Unknown
Eruwan Gerry Affiliates
 
Sempat Ajar Mengucap
Oleh Hamzah Osman


REMUK...keadaan motosikal dinaiki dua mangsa yang maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda.


LANGKAWI: “Saya sempat beberapa kali mengajar penunggang motosikal itu mengucap sebelum dia menghembus nafas terakhir,” kata Ikhwan Jaafar, 32, saksi kejadian kemalangan menyebabkan dua beranak maut di persimpangan Kampung Yooi, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Zaman Zakaria, 17, dan ibunya, Halimah Mat, 53, maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Ikhwan, saksi paling awal tiba di tempat kejadian berkata, sebaik melihat kejadian itu, dia bergegas ke arah mangsa dan cuba membantu mereka.

“Pemuda itu masih nyawa-nyawa ikan ketika saya memangkunya dan mengajar mengucap sebelum dia meninggal dunia di pangkuan saya. Ibunya pula waktu itu sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dua beranak itu dalam perjalanan ke Hospital Langkawi (HL) dari rumah mereka di Kampung Padang Kandang, di sini, untuk menziarahi seorang saudara mereka yang sakit.  

Kejadian berlaku apabila Zaman yang menunggang motosikal terbabit membelok ke simpang Kampung Yooi sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda itu.

Anak Halimah, Aishah Samat, 31, berkata setengah jam sebelum kejadian, ibu dan adik tirinya itu ada memberitahu mahu ke HL dengan menaiki motosikal untuk menziarahi seorang ahli keluarga mereka yang sedang sakit.

“Adik dan mak keluar rumah selepas solat Asar. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu ada ahli keluarga menerima panggilan telefon dari seorang saksi mengatakan mereka terbabit dalam kemalangan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya hanya nampak motosikal yang remuk dan diberitahu adik dan mak sudah meninggal dunia, manakala mayat mereka sudah dibawa ke HL,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Aishah berkata, kejadian itu berlaku di luar dugaan kerana adik bongsu dan ibunya ceria serta tidak menunjukkan sebarang tanda atau perubahan ketika keluar dari rumah petang kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik Langkawi, Inspektor Mohd Radzi Abd Rahman berkata, dalam kejadian itu, motosikal mangsa datang dari arah Padang Matsirat menuju ke Ulu Melaka, manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki Zaman dan ibunya, Halimah dikatakan cuba membelok ke simpang Kampung Yooi lalu dirempuh kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu adalah seorang warga asing yang menetap dan bekerja di sini dan sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Trafik Langkawi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi polis trafik untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Laporan Penuh Di Sini:


0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...