Sesuai dengan jiwa
Oleh Fatin Farhana Ariffin
bhhibur@bharian.com.my
2011/11/15
Semangat tak pernah luntur
BARANGKALI apabila namanya disebut, ramai masih tertanya-tanya siapakah gerangan di sebalik orang itu walaupun sudah beberapa kali muncul di layar perak.
Pernah membintangi filem hit seperti Castello dan Maut kedua-duanya arahan Badarudin Azmi, tetapi ia tidak cukup mengukuhkan nama pelakon wanita di persada dunia hiburan.Meskipun begitu, pemilik nama Noreminadiya Ramli atau Nuremy Ramli terus memacu langkah di dalam bidang lakonan yang cukup diminatinya dan kini bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Nuremy disunting oleh Metrowealth Pictures (MIG).
Kala pertemuan di Johor Bahru sewaktu menjayakan aktiviti jelajah sempena Festival Filem ke-24 baru-baru ini, gadis ini tanpa henti menceritakan selok-belok yang dilaluinya dalam mengecapi nama sebagai anak seni.
“Selepas membintangi Castello pada 2004 dan Maut (2007), saya berhenti sebentar selama tiga tahun, iaitu sehingga tahun lalu, yang mana dalam masa tiga tahun itu saya menyambung pelajaran dan kemudian bekerja di sebuah bank.
“Pada masa itu, saya terikat dengan badan kerajaan. Saya tidak dibenarkan muncul di layar perak, dan pekerjaan ini juga dilakukan demi menjaga hati ibu bapa saya. Namun selepas dua tahun saya dapat merasakan kerja itu tidak sesuai dengan jiwa saya, dan dari situ saya mula mencari apa yang sebenarnya saya mahu.
Menurut gadis ini lagi, walaupun memang meminati lakonan, tetapi sebelum membuat sesuatu keputusan, dia akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka rakan pengarah dan rakan artis yang lebih berpengalaman untuk memastikan dapat mengurangkan risiko tersilap langkah.
“Mulanya saya tidak yakin kerana saya pernah menemui David Teo pada Anugerah Skrin 2009, tapi selepas dipertimbangkan, pintu hati saya terbuka untuk meneruskan kesungguhan sebagai pelakon,” katanya yang baru lima bulan menandatangani kontrak bersama MIG dan selesa bergerak di bawah tinjauan syarikat tersebut.
Lambat tapi puas
WALAUPUN dikatakan agak lambat melangkah, Nuremy tidak terasa hati, sebaliknya menerima rezekinya dengan tangan terbuka, lantas bersyukur kerana setidak-tidaknya dia diberi kesempatan menonjolkan bakatnya kerana bukan senang untuk menjadi terkenal dan diterima ramai.
Sementara itu, publisiti dan promosi diletakkan di tempat kedua selepas bakat, kerana menurut gadis kecil molek ini dirinya tidak mengejar populariti, dan mahu berdiri kerana bakat yang dipertaruhkan. Dengan adanya produk iaitu filem, barulah dirinya selesa untuk tampil ke hadapan.
Akui karakter yang dibawanya adalah sesuatu yang baru baginya, menurut Nuremy itu adalah kali pertama dia berlakon di samping Aeril, lantas perlu benar-benar menyelami unsur cinta platonik yang menjadi tema dalam filem itu.
Namun, apabila ditanya mengenai cinta lokasi, dengan pantas gadis ini menolak andaian di antara mereka wujud bibit-bibit cinta, sebaliknya mereka hanya menjayakan watak masing-masing. Dalam pada itu, dirinya bersyukur kerana dapat mewujudkan kerjasama yang erat di antara mereka.
Masih lagi dalam tempoh pembelajaran dan proses memperbaiki diri, Nuremy menyimpan hasrat berlakon di bawah arahan Osman Ali, Soffi Jikan dan Yusry Abdul Halim serta bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Elly Suriati, Fauziah Nawi dan Sharifah Amani.
PROFIL
NAMA: Noreminadiya Ramli
UMUR: 25 tahun
TARIKH LAHIR: 7 April 1986
ASAL: Sungkai, Perak
ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL)
FILEM: Castello dan Maut
DRAMA: Gerak Khas, Delima Wanita dan Atas Nama Cinta
Laporan Penuh Di Sini:
Nota:
Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.