Unknown

Geng ‘rempuh-rompak’ larikan RM200,000


NILAI: Seorang pengusaha syarikat minyak kerugian RM200,000 apabila wang hasil perniagaan yang mahu dimasukkan ke bank, dirompak selepas kenderaan dipandunya dilanggar di Kilometer 287 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 40-an yang memandu berseorangan kereta jenis BMW dikatakan dalam perjalanan ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor dari Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE).








Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata sebaik mangsa tiba di R&R Nilai, kenderaannya tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Lexus dinaiki dua lelaki.

Katanya, mangsa yang bimbang akan keselamatan diri bertindak meneruskan perjalanan sebelum sekali lagi dilanggar kenderaan sama.



“Selepas dilanggar kali kedua dari arah belakang, mangsa terus memberhentikan kereta dan melarikan diri sebaik melihat dua suspek yang bertopeng dan bersenjatakan parang datang ke arahnya.



“Dua lelaki terbabit kemudian mengambil wang RM200,000 yang diletakkan di bonet belakang kereta,” katanya di sini, semalam.



Mohd Yusoff berkata, selepas berjaya mengambil wang berkenaan, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu dua rakan mereka yang turut bertopeng. 

“Keempat-empat suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an itu turut meninggalkan kereta Lexus yang digunakan sebelum itu di tempat kejadian.



“Saya percaya kenderaan yang ditinggalkan adalah kereta curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394/395 Kanun Keseksaan,” katanya.


Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Nota:

Setiap command yang diberikan adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 
Admin tiada kena mengenai dan akan bertanggungjawab terhadap komen tersebut. 
Ia hanyanya pandangan peribadi peribadi orang yang memberi komen.

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...