Unknown

Oleh Lum Chee Hong
lumch@bharian.com.my
2010/10/24

Kementerian hubungi pengeluar sahkan tidak import produk

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan produk keju Syarikat B.-dParis Creek Pty Ltd di Selatan Australia dicemari Listeria monocytogenes, sejenis bakteria yang boleh menyebabkan masalah kesihatan, tidak dieksport ke Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Kementerian Kesihatan sudah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi syarikat terbabit dan wakil syarikat berkenaan memaklumkan tiada pengeksportan produk itu ke Malaysia.

“Perkara ini disahkan melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM), namun kementerian mengenakan pemeriksaan tahap lima (tahan, uji dan lepas) di semua pintu masuk untuk analisis listeria monocytogenes sekiranya produk terbabit diimport ke Malaysia dari negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kementerian sudah mengenakan keperluan Sijil Kesihatan dan Sijil Analisis terhadap negara pengeluar bagi semua produk keju yang diimport bermula 1 Julai 2008.

Sepanjang pemantauan dijalankan, 44 produk keju sudah disampel dan kesemua mematuhi peraturan.

Makanan tercemar dengan bakteria itu boleh menyebabkan penyakit listeriosis manakala wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah tergolong dalam kumpulan berisiko.
Beliau berkata, kementerian memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan yang masuk ke negara ini berada pada tahap terkawal dengan penguatkuasaan berterusan di pasaran tempatan serta setiap pintu masuk negara.

Orang ramai boleh melayari laman web http://fsq.moh.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti kawalan keselamatan dan kualiti makanan yang dijalankan oleh kementerian.

Laporan Penuh Di Sini:
Berita Harian Online | Keju tercemar tiada di Malaysia
0 Responses
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...