Unknown



Cabar kemampuan diri

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

SERIK...Almy akan fikir banyak kali jika dapat tawaran berlakon filem.
BIARPUN hingga kini kisah percintaannya masih menjadi perhatian, namun ia tidak sedikit pun dipedulikan. Bagi pelakon jelita, Almy Nadia Aminuddin Shah atau mesra disapa Almy, 25, soal jodoh adalah ketentuan Tuhan dan jika ada takkan ke mana.

Untuk dia asyik mencanang kisah itu, lupakan saja. Apa yang lebih utama adalah perjalanan karier seni yang diceburinya memandangkan persaingan semakin sengit. 

Kemunculan artis baru silih berganti, membuatkan Almy enggan leka.

Sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu lakonannya, Almy yang mula dikenali menerusi drama Dunia Baru di TV3 dengan watak antagonis, kini dilihat semacam beralih arah. Dia kerap muncul dalam drama mahu pun program TV bercorak komedi.

Terbaru, program Edisi Khas di TV3 bersama Johan Raja Lawak. 
Apakah Almy seorang yang kelakar hingga dia tiada masalah menjiwai watak
komedi? Atau ini strategi Almy supaya dia terus bertahan?

Bersua dengannya pada sesi fotografi diadakan baru-baru ini, Almy memaklumkan dia berusaha menyahut apa saja cabaran bagi memastikan lakonannya semakin menonjol. Malah, tidak disangka dia boleh melakukannya.

“Saya sekadar mencabar kemampuan diri. Saya dapati, kebanyakan pelakon muda tanah air sekarang tak berani beraksi dalam komedi terutama artis wanita.

“Jadi, tidak salah saya mencuba dan syukur ia menjadi serta diterima baik penonton.

“Bahkan, saya memberanikan diri mengambil langkah ini selepas melihat kejayaan pelakon, Noorkhiriah yang boleh dijadikan contoh.

“Selama ini, Noorkhiriah dinilai sebagai pelakon air mata tetapi dia mampu raih anugerah Artis Komedi Wanita.

“Dalam soal ini, semuanya bergantung pada sejauh mana usaha seseorang dan keberanian menyahut cabaran.

“Saya pada mulanya tak yakin juga, tetapi apabila melakukannya sepenuh hati dan ikhlas, maka semua itu mampu diluah seperti kehendak pengarah.

“Bukan komedi saja, saya turut mencuba bakat dalam pengacaraan apabila dipilih menjadi hos program Labuci terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Berkonsepkan fesyen, ia dihasilkan sebanyak 13 episod.

“Pembabitan saya dalam pengacaraan dianggap ‘rezeki terpijak’ kerana saya tidak pernah terfikir akan mendapat ruang dan peluang untuk menonjolkan bakat ini (mengacara). Ditambah lagi, bidang pengacaraan bagi saya ialah sesuatu yang sukar,” katanya.

Menurut Almy, agak perit juga menjadi pengacara kerana tidak mendapat rentak.
Namun, disebabkan perasaan ingin mencuba, dia tidak malu belajar. Kini, semua episod itu disiapkan dan Almy sangat berdebar.

Ujar Almy, sekalipun perasaannya risau tetapi dia mendapat satu lagi tawaran sebagai pengacara.

“Apapun, saya masih belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran itu. Saya memang berminat dalam pengacaraan, cuma jadual lakonan agak padat.

“Syukur sehingga kini, tawaran berlakon drama dan telefilem tidak putus diterima. Malah, jika tiada aral program Edisi Khas pun akan disambung lagi untuk musim kedua. Kemungkinan, saya akan terbabit juga dalam siri ini,” katanya.

Menurutnya, dia tidak suka terlalu memilih. Baginya, setiap tawaran adalah rezeki.

Oleh itu katanya, lebih baik dia menerima dan tidak elok menolak rezeki kerana perlu bekerja keras untuk menyara keluarga.

Almy yang kini turut membesarkan seorang anak angkat perempuan berkata, menjadi tanggungjawabnya memberikan kehidupan baik kepada anak berusia dua tahun pada 6 November lalu.

Tidak mahu berlakon filem lagi

MENGAKUI masih menerima tawaran berlakon drama dan telefilem, tidakkah Almy memperoleh peluang untuk beraksi di layar perak lagi? Apakah filem kurang sesuai untuk dirinya dan Almy cukup selesa berlakon di skrin TV saja? Tidakkah dia rindu?

Tanpa berselindung dan dalam nada ceria, Almy yang pernah membintangi filem Nana Tanjung, Dunia Baru The Movie, Bisikan Ablasa dan Skrip 7707 berkata, dia sudah tidak mahu berlakon filem lagi.

Katanya, berdasarkan pengalaman lalu yang pernah dihadapi, serik untuknya membintangi filem.

Menurut Almy, keinginan berlakon filem sudah lenyap.

“Kalau ada pun peluang berlakon filem saya akan berfikir lebih 10 kali untuk menerimanya.

“Banyak benda yang akan saya nilai sebelum membuat keputusan menerimanya
kerana apa yang pernah dilalui dulu cukup menyakitkan.

“Perkara utama yang akan saya ambil berat dan fikirkan secara mendalam ialah berkaitan skrip. Lakonan bagaimana yang perlu saya lakukan dan semuanya akan diambil kira. Dalam soal ini, saya bukan mahu tunjuk bagus tetapi berhati-hati.

“Saya tidak mahu kejadian lama berulang lagi. Apa yang sudah berlaku itu, saya biarkan saja berlalu dan lebih selesa berdiam diri menghadapinya. Semua itu kini dijadikan sempadan dan saya cukup berhati-hati dalam membuat keputusan,” katanya.

Menyentuh soal percintaannya dengan pelakon Fizz Fairuz, Almy berkata dia tidak mahu lagi terlalu bercerita mengenai perkara itu. Ujarnya, banyak hati yang perlu dijaga dan sekarang, dia lebih selesa hanya membicarakan perkembangan karier yang menjadi tumpuannya.

PROFIL:

NAMA: Almy Nadia Aminuddin Shah
TARIKH LAHIR: 27 April 1986
USIA: 25 tahun
ASAL: Ipoh, Perak
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon/Pengacara

FILEM: Nana Tanjung, Dunia Baru The Movie, Bisikan Ablasa, Skrip 7707, Jangan Tegur, 4 Madu

DRAMA: Antaranya Janji Kekasih, Dunia Baru, Jelatang, Mat Jenin, 25 Hari Menghitung Duka, Rumah Mak, Mertua Vs Menantu, Jangan Pandang Belakang, Opah Popular, Pantun, Cinta Debut, Cerita Hantu Malam Raya, Janji Kekasih, Jangan Bunuh Matahariku, Mami, Dalca & Georgetown, Cinta Otai, Langit Semalam, 3 Mawar Dara, Lembu Lawan Lembu dan Dia Atilia, Cinta Berkalung Duri.

KOMEDI: Edisi Khas (TV3), Budak Kolej (TV9)
PROGRAM TV: Labuci (RTM)

Laporan Penuh Di Sini:

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.











Label: edit post
0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...