Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Sembelih Sifat Binatang


SELAMAT menyambut Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat. Takbir berkumandang dan suasana ziarah menziarahi masih rancak diadakan.

Majlis ibadat korban ternakan masih menjadi tarikan terutama kanak-kanak dan remaja untuk melihat dari dekat binatang ditarik, diikat dan disembelih tapi bagaimana pengagihan daging korban berlangsung? 

Namun, dalam kemeriahan itu ramai terpaksa menyambutnya dengan perasaan pahit dan ujian banjir, rumah masih bersepah dan berselerak akibat banjir yang menimpa saudara kita di utara tanah air. 

Sama-sama kita doakan mereka diberikan kesabaran dan tabah menghadapi ujian Allah itu. Pembaca budiman, disebabkan penulis dari pantai timur, sering kali apabila hendak balik kampung beraya, orang Kuala Lumpur sering kali berkata raya haji di Terengganu dan Kelantan lebih meriah dan 'lebih besar' dari Aidilfitri.



Saya sendiri tidak dapat 'menangkap' apa makna lebih meriah dan lebih besar itu. Jika lihat kepada suasana dan jumlah orang bandar pulang ke kampung nampak tidak seberapa pun, kemeriahan takbir dan ziarah menziarahi biasa saja.


Jemputan ke rumah terbuka juga tidak kedengaran sangat. Tawaran dan jualan murah beli dan belah tiada terpampang manakala tiada juga baju baru dan pakaian baru dipakai. 

Macam tidak meriah kerana lagu hari raya pun tidak diputarkan di corong radio tambahan pula cuti raya haji hanya sehari saja. Suasana pada zahirnya kadang-kadang berbeza. 

Penulis terpanggil untuk berkongsi idea apa yang lebih besar dan meriah dalam sambutan perayaan tidak kira sama ada Aidilfitri atau Aidiladha. 

Sebenarnya dalam Islam dua hari raya itu sangat besar maknanya kerana ia dirayakan bersempena ibadat rukun Islam. 

Aidilfitri didahului dengan ibadat puasa manakala ibadat haji mengiringi Aidiladha. Kedua-duanya besar cuma Aidiladha 'lebih' dari sudut falsafah dan tuntutan. 
Tetapi kedua-duanya sangat berkaitan. Aidiladha juga dipanggil ibadat korban manakala Aidilfitri ialah 'bersih' iaitu kembali kepada fitrah. 

Orang tidak boleh berkorban kalau belum bersih hati dan nurani. Jadi siapa yang berjaya dibersihkan dengan ibadat berpuasa pada Ramadan dulu akan sanggup berkorban bukan saja bahagian korban daging tapi juga berkorban serba serbi untuk ke Makkah menunaikan haji. 

Berkorban binatang bukan saja menyembelih binatang tetapi sampai ke peringkat 'menyembelih' sama sifat kebinatangan yang bersarang dalam jiwa. 

Jika hari raya puasa jumlah rayanya cuma sehari iaitu satu Syawal tetapi yang menjadi sebulan itu disebabkan adanya rumah terbuka. 

Aidiladha pula kerana besarnya pengorbanan yang dituntut, hari raya diwartakan Allah sebanyak empat hari iaitu 10 Zulhijjah diikuti dengan hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah. 

Begitu juga jumlah hari bertakbir untuk Aidilfitri hanya satu malam dan setengah pagi iaitu tidak sunat lagi bertakbir selepas imam selesai baca khutbah raya. 

Manakala Aidiladha bertakbir selama empat hari empat malam. Aidilfitri diharamkan puasa hanya satu Syawal saja tetapi Aidiladha selama empat hari diharamkan berpuasa. 

Sebenarnya kemeriahan sambutan hari raya bukan diukur dengan memakai baju baru dan bukan juga berapa ramai orang pulang kampung tetapi bergantung kepada jiwa baru, peribadi baru dan akhlak untuk berkorban demi agama.



Laporan Penuh Di Sini:


0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...