Unknown

Mencari punca sebab


Oleh MURSHID EUNOS
murshid@hmetro.com.my


ENGGAN terus menjadi bahan eksploitasi atau material ‘pelaris’ sesetengah produk atau program televisyen, selebriti terkenal yang juga pengacara popular, Sarimah Ibrahim tekad menyusun percaturan bagi memantau langkahnya agar tidak lagi terjerat.

Sedar akan senario yang menghimpit hingga ada kalanya terpaksa membenarkan dirinya ‘dibogelkan’ dan menentang prinsip diri semata-mata terikat dengan kontrak atau kehendak sesetengah pihak, bintang ini tekad mengubah persepsi kolot yang bagai satu kewajipan menggesa golongan wanita dieksploit untuk memancing perhatian umum.


Biar besar mana ganjaran atau janji publisiti pada skala meluas, wanita kacukan Melayu-Irish ini tetap kukuh berdiri atas janjinya. Tidak mahu lagi diperlakukan begitu atau menggadai maruah semata-mata atas alasan kerja.

Tegas Sarimah, alasan tuntutan kerja atau menjaga hati sesetengah pihak tidak lagi relevan. Malah, pengalaman diri sendiri yang pernah dihambat senario serupa sebelum ini cukup mengajarnya untuk lebih berhati-hati. 14 tahun mengheret status selebriti, sudah memadai me­ngajarnya erti sebenar pengorbanan.


“Tidak suka untuk saya susunkan kata mengenai isu begini. Bimbang jika ada pula yang terasa sedangkan niat asal hanya untuk berkongsi cerita. Eksploitasi adalah satu masalah yang agak kasar maksudnya namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan terutamanya golongan selebriti wanita. Senario ini bukanlah sesuatu yang baru di mana wanita sering kali dijadikan objek bagi ‘menjual’ sesuatu produk.


“Masalah paling besar yang perlu saya hadapi adalah keseimbangan serta mencari titik pertengahan antara mengikut tuntutan kerja serta menjaga hati sesetengah pihak. Bercakap berdasarkan pengalaman sendiri, situasi berdepan dengan masalah ini sudah biasa berlaku dan memberi pengajaran buat saya sendiri. Ada kalanya kita perlu me­ngikut kehendak sesetengah pihak dan tuntutan kerja yang menggesa untuk berbuat demikian. Pada masa yang sama, saya perlu berpaksikan pada adat dan budaya serta yang paling penting adalah aspek agama yang seharusnya wajib diikut.

“Mujur sejak kecil dan mengikut jalur keluarga, saya sudah biasa berdepan dengan masalah pertembungan adat, budaya dan agama yang mana akhirnya, saya berjaya memaut pada titik perte­ngahan yang mampu memuaskan hati kesemua pihak.
Cuma yang penting, seseorang wanita itu perlu memastikan agar tidak terus dijadikan objek pelaris atau membenarkan diri dieksploitasi sewenang-wenangnya.

“Tidak sesekali saya mengaitkan perkara ini dengan mana-mana pihak yang pernah saya bekerja kerana sebagai anak seni yang sudah lebih sedekad pengalaman, saya memahami senario ini. Apa yang penting adalah diri sendiri dalam mempertahankan pendirian sendiri. Jika saya tidak mahu dan kurang selesa, saya akan mengutarakan perkara itu. Namun saya akui, kadang-kadang kita berada di tempat di mana tidak punya hak untuk bersuara. Tetapi janganlah terlalu bodoh untuk terus berdiam, saya akan cuba berbincang agar permintaan itu ada longgarnya,” katanya yang menyambung kontrak sebagai wajah eksklusif Astro selama dua tahun lagi.

Memiliki wajah cantik, penampilan menarik dan susuk tubuh seksi menjadi komponen penting bagi sesetengah pihak memperalatkan golongan wanita. Tanpa memikirkan persepsi masyarakat dan kesan kemudian hari, sedihnya ada juga yang sanggup akur untuk melakukannya.

Tambah Sarimah yang pernah mengacara Akademi Fantasia dan The Biggest Loser Asia menyifatkan perkara itu sudah sinonim dalam aspek penerbitan program dan pengiklanan khususnya.

Sebalik celotehnya yang tidak henti dan bersulam jenaka, Sarimah menyembu­nyikan rasa bahagia yang kini mengulit hatinya. Lama disogok, akhirnya lidah yang terkunci perlahan-lahan mengatur kata membuka cerita.

“Alhamdulillah kerjaya saya semakin baik meskipun sebelum ini penat mengharungi detik pahit masalah perceraian saya. Namun benarlah kata orang, setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Meskipun sekarang saya hidup sendirian, setiap saat saya penuhkan dengan jadual kerja serta perancangan masa depan.

“Saya akui sedang mengenali sese­orang dan hubungan itu masih dalam peringkat perkenalan lagi. Saya tidak mahu terburu-buru berkongsi soal ini kerana segala-galanya masih terlalu awal. Mungkin apa yang boleh saya katakan, dia seorang yang baik dan memahami saya. Masih lagi seorang lelaki asing namun itu bukanlah satu kemestian yang saya cari. Soal jodoh adalah ketentuan yang melangkaui kemampuan saya.

“Setakat ini, saya berkahwin dengan kerjaya yang makin menampakkan peningkatan. Memang ada kalanya timbul perasaan cemburu melihat teman-teman bahagia dengan pasangan dan anak-anak, namun itu bukanlah sesuatu yang muda untuk terus dilakukan. Komitmen rumah tangga memang besar dan buat masa sekarang, biarlah saya menumpukan perhatian kepada kerjaya,” katanya yang kini menjadi duta untuk Equal, Body Shop dan Reebox.

Bintang berusia 32 tahun yang pernah popular menerusi lagu Kini Kau Tiada ini bagaimanapun menafikan serik untuk kembali bercinta.

“Saya tidak fobia. Saya sentiasa optimis dan melihat kegagalan yang lalu sebagai satu fasa untuk saya terus mengenal erti matang dalam sesebuah perhubungan. Saya tidak pernah serik sebaliknya hati dan jiwa sentiasa terbuka untuk me­ngenali mana-mana lelaki yang mungkin berjaya memancing perhatian saya.

“Hubungan saya dan bekas suami juga sangat baik dan kami semakin akrab seperti sahabat selepas bercerai. Saya percaya akan frasa, jika tiada jodoh usah dipaksa. Mungkin apa yang berlaku antara kami adalah ketentuan dan tiada lagi persefahaman sebagai pasangan. Namun jelas, kami masih boleh menjadi sahabat dan berkongsi pelbagai cerita bersama.

“Kelakarnya, kami masih berkongsi se­ekor kucing, Molli yang memang menjadi kesayangan kami sejak dulu. Justeru, setiap sebulan kami akan bertukar menjaganya. Molli ibarat anak buat kami dan dia jugalah yang menemani saya setiap malam di rumah.

“Setiap kali ada masalah, saya akan cuba mencari sebabnya. Jadi apabila punca itu dapat dikesan, saya dengan terbuka akan memohon maaf jika benar salah saya. Perspektif saya melihat rasa maaf atas kesilapan sendiri adalah sesuatu yang luar biasa yang mana mampu membentuk kita menjadi yang lebih baik. Perkara yang sama saya lakukan dalam kemelut rumah tangga sebelum ini. Alhamdulillah saya semakin maju dan mampu menerima hakikat itu dengan baik,” katanya.

Semangat baru yang bersarang dalam jiwa bintang kelahiran Dublin, Ireland ini menyimpul sebuah impian yang hampir direalisasikan. Sarimah melalui syarikatnya yang menyandang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif, AVISI Sdn Bhd bersama teman-teman perniagaannya mencongak dalam menerbitkan sebuah program.

“Sudah lama saya impikan untuk mempunyai empayar perniagaan sendiri. Insya-Allah kami akan menghasilkan beberapa program televisyen seperti dokumentari dan telefilem. Menariknya, kami tidak hanya fokus pada pasaran penerbitan tempatan sebaliknya terus pandang jauh ke peringkat antarabangsa. Setakat ini semua kertas cadangan dan proses awal sudah digerakkan.

“Saya mengimpikan sebuah program berunsur keislaman dalam bahasa Inggeris. Mungkin ia berbentuk bual bicara atau perbincangan, namun topik yang akan didebatkan berkisar akan masalah yang menghimpit umat Islam dan perjuangannya yang gigih disempurnakan. Dengan pengalaman dan kebolehan saya berbahasa Inggeris, mungkin ini satu alternatif untuk saya menjalankan tanggungjawab sosial.

“Malah, kami juga dalam rangka me­nyusun pelan pelaksanaan sebuah majlis anugerah untuk industri tempatan namun semuanya masih dalam perbincangan.

“2011 adalah tahun buat saya meletak sepenuh fokus kepada pelan perniagaan serta mencatur langkah kerjaya ke peringkat lebih tinggi. Alhamdulillah rezeki makin bertambah. Selepas muzikal Tun Mahathir, saya dilamar pula untuk sebuah lagi teater berjudul Dreamgirls dan Shout The Musical untuk tahun ini
“Malah mengejutkan apabila ada pihak yang tampil menawarkan peluang menjadi penyampai sebuah stesen radio pula. Namun semuanya masih dalam pertimbangan. Insya-Allah peminat akan puas melihat kemunculan saya untuk tahun ini,” selorohnya.

Terbaru, nama si jelita ini turut disenaraikan dalam pencalonan Pengacara Terbaik untuk Anugerah Seri Angkasa. Menyifatkan pencalonan yang diberi sebagai satu tanda penghargaan, pelakon yang bakal muncul dalam filem Apokalips arahan Mamat Khalid ini tidak meletak sebarang harapan sebaliknya hanya berserah pada ketentuan.

“Usah memandang terlalu tinggi. 14 tahun saya berdiri sebagai pengacara, peluang nama diletak antara yang terbaik pun sudah memadai. Saya tidak pernah ambil pusing perkara seperti itu. Jika ada rezeki, saya menang namun sekiranya tidak, ia adalah pembakar semangat. Indahnya, pengiktirafan itu pada hari jadi saya. Justeru, sekiranya saya berjaya, ia adalah kebahagiaan berganda,” katanya yang baru habis mengacarakan rakaman projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Selamat Datang Ke Kuala Lumpur yang akan dipancarkan seluruh dunia bagi mempromosikan Malaysia


Laporan Penuh Di Sini:






0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...