Unknown

Mahu bina masjid lagi

Oleh Nor Akmar Samudin

INDAH...Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Kuala Muda, Kedah.


KONGSI RAHSIA..Siti menemu bual pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib.


APABILA menyebut 'membina masjid' pasti kita lebih terbayangkan dua insan yang ingin mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, berbeza dengan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kerana sejak kecil lagi masing-masing sudah memasang impian untuk benar-benar membina sebuah masjid - tempat bagi umat islam beribadah.

Nyata penyatuan dua jiwa yang sudah bergelar haji dan hajah itu akhirnya memungkinkan hajat mereka menjadi kenyataan apabila terbinanya Masjid Al-Khalidiah yang tersergam indah di Kampung Permatang Pasir, Kuala Muda, Kedah. Ia selamat dirasmikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 19 Februari lalu.


Masjid yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu diharap dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh umat Islam khususnya masyarakat setempat.


Ia dibangunkan Yayasan Nurjiwa yang diasaskan Siti dan Khalid bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada 1896 di tapak sama.

"Sebelum terbinanya masjid baru itu, suami Siti selalu melihat kerosakan pada masjid yang lama dulu apabila bumbungnya bocor dan banyak yang rosak.

"Suami Siti terus berbincang dengan penduduk kampung untuk membina masjid baru untuk keselesaan mereka beribadah. Lalu menerusi wang yang terkumpul dalam Yayasan Nurjiwa, kami salurkan kepada pembinaan masjid ini.

"Kebetulan masih ada lagi tanah di sekeliling masjid lama yang belum digunakan maka dapatlah kita membina masjid baru yang lebih besar.

"Masjid ini mula digunakan untuk solat Aidilfitri tahun lalu. Bagaimanapun, ketika itu hanya ruang untuk solat saja yang baru siap. Masjid itu hampir siap sepenuhnya pada Aidiladha lalu," kata Siti.

Siti berkata, mereka sekeluarga sangat gembira dengan pembinaan masjid itu kerana dapat memenuhi hajat dia dan suaminya.

"Arwah bapa mentua Siti suka membuat kerja kebajikan dan sejak kecil suami itu kagum dengan usaha bapanya itu. Sekarang suami Siti meneruskan apa yang biasa dilakukan bapanya dulu. Dengan adanya masjid baru ini, penduduk kampung pun seronok dan bersemangat untuk bersolat jemaah.

"Dengan kemudahan baru, mudah-mudahan dapatlah mereka mengadakan pelbagai aktiviti di masjid itu," katanya.

Siti turut berdoa Allah SWT meluaskan lagi rezeki dirinya dan suami untuk membina sebuah masjid di kampungnya pula iaitu di Kuala Lipis, Pahang. Walaupun belum dapat membina masjid di kampungnya, Siti akan cuba membantu masyarakat di sana dalam cara berbeza. Contohnya, ketika banjir melanda Johor dan Pahang, Yayasan Nurjiwa juga turun padang memberikan sumbangan untuk mengurangkan beban mereka yang ditimpa bencana.

"Yayasan Nurjiwa juga ingin membantu orang miskin membina kehidupan yang lebih baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti sudah bersedia untuk merakamkan musim kedua program bual bicara SITI yang kini rancak ke udara di Astro Ria, setiap Sabtu dan Ahad, jam 9 malam.

"Siti masih dalam proses belajar menjadi pengacara yang baik. Masih kekok kerana siapalah Siti kalau hendak dibandingkan dengan pengacara yang sudah terkenal. Bagi membaiki apa yang kurang untuk musim kedua, kami akan melakukan 'brainstorming'. Kalau tiada aral, rakaman musim kedua akan dibuat bulan depan," katanya.

Program bual bicara itu dibahagikan kepada enam segmen yang menonjolkan karisma Siti selaku penghibur dan pengacara yang peka.

Enam segmen itu adalah Gambit Pembukaan dan Muzikal, Sesi Temu Ramah, Interaksi Siti Dengan Audien, Perspektif Siti, Sentuhan Kasih dan Siti Bersama Bakat Istimewa Minggu Ini.
Segmen Sentuhan Kasih misalnya, akan menyentuh perasaan dan jiwa penonton. Di sini, Siti akan berkongsi kes mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat. Kisah dan cabaran hidup mereka akan diketengahkan dan Siti akan mengajak penonton supaya bersama-sama prihatin, mempunyai sifat mengasihani dan mengambil bahagian dalam tugas membantu mereka yang memerlukan.

Menyentuh perjalanan dunia nyanyiannya, Siti berkata dia masih menyanyi, namun aktiviti seni terpaksa diperlahankan sedikit kerana memberi tumpuan kepada perniagaan kosmetiknya, SimplySiti.

"Siti dalam rangka mempromosikan SimplySiti dan bertemu peminat di beberapa lokasi antaranya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan beberapa daerah di luar bandar. Sekarang SimplySiti ada lebih 100 produk termasuk kosmetik dan penjagaan kulit," katanya.

Hampir lima tahun berkahwin, Siti dan suami terus mengharapkan kehadiran cahaya mata namun penyanyi nombor satu negara itu tidak mahu terlalu memikirkannya sangat soal itu agar tidak memberikan tekanan hidup.

"Siti akan terus bekerja seperti biasa dan berdoa agar Allah SWT mengurniakan kami zuriat satu hari nanti," katanya.

Laporan Penuh Di Sini:










0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...