Unknown
Eruwan Gerry Affiliates 

Saham Makin Naik

Oleh Zaidi Mohamad

2010/11/07

Lisa Surihani kini mula diberi jolokan Ratu Filem Melayu alaf baru menggantikan Erra Fazira

SAHAM Lisa Surihani makin naik. Ia satu fakta yang tidak boleh diubah. Selepas dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita pada di Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) menerusi filem I’m Not Single, kini gelaran Pelakon Wanita Terbaik pula diraihnya menerusi festival sama bagi edisi ke-23 pada 24 Oktober lalu. 

Watak Ayu yang dipegangnya dalam filem Lagenda Budak Setan turut menyaksikan sekali lagi gandingannya bersama Farid Kamil. Sama seperti gandingan sulung mereka di dalam I’m Not Single dan Semerah Cinta Stilleto, tetapi penam[pilan watak yagn dibawa Lisa nyata jauh lebih berkesan hinggakan watak dibawanya itu mengundang kesan pada penonton dan ramai pemuda jatuh hati pada gadis bernama Ayu.
Pada FFM23, bagi kategori itu, Lisa mengenepikan calon hebat lain dalam senarai finalis iaitu Maya Karin, Putri Mardiana, Mislina dan Jasmine Michael.

Wajah dan bakatnya ada di mana saja dan terus menjadi pilihan ramai.
Pendek kata, dari penghias muka majalah dan surat khabar, iklan komersial, TV hingga ke layar perak, pasti nama artis naungan Metrowealth (MIG) ini ada terselit. Sebab itu sudah ada beberap wartawan mula melabelkannya sebagai Ratu flem Melayu alaf baru , yang mana gelaran itu sebelum ini dipegang oleh Erra Fazira. Nyata, Lisa sudah berjaya merampas gelaran itu daripada Erra.

Jadi tidak pelik bagi Wajah Eksklusif Astro itu juga diberi jolokan sedemikian memandangkan popularitinya kini makin memuncak dan namanya kini mula mengharum dalam persada sinema tempatan. Namun, tegasnya, apa saja kemenangan, gelaran dan kerlipan populariti yang diterima, ia bukan tiket untuknya terus mendabik dada atau berasakan dirinya sudah bagus.
“Lisa sedar setiap kemenangan itu akan menjadi cermin kepada jangkaan lain di kalangan masyarakat mahupun pemerhati seni. Namun Lisa menghargai setiap pengiktirafan yang datang dengan lapang dada. Cuma gelaran terbaik itu tidak bererti Lisa sudah cukup baik.

“Dengan persaingan empat calon lain, Lisa sendiri tak menjangkanya. Apatah lagi, Lisa masih hijau dalam arena seni ini. Masih jauh lagi perjalanan Lisa. Kejayaan ini juga bererti masih banyak lagi ilmu dan pengalaman yang perlu Lisa timba.

“Setiap calon lain yang bertanding tempoh hari mempunyai kekuatan. Mislina dan Putri Mardiana memang antara pelakon yang bagus. Maya Karin pula bukan nama asing dan beliau antara pelakon yang hadir dengan impak tersendiri. Lisa belum menonton filem Estet tapi menerusi cerita yang didengari, Jasmine Michael antara bakat yang mempunyai potensi,” katanya kepada B*POP.

Bijak menjawab setiap soalan yang diajukan, anak keempat daripada lima beradik itu sedar kejayaan yang diterimanya datang daripada rezeki yang ditentukan Tuhan. Selain itu, ia turut diiringi usaha berterusan untuk mencapai jaya.

“Tiada tekanan untuk saya atau jauh sekali menganggap kejayaan ini sebagai permulaan badi yang kurang elok. Lisa masih seperti dulu dan akan terus melakukan yang terbaik. Tapi Lisa sedar, untuk memuaskan hati semua pihak ia memang satu perkara yang mustahil.

“Lisa kena kekal positif. Kalau ada teguran yang datang, Lisa akan memperbaikinya. Lisa percaya kepada ketentuan Qada dan Qadar. Jika bukan rezeki Lisa sekalipun, itu tidak bererti yang Lisa akan terus berputus asa. Cuma Lisa akan reda dan mencari alternatif lain,” katanya yang sedang menjalani penggambaran siri drama Jangan Pandang Belakang Congkak arahan Bob Ismail.

Mula berlakon sekitar 2007, Lisa hanya serius memberi perhatian penuh pada 2008 selepas menamatkan pengajiannya Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Aberystwyth, Wales, United Kingdom (UK) itu.

Tetapi sebelum berlakon, pada usia 17 tahun dia terlebih dulu menceburi diri dalam dunia pengacaraan dan mengacara program Xfresh TV di saluran Astro TV1Q. Hingga kini sudah 11 filem dilakonkannya termasuk dua buah filem yang sedang menanti tayangan iaitu Ombak Rindu dan Sekali Lagi.

Malah selepas beberapa kali mencipta keserasian sendiri dengan Farid Kamil di layar perak, Lisa kini tidak sabar mengetahui maklum balas orang ramai mengenai gandingannya dengan Shaheizy Sam dan Bront Palarae dalam filem Sekali Lagi serta Aaron Aziz dalam Ombak Rindu.

“Secara kebetulan dua filem Lisa bersama Farid Kamil melayakkan Lisa menggenggam dua trofi FFM. Dalam soal keserasian, Lisa lebih suka menyerahkan hal itu untuk dinilai penonton. Selepas ini memang Lisa ingin tahu pula bagaimana pandangan dan reaksi orang terhadap gandingan bersama pelakon lain pula,” katanya bersemangat.


‘Ruang untuk cinta belum ada...’

RAMAI juga yang tahu kini, wajah Lisa turut boleh ditonton di Astro Ria mengacarakan program realiti tarian, Mari Menari bersama teman baiknya sendiri, Awal Ashaari. Selepas beberapa episod disiarkan, inisiatif Lisa wajar dipuji dan dia dilihat semakin selesa dengan mandatnya itu.

“Lisa seronok di set penggambaran program itu. Lisa bersyukur kerana Awal juga sangat menyokong. Mengacarakan pertandingan secara langsung juga menjadi perkara baru kepada Lisa. Lagipun dulu Lisa lebih banyak terdedah dengan program yang sudah dirakamkan.

“Bersiaran secara langsung ini pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Tapi kata Awal, dia lebih suka mengacarakan secara langsung berbanding rakaman. Ini kerana kalau rakaman, kita cenderung untuk melakukan banyak kesilapan kerana sedar rakaman boleh diulangi.

“Mengendalikan siaran langsung ini memang satu cabaran. Tapi bila mendapat gandingan dan krew yang bagus, semuanya dilihat berjalan dengan baik. Awal pun kuat mengusik. Episod lalu, Lisa ini kira jadi mangsa buli dan sebutan pelat huruf R menjadi topik gurauan,” selorohnya yang turut menjadi pengacara MYEG Xtra Time di saluran sukan popular, ESPN.

Mengalih topik kerjaya, pelakon bernama penuh Lisa Surihani Mohamed ini tidak ketinggalan ditanya mengenai soal cinta. Bagaimanapun, kata Lisa tanpa berselindung, dia belum mahu memikirkan hal terbabit apatah lagi hampir setiap hari komitmen kerja memerlukannya berada di sesebuah lokasi.

“Dengan kesibukan yang saya lalui, jujur saya katakan ruang untuk jatuh cinta itu belum ada. Bayangkan adik beradik saya sendiri sudah mula bersungut yang mereka susah untuk berjumpa saya di rumah. Buat masa sekarang, biarpun berbunyi klise, biarlah saya mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga.

“Tapi Lisa yakin dalam soal cinta, andai tiba masanya, ia akan datang juga. Lisa boleh kata tak sunyi tanpa cinta. Sebabnya, hampir setiap masa Lisa terisi dengan pelbagai perkara termasuklah kerja berlakon. Kalau ada waktu cuti, Lisa tetap ambil kesempatan bertemu kawan lama,” katanya yang suatu ketika pernah digosipkan ada hubungan istimewa dengan Farid Kamil.

Info Lisa Surihani

NAMA PENUH: Lisa Surihani Mohamed
TARIKH LAHIR: 23 Mac 1986
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
DARAH CAMPURAN: Melayu dan Bugis
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Aberystwyth, Wales, United Kingdom (UK)
FILEM: Good Bye Boys, I'm Not Single, Jangan Pandang Belakang Congkak, V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stiletto, Zoo, Lagenda Budak Setan, Kapoww!!, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Ombak Rindu dan Sekali Lagi
DRAMA: Obsesi, 3 Janda, Mataku Nampak Hantu, Ponti Anak Remaja, Mentua vs Menantu 2, Azan dan Tudung Ekspres
 
Laporan Penuh Di Sini:



0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...