara wajah biasa termasuk Faizal Tahir yang setia dengan nukilan Audi Mok dan Hujan (masing-masing mempertaruhkan tiga lagu) selain Yuna, Stacy, Hafiz, Alyah, Nubhan, Black, Adam, Akim, Tomok, Bunkface serta The Fabulous Cat.

Meet Uncle Hussein yang mencetuskan kontroversi apabila menarik diri tahun lalu dicalonkan lagi namun kali ini berpadu suara dengan Black sekali gus bermakna mereka juga akan berentap dengan bekas vokalisnya, Azlan & The Typewriter (Gerak Hati).

Bakat baru pula terdiri daripada Ana Raffali bersama dua lagu yang juga ciptaan sendiri, Mohamad, Shahir, Adira, Sabhi Saddi manakala penyanyi lama sekadar diwakili Adibah Noor serta Joe Flizzow.

Bagi komposer, dua nama agak menyerlah berbanding penggubah lain iaitu Edry Abdul Halim dan Audi Mok yang juga bukan nama asing dalam Muzik Muzik kali ini menyandarkan empat lagu sebagai percaturan ke peringkat seterusnya.
Memasuki tahun ke-25 penganjurannya, seperti tahun lalu TV3 menggunakan format baru dengan memansuhkan pembahagian genre muzik dan penyenaraian pula merujuk carta lagu popular di enam stesen radio tempatan selain kajian kekerapan diputarkan sebelum dipilih pendengar menerusi sistem undian di laman web.

Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad berkata, penggunaan format baru menggalakkan penyertaan lebih ramai penggubah lagu muda sekali gus memberi saingan terhadap komposer lebih pengalaman hingga menampakkan impak pemuzik muda terus mengambil alih ruang.

“Kita mengikut aliran semasa yang mengkehendaki lagu mesra telinga kerana Muzik Muzik sendiri adalah carta lagu. Walaupun memberikan kuasa 100 peratus kepada orang ramai memilih dendangan digemari pada masa sama TV3 sendiri masih menetapkan markah tertentu untuk membolehkan ia sampai ke separuh akhir final.

“Pada peringkat ini pula, tiada lagi campur tangan pendengar sebaliknya semua lagu akan diadili oleh lima juri profesional yang menilai setiap aspek sebelum melayakkan mereka mara untuk pertarungan akhir di Anugerah Juara Lagu,” katanya pada majlis pengumuman calon Separuh Akhir Muzik Muzik 25, kelmarin.

Secara tidak langsung, pemilihan awal berdasarkan populariti dendangan dikatakan menggalakkan penyertaan lebih banyak lagu dengan tapisan awal mencecah 80 gubahan hingga akhirnya hanya 30 lagu layak beradu nasib di semi final.

Mengulas mengenai pemilihan populariti berbanding kualiti, kata Ahmad Shaifullizam, apabila ia mampu memancing perhatian pendengar, bermakna sesebuah gubahan itu mempunyai melodi serta lirik yang bagus malah biar penyanyi atau penciptanya orang baru, itulah kehendak pasaran.

“Memang boleh nampak individu sama. Ya... mereka muda, segar tetapi merekalah yang sedang hangat ketika ini. Contoh kumpulan A.P.I yang menggabungkan vokalis daripada beberapa kumpulan. Bagi saya Muzik Muzik tetap relevan kerana kita mengikuti perkembangan muzik tanah air.

“Senario muzik tempatan juga tidak sebesar mana dan kerana itu orang luar melihat hanya individu sama berentap setiap tahun. Segala yang anda nampak adalah mereka yang sedang hangat,” katanya.

Ditanya sekiranya undian peminat memungkinkan berlaku ketidakadilan, katanya lagi setiap pengundi perlu memasukkan data peribadi lengkap malah dalam sehari seseorang hanya boleh memangkah lagu kegemaran tidak lebih daripada 25 kali.

“Bagi sesebuah lagu di dalam carta, peluang undian dibuka sama rata di antara lima hingga enam hari sebelum undian ditutup. Kita tetap teliti biarpun menggunakan kaedah pengundian awal di tangan peminat bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kekeliruan,” katanya.

Pertandingan yang menyaksikan 30 lagu popular pilihan pendengar itu juga akan dibahagikan kepada tiga bahagian, selama tiga minggu bermula 8 November disusuli 10 November dan 17 November yang turut menyaksikan
pengumuman finalis pada minggu terakhir.

Ia juga akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, mulai jam 10 malam hingga 11.30 malam.

Pertandingan berprestij yang sudah memasuki tahun ke-25 penganjuran itu bermatlamat memartabatkan industri muzik tanah air dengan memberi pengiktirafan terhadap hasil kerja komposer, penulis lirik dan tidak ketinggalan penyanyi.

INFO: Jadual Separuh Akhir Muzik Muzik 25

  • 8 November 2010, 10 malam – 11.30 malam – Tema 80an :
    1. Gerak Hati (penyanyi: Azlan & The Typewriter / pencipta lagu: Lake & Light / penulis lirik: Lake & Light)
    2. Inilah Cinta (Akim/Akim/Akim)
    3. Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir/ Edry Abd. Halim/ Edry Abd. Halim)
    4. Mencari Konklusi (Hujan/Noh Hujan/Noh Hujan)
    5. Cinta (Mohd /Iswandy / Iswandy)
    6. Noktah Cinta (Hafiz / Ajai / Shah Qalam)
    7. Hujan Bunga Di Kuala Lumpur (Ana Raffali / Ana Raffali / Ana Raffali)
    8. Bersamamu (Joe Flizzow/Johan Ishak, Joeniar Arief, Koko & Syaheed/Koko)
    9. Cinta Sempurna (Yuna / Yuna / Yuna)
    10. Oh Juwita (Nubhan / 6ixth Sense / 6ixth Sense)
    11. Sejujur Hatimu (Adibah Noor / Azlan Abu Hassan/Adibah Noor)
    12. Hanyut (Faizal Tahir/ Audi Mok / Faizal Tahir)

  • 15 November 2010, 10 malam – 11.30 malam – Tema 90an
    1. Tika Masanya (Mirwana & Hujan/Akmal Mirwana Akmal/Mirwana & Noh Hujan)
    2. Manifestasi Cinta (Fiq & Mirwana/Kuncidemak/Kunci Demak amp; Akmal Mirwana)
    3. Kau Harus Ada (Hujan/Noh Hujan/Noh Hujan)
    4. Drama King (Meet Uncle Hussain & Black/Taja/Tun Teja)
    5. Menggegar Dunia (Adam & Stacy / Edry Abd. Halim / Edry Abd. Halim)
    6. Tolong Ingatkan Aku (Ana Raffali / Ana Raffali / Ana Raffali)
    7. Jahat (Stacy / Edry Abd. Halim / Edry Abd. Halim)
    8. Susun Silang kata (Aizat / Aizat & Anas / Aizat & Anas)
    9. Cinta Kosmik (The Fabulous Cats / Alibi Hustler / Alibi Hustler)
    10. Ku Ada Kamu (Adira / Edry Abd. Halim / Edry Abd. Halim)
    11. Sofea Jane (Black / Sham Kamikaze & Iswandy / Farril)
    12. Adrenalin (Faizal Tahir / Audi Mok / Faizal Tahir)

  • 22 November 2010, 10 malam – 11.30 malam – Tema Milennium :
    1. Realiti Dewi – Alyah / Omar K / Zel Firdhaus
    2. Pelita – A.P.I / Loque / Loque
    3. Berlari – Tomok / Audi Mok / Shazee Ishak Tomok
    4. Extravaganza – Bunkface / Sam Bunkface / Bunkface
    5. Nadiku – Sabhi Saddi / Omar K / Zel Firdhaus
    6. Selamat Malam – Faizal Tahir / Audi Mok / Faizal Tahir


  •  Laporan Penuh Di Sini:




    0 Responses
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...