Unknown

Tujuh maut bas terbalik
Oleh Muhamad Fairoz Azizan dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2010/10/30

Kegembiraan rombongan belia bercuti berakhir tragedi

KARAK: Tujuh maut, 21 cedera selepas bas persiaran membawa 44 ahli Belia 4B dari Kampung Siong, Baling, Kedah yang dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan di Kilometer 36, Lebuhraya Karak, malam tadi.

Tujuh mangsa meninggal di tempat kejadian iaitu Mohammad Yusof Akhit, 16; Mohamad Khairy Mohamad Marzuki, 14; Mohamad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husain, 17; Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17, Mohamad Amirul Mohd Isa, 13, dan Mohd Zainal Mohd Sufian, 28, meninggal dalam perjalanan ke Hospital Selayang.
Semua mangsa meninggal akibat tersepit dan tercampak daripada kenderaan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Husin Omar, berkata ketika kejadian kira-kira jam 7 malam itu, bas berkenaan menuruni bukit di susur Genting dan dikatakan mengalami kerosakan brek sebelum terbabas dan terbalik.

“Akibat kejadian itu, empat penumpang tercampak keluar dan dua tersepit.

“Seramai 21 penumpang lagi cedera, kebanyakannya tersepit dibawa ke hospital dan seorang daripadanya meninggal dalam perjalanan. Penumpang lain termasuk dua pemandu dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Selayang, Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bas yang disewa Gerakan Belia 4B dikatakan sampai di pusat peranginan itu kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) sebelum bertolak pulang ke Kedah jam 5.30 petang.

Sementara itu, pemandu kedua, Abdul Ghani Ahmad, 56, yang mengalami kecederaan ringan berkata, ketika kejadian, beliau sedang tidur dan berasa bas dalam keadaan bergoyang sebelum terbalik.

“Kebanyakan penumpang ketika itu sedang tidur kerana masing-masing letih... saya hanya mampu melihat keadaan panik dan masing-masing menjerit.
“Malah, dua penumpang tersepit, manakala empat lagi tercampak keluar daripada bas itu,” katanya.

Mangsa, Mohd Zainol Hafizan, 15, ketika ditemui di HKL berkata, sepanjang perjalanan, beliau tertidur akibat kepenatan sebelum terjaga apabila menyedari bas bergoyang.

“Dalam sekelip mata, bas sudah terbalik. Semua penumpang hanya mampu menjerit kerana terlalu terkejut sebelum keluar dari tingkap untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Rakannya, Ahmad Amirul Shahrul, 13, berkata, beliau hanya sedar selepas terdengar bunyi bising dan ketika itu bas sudah terbalik.

“Saya tidak mengalami kecederaan teruk teruk selepas keluar dari tingkap. Rakan-rakan lain juga mengambil langkah sama kecuali mereka yang tersepit,” katanya.

Berita Penuh Di Sini:

Berita Harian Online | Tujuh maut bas terbalik
1 Response
  1. Unknown Says:

    Bahaya juga nak lalu ulang alik Lebuh Raya Karak.Doa kan selamat pergi balik semua terutamanya saya dan keluarga saya.Tp buat apa kat genting?????Lu pikir sendiri.Takziah kpd keluarga yg terlibat.Banyak2 bersabar.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...