Unknown


Kes tipu bank RM19j disiasat


Oleh Ilah Hafiz Aziz
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 18 Feb. - Polis hari ini mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes penipuan berjumlah RM19 juta membabitkan sebuah bank tempatan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mengesahkan kes itu memberitahu, siasatan dibuat meliputi pelbagai sudut sebaik sahaja polis menerima laporan daripada bank yang beroperasi di ibu negara itu.

"Benar apa yang dilaporkan Utusan Malaysia (hari ini). Polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu minggu lalu dan siasatan sedang dilakukan.

"Kita akan menyiasat kes ini dari segenap sudut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul anjuran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail turut mengesahkan bahawa siasatan akan dibuat sama ada terdapat penglibatan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam kes ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada polis telah menahan mana-mana individu atau memanggil pihak yang terlibat untuk memberi keterangan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang kononnya mahu membekalkan alat ganti pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dua syarikat terbabit sebelum ini mengemukakan permohonan kepada bank berkenaan untuk mendapatkan pinjaman korporat bagi membolehkan mereka membeli alat ganti pesawat itu.

Menurut sumber, bank tersebut tiada masalah untuk meluluskan pinjaman itu setelah yakin dengan maklumat dan dokumen yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pihak bank menyedari penipuan itu apabila gagal mengesan premis yang didakwa pejabat syarikat terbabit kerana ia tidak wujud, malah individu yang berurusan melakukan pinjaman juga gagal dihubungi.

Ismail ketika ditanya mengenai sejauh mana kes penipuan itu, enggan mengulas lanjut sebaliknya memberitahu, siasatan kes itu masih di peringkat awal.



Laporan Penuh Di Sini:





1 Response
  1. Unknown Says:

    Tipu bank RM19j disiasat yang kononnya mahu membekalkan alat ganti pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...