Unknown
Eruwan Gerry Affiliates
 

Nanu Beraksi Panas Dalam Haq

Oleh Hartati Hassan Basri

SELAMA 20 tahun menjadi pelakon, inilah kali pertama pelakon Nanu Baharudin beraksi panas di layar perak di kala usia lebih 40 tahun. Lebih panas lagi, pasangannya ialah lelaki muda dan kacak, Ady Putra dan Zul Huzaimy. 

Itulah tarikan kepada Nanu untuk membintangi filem Haq, terbitan KasehDia Pictures Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di pawagam pada 27 Januari depan sebagaimana didedahkannya ketika majlis pelancaran filem itu, baru-baru ini. Kata Nanu, dalam filem arahan bersama CL Hong dan Jumaatun Azmi ini turut paparkan dirinya beraksi panas dan ia dilakukan selepas dua dekad dalam industri seni.

"Kalau hendak tahu panas bagaimana, kenalah tonton filem ini. Bagi saya filem ini cukup membanggakan daripada segi sinematografi dan CGI bertaraf antarabangsa terutama babak aksi membabitkan Zul Huhaimy dan Ady Putra," katanya.

Apabila ditanya lebih lanjut babak panas membabitkan dirinya, Nanu mengatakan babak bersama Ady Putra itu masih dalam batas sesuai dengan keadaan di Malaysia dan juga sensitiviti penonton beragama Islam.

"Selama 20 tahun dalam industri, inilah kali pertama saya buat babak panas kerana sebelum ini tak pernah diberi peluang. Apabila usia begini barulah dapat peluang itu.

"Saya berani buat babak panas dalam filem ini kerana ia dikehendaki dalam skrip. Babak itu perlu untuk menguatkan cerita dan bukan sengaja diadakan untuk menjual filem bagi memancing penonton.

"Zahra digambarkan wanita terumbang-ambing dan keliru hingga mengambil jalan salah sebelum menemui jalan benar apabila bertemu Haq," katanya.

Akui Nanu, bukan babak antara dirinya dan Ady saja yang panas dalam Haq tapi turut menyukai babak Ady tunjukkan hasil kerja kerasnya di gimnasium untuk membina otot badannya. "Dalam satu pertarungan, Ady membuka bajunya dan saya sukakan babak itu," katanya.

Dalam Haq, dia bukan saja memegang watak utama bersama dua pelakon kacak itu sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit bersama. "Peluang itu ibarat pucuk dicita ulam mendatang kerana sudah lama memasang impian menerbitkan filem. Pembikinan filem ini agak lama bermula pada 2007 apabila saya diminta datang untuk uji bakat. Bagaimanapun, pada 2008 barulah dimaklumkan kepastian saya bakal membintangi filem itu tapi penggambaran masih tertangguh.

"Pada akhir 2008, Jumaatun tawarkan saya sebagai produser bersama dan ia satu peluang yang tidak mampu saya tolak. Peluang untuk saya belajar selok-belok menghasilkan filem sudah bersama di depan mata dan saya tidak akan sia-siakan peluang itu," jelasnya.

Mengenai kenyataan Zul Huzaimy mengatakan pelakon dan kru dilayan bagai bintang Hollywood sepanjang menjayakan filem itu, Nanu akui perkara itu. Katanya, dia sudah lalui pengalaman berada di lokasi dengan pelbagai cabaran dan apabila menjadi produser, tidak mahu perkara sama berlaku kepada pelakon.

"Nenek saya orang seni dan saya juga orang seni. Saya sudah lalui cabaran sebagai orang seni dan tidak mahu perkara sama berlaku kepada orang lain. "Perkara ini juga saya belajar ketika bekerja dengan Pesona Pictures. Penerbit Eksekutifnya, Aida Fitri Buyung banyak membimbing saya menjadi produser. Saya cukup tertarik dengan layanan pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba kepada pelakon. Sikap saling menghormati dan menganggap semua kru dan pelakon sebagai keluarga membuatkan kagum.

"Apabila menjadi produser, saya mahu pastikan insan seni ini dilayan dengan baik. Bukan saja dari segi makan minum malah saya juga tidak keberatan sewa koc besar untuk kemudahan artis membersihkan diri apabila penggambaran dalam hutan atau luar bandar," katanya.

Nanu juga berharap selepas ini mampu menerbitkan filem sendiri melalui produksinya sendiri, Pure White Pictures yang sebelum ini menghasilkan drama seperti Di Situ Ada Cinta, Skandal Cinta dan Rindu Bertasbih yang juga arahannya sendiri.

Kata Nanu, dia juga sudah bersedia mengarah filem dan kini sedang mencari skrip. Nanu juga kembali sibuk ke lokasi drama siri Biar Rindu Berlalu terbitan Bright Networks Sdn Bhd untuk RTM. Kali terakhir Nanu menjalani penggambaran ialah untuk siri Spa Qistina terbitan Global Station Sdn Bhd untuk Astro akhir tahun lalu.

Laporan Penuh Di Sini:



0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...