Unknown



Bukan cedok filem Taiwan

Oleh Rudy Imran Shamsudin imran@hmetro.com.my


LASAK...Intan dan Yana digambarkan sebagai wanita ganas dalam Bini-Biniku Gangster.



BUKAN senang untuk beraksi lasak di layar putih terutama dalam meyakinkan penonton bahawa mereka benar-benar tangkas bertarung secara realistik.

Kalau perkara itu menjadi cabaran utama bagi pelakon lelaki yang sememangnya lebih gagah dari sudut fizikal, keadaannya berbeza kalau membabitkan pelakon wanita.



Begitulah cabaran terpaksa digalas dua pelakon wanita jelita dan popular, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya atau Intan Ladyana, 28, dan Norliana Samsudin atau Yana, 26, menerusi filem terbaru terbitan Metrowealth (MIG), Bini-Biniku Gangster. Ia ditayangkan di pawagam tempatan mulai hari ini.

Filem arahan Ismail Hashim ini turut menampilkan Shaheizy Sam yang memegang watak Herry. Turut sama mewarnai filem ini, Zalif Sidek, Aman Shah, Loo Mark Chin, Roslan Salleh, Hamid Ghurkha dan Boy Iman.



Menariknya filem ini, skripnya turut dihasilkan Yana dan idea berdasarkan kisah benar mengenai wanita yang membenarkan suaminya berkahwin lain dan hidup bermadu.



Ditemui di majlis malam pratonton filem Bini-Biniku Gangster bersama peminat yang diadakan kelmarin, pelakon berasal dari Yong Peng, Johor itu berkata, dia menghasilkan skrip itu sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lagi.

“Saya cuba bayangkan bagaimana kehidupan wanita berumah tangga dan bermadu. Agak-agaknya apabila suami mereka keluar bekerja apa yang mereka lakukan. Daripada situlah lahirnya idea menghasilkan Bini-Biniku Gangster,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai skrip dihasilkan kata Yana yang memegang watak Manja, apabila dia menyerahkan skrip kepada MIG, mereka mencadangkan agar ia dihasilkan dalam genre aksi dan digarap dengan unsur lucu dan sedikit drama.

“Kemudian perbincangan dilakukan bersama Fadzil Bahari dan pengarah. Beberapa rombakan dibuat bersama. Waktu sama saya memang sukakan filem aksi dan itu memberi sedikit kelebihan. Disebabkan saya tidak biasa dengan dialog harian Gangster, Fadzil yang berpengalaman menghasilkan skrip Kongsi banyak membantu saya,” katanya.

Bagaimanapun Yana tidak menafikan sepanjang menghasilkan skrip filem ini, dia menjadikan filem aksi yang menampilkan ketokohan seorang perempuan sebagai sumber inspirasi termasuklah My Wife Is Gengster, sebuah filem Taiwan.

“Filem ini tidak mencedok filem My Wife Is Gengster. Kalau penonton datang menyaksikannya pasti mereka tahu bahawa ia sangat berbeza. Apatah lagi jalan ceritanya menampilkan kehidupan dalam budaya tempatan,” katanya.

Menyentuh mengenai watak yang dibawakan kata Yana, pada awalnya dia mahu membawakan watak pembantu iaitu Reanna yang dilakonkan Intan.

“Sebabnya saya berasakan tidak mungkin saya akan menjadi heroin filem ini. Bagaimanapun apabila ditawarkan watak Manja saya jadi panik kerana tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan watak itu. Mahu atau tidak saya harus mendalami watak Manja yang di rumah begitu romantis tetapi di luar sangat ganas,” katanya.

Kata Yana, pengalaman membintangi filem Kongsi yang memerlukan dirinya beraksi lasak juga turut memberikan kelebihan kepadanya untuk menampilkan lakonan lebih meyakinkan menerusi Bini-Biniku Gangster. 

Bagi Intan, melaksanakan aksi pertarungan bukan satu masalah memandangkan sebelum ini dia sudah biasa mengikuti kelas Muay Thai dan Kick Boxing.

“Saya menerima tawaran membintangi filem ini atas tiga sebab, pertamanya selepas membaca skrip diberikan saya berasakan jalan ceritanya sangat menarik. Keduanya, ini satu genre baru buat saya dan ketiga saya tidak pernah beraksi lasak dalam filem dan sudah tentu ia satu tawaran menarik untuk dicuba,” katanya.

Dalam menghayati watak diberikan kata Intan dia turut menonton beberapa filem aksi antaranya Resident Evil dan Tomb Raider. Dia cuba belajar bagaimana pelakon wanita dalam dua filem ini memberikan lakonan meyakinkan dalam melakonkan aksi lasak.

“Memandangkan saya sudah memiliki skil, ia membolehkan saya melakukan sendiri aksi lasak terutama membabitkan pertarungan. Waktu sama kami turut disediakan penasihat aksi pertarungan. Cuma masa diberikan kepada kami untuk berlatih aksi pertarungan itu agak terhad,” katanya.

Cerita Intan lagi, memandangkan kebanyakan aksi pertarungan dan pergaduhan dilakukan sendiri dia tidak dapat lari daripada berhadapan dengan kecederaan, namun katanya ia tidak teruk.

“Setakat lebam dan luka-luka kecil saya anggap perkara biasa. Dalam waktu sama, sebaik habis melakukan aksi pertarungan, badan akan terasa sakit dan lenguh. Begitupun saya seronok kerana filem seperti ini memberikan satu cabaran berbeza berbanding apa yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.


PROFILNama Penuh: Norliana Binti SamsudinPanggilan: YanaTarikh lahir: 25 September 1984Usia: 26 TahunAsal: Yong Peng, JohorPendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Layar Universiti Teknologi Mara (UiTM)Hobi: Menari, membaca, menonton filemKerjaya: Pelakon, Penulis skrip, pengarahFilem: Mami Jarum Junior, 7 Perhentian, I Know What You Did Last Raya, Potret Mistik, Cinta Fotokopi, Main-main Cinta, Tentang Bulan, Selamat Pagi Cinta, Histeria, Shh... Dia Datang, Mami Jarum Junior, Adnan Sempit, Kongsi, Bini-Biniku GangsterDrama: Maya, Tarian Malayu Terakhir, Daniel dan Seribu Satu Gelagat.Pencapaian: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23)PROFILNama Penuh: Intan Nurladyana Mohamat YahayaPanggilan: Intan LadyanaTarikh lahir: 2 Jun 1982Usia: 28 TahunAsal: Kuala LumpurHobi: Membaca, mendengar muzik, menonton filemKerjaya: Pelakon, pengacara dan modelDrama: Trio & Bujal, Puteri, Jelatang, Hanya Satu, Fantasi Cinta Dobi, Dari KL Ke Queenstown, Sutera Maya, Suria Kasandra, Bio-Nik.Filem: Tipah Tertipu, Jangan Pandang Belakang, I’m Not Single, Remp-It V3, Adnan Sempit, Flat 3A, Kembar Siang, Bini-Biniku GangsterRancangan TV: Hello Minda, Adventurace F&NIklan: Oil of Olay, Dentyne, Celcom, Hotlink, Nokia, Dashing, Follow Me Hair Mousse, Jacob’s, Toyota Hilux, Dell Computer, Djarum (Indonesia), McDonald’s, Kinder Bueno, Wah Chan Jewellery 321K


Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | Bukan cedok filem Taiwan



Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.





Label: edit post
0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...