Unknown

Enggan dedah jantina anak


Susunan Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my




MAMPU memiliki segala yang diinginkan semudah memetik jari. Namun, kekayaan, kemasyhuran dan populariti dalam tafsiran aktres jelita, Natalie Portman, 30, bukanlah istilah sebenar sebuah kesempurnaan.

Hanya kini, dia mula berasakan perasaan yang sebenar iaitu perasaan cukup indah serta sempurna bagi seorang wanita apabila bakal bergelar ibu.

Dilahirkan dengan nama Natalie Hershlag, 30, bintang utama ‘Black Swan’ mengakui teruja dan gembira melalui proses kehamilan serta tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata pertamanya.

Pun begitu, dia enggan mendedahkan jantina anak mahupun tarikh melahirkan meski dipercayai kandungannya kini mencapai usia enam bulan dan bakal melahirkannya pada musim panas nanti.

Sumber terdekat Natalie dan kekasihnya, memberitahu kepada majalah Life & Style, bahawa pasangan itu hanya memaklumkan kepada keluarga terdekat dan sahabat rapat, mereka dijangka mendapat anak lelaki. Saat menggambarkan berita baik itu, mereka kelihatan begitu teruja dan tidak sabar menanti detik itu.

Akui Natalie, keinginan untuk mempunyai anak dan membina keluarga sememangnya bermain di fikiran sejak dua tahun lalu. Dia ketika itu berusia 28 tahun dan berasa dirinya sudah dewasa untuk menjalani kehidupan berkeluarga.

“Saya berhasrat untuk menjadi ibu sejak membintangi filem perang Brothers, dua tahun lalu. Saya sudah cukup dewasa tambahan pula usia semakin meningkat dan saya perlu segera berkahwin. Tetapi saya sedar perkara sebegitu bukanlah sesuatu yang boleh dirancang.

“Justeru, apabila disahkan mengandung penghujung tahun lalu, saya berasa sangat gembira dan dirahmati. Terus-terang, saya sudah tidak sabar menantikan kelahiran bayi ini,” katanya.

Tidak menghadapi sebarang alahan mengandung, wanita bertambah jelita berbadan dua ini mengakui fasa pertama kehamilannya dijalani dengan tenang tanpa sebarang masalah.

“Saya berasa hebat. Saya sudah pun melalui fasa pertama kehamilan. Saya melaluinya dengan tenang dan baik. Saya juga sempat menghabiskan masa dengan berehat di rumah, berbaring di tempat tidur, makan bertih jagung dan menonton TV yang sama sekali jauh daripada sorotan kamera. Ia saat seolah melihat saya seperti ikan paus.

“Bukan tidak menghargai perhatian yang diberikan, malah sangat senang dengan keprihatinan ramai pihak yang begitu mengambil berat akan kehamilan pertama saya ini,” katanya.

Natalie turut menyatakan penghargaan kepada ibu-bapanya, Avner dan Shelley Hershlag. Dia berharap dapat menjaga dan membesarkan anaknya kelak dengan cara yang sama dia dibesarkan.

Pengumuman secara rasmi kehamilan Natalie diadakan Disember lalu dan bayi di dalam kandungannya itu adalah anak bersama kekasihnya, Benjamin Millepied, yang kini sudah pun menjadi tunangnya.

Menurut People Magazine, sebaik mendengar perkhabaran gembira itu, Millepied mengambil keputusan melamar Natalie. Bagaimanapun, bila tarikh dilamar serta lokasi menjadi saksi peristiwa indah itu, tidak didedahkan Natalie.

Millepied adalah koreografer balet yang melatih Natalie sepanjang penggambaran filem Black Swan dilakukan. Keduanya bertemu, berkenalan dan saling jatuh cinta saat sama-sama terbabit dalam penggarapan filem itu. Selain menjadi koreografer, Millepied juga adalah pemilik sekolah tari di New York.

“Kami sentiasa bersama di lokasi dan begitu serasi antara satu sama lain. Dia seorang yang sangat profesional ketika berlakon dan menjadi dirinya sendiri ketika di luar set penggambaran,” kata Millepied mengenai Natalie.

Dikhabarkan, pasangan sepadan ini akan melangsungkan perkahwinan sebaik selesai komitmen Natalie terhadap beberapa majlis penganugerahan penting yang disertainya. Malah, ada juga khabar angin mengatakan mereka akan bersatu sebagai suami isteri sebaik Natalie melahirkan bayinya nanti.

Filem lakonan Natalie dan Mila Kunis itu sempat mencetuskan kontroversi dengan paparan adegan intim sesama jenis mengisahkan kehidupan seorang penari balet dan wajah hitam di sebalik industri yang dianggap terhormat itu. Ternyata filem ini menerima 12 pencalonan.

Bercerita mengenai pengalamannya membintangi filem arahan sutradara Darren Aronofsky itu, akui Natalie ia adalah antara filem yang paling mencabar dan sukar untuk dijayakan.

Nina watak dilakonkan Natalie, adalah seorang penari balet yang lulus uji bakat untuk membawakan watak ratu angsa dalam pertunjukan balet Swan Lake.

“Saya perlu bermain dengan emosi membayangkan diri saya sebagai Nina iaitu gadis yang tidak punya keyakinan, tetapi keyakinannya itu ditemukan dalam tarian balet.

“Mengikuti latihan tarian balet selama berbulan-bulan itu adalah proses yang memenatkan. Namun akhirnya menjadi sesuatu yang saya sukai kini. Ia memerlukan ketekunan selain menuntut kesabaran yang tinggi.

“Paling menggusarkan hati saya sewaktu menjayakan babak bercium dengan Milan Kunis. Saya takut adegan hangat itu akan mengaburi kehebatan filem ini.

“Saya bukan saja berdebar saat melakonkan watak itu malah tidak sanggup melihat lakonan sendiri. Mungkin lima tahun akan datang pun, orang masih memperkatakannya.

“Mujurlah mereka yang menyaksikan filem ini termasuk pengkritik filem dan juri panel, tidak begitu memberi fokus terhadap adegan berkenaan sebaliknya melihat keseluruhan jalan cerita walaupun sempat juga tercetus kontroversi berhubung babak berkenaan,” katanya.

Watak Nina ini sudah membawa kejayaan awal kepadanya apabila menang di Anugerah Golden Globe dan SAG (Screen Actors Guild) dan kini berdebar menanti 28 Februari ini untuk menggenggam Oscar di Anugerah Academy ke-83 yang akan berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles.

Bagaimanapun, ia bukan jalan mudah kerana calon lain hebat-hebat belaka iaitu Michelle Williams, Jennifer Lawrence, Nicole Kidman dan Annette Bening.

Aktres kelahiran Israel pada 9 Jun 1981 mula menceburi kerjaya modeling ketika usia 11 tahun kemudian mengambil keputusan jadi pelakon. Filem-filem awalnya ialah The Professional (1994), Heat (1995), Beautiful Girls (1996) dan Mars Attacks! (1996).

Watak Queen Amilda dalam Star Wars: Episode I - The Phantom Menace (1999) mula membuka mata orang terhadapnya hingga diberi kepercayaan membintangi Anywhere But Here (1999), Where the Heart Is (2000) dan Closer (2004). Natalie dicalonkan merebut Oscar menerusi Closer.

Natalie yang digelar David Letterman serta majalah Harpers dan Queen sebagai Audrey Hepburn, mula dikagumi melalui penampilannya dalam Cold Mountain (2003), V For Vandetta (2006) yang sanggup botakkan kepala dalam The Other Boleyn Girl (2008).


PROFIL

Nama sebenar: Natalie Hershlag
Tarikh lahir: 9 Jun 1981
Tempat lahir: Jerusalem, Israel
Bilangan keluarga: Anak tunggal
Tinggi: 160 sentimeter
Nama bapa: Avner (doktor pakar kesuburan)
Nama Ibu: Shelley (pelukis)
Pasangan: Benjamin Millepied


Laporan Penuh Di Sini:





0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...