Unknown

Teruja turut rai hari jadi HM


Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

STACY...kagum pencapaian HM/MA.



KEBAHAGIAAN DALAM PERPISAHAN...lagu popular Shahir.

ELLA...menjayakan persembahan pada Konsert Terima Kasih Harian Metro.
BLACK...menyanyikan lagu Dewi Aliya dan Sofea Jane.

KEMUNCULAN artis popular tanah air bagi menjayakan persembahan Konsert Terima Kasih Harian Metro di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu ini pastinya dinantikan ramai peminat.

Apatah lagi konsert yang julung kali diadakan secara percuma kepada peminat sebagai penghargaan dan sambutan ulang tahun ke-20 akhbar nombor satu tanah air, Harian Metro (HM)/Metro Ahad (MA).

Ia dijayakan artis popular dan terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ahmad Jais, Ramli Sarip, Ella serta barisan artis muda - Black, Stacy, Shahir, Alyah, Min Yasmin, Azlan & The Typewriter dan Bunkface manakala Johan dan Zizan Raja Lawak sebagai pengacara.

Antara yang menarik, tentunya gandingan artis lama dan baru melalui persembahan istimewa Ahmad Jais dan Bunkface menerusi lagu, Umpan Jinak Di Air Tenang. Bahang sambutannya kini makin terasa dengan pelbagai aktiviti dan program menarik hujung minggu ini.


Ratu rock, Norzila Aminuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Ella menyifatkan pembabitan dalam konsert berkenaan satu daripada kerjasama baik membabitkan artis dan rakan media.

Menurutnya, HM banyak membantu mempromosi selain memaparkan pelbagai informasi dan berita menarik sama ada dalam dan luar negara.

“Kali terakhir saya menjayakan persembahan di Dataran Merdeka ialah ketika menjayakan Konsert Ambang Tahun Baru dua tahun lalu. Insya-Allah saya berjanji akan membuat persembahan terbaik pada konsert itu nanti.

“Soal pemilihan lagu yang akan dinyanyikan masih dalam pertimbangan. Setakat ini, saya sudah mempunyai beberapa lagu pilihan. Berkemungkinan besar lagu berkenaan disampaikan dalam bentuk medley. Tunggu saja kejutannya pada hari persembahan nanti,” katanya.

Ella tidak menafikan sepanjang 20 tahun, HM/MA banyak memberi input yang bagus selain maklumat yang perlu diketahui pembaca sama ada perkara berlaku pada dunia dan negara kita sendiri tidak terkecuali membabitkan industri hiburan.

Bagi penyanyi yang dicungkil daripada program realiti Mentor musim ketiga, Hanifah Md Hanafiah atau Black teruja menjadi sebahagian daripada artis yang menjayakan konsert itu. Bagi persembahan itu Black akan menyanyikan lagu terbarunya, Dewi Aliya dan Sofea Jane.

“Daripada segi persediaan, biasa saja. Cuma memang saya cukup teruja menjayakan konsert ini di samping rakan artis terbabit. Lagu Dewi Aliya berentak pop memang menguji kemampuan.

“Memandangkan lagu ini agak perlahan, saya perlu menyanyi dengan penuh penghayatan supaya peminat dapat menjiwai lagu ini,” kata Black, finalis Penyanyi Lelaki Popular bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH).

Katanya, selepas hampir dua tahun bergelar anak seni, ini kali pertama penyanyi yang popular dengan lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu berpeluang menjayakan konsert berskala besar di Dataran Merdeka. Album terbaru Black berjudul Black Obsesi kini berada di pasaran.

Black turut terbabit dalam kempen keselamatan Jalan Raya, Ride It Right dengan menyanyikan lagu tema kempen, Tunggang Jangan Tunggang Langgang ciptaan kumpulan 30 Cent. Dia dan keluarga antara pembaca setia HM turut berterima kasih kepada pihak HM yang banyak menyokong pembabitannya sebagai artis.

Bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy pula kagum dengan pencapaian HM yang beroperasi hampir dua dekad. Dia juga gembira kerana menjadi sebahagian daripada artis yang menjayakan konsert itu.

“Jemputan menjayakan persembahan sentiasa tidak putus. Justeru menerusi persembahan itu saya sering berlatih sebagai persediaan untuk menjayakan konsert itu nanti,” kata Stacy yang bakal menyanyikan lagu hitnya, Jahat dan Pakai Buang.

Rakannya, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir yang juga juara AF8 turut teruja berkongsi pentas seterusnya menjayakan persembahan bersama beberapa rakan artis terkenal tanah air pada konsert itu. Bagi Shahir sememangnya laporan yang disiarkan menerusi akhbar HM mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pembaca pelbagai lapisan masyarakat.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu membayangkan sambutan menggalakkan daripada peminat bukan hanya mahu berhibur menerusi persembahan artis malah menyertai pelbagai aktiviti dan program disediakan.

Selain konsert, pelbagai aktiviti dan program menarik diadakan menerusi karnival selama dua hari seperti sukaneka bersama artis dan penyampai radio, senaman poco-poco, pertunjukan fesyen dan persembahan daripada band indie. Bagi peminat sukan permotoran pula acara pameran kelab kereta supercar dan superbike turut diadakan.

Stesen radio tempatan antaranya Hot FM, Sinar FM, Suria FM, Era FM, KLFM, turut memeriahkan acara berkenaan dengan menyediakan booth dan mengadakan aktiviti bersama pengunjung selain melakukan siaran luar dari Dataran Merdeka.

Peluang jumpa artis di belakang pentas

PELUANG bertemu artis kesayangan sememangnya dinantikan peminat dan pembaca HM berpeluang bertemu artis yang menjayakan persembahan pada malam itu apabila menyediakan dua pas belakang pentas dan juga wang tunai RM100.

Caranya mudah, hanya dengan menyertai Peraduan Teka & Menang di Facebook sempena konsert berkenaan. Pembaca hanya perlu melayari Facebook Harian Metro dan tekan di tab Peraduan Konsert Terima Kasih.

Pembaca hanya perlu mendaftar secara percuma serta menjawab seberapa pantas yang boleh lapan tekaan gambar selebriti yang akan membuat persembahan pada konsert itu.

Sebanyak 10 peserta paling pantas akan memenangi dua pas belakang pentas untuk bertemu artis dan menerima wang tunai RM100. Peraduan berakhir 24 Mac ini.

Laporan Penuh Di Sini:





Label: edit post
0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...