Unknown

Syafinaz teroka ilmu

Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI

haswendy@hmetro.com.my






PANDANGAN pertama dan senyuman kemesraan terukir di lensa kamera tatkala wanita ini bergaya ketika sesi fotografi bersama SELEBRITI baru-baru ini. Seperti mana lirik lagu Ingin Bersamamu yang mengukir namanya di arena muzik tanah air, seperti itu jugalah setiap detik yang berlalu dalam diari penyanyi ini. Tatkala bergelar jurulatih vokal secara profesional lebih sedekad lalu, pandangan umum terhadapnya turut berbeza.

Tanpa disedari, sepetang bersama Syafinaz Selamat di Taman Budaya Kuala Lumpur berlalu begitu pantas. Sesi fotografi bersama si suara soprano ini menjadi begitu mudah. Mungkin kerana sudah terbiasa, tiga busana Arfian Nazrin yang membaluti tubuhnya diberi cetusan gaya berbeza. Lebih manis perhiasan permata yang meliliti leher, pergelangan tangan dan jari manisnya bernilai RM240,000 menambah seri di tubuh si pemakai.

Status jurulatih vokal, pensyarah, penghibur dan penerbit menjadikan insan seni ini dikategorikan sebagai 'workaholic'. Bertindak sebagai pensyarah jemputan di Fakulti Muzik serta Sekolah Teknologi Artistik dan Kreatif (Teka), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam serta pengajar vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) melengkapkan kehebatan wanita ini.

Wajahnya lebih banyak ditonton di kaca televisyen sebagai juri mahupun jurulatih vokal, antaranya One In A Million, Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan Audition. Sehingga ada suara dari golongan muda terutamanya terlupa wanita itu sebenarnya seorang penyanyi yang sudahpun memiliki tiga album sebelum ini, Syafinaz (1989), Ingin Bersamamu (1999) dan Syyh... (2001).

"Secara komersial, nama saya sudah berada pada tahap tertentu di mata masyarakat. Malah jika saya berada di luar waktu kerja, masyarakat masih mengenali, ini bermakna saya masih diingati sebagai penyanyi walaupun pembabitan lebih menjurus kepada kerja-kerja belakang tabir mahupun di meja juri.

"Jujur saya katakan, 'penghargaan' begini jarang diterima mana-mana artis dan saya bangga dihormati kerana ilmu dan kerjaya yang dipilih. Populariti itu bagus untuk mendapat wang mudah, tapi saya terpaksa bekerja keras untuk berada di tahap ini. Oleh itu, jika melihat pada situasi sekarang, nama saya masih di tahap OK," katanya bersyukur kerana masih diterima khalayak seni tempatan walaupun lapan tahun tidak memiliki album.

Biarpun sedar personalitinya lebih menyerlah sebagai juri atau pensyarah, Syafinaz tidak gentar. Apatah lagi dinamik lontaran vokal bertenaga mengalun irama klasikal menambahkan lagi kehebatan satu-satunya penyanyi wanita yang terus berjuang mengimbangi genre itu sepanjang masa.

Bagi dirinya, bukan populariti mahupun nama seagung penyanyi klasikal Barat yang diimpikan tapi menabur jasa kepada mereka yang memerlukan. Sekiranya anak seni lain menggunakan medium nyanyian melalui lirik indah dan irama yang menyentuh jiwa, Syafinaz pula menggunakan seluruh kudrat daripada ilmu yang dimiliki.

Sikap dan sifat mulia itu dapat dilihat pada aktivitinya sepanjang tahun. Mendidik 58 kanak-kanak pada lingkungan umur 7 hingga 12 tahun untuk projek Koir Permata Seni Negara misalnya, bukan satu tugas mudah. Apatah lagi, projek seni yang diilhamkan dari isteri Perdana Menteri Malaysia itu adalah lingkungan ilmu yang perlu diterap demi perkembangan sahsiah dan pemikiran generasi akan datang. Selain menerbit konsert besar itu, dia juga bertanggungjawab menulis buku skor untuk koir itu dan Koir Kebangsaan yang diterajuinya sejak sekian lama.

Meneliti satu demi satu pembabitan seni anak kelahiran Pontian yang dibesarkan di Batu Pahat, Johor ini, pasti ia menjadi faktor utama pintu hatinya masih belum diketuk jejaka impian. Bagai dapat mengagak soalan 'cepu emas' itu, Syafinaz hanya mampu ketawa.

"Pintu hati saya sentiasa dibuka. Tak pernah tutup pun! Diari kehidupan saya sangat penuh. Percaya atau tidak, saya pulang ke rumah paling awal pun, jam 12 malam hampir setiap hari. Jadi, bagaimana saya nak ada 'relationship'?

"Untuk menjalin hubungan dengan seseorang yang bergelar teman istimewa, kita perlu ada masa untuk diluangkan bersama. Oleh itu tak adil jika tidak mempunyai masa itu. Malahan, masa untuk saya bersama keluarga juga kurang. Inikan pula nak bercinta?

"Ibu saya sendiri sering datang ke rumah saya di Kuala Lumpur kerana tahu anak gadisnya ini sebenarnya susah nak pulang ke kampung halaman," katanya yang akur menjalani kehidupan begitu adalah tidak bagus, apatah lagi tatkala usia menjengah pertengahan 30-an.

Pun begitu sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, dia lebih selesa mengatur hidupnya kepada perkara yang dicintainya sepenuh hati iaitu muzik. Syafinaz lebih selesa berbicara soal kerjaya dan masa depan muzik tanah air yang semakin membanggakan.

Sebagai insan yang boleh dikatakan layak berbicara soal muzik, Syafinaz melihat perkembangan muzik tanah air kini semakin sihat. Jumlah pembabitan anak muda dalam genre muzik klasikal contohnya kian bertambah. Pun begitu, dia masih kecewa dengan sikap 'malas' segelintir daripada mereka yang ingin terjun ke dalam dunia hiburan. Walaupun mempunyai potensi, tapi mereka masih mengharapkan bantuan orang lain untuk menolak mereka ke tahap yang ingin dikecapi.

Katanya, pendatang baru perlu bekerja keras dan jika ingin terus maju dalam bidang yang diceburi, mereka perlu membuka hati dan minda untuk belajar benda baru.

"Saya sendiri rasa penat sebab tahu perkara ini bukan mudah. Ramai yang berpotensi, cuma kaedah yang diamalkan mereka saja yang perlu dikemaskini," katanya.

Sambil memetik pepatah Inggeris 'Jack of all trades but master of none', Syafinaz mendakwa ramai artis muda kini mampu melakukan segalanya tapi tidak menguasai semua bidang itu.

Sebagai contoh, ramai anak muda kini mempunyai bakat yang besar dalam bidang penciptaan lagu, nyanyian dan muzik pada satu-satu masa. Sehingga lebih ramai golongan artis muda yang sedang gigih menembusi tembok hiburan yang tebal, gagal memecahnya susulan kurang penguasaan ilmu yang sepatutnya.

Katanya, mereka perlu tahu apa yang nak dilakukan dan wajib menguasai ilmu. Dia menelah sebahagian besar masyarakat merasakan menjadi pemuzik perlu banyak latihan serta mencari pengalaman. Tapi hakikatnya, mereka lupa bahawa pengalaman dan latihan tanpa ilmu yang sewajarnya adalah tidak berbaloi.

"Tidak dinafikan bakat itu penting tapi bakat yang tidak di asah dengan cara betul akan merugikan. Oleh itu sebagai pemuzik, kita mesti sentiasa mewujudkan seni kreasi baru yang kreatif. Perlu ada keberanian untuk mengharungi arus deras agar dapat capai apa yang diidamkan.

"Sebagaimana genre muzik yang saya bawa. Ia adalah cara saya untuk kekal berada di dalam industri seni kerana saya tidak melihat orang lain melakukan perkara sama. Saya mahu pecahkan sempadan bahawa anak Melayu mampu membawa genre begini dalam industri muzik tempatan. Sedar atau tidak, ramai anak Melayu sebenarnya berminat dan mempunyai potensi dalam muzik klasikal kerana saya melihat sendiri pembabitan mereka tatkala penilaian tahun akhir pelajar jurusan muzik di tempat saya mengajar," katanya.

Serius kata-kata yang diungkapnya, seserius cita-cita yang menjadi nadinya terus kekal dalam genre muzik itu. Wanita berbintang Capricorn ini tekad terus mengembangkan muzik pilihannya. Baginya disiplin klasikal yang tertib serta perkembangan muzik itu yang menjadi pencetus bermulanya dunia muzik secara serius. Lantas memberikan satu pandangan berbeza kepada irama itu dalam dirinya.

Lantaran itu, Syafinaz tetap akan meneruskan projek albumnya yang sudah tertangguh sejak sekian lama. Album yang bakal mengandungi lapan lagu berirama klasikal dengan sentuhan pop itu hampir siap sepenuhnya. Menurutnya, separuh daripadanya adalah lagu klasik barat yang disusun semula.

"Saya akui pada mulanya agak risau kerana asyik menyanyikan lagu lama. Biarpun tanpa kemunculan album baru, undangan persembahan tetap sama, mungkin kerana genre muzik saya lebih menjurus kepada golongan tertentu saja, ia banyak membantu saya terus kekal.

"Cuma sebagai seorang pemuzik, takkan asyik nak nyanyi lagu sama dan lagu orang lain setiap masa. Saya sentiasa ingin melakukan perkara berbeza. Pun begitu elemen klasik masih menjadi panduan. Tidak bermakna saya tidak boleh pop, balada, rock mahupun asli tapi saya mempunyai fokus saya sendiri," katanya.

Ketika pertama kali merakamkan album, usianya baru mencecah 16 tahun dan sebagaimana yang perlu dilalui penyanyi baru lain ketika itu, konsep dan kehendak syarikat rakaman perlu didahului. Tapi kini melalui pengalaman dan ilmu yang dimilikinya, Syafinaz bukan saja mampu mengorak alunan irama pilihannya sendiri malah mendapat penghormatan sewajarnya dalam lingkungan khalayak seni tempatan.

Semuanya berkat usaha dan ilmu yang dimiliki. Satu keperluan yang wajib ada di dalam diri anak muda yang ingin terus berada dalam industri muzik tanah air yang serba luas ini.

Laporan Penuh Di Sini:










0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...