Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Kekal di kamar hati

Oleh MURSHID EUNOS


LEBIH dua tahun menyemai cinta, rentetan kisah bahagia gadis jelita ini jarang menembusi publisiti meluas. Sekuat mana sayang yang terbit tidak pernah dijadikan umpan mengecapi nama. Sebaliknya, episod indah itu lebih bersifat peribadi dan kemas terkunci.
Empunya diri, Intan Nurladyana Mohamad Yahaya mengandaikan bibit cintanya dengan kekasih hati yang juga pelakon muda, Kamal Adli bukan lesen buatnya mengayuh lebih pantas mencipta nama.

Biarpun kedua-duanya bintang rebutan ramai, soal peribadi biar kekal di kamar hati, bukan untuk diperdagangkan kepada khalayak.

Tatkala wajah mulus berusia 28 tahun ini disentuh jurumekap Eva, tangannya tidak lekang berbalas SMS. Lantas diusik siapa gerangan teman yang asyik dilayan itu.

Sambil menghadiahkan senyuman penuh tersirat, Intan mula mengatur kata berkongsi kisah yang payah untuknya bersuara. Peribadi dan ruang cinta yang bersarang di jiwanya.

"Hubungan kami masih baik dan sentiasa memandang ikatan yang ada sebagai sesuatu yang serius serta ikhlas. Sudah dua tahun saya dan Kamal menjalin kasih, namun semuanya adalah peribadi bagi kami berdua.

"Bukan enggan bercerita atau berkongsi bersama peminat, sebaliknya yang lebih menjadi keutamaan kami adalah kerjaya yang masih jauh untuk kami kejar.

"Jujurnya, kami masih baru dan saya tidak mahu menjadikan soal cinta sebagai subjek wajib setiap kali memenuhi undangan menghiasi ruangan media.

"Biarlah soal itu kekal di dalam hati dan kami mencatur pelayaran itu bersama. Namun setakat ini kami masih bersama dan jika diberi keizinan, ia akan kekal hingga ke peringkat lebih baik," katanya.

Pelbagai kisah cinta separuh jalan yang banyak mewarnai pentas seni akhir-akhir ini tidak dipandang sebelah mata oleh anak kelahiran Kuala Lumpur ini. Ibarat mencubit paha kanan, sebelah kiri turut terasa sakitnya, rasa bimbang dan fobia tetap kuat menyelubungi dirinya.

Memandang apa yang berlaku sebagai ketentuan, jauh di sudut hati graduan jurusan undang-undang ini gigih mencari jalan bagi menguatkan keserasian dan persefahaman sedia ada.

"Bohong jika saya katakan segala cerita mengenai rakan artis putus cinta akhir-akhir ini sekadar nyamuk yang bingit di hujung telinga, sebaliknya dalam sibuk memenuhi jadual kerja, apabila terbaca, perasaan sama tetap terdetik.

"Bukan mempertikai kejujuran dalam hubungan saya dan Kamal, namun ada kalanya perasaan takut itu datang menyerang. Saya bimbang dengan diri sendiri dan mula mencari langkah memperbaiki mana yang boleh.

"Namun semua yang berlaku ada suratan dan ketentuan. Soal jodoh dan ajal melangkaui fikiran dan mustahil kita bendung. Mungkin kita hanya mampu memperbaiki mana yang silap.

"Saya tidak nafikan, ada kalanya sesuatu yang datang menghimpit seperti itu akan menemui jalan buntu. Percayalah, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikan yang ditetapkan.

"Saya pasrah dan menjadikan takdir perpisahan dalam hubungan itu bagai sebuah cermin untuk diri sendiri dan sentiasa tanya apa yang kurang dan masih perlu diperbetulkan.

"Dua tahun bersama, Kamal adalah lelaki yang memahami saya dan kami tidak pernah mencampur-adukkan soal peribadi dengan kerja.

"Apa yang kami ada selama ini bukan setakat rasa cinta dan sayang, sebaliknya saya lebih melihat Kamal sebagai teman yang banyak menasihat serta mendengar apa saja rungutan saya. Alhamdulillah, semuanya lancar dan kami masih kekal bersama," katanya tersenyum.

Penat bercerita mengenai kebahagiaan, terus aktres peramah yang banyak membintangi filem popular termasuk Tipah Tertipu The Movie, I'm Not Single, Remp-It V3, Jangan Pandang Belakang dan Adnan Sempit ini disogok persoalan masa depan yang diidamkan mereka berdua.

"Jauh lagi perjalanan ini. Saya tidak mahu cepat sangat melatah atau merasa seronok. Setakat ini, baik Kamal mahupun saya belum berbicara soal kahwin kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya lakonan yang masih jauh perlu dikejar.

"Kami sepakat untuk tidak terlalu awal merancang ke arah itu. Biarlah masa dan jodoh itu datang sendiri untuk kami membuat keputusan besar membawa hubungan ini ke fasa seterusnya.

"Mustahaknya sekarang adalah misi kami bagi mencipta nama. Kamal sibuk dengan kerjanya yang tidak pernah putus. Alhamdulillah, rezeki saya dalam cabang lakonan juga tidak pernah terhenti setakat ini. Justeru, biar kami mengejar dulu apa yang patut dilakukan," katanya yang mengakui keluarga kedua-dua belah pihak sedia maklum hubungan mereka.

Anak kedua daripada tiga beradik ini sungguh profesional terhadap kerjanya dan sentiasa memandang jauh bagi mengukuhkan lagi nama sedia ada. Meskipun menggenggam erat rasa cinta kepada Kamal, soal peribadi itu tidak pernah sekali terpercik hingga mengganggu fokus di lokasi.

Menafikan senario yang sering berlaku kepada pasangan kekasih lain yang mana mengheret sekali soal peribadi ke pentas kerja, Intan yang sebelum ini popular menerusi beberapa drama rantaian termasuk Puteri, Jelatang, Dari KL Ke Queenstown dan Sutera Maya tidak punya masalah jika digandingkan dengan kekasihnya.

Pernah disatukan sebelum ini menerusi telefilem Kekasihku Is Setan dan drama bersiri Bio-Nik, Intan menyifatkan gandingan mereka berdua adalah atas paksi profesionalisme dan tidak sesekali beraksi belangkas berkepit di lokasi.

Tidak timbul soal cemburu atau bimbang meskipun terpaksa beraksi romantik dengan pelakon lain, sebaliknya Intan optimis kerana semuanya tuntutan seorang anak wayang.

Drama bersiri 24 episod terbaru berjudul Seribu Kali Cinta adalah sebuah lagi naskhah terbaru gandingan mereka berdua yang menemui penonton bermula 15 November lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang di TV3.

Seribu Kali Cinta diarahkan oleh Haris Kadir dan diterbitkan Rozie Othman dari produksi SRS Production Sdn Bhd.

Memegang watak Miasara, gadis yang mengalami sindrom amnesia, Intan menyifatkan watak itu sebagai cabaran besar sepanjang bergelar pelakon. Malah jelasnya, drama cinta romantis ini memberi dimensi baru bagi mencari transisi lain dalam lakonannya.

"Miasara menuntut saya menyelongkar pelbagai aspek bakat dalam diri. Kononnya saya hilang ingatan dan hanya ingat insiden terakhir. Saya banyak bermain imaginasi selain menonton filem 50 First Dates yang mana plot penceritaannya banyak persamaan namun garapannya jauh berbeza.

"Ia mengisahkan kesungguhan Nizam (Kamal) membuktikan cintanya terhadap kekasihnya, Miasara meskipun sukar kerana terpaksa mengingatkannya setiap hari akan perasaan serta pelbagai pengalaman yang mereka lalui bersama. Miasara tinggal di sebuah pulau dan hidupnya hanya tertumpu pada keluarga yang menjaganya serta ingatannya yang terbatas.

"Memang seronok sepanjang penggambaran meskipun panas dan penat kerana semua kru produksi dengan pelakon lain bagai sebuah keluarga.

"Lihat saja kulit saya yang semakin gelap kerana berjemur hampir setiap hari di Pulau Aman, Pulau Pinang. Alhamdulillah saya gembira melihat peningkatan dalam lakonan berbanding zaman awal kemunculan.

"Setidak-tidaknya, segala pengalaman yang saya peroleh dapat diperguna untuk menyelami emosi serta mencari kekuatan watak dalam lakonan saya di kemudian hari," katanya yang gembira berpeluang berlakon di samping Noorkhiriah, Cat Farish, Marsha Milan Londoh, Rozie Othman, Abu Bakar Omar dan Sheila Mambo.

Meneliti perkembangan kerjaya lakonannya yang tidak sehebat teman seperjuangan lain seperti Lisa Surihani, namun dalam diam Intan masih mampu berbangga dengan pencapaiannya.

Selain akan muncul sekali lagi dengan Kamal menerusi filem Kembar Siang arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan, Intan juga dilamar menjadi jurucakap produk kecantikan Shurah.

Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | Kekal di kamar hati
1 Response
  1. Unknown Says:

    Kisah artis Intan Nurladyana Mohamad Yahaya


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...