Unknown

Pistol hilang di restoran

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang juga anak kepada bekas ketua polis negara cemas selepas menyedari beg miliknya yang berisi sepucuk pistol lesap dilarikan individu tidak dikenali sejurus mangsa selesai menjamu selera, semalam.

Sumber polis berkata, mangsa berusia 55 tahun sebelum itu makan di sebuah restoran masakan Thailand yang terletak di dalam sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dikatakan meletakkan beg galas hitam berisi pistol berkenaan di atas lantai berhampiran tempat duduknya sebelum makan dan berbual dengan rakannya.
“Difahamkan selepas menjamu selera, mangsa bersama rakannya itu terus beredar tanpa menyedari beg galas terbabit ditinggalkan di bawah meja makan.

“Namun mangsa yang menyedari tertinggal beg kemudian bergegas semula ke restoran berkenaan untuk mendapatkannya. Malangnya ia sudah lesap,” katanya.

Mangsa kemudian bertanya kepada pekerja restoran terbabit berhubung beg miliknya itu namun tiada pekerja di premis berkenaan yang melihat individu yang mengambil beg berkenaan.

“Difahamkan beg galas mangsa itu mengandungi sepucuk pistol model Browning, wang tunai RM1,500 dan pelbagai dokumen penting lain. Difahamkan mangsa memiliki senjata api terbabit secara sah dan memiliki senjata itu sejak 25 tahun lalu bagi tujuan keselamatan.

“Susulan itu, mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Dangi Wangi sebelum siasatan rapi dilakukan pegawai penyiasat polis di lokasi kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, sukar untuk mengenal pasti individu yang melarikan beg berisi pistol berkenaan berikutan restoran tempat mangsa menjamu selera tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes kehilangan senjata api berkenaan dan pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung individu yang bertanggungjawab melarikan beg mangsa.

Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | Pistol hilang di restoran
1 Response
  1. Unknown Says:

    mcm2 ada sekarang ni


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...