Unknown
Eruwan Gerry Affiliates



ATM tahan tujuh lanun Somalia

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2011/01/22

PASUKAN Khas Laut TLDM memberkas lanun Somalia di atas MT Bunga Laurel, kelmarin.

Kapal Malaysia hanya jadi tawanan hampir dua jam


KUALA LUMPUR: Tindakan pantas Pasukan Khas Laut(PASKAL) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya membebaskan sebuah kapal tangki Malaysia bersama 23 anak kapal, tidak sampai dua jam selepas ia dirampas lanun Somalia di Teluk Aden, kira-kira 300 batu nautika ke timur Oman, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.40 malam (waktu tempatan) itu, MT Bunga Laurel disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) dikatakan dalam perjalanan menghantar muatan minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura, tetapi diserang tujuh lelaki bersenjatakan mesingan AK-47 dan pistol menaiki sebuah bot laju.


Difahamkan, tujuh suspek itu sebahagian daripada 18 lanun yang merancang serangan itu dari sebuah kapal induk berlabuh tidak jauh dari tempat kejadian.

Jurucakap Markas ATM memaklumkan, kejadian disedari anak kapal MT Bunga Laurel yang kemudian mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan Kapal (SSAS) sebelum berlindung dalam bilik keselamatan berhampiran bilik jentera kapal berkenaan.

“Kejadian berlaku dua jam selepas MT Bunga Laurel berpisah daripada konvoi keselamatan kapal auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Bunga Mas 5 yang terbabit dalam Ops Fajar bagi memberi perlindungan keselamatan kepada kapal dagang negara di perairan berisiko itu.

“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, Pasukan Khas Laut ATM diatur gerak untuk misi menyelamat menggunakan MV Bunga Mas 5 yang berada kira-kira 14 batu nautika dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di ibu negara, semalam.

Katanya, helikopter tempur, Fennec milik TLDM yang dilancarkan dari MV Bunga Mas 5 turut digunakan dalam misi berisiko tinggi itu, khusus bagi tujuan pemantauan dan serangan udara.

“Tembakan padu dari helikopter berjaya menghalang kumpulan lanun di atas kapal induk memberi bantuan kepada rakan mereka di atas kapal tangki kita yang dirampas. Ini memudahkan Pasukan Khas Laut ATM digerakkan ke atas MV Bunga Laurel. Selepas berbalas tembak, kapal tangki kita berjaya ditawan semula kira-kira jam 1.20 pagi,” katanya.

Difahamkan, tiga lanun yang berada di atas kapal tangki berkenaan cedera parah dalam kejadian itu dan diberi rawatan oleh pasukan terbabit sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

“MT Bunga Laurel berjaya ditawan semula dengan semua anak kapalnya diselamatkan dalam tempoh tidak sampai dua jam selepas dirampas lanun. Ini jelas membuktikan keupayaan Pasukan Khas Laut ATM dalam melaksanakan pelbagai misi sukar, khususnya di Teluk Aden.

“Kejadian terbaru ini juga jelas menunjukkan ancaman lanun di Teluk Aden semakin serius dengan 32 kapal masih ditawan kumpulan lanun sehingga kini, yang kebanyakannya dalam proses rundingan untuk dibebaskan,” katanya.

Laporan Penuh Di Sini:



PM ucap tahniah kejayaan Paskal tumpaskan lanun di Somalia

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM atas kejayaannya menyelamatkan kapal yang disewa oleh sebuah syarikat Malaysia yang dirampas sekumpulan lanun di Laut Aden, Somalia semalam.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut bangga dengan kecekapan dan keberanian ditunjukkan anggota Paskal yang berjaya menahan tujuh lanun dalam kejadian tersebut.

Menurut beliau, kerajaan sedang mengkaji daripada sudut perundangan antarabangsa berhubung tindakan sewajarnya yang akan diambil terhadap lanun-lanun yang ditahan itu.

''Kita akan melihat sama ada lanun-lanun itu akan dibawa balik ke Malaysia untuk diadili atau tindakan-tindakan sewajarnya yang lain.

''Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kerajaan dan rakyat Malaysia kepada pasukan Paskal kita," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Dana Belia 1Malaysia di sini hari ini.

Najib mengulas kejayaan kapal Auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 5 yang berjaya menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel yang dirampas lanun di perairan Teluk Aden pada pukul 11.40 malam semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira 300 batu nautika timur negara Oman itu menyaksikan tujuh orang lanun Somalia bersenjatakan senapang AK-47 dan pistol berjaya ditahan selepas operasi menyelamat kapal itu dilancarkan pada pukul 1.20 pagi.

Kapal MT Bunga Laurel adalah kapal jenis Chemical Tanker yang disewa oleh MISC Bhd. (MISC) bagi membawa muatan minyak pelincir dan etilen diklorida (ethylene dichloride) dari Asia Barat ke Singapura.

Laporan Penuh Di Sini:




1 Response
  1. Unknown Says:

    BZ kepada Navy People


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...