Unknown


Tuah Penakut

Oleh Farihad Shalla Mahmud & Serimah Mohd Sallehudin

2011/11/14


ANUGERAH Industri Muzik Malaysia ke-18 (AIM18) nampaknya menjadi kuasa wanita. Kejayaan Yuna dan Najwa Mahaiddin disusuli dengan ‘orang lama, Datuk Sheila Majid menjadi bukti kekuatan dan kehebatan wanita dalam mencabar keegoan lelaki yang selama ini sentiasa menguasai acara besar industri muzik kita. 

Tambahan pula, Yuna dan Najwa adalah dua gadis yang bukan sekadar, menyanyi tetapi juga turut menghasilkan lagu dan lirik. Muzik mereka juga dalam kelas tersendiri.
Ketika pemuzik atau penyanyi lelaki lebih ghairah dengan corak muzik indie yang kadang-kadang kurang jelas alirannya atau muzik pop dan pop rock, Yuna dan Najwa pula memilih muzik yang lebih dekat dengan aura wanita iaitu soul atau rythm & blues (R&B) dengan gaya pop.
Dan hasilnya, tidak mengecewakan. 

Pada AIM18, Yuna merangkul tiga trofi menerusi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Terbaik: Penakut, selain Anugerah Kembara. 

Satu pencapaian terbesar dan penuh bermakna buat dirinya. Dalam pada itu, mengulas kejayaan lagu Penakut, Yuna berkata, ada cerita menarik yang ingin dikongsi di sebalik pembikinan lagu itu. 

"Terus terang, sewaktu mencipta lagu ini, saya tidak yakin bahawa lagu ini mampu diterima ramai. Lagu ini adalah sebuah lagu eksperimen kerana susunannya berbeza dengan lagu biasa. 
Chorus cuma sekali dan saya bimbang jika peminat tidak faham. Mungkin lagu ini menang kerana juri mengambil inspirasi yang ada dalam lagu ini," ujarnya yang anggun mengenakan busana rona hitam dan merah jambu. 

AIM18 juga menjadi pemangkin untuk meneruskan kejayaan. Namun ada ketika ia menjadi badi apabila ia menjadi penamat kepada kerjaya. Dalam AIM, kategori Artis Baru Terbaik sering dikaitkan dengan perkara itu. 

Walaupun bukan semua, namun ada beberapa penyanyi yang selepas menggenggam anugerah itu, kelibat mereka hilang entah ke mana. Apakah perkara yang sama bakal menimpa penyanyi ini? 

Menjawab pertanyaan itu, Najwa berkata, dia tidak percaya dengan badi yang sering dikaitkan dengan anugerah itu. 

"Bagi saya, anugerah itu lebih kepada pembakar semangat untuk saya meneruskan perjuangan dalam bidang ini. 

Saya tak percaya pada badi anugerah ini. Apa yang penting, kita kena melipatgandakan usaha dan tidak membiarkan hasil kerja kita terhenti setakat ini saja,” katanya. 

Peminat kurang hargai kerja pengkarya muzik 

AIM18 yang menutup tirainya malam kelmarin bukan saja menyaksikan penyanyi generasi baru terus meluaskan pengaruh mereka, tetapi ia juga turut membuktikan penyanyi generasi lama juga masih berbisa serta mampu memberi saingan yang kuat. 

Di sebalik menyinarnya penyanyi yang mempunyai kepelbagaian bakat seperti berkebolehan mencipta lagu dan menulis lirik, acara berprestij malam itu turut menyaksikan kebangkitan semula penyanyi yang pernah melakar kejayaan dalam majlis yang sama sebelum ini. 

Dalam pada kita meraikan kemunculan bakat baru, orang lama tetap tidak dipinggirkan. 

Meskipun industri hiburan mengalu-alukan kehadiran penyanyi berbakat besar seperti Yuna yang membolot tiga anugerah iaitu Anugerah Kembara, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Terbaik (Penakut) dan juga Najwa Mahiaddin yang donobatkan sebagai Artis Baru Terbaik serta Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Got To Go), namun pada masa sama, penat lelah Datuk Sheila Majid yang memberikan hasil produksi terbaik menerusi album The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years Of Sheila Majid turut mendapat pengiktirafan apabila album projek khas itu mengungguli dua kategori iaitu Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Album Terbaik. 

Ternyata selepas sedekad tidak berada di dalam senarai pemenang AIM, Sheila yang suatu ketika dulu pernah berada di kedudukan Yuna sekarang kembali bangkit, sekali gus membuktikan penyanyi berpengalaman sepertinya masih tajam taringnya jika diberi peluang. 

Namun, tegas penyanyi ini, penyertaannya dalam acara itu bukanlah atas niat mahu menggugat sesiapa. 

"Saya buat album ini kerana mahu memberikan hadiah kepada peminat sempena 25 tahun saya berada dalam industri muzik. Menjadi prinsip saya selama ini iaitu jika buat sesuatu, memang amat mementingkan kualiti. 

"Tiada tolak ansur dalam soal itu. Selepas sedekad tidak dicalonkan dalam AIM, saya teruja kerana berpeluang bersaing dengan penyanyi generasi baru,” kata Sheila pada majlis sidang media sejurus selepas malam kemuncak AIM18. 

Hadir sama Yuna, Najwa dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola AIM18, Rosmin Hashim dan Adrian Lim. 

Sheila juga menegaskan, dia tidak bersedia untuk menghasilkan album terbaru kerana mentaliti orang Malaysia yang belum menghargai susah payah menghasilkan kerja kreatif. 

“Untuk membuat album kosnya bukanlah murah. Muzik harus dimainkan oleh manusia kerana ia mempunyai emosi dan lahir dari hati. Untuk mendapatkan khidmat pemuzik profesional, bayarannya memang mahal. 

"Kalau peminat muzik lebih suka produk cetak rompak dan tidak membantu karyawan muzik, bagaimana kami mahu mendapatkan modal menghasilkan produk berkualiti. Setakat ini saya tetap dengan pendirian untuk tidak hasilkan album baru,” tegasnya. 

Laporan Penuh Di Sini:

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.



0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...