Unknown




Dia tetap di hati

Oleh Nor Hatina Shuib
hatina@bharian.com.my
2011/11/24

Shahz Jaszle, Neelofa intim dalam Azura 2012
ANTARA persembahan yang diselitkan ketika malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada Ahad lalu adalah menampilkan aksi memaparkan sedutan babak dalam filem Azura 2012 arahan Aziz M Osman.
Babak selama kira-kira dua minit itu, menampilkan dua bintang muda yang semakin mendapat perhatian, Shahz Jaszle dan Neelofa. Shahz mendokong watak Zack yang asalnya dilakonkan oleh Jamal Abdillah, manakala Neelofa sebagai Azura iaitu peranan yang dimainkan oleh Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.
Keintiman dua pelakon sebagai pasangan kekasih ini nampak terserlah ketika Shahz Jaszle dan Neelofa apabila mereka digandingkan untuk sesi fotografi ini. 
Adakah jejaka yang setakat ini menonjol dalam dunia lakonan akan mampu menyerap roh Zack dalam filem Azura pada awal 1984 ke dalam versi Azura 2012 tidak lama lagi. 

Melihat kepada gambar yang dipaparkan, adakah juga keintiman mereka sepanjang penggambaran Azura 2012 terbawa-bawa sehingga ke luar lokasi? Ini kerana aksi mereka tidak kelihatan sebarang kejanggalan, malahan sangat mesra sekali. 

Persoalan itu bermain di fikiran sesiapa saja termasuk pelakon utama filem arahan Aziz yang akan menemui peminat pada Februari tahun depan. Jika Jamal Abdillah diangkat sebagai pelakon dan juga penyanyi lagu yang menjadi kegilaan ketika itu, Azura, adakah Shahz juga akan mengikut rentak Jamal dalam menguasai filem itu sehingga kesan lakon layarnya mampu diingati sehingga hari ini.

Bertemu pelakon yang dikatakan sedang hangat menjalinkan cinta bersama pelakon seksi, Miera Liyana pada pelancaran filem Azura 2012 baru-baru ini, dia tidak menafikan berdebar menanti reaksi penonton namun sudah memberikan yang terbaik kepada filem itu.

Indahnya lagi apabila perjalanan seni anak muda ini sentiasa diapit si kekasih. Buktinya, Miera turut berada di majlis itu. Begitu juga ketika sesi temubual dijalankan. Ini sekali gus membuktikan hubungan dengan Neelofa tidak lebih daripada ‘pasangan kekasih’ dalam filem semata-mata.

Realitinya, Mira sentiasa melekat di sebelah kekasihnya itu dan ibarat belangkas hubungan mesra itu dapat ditafsirkan kala mata memandang keakraban yang terpamer.

Sesekali mata Shahz dilihat terarah kepada Miera yang kelihatan begitu manja di sebelahnya dan melemparkan senyum mesra kepada kekasih hati. Apa yang dapat dinoktahkan cinta mereka cukup hangat.

“Saya bersedia menerima pandangan penonton jika dibandingkan watak Zack yang dibawakan saya dan juga Jamal Abdillah tetapi saya membawakan perwatakan Zack dari sudut pandang yang berbeza.

“Di bawah arahan Aziz M Osman, cerita juga dilihat pengarah melalui sudut pandang seorang pengarah yang berbeza. Saya menjadi diri saya dan tidak terikat kepada watak Zack yang dibawa oleh Jamal sebelum ini,” katanya.

Tak tengok, takut terikut-ikut 

Shahz berterus terang memberitahu, jika orang lain menonton filem cinta penuh melankolik itu berpuluh kali sepanjang hayat, tidak baginya yang hanya menonton filem itu hanya sekali saja. Itu pun beberapa tahun yang lalu atas dasar tidak ada rasa terpanggil untuk menontonnya.

“Sekali saja saya pernah tonton. Rasanya lima tahun lalu. Apabila memegang peranan sebagai Zack, saya terus ambil keputusan untuk tidak menonton filem ini. Bukan apa, saya tidak mahu terpengaruh dengan cara lakonan Jamal. 

“Lagipun saya perlu membawa watak Zack yang saya perlu imaginasi sendiri dan mengikut kehendak skrip,” katanya yang berharap tidak akan menjadi bahan perbandingan sebaik filem itu ditayangkan kepada umum kelak.

Berkali-kali meluahkan rasa bimbang jika mendapat kritikan hanya disebabkan dirinya bukan seperti bakat seni bernama Jamal Abdillah, Shahz berkata antara kelainan yang bakal dilihat penonton adalah dari segi Zack berpakaian yang menjurus ke alam moden.

“Selain watak Zack yang banyak bermain dengan emosi, mungkin cara berpakaian Zack yang ditampilkan dalam Azura lalu dan Azura kini adalah berbeza,” katanya.

Mengusik Shahz yang dicap sebagai artis cinta lokasi apabila sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan pasangannya dalam drama mahupun filem, Shahz ada jawapannya.

“Saya tidak ada masalah berlakon dengan Neelofa. Sejujurnya dari A hingga Z, saya banyak membimbing dia. Jika ditanya, adakah saya jatuh cinta kepadanya jawapannya adalah tidak. 

“Sikap, perangai dan cara kami berfikir adalah berbeza. Mungkin jika bercinta tidak akan kekal lama kerana tidak ada keserasian akan dicapai,” katanya jujur.

Berbicara soal kerjaya pula, Shahz berkata dia banyak menerima tawaran untuk berlakon dan terbaru dia akan menjalani penggambaran di Australia.

“Saya akan menjalani penggambaran drama di Australia dengan salah sebuah stesen televisyen swasta Disember ini. Selepas itu akan ada tawaran di lokasi yang sama tetapi di bawah produksi yang berbeza,” katanya yang memberitahu sudah lima tahun berada di dalam bidang lakon serta berharap akan bergelar pengarah filem satu hari nanti kerana ia impian hatinya selain mengakui lebih gemar berlakon filem daripada drama. 

Laporan Penuh Di Sini:

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.





0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...