Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Tak Kenal Erti Kalah

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

DAHULU dia pernah membeli sayur di pasar borong kemudian dijual kepada tauke restoran sekitar Kuala Lumpur.

Namun, ia tidak lama kerana ada restoran tidak membayar sayur yang dibeli menyebabkan dia kerugian besar. Kemudian dia beralih kepada kerja mengutip surat khabar dan kotak terpakai dari rumah ke rumah. 

Berbekalkan sebuah lori kecil yang dibeli menggunakan wang simpanan ketika bekerja di syarikat perbankan, Zarinah Mohideen, 34, memulakan tugasnya sebagai pengutip surat khabar lama dari rumah ke rumah bermula awal pagi sehingga ke petang. 

Pendapatan harian diperolehnya agak lumayan, dengan harga 30 sen untuk sejengkal akhbar dia berjaya memperoleh pendapatan RM300 sehari.

Malah, akan bertambah sekiranya banyak taman perumahan dilawatinya.

Jika banyak surat khabar yang perlu dikutip, dia mengajak beberapa remaja membantunya dengan memberi upah. Pekerjaan ini mungkin dianggap memalukan, namun tidak bagi Zarinah. 

“Kenapa perlu malu kerana saya melakukan kerja halal. Jika diikutkan malu sampai bila-bila pun saya tidak akan ke mana. “Saya anggap ini sebagai tempoh pembelajaran mengenai selok-belok perniagaan. Kesusahan inilah yang mengajar saya menjadi lebih menghargai dan bertanggungjawab dalam apa juga yang saya lakukan,” katanya. 

Selepas empat bulan menjual surat khabar, Zarinah mula merasai kekosongan serta tercari-cari perniagaan yang sesuai dengan jiwanya. 

Walaupun sebelum ini dia sudah memulakan perniagaan katering bersama ibu yang ditugaskan memasak manakala Zarinah membuat promosi, pelanggan hanya dalam kalangan rakan saja. 

“Saya tidak puas, tetapi tidak tahu cara terbaik mempromosikan perniagaan. Kebanyakan pelanggan hanya dalam kalangan rakan manakala jumlah katering diterima sangat sedikit,” katanya. 

Selepas berbincang dengan suami, mereka bersama-sama mengedarkan kertas kecil tertulis maklumat mengenai perkhidmatan Zarinah’s Catering Services Sdn Bhd dari rumah ke rumah dengan harga promosi. 

“Kami mengedarkan 300 keping kertas sehari selama lima bulan tanpa henti. Pada bulan pertama kami menerima empat tempahan untuk majlis perkahwinan dan terus bertambah pada bulan seterusnya. Sedikit demi sedikit perniagaan katering saya berkembang,” katanya. 

Bagi memastikan kerja penyediaan makanan berjalan lancar, Zarinah menyewa sebuah rumah di Jalan Kohilay untuk dijadikan ruang memasak serta asrama pekerja. 

“Memang sambutan sangat baik, setiap hari saya menerima tujuh sehingga sembilan tempahan katering, malah akan bertambah apabila tiba musim perayaan,” katanya. 

Namun untuk menguruskan perniagaan membabitkan orang ramai bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana dia perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah pelanggan seperti rungutan perkhidmatan lambat, pelayan yang tidak sistematik serta layanan kurang memuaskan namun semua itu diterima dengan sabar serta tidak pernah mematahkan semangat wanita kelahiran Kuala Lumpur ini. 

Segalanya diambil sebagai sesuatu yang positif untuk memperbaiki kesilapan. Namun kehilangan suami yang meninggal secara mengejut pada 2004 benar-benar menguji ketabahan Zarinah. 

Bayangkan sebelum ini dia mendapat kekuatan dan semangat daripada suami, tiba-tiba hilang begitu saja. Perniagaan katering yang mula berkembang akhirnya jatuh semula. Zarinah mengambil masa setahun memulihkan semangatnya. 

“Saya mencari kekuatan dengan banyak melakukan sembahyang dan sentiasa mengingati-Nya. Lama-kelamaan saya mendapat kembali kekuatan dan reda dengan pemergian arwah suami,” ujarnya. 

Daripada situ, Zarinah mendapat kembali semangat untuk membangunkan semula perniagaannya. Dia mula menjalankan promosi dan telepemasaran secara lebih sistematik, mengambil chef terlatih dan terbaik serta penekanan katering untuk majlis pejabat dan seminar untuk badan korporat. 

“Alhamdulillah perniagaan kembali berkembang. Malah, ramai pelanggan datang bukan hanya disebabkan masakan, tetapi disiplin serta layanan teratur yang disediakan sepanjang majlis berlangsung,” katanya yang turut menyediakan laman sesawang www.zcscatering.com. 

Pada saat perniagaan sedang berkembang, pada 2008 sekali lagi dia diuji. Demi untuk memperkembangkan syarikat, Zarinah memperluaskan perniagaan dengan menyediakan peralatan sewa CCTV serta mendapatkan tender kantin di kilang. 

“Disebabkan kurang berpengalaman akhirnya perniagaan kafeteria terpaksa ditutup. Ini menyebabkan saya kerugian besar kerana modal banyak beralih ke sana. 

“Lebih memburukkan keadaan apabila rumah yang dijadikan tempat penyediaan makanan terpaksa dirobohkan majlis pembandaran disebabkan rungutan jiran tetangga. Ini memaksa saya mencari kawasan baru sebelum berpindah ke Seri Gombak,” katanya. 

Menurut Zarinah, zaman kegawatan ekonomi pada 2007 dan 2008 benar-benar menguji kesabarannya. 

Memang sangat sukar melaluinya seorang diri ditambah pula dengan anaknya Danial Ezra yang semakin membesar dan memerlukan lebih perhatian. 

Namun semua ini langsung tidak mematahkan semangatnya. 

Apabila terbayang wajah arwah suami yang sama-sama membangunkan perniagaan, ia menambahkan lagi semangat Zarinah untuk terus memajukan perniagaan katering. 

Kini selepas hampir 12 tahun melayari perniagaan katering dengan pelbagai cabaran, Zarinah mulai sedar kegagalan yang dilaluinya satu ketika dulu bukan isu utama. Apa yang penting dia belajar bagaimana menjadikan perniagaan menjadi lebih sistematik. 

Kini dengan 22 pekerja serta tiga tukang masak terlatih, Zarinah mahu menjadikan perkhidmatan kateringnya pilihan utama pelanggan bukan saja untuk majlis perkahwinan, tetapi korporat. 

Selain itu, dia mahu meningkatkan kualiti makanan serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan daripada semua segi. 

“Dulu saya mempunyai sifat malu dan sedikit ego, tetapi kini perasaan itu saya buang jauh-jauh kerana tidak memberi kebaikan kepada diri. 

“Saya juga banyak menghadiri motivasi untuk meningkatkan semangat dan jati diri. Walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, saya mahu membuktikan boleh berjaya,” katanya. 

Laporan Penuh Di Sini:

0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...