Unknown



Sesuai dengan jiwa

Oleh Fatin Farhana Ariffin
bhhibur@bharian.com.my
2011/11/15



Semangat tak pernah luntur 

BARANGKALI apabila namanya disebut, ramai masih tertanya-tanya siapakah gerangan di sebalik orang itu walaupun sudah beberapa kali muncul di layar perak.
Pernah membintangi filem hit seperti Castello dan Maut kedua-duanya arahan Badarudin Azmi, tetapi ia tidak cukup mengukuhkan nama pelakon wanita di persada dunia hiburan.
Meskipun begitu, pemilik nama Noreminadiya Ramli atau Nuremy Ramli terus memacu langkah di dalam bidang lakonan yang cukup diminatinya dan kini bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Nuremy disunting oleh Metrowealth Pictures (MIG). 

Tekad meninggalkan kerjayanya yang terdahulu sebagai perunding kewangan di sebuah bank, gadis yang berusia 25 tahun ini gembira kerana diberi peluang membuktikan kebolehannya berlakon, yang mana bukan saja diberi percubaan membintangi empat filem juga sebagai tunjang utama dalam filem Super Duper Lover bersama Aeril Zafrel. 

Kala pertemuan di Johor Bahru sewaktu menjayakan aktiviti jelajah sempena Festival Filem ke-24 baru-baru ini, gadis ini tanpa henti menceritakan selok-belok yang dilaluinya dalam mengecapi nama sebagai anak seni. 

Namanya diakui lambat naik jika mahu dibandingkan dengan pelakon wanita yang lain seperti Liyana Jasmay. Dia pernah bergandingan bersama Liyana dan Zain (Ruffedge) dalam filem Castello pada 2004, namun ketika itu tuah tidak berpihak kepadanya. 
“Selepas membintangi Castello pada 2004 dan Maut (2007), saya berhenti sebentar selama tiga tahun, iaitu sehingga tahun lalu, yang mana dalam masa tiga tahun itu saya menyambung pelajaran dan kemudian bekerja di sebuah bank. 

“Pada masa itu, saya terikat dengan badan kerajaan. Saya tidak dibenarkan muncul di layar perak, dan pekerjaan ini juga dilakukan demi menjaga hati ibu bapa saya. Namun selepas dua tahun saya dapat merasakan kerja itu tidak sesuai dengan jiwa saya, dan dari situ saya mula mencari apa yang sebenarnya saya mahu. 

“Ternyata jiwa saya lebih di dalam bidang lakonan, serta demi minat yang mendalam saya berusaha mencari peluang berlakon kembali. Bukan senang nak mendapat kepercayaan dan meyakinkan orang, kerana orang ramai semakin lupa lakonan saya yang terdahulu,” katanya. 

Menurut gadis ini lagi, walaupun memang meminati lakonan, tetapi sebelum membuat sesuatu keputusan, dia akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka rakan pengarah dan rakan artis yang lebih berpengalaman untuk memastikan dapat mengurangkan risiko tersilap langkah. 

“Tidak putus semangat, saya mula kembali dari bawah dengan menghadiri pelbagai uji bakat, bertanya pendapat orang seni yang lebih berpengalaman dan pengarah, Osman Ali. Abang Osman adalah individu yang menasihati saya mencuba nasib di ‘talent agency’, dan dari situlah saya menemui MIG, serta bersyukur rezeki saya lebih terbuka di situ.

“Mulanya saya tidak yakin kerana saya pernah menemui David Teo pada Anugerah Skrin 2009, tapi selepas dipertimbangkan, pintu hati saya terbuka untuk meneruskan kesungguhan sebagai pelakon,” katanya yang baru lima bulan menandatangani kontrak bersama MIG dan selesa bergerak di bawah tinjauan syarikat tersebut. 

Lambat tapi puas 

WALAUPUN dikatakan agak lambat melangkah, Nuremy tidak terasa hati, sebaliknya menerima rezekinya dengan tangan terbuka, lantas bersyukur kerana setidak-tidaknya dia diberi kesempatan menonjolkan bakatnya kerana bukan senang untuk menjadi terkenal dan diterima ramai. 

Menjadikan filem Castello sebagai daya sokongan dan inspirasi, kini dirinya mampu tersenyum kerana impiannya kembali berlakon sudah termakbul. 

Sementara itu, publisiti dan promosi diletakkan di tempat kedua selepas bakat, kerana menurut gadis kecil molek ini dirinya tidak mengejar populariti, dan mahu berdiri kerana bakat yang dipertaruhkan. Dengan adanya produk iaitu filem, barulah dirinya selesa untuk tampil ke hadapan. 

Terbaru, anak kelahiran Sungkai, Perak ini baru saja selesai dengan aktiviti penggambaran filem Super Duper Lover di sekitar Kuala Lumpur dan Pantai Morib. Menerusi filem ini, dia menjayakan watak Murni iaitu pasangan kepada Mukhriz, watak yang dibawa oleh Aeril. 

Akui karakter yang dibawanya adalah sesuatu yang baru baginya, menurut Nuremy itu adalah kali pertama dia berlakon di samping Aeril, lantas perlu benar-benar menyelami unsur cinta platonik yang menjadi tema dalam filem itu. 

Demi menjayakan wataknya, Nuremy mencuba sebaik mungkin untuk membina keserasian bersama Aeril apabila mereka juga sering mengada pertemuan di luar set penggambaran, supaya tidak kelihatan kekok di hadapan kamera. 

Namun, apabila ditanya mengenai cinta lokasi, dengan pantas gadis ini menolak andaian di antara mereka wujud bibit-bibit cinta, sebaliknya mereka hanya menjayakan watak masing-masing. Dalam pada itu, dirinya bersyukur kerana dapat mewujudkan kerjasama yang erat di antara mereka. 

Selain itu, Nuremy juga membintangi empat filem lain terbitan MIG, iaitu filem Halimunan, Nonkrong, Aji Noh Terbang dan 3 Temujanji, serta filem pertamanya bersama MIG akan ditayangkan awal tahun depan, iaitu ‘X’. 

Masih lagi dalam tempoh pembelajaran dan proses memperbaiki diri, Nuremy menyimpan hasrat berlakon di bawah arahan Osman Ali, Soffi Jikan dan Yusry Abdul Halim serta bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Elly Suriati, Fauziah Nawi dan Sharifah Amani. 

PROFIL 

NAMA: Noreminadiya Ramli 
UMUR: 25 tahun 
TARIKH LAHIR: 7 April 1986 
ASAL: Sungkai, Perak 
ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada empat beradik 
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) 
FILEM: Castello dan Maut 
DRAMA: Gerak Khas, Delima Wanita dan Atas Nama Cinta 

Laporan Penuh Di Sini:

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.


0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...