Unknown

‘Maaf, saya tak mahu cerita panjang’


Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


SAAT ini biarpun penyanyi Noorulhuda Ab Wahab atau Nurul, 33, cuba menjauhi segala cerita peribadi, penampilannya dengan seorang jejaka Inggeris yang dikatakan teman lelaki barunya, tetap menjadi perhatian.

Ia bukan lagi rahsia, memandangkan ada peminat mahupun wakil media sendiri pernah terserempak dengan mereka berdua di majlis tertentu sekitar ibu negara akhir-akhir ini.

Terbaru penyanyi yang kini tampil dengan album mini menggunakan namanya sendiri sebagai judul, dilihat hadir menyaksikan pementasan muzikal Terima Kasih Cinta (TKC) di Istana Budaya (IB), ditemani bukan saja lelaki Inggeris terbabit malah juga ahli keluarganya.

Ditemui Rap, Nurul bagaimanapun mengambil tindakan ‘kunci mulut’ daripada bercerita mengenainya dan penyanyi berasal dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang itu menegaskan, dia tidak lagi mahu menjaja kisah peribadi.

“Cukuplah selepas 16 tahun terbabit dalam bidang seni, pelbagai cerita peribadi sudah saya kongsi dengan rakan media dan peminat. Sebagai artis, saya tak nafikan ia sebahagian daripada tanggungjawab untuk menceritakan perkara sebenar agar tidak timbul salah faham kemudian hari.

“Bagaimanapun, apabila niat ikhlas saya yang tak mahu bersikap hipokrit selalu disalahertikan, menyebabkan saya mengambil keputusan bersikap kunci mulut dulu dan bercakap sekadar apa yang perlu,” jelasnya.

Kata Nurul lagi, niat baiknya itu juga akhirnya makan diri apabila pelbagai cerita kurang menyenangkan timbul. Pelbagai fitnah juga dikaitkan dengan dirinya termasuk ada membuat dakwaan dia mudah menukar teman lelaki laksana menukar baju.

Apa yang membuatkan penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Kerana Terluka itu lebih terluka ialah apabila yang membuat dakwaan seperti itu adalah rakan baiknya sendiri.

“Rasanya, cukuplah setakat ini. Saya tak mahu lagi bercerita apa-apa selain berkaitan kerjaya. Maaf, saya tak mahu cerita panjang mengenai siapakah lelaki Inggeris yang selalu dilihat bersama saya itu.

“Saya bukan berniat hendak berahsia dengan rakan media mengenainya. Tak perlulah ia ditulis atau digembar-gemburkan sehingga kerjaya saya dalam bidang seni tidak mendapat perhatian.

“Kalau diberikan perhatian pun, hanyalah perkara yang tidak membina kerjaya. Saya tidak mahu lagi perkara seperti itu dikaitkan dengan diri saya. Cukup-cukuplah,” katanya.

Kerjaya nyanyian Nurul kembali menampakkan sinarnya apabila single terbaru dalam album mini dihasilkan, Andai Ku Kenali Ku mula berkumandang di radio dan sedang mendaki carta lagu popular.

“Hampir empat tahun saya tunggu saat ini. Selepas muncul solo pelbagai perkara berlaku termasuk isu yang timbul antara saya dan syarikat rakaman Metadome sewaktu menghasilkan album Bisikan Cinta.

“Bagaimanapun, saya menganggap ia sebagai satu pengalaman yang mematangkan saya.

“Walaupun sudah 16 tahun dalam bidang nyanyian, apabila muncul solo saya meletakkan diri seperti penyanyi baru. Tambahan pula penerbitan album ini saya lakukan sendiri, jadi banyak perkara yang perlu dihalusi bagi memastikan ia bukan satu pelaburan sia-sia,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu Andai Ku Kenali Ku yang menjadi perhatian peminat, jelas Nurul sebenarnya ia sudah dirakamkan lebih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kerana mahukan kesempurnaan dia mahupun pencipta lagu itu, Eena Houzyama yang juga bekas wartawan hiburan akhbar New Straits Times (NST), banyak melakukan perubahan sehingga kedua-duanya berpuas hati.

“Pada mulanya muzik ditampilkan agak berat kerana mahu menunjukkan kekuatan daripada sudut melodi, apatah lagi lirik dihasilkan juga sangat menyentuh perasaan.

“Bagaimanapun, selepas melakukan beberapa susunan kami berpendapat baik jika kami hanya menggunakan gitar dan piano sebagai latar muziknya. Ternyata ia serasi dengan lirik didendangkan sekali gus mampu menyentuh hati mereka yang mendengarnya,” kata Nurul.

Mendengarkan bait lirik Andai Ku Kenali Ku, ada yang membuat andaian ia sebenarnya menggambarkan diri Nurul yang sebenar dan perkara pernah dialami terutama membabitkan perceraiannya serta hubungannya dengan beberapa bekas kekasih sebelum ini.

“Sebenarnya ia menggambarkan kekuatan seorang wanita. Saya tak nafikan sebagai komposer dan penulis lirik, Eena sangat pandai membaca apa yang tersirat di dalam hati saya. Sehinggakan apabila menyanyikannya, saya rasakan lagu itu menceritakan mengenai diri saya.

“Pada saya secara peribadi, lagu ditulis Eena itu karya cukup indah dan kerana itu juga, ia dapat menambat hati peminat muzik tempatan,” katanya.

Selain lagu Andai Ku Kenali Ku, Nurul turut memuatkan lagu yang mengangkat namanya dalam industri muzik tempatan, Kerana Terluka dan diberikan susunan muzik baru. Untuk versi album mini ini, muziknya lebih panjang tujuh minit berbanding sebelum ini lima minit saja.

Jelas Nurul, ia dilakukan bagi memberi kepuasan kepada peminat setianya yang turut meminta ia ditampilkan dalam album mini dihasilkan.

Kata Nurul, bagi memudahkan peminat, jualan album mininya ini turut dibuat menerusi laman sesawang dan sosial. Mereka boleh membuat tempahan dan pembayaran dan album terbabit akan dipos kepada mereka.

Selain menumpukan perhatian kepada kerja mempromosikan album mini, Nurul juga tidak sabar menantikan filem terbarunya, Tolong Awek Aku Pontianak ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Lirik Andai Ku Kenali Ku

Andai ku rela kau pergi jua
Andai ku berdiri tanpa kata
Bila kan ku rasa cinta
Bila kan ku rasa bahagia
Andai ku kenali ku

Kini ku kan berdiri
Tanpa ragu tanpa sangsi
Diri ku, ku temui

Ku tahu ku mungkin
kan terluka
Ku tahu tak akan ada
yang sama
Kini aku mula kenali ....
Diri ku sendiri


Lagu/lirik : Eena
HUSH Entertainment 



PROFIL

NAMA SEBENAR: Noorulhuda Ab Wahab
TARIKH LAHIR: 27 Julai 1977
USIA: 33 tahun
ASAL: Kampung Selamat, Tasik Gelugor, Pulau Pinang
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, penulis lirik
ALBUM: Nurul (1995), Ikhlasnya Cintaku (1996), Kini Dan Selamanya (1998), Cita dan Cinta (2000), Sehati Sejiwa (2001), Ajai Dan Nurul (2002), Seiring Sejalan (2004), Serasi Bersama (2006), Bisikan Cinta dan Nurul
FILEM: Satay, Tolong Awek Aku Pontianak
DRAMA: Rahsia Hati, E-Toyol. Com, Kapoww dan Cinta Seorang Seniman
PENCAPAIAN: Anugerah Cakera Emas Album Nurul (jualan melebihi 30,000 unit), Cakera Emas Album Sehati Sejiwa (jualan melebihi 25,000 unit), Cakera Emas Album Seiring Sejalan (jualan melebihi 30,000 unit), Artis Baru Wanita Terbaik AIM (1996), Pemenang Lagu Terbaik AIM 1999 (lagu Aku Cinta Aku Rindu), Juara Lagu Kategori Pop Rock, Juara Lagu 2003 (Lagu Keliru) dan Lagu Terbaik AIM 2004 (Selagi Ada Cinta - Ning Baizura).

Laporan Penuh Di Sini:





Label: edit post
0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...