Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

Inspirasi Siti

Oleh MURSHID EUNOS

murshid@hmetro.com.my


JOLOKAN ‘Oprah Winfrey Malaysia’ terlalu besar buat Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang kini menceburi bidang pengacaraan. Meskipun bersandar pada kehebatan yang sukar disangkal, ia dalam lapangan yang tersasar jauh untuk disamakan dengan individu yang bijak mengawal keseluruhan program.

Menerusi program bual bicara kendaliannya, ‘Siti... Hiburan dan Inspirasi’, anak jati Kuala Lipis, Pahang ini cuba menampilkan sesuatu yang berbeza namun masih kekal berpaksi mengikut konsep dan penyampaian bersahaja.

Melihat Oprah sebagai idola yang banyak menyalur inspirasi buatnya, Siti memohon usah menyamakan dirinya yang masih bertatih dengan Oprah yang terkenal di seluruh dunia.

Enggan memberi harapan dan piawaian terlalu tinggi dalam lapangan barunya, Siti berusaha memberi yang terbaik seperti mana pentas nyanyian yang sinonim dengannya.

Menurutnya yang sempat meluangkan masa selepas tamat menemubual tokoh idolanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi segmen Sesi Temu Ramah, Siti menyifatkan bidang pengacaraan adalah fasa baru dalam diari seninya.

“Mungkin pengacaraan adalah pemangkin baru dalam karier bagi mengembangkan lagi bakat yang ada. Saya mengandaikan lapangan ini sebagai cabaran baru yang perlu saya terokai untuk melihat sesuatu yang berbeza pula.

“Bukan jemu atau ingin beralih bidang, sebaliknya mengendalikan program bual bicara ini hanya sekadar satu percubaan yang tidak mustahil sebuah permulaan.

“Usah terlalu lekas meletak harapan atau menyamakan saya dengan sesiapa. Begitu juga melakukan perbandingan dengan pengacara lain kerana setiap satu itu punya kelebihan masing-masing.

“Itu terbukti kerana setiap pengacara mempunyai identiti penyampaiannya yang tersendiri umpamanya Anita Sarawak, Linda Onn atau sesiapa saja.

“Justeru, saya mengharapkan percubaan ini berhasil dan mendapat sokongan pelbagai pihak, terutama peminat. Malah saya berharap objektif asal serta visi pelaksanaan program ini mencapai sasaran,” katanya yang berkampung hampir seminggu di Studio Filem Negara Malaysia bagi menyiapkan proses rakaman sebanyak 13 episod.

Siti... Hiburan dan Inspirasi adalah satu jalur bual bicara yang mengenengahkan konsep bercirikan motivasi yang menekankan kandungan ilmiah.

Berbeza kebanyakan program bual bicara lain, Siti yakin dengan enam segmen selama durasi sejam.

Ditanya kelainan program yang bakal menjengah penonton bermula 12 Februari depan di Astro Ria, Siti tampak bersemangat berkongsi cerita.

“Jika sebelum ini kita terlalu banyak didedahkan dengan konsep bual bicara wanita, perkongsian masalah, hiburan ringan dan temubual selebriti, namun menerusi terbitan Global Station Sdn Bhd ini, kami mengangkat kandungan yang lebih berfokus pada kerjaya, rahsia kejayaan, resipi kebahagiaan serta rencana masa depan.

“Malah, subjek yang dijemput juga tidak hanya tertumpu pada golongan selebriti, sebaliknya saya dan pihak produksi menjemput individu yang berjaya mencipta fenomena dalam lapangan masing-masing.

“Selama sejam, saya ingin menyalurkan aspek ilmiah dalam gaya penyampaian lebih santai. Mesej digarap juga kemas serta lebih dekat dengan penonton bagi menghidupkan konsep asalnya.

“Saya sukakan segmen Sentuhan Kasih yang mengangkat simbolik keprihatinan kepada masyarakat dengan menyelami perasaan golongan memerlukan bantuan.

“Lainnya, program ini bukan menyelesaikan sebarang masalah, sebaliknya Siti... Hiburan dan Inspirasi lebih dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan beberapa pihak bagi menyelesaikan masalah atau kemelut yang menghantui sesetengah pihak yang difokus.

“Alhamdulillah, setiap satu segmen yang diketengahkan mempunyai objektif berlainan namun masih sama iaitu ingin berkongsi pandangan dan senario semasa yang berlaku.

“Setakat ini saya gembira kerana pihak produksi tidak henti-henti membantu dan memberi kerjasama baik,” katanya yang menyambut ulang tahun ke-31 pada 11 Januari lalu.

Laporan Penuh Di Sini:

1 Response
  1. Unknown Says:

    Dato’ Siti Nurhaliza dengan bidang baru sebagai pengacara rancangan Siti... Hiburan dan Inspirasi’


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...