Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Hanya Teman Biasa

Oleh Farihad Shalla Mahmud

2010/11/23






Tiada pihak perlu cemburu, Diana dan Syamsul bersikap profesional demi kerjaya

SEBELUM menelusuri baris demi baris ayat yang disusun dalam artikel ini, ingin penulis ingatkan sesi fotografi ini diadakan bukan dengan niat untuk melukakan hati sesiapa, ataupun cuba untuk mengungkit kisah lama. 

Sebaliknya, ia dilakukan atas dasar hebahan atau memaklumkan kepada peminat dua artis terkenal ini, mereka bakal terbabit dalam program jualan amal kek coklat yang akan dianjurkan sedikit masa lagi, serta untuk membuktikan antara Diana Danielle dan Syamsul Yusof sebenarnya tidak ada persengketaan, sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.


Sepanjang di lokasi penggambaran yang turut disertai dua bakat baru sedang meningkat naik iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nureina Azman atau Eina, Syamsul dan Diana kelihatan cukup mesra dan saling usik mengusik antara satu sama lain, seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum ini.
Walaupun kisah perpisahan mereka pernah menjadi tajuk utama semua akhbar tempatan, namun baik Diana mahupun Syamsul, masing-masing sudah melupakan episod gelap itu. Hampir dua tahun peristiwa itu berlaku dan saya juga sudah memadamkannya terus dari ingatan. Apabila Bill Bora (pegawai publisiti acara amal terbabit) memberitahu saya akan bekerjasama dengan Diana untuk projek amal ini, saya tidak terkejut pun kerana sebelum ini saya sudah banyak kali bertemunya dalam mana-mana acara hiburan. Lagipun dalam hal ini, saya lebih senang bersikap profesional. 

Saya tidak pernah mencampuradukkan antara soal kerjaya dan juga peribadi. Apapun, kalau dalam persahabatan, saya selalu ikhlas dan saya tak pernah ambil pusing persepsi orang lain, kata Syamsul meluahkan pandangan. 

Anak kepada pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam ini memang seorang yang berpegang pada janji. Walaupun mengetahui mungkin ada pihak yang akan terasa apabila melihat dia bergambar bersama dengan Diana, namun atas nama kerja, dia tak kisah untuk melakukannya. 
Saya tak kisah untuk bergambar dengan Diana, cuma saya hormati dirinya sebagai kekasih Farid Kamil. Apa-apa pun, awak (penulis) kena minta kebenaran dari Diana sendiri, kata pemenang anugerah Pengarah Terbaik sewaktu Festival Filem Malaysia ke-23 sambil tersenyum. 

Berubah seketika muka Diana apabila diminta untuk bergambar berdua bersama Syamsul. Dalam keadaan serba-salah, Diana dengan penuh hormat meminta jasa baik untuk tidak merakamkan gambar mereka berdua, bersama. Entah apakah alasannya, tidak pula aktres jelita ini suarakan. Apakah tindakannya itu ada kena mengena dengan gosip kononnya arahan itu datang daripada buah hati pengarang jantung Diana? 

Eh! Bukanlah. Itu cuma gurauan Syamsul saja. Farid tidak boleh kongkong saya. Sebenarnya, saya tak mahu memanjangkan lagi kisah yang pernah berlaku sebelum ini dan juga tidak mahu perkara ini menjadi fokus utama. 

Tapi, itu bukan bermakna saya tidak boleh bekerjasama dengan Syamsul. Kalau betul kami bergaduh, tentunya situasi seperti sekarang ini tidak akan berlaku. Awak boleh tengok sendiri kan?, kata pelakon Magika ini sekali gus menepis dakwaan kononnya dia tidak selesa digandingkan dengan Syamsul selepas episod putus cinta dulu. 

Baru saja selesai menjalani penggambaran filem Hanyut, Diana kini sudah pun disambar oleh pengarah Osman Ali untuk membintangi filem terbaru. 

Dalam filem ini, saya akan bergandingan dengan Remy Ishak dan juga Bront Palarae. Konsep filem ini adalah aksi, sama seperti filem Anak Halal arahannya sebelum ini. Apa yang menyeronokkan saya, akhirnya impian untuk berlakon di bawah arahan Osman tercapai juga. Dan selepas ini, saya harap impian untuk berlakon di bawah arahan Kabir Bhatia juga akan menjadi kenyataan, kata Diana yang bakal muncul dengan sebuah single tidak lama lagi. 

Pasang strategi untuk lariskan kek coklat 

SABAN tahun, pusat membeli-belah Great Eastern Mall tidak pernah lupa untuk mengadakan majlis amal jualan kek bagi membantu kanak-kanak yang malang dan melarat. Untuk tahun ini pula, acara yang sama bakal diadakan pada 4 Disember depan di lokasi yang serupa. 

Diana, Syamsul, Sharnaaz dan Eina pula akan mewakili Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur dan mereka akan menjual enam biji kek yang dinamakan Kek Joy of Chocolate Mud Cake. 

Memandangkan 15 hotel bertaraf lima bintang serta lebih 30 artis popular terbabit dalam acara amal itu, tentunya masing-masing akan bersaing sesama sendiri, bagi memastikan kek mereka akan laku terlebih dulu dibeli pelanggan. Bukan mudah sebenarnya untuk menarik perhatian pelanggan. Hanya jurujual yang kreatif dan tidak malu saja akan mudah menjual kek mereka dalam masa yang singkat. 

Sasaran saya adalah untuk mendapatkan tempat yang strategik untuk meletakkan meja jualan. Kali ini saya akan pastikan meja jualan saya terletak di tengah-tengah ruang supaya pelanggan yang datang akan mudah nampak dan terus membelinya. Selain itu, kena juga yakinkan pelanggan bahawa kek yang kami jual lebih sedap daripada kek yang lain, kata Diana sambil tertawa. 

Bagi Syamsul pula, dia akan berusaha untuk memastikan kek jualannya dapat dijual lebih awal dari yang dijangkakan. 

Ini adalah kali pertama saya terbabit dalam program amal seperti ini. Malah, saya rasa tak sabar pula nak jual kek. Mungkin saya akan buat konsep seperti melelong barang iaitu menjerit supaya pelanggan sedar dan datang ke meja kami. 

Strategi lain, selain menunggu pelanggan datang ke meja, mungkin saya menyusul pelanggan di pintu masuk dan ajak mereka mengunjungi meja kami, katanya yang juga seorang penggemar kek coklat.

Laporan Penuh Di Sini:

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...