Unknown

Keletah dan pendiam

Oleh Zubir Mohd Yunus

2011/02/27


Scha nafi rancang bertunang dengan Awal Ashaari, akui mula bincang soal perkahwinan 

TIDAK sesuai? Mungkin begitulah tanggapan awal apabila menggandingkan aktres dan pengacara, Scha Al-Yahya, 28, bersama penyanyi, Faizal Tahir, 33, sebagai penghias muka depan akhbar sisipan ini buat kali pertama.
Dua figura yang diminati ramai, namun berlainan bidang seni. Latar belakang mereka juga berbeza, hati Scha sedang diulit cinta bersama kekasihnya, Awal Ashaari, manakala Faizal bapa tiga anak. Personaliti juga agak ketara, Scha seorang happy go lucky, Faizal pula agak pendiam.

Namun, apabila kedua-duanya dipertemukan di depan lensa, suasana pada awalnya agak 'dingin', mungkin masing-masing menyimpan perasaan segan dan hormat akan status satu sama lain. Sebaliknya, memasuki minit ke-30, suasana bertukar agak bingit, apabila Scha dan Faizal mula menyakat sikap pendiam masing-masing yang mungkin dibuat-buat itu! 

Tidak lama kemudian, terlerailah gelak ketawa apabila sikap 'cover line' masing-masing tidak mampu disembunyikan lagi. Sesi fotografi bertambah lancar apabila kedua-duanya 'memberi' pose yang diingini. Scha dan Faizal semakin serasi, sekali gus jurang yang ketara antara mereka berjaya disatukan atas dasar profesional. 

Yang pasti, kedua-duanya sekali lagi menjadi pilihan peminat untuk menduduki carta Top 5 dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang kini memasuki edisi ke-24 pe­­nganjurannya. 

Pun begitu, perbualan dengan Scha yang dise­­naraikan sebagai finalis dua kategori - Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular tiba-tiba sedikit serius apabila dia membicarakan hubungannya dengan Awal, juga seorang finalis ABPBH 2010 bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular. 
Sejak kebelakangan ini tersebar desas-desus mendakwa Scha dan Awal merancang untuk bertunang dalam masa terdekat ini apabila kedua-duanya dicanang sudah menempah baju hari istimewa itu. Namun, kedua-duanya dikatakan mengunci mulut kerana tidak mahu dihidu media dan peminat. 

"Bagi Scha, apa yang tersebar itu sekadar gosip tidak berasas. Scha pun pelik, macam mana orang luar lebih tahu perihal peribadi kami, sedangkan Scha dan Awal sendiri tak tahu menahu. 

"Terus-terung kami tak pernah ada tarikh untuk bertunang, jauh sekali dah tempah baju! Tapi, Scha tak nafikan, kami beberapa kali ada berbincang soal kahwin, namun soal bertunang tak pernah timbul. 

"Scha mahupun Awal sedang mencari tarikh yang sesuai, tapi masih tak dapat lagi kerana ma­­sing-masing sentiasa terikat dengan jadual kerja yang padat. Selagi tak bertemu 'tarikh keramat' itu segala perancangan nak bertunang atau bernikah, masih samar-samar. 

"Kalau nak diikutkan, selagi celik mata, kerja tak pernah habis, namun kami harus memikirkan masa depan, umur pun semakin meningkat. Perkara yang wajib harus dipercepatkan. Justeru, kami ada sasaran. 

"Insya-Allah sekiranya dipermudahkan segala urusan, kami merancang untuk menamatkan zaman bujang ini paling awal penghujung 2011 dan paling lewat pun sebelum akhir 2012. Namun, sekiranya jodoh kami datang lebih awal, Alhamdulillah," kata Scha tanpa berselindung. 

Tambahnya lagi, dia dapat rasakan, antara dirinya dan Awal memang ada keserasian yang kuat, sekali gus tiada alasan untuk mereka meninggalkan diri masing-masing. 

Namun, Scha mendakwa dia tidak mahu berdepan tekanan berhubung tarikh pertunangan atau pernikahan mereka kerana baginya, sekiranya terlalu terkejar-kejar, beliau khuatir apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan kerana soal hidup berumah tangga ini menuntut komitmen yang tinggi. 

Watak kasar dalam Libas, Aku Bukan Tomboy 

Pada masa sama, Scha sedang menanti kemunculan filem terbarunya, Libas dan Aku Bukan Tomboy apabila sekali lagi memperlihatkan sisi Scha yang kasar dan perwatakan seperti lelaki. 

Tidakkah dia khuatir peminatnya akan melabel Scha semakin hilang sifat femininnya? 

"Dalam diri Scha ada dua sisi yang berbeza - loud dan pendiam atau sangat serius. Apa yang Scha lakonkan dalam Libas mahupun Aku Bukan Tomboy sekadar menzahirkan kehendak skrip, tapi secara peribadi Scha sangat serius dan bercakap bila perlu saja. Tapi, Scha sedang berusaha untuk menjadi pelakon versatil. Kalau diberi peluang, Scha nak cuba watak yang pernah dijayakan Nasha Aziz dalam Trauma atau jadi pelakon air mata seperti Azean Irdawaty," kata Wajah Eksklusif Astro ini. 

Apabila bercakap peluangnya dalam ABPBH 2010, tanpa berselindung Scha mengakui peluang untuk menang amat tipis sekalipun drama Awan Dania 3 masih bersiaran menerusi Astro Ria. 

"Selepas 'dianalisis' secara mendalam, Scha berdepan dengan pesaing yang terlalu hebat. Mereka adalah award winner sebelum ini! Namun, Scha bersyukur kerana masih tercalon dalam Top 5, sekurang-kurangnya Scha sedar, Scha masih ada tempat di hati peminat," katanya merendah diri. 

NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir 
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983 
ASAL: Sungai Petani, Kedah 
DARAH CAMPURAN: Arab (bapa) dan Cina (ibu) 
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik 
DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2 dan Kita Carefree, Prebet Jamilah, Awan Dania 3, Kita Carefree 2, Mimi Mencari Cinta dan Prebet Jamilah 2 
FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas, Awan Dania The Movie, Aku Bukan Tomboy dan Darah Daging 
PENGACARAAN: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau 
KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG 
DUTA: Bio Essence 

BAGI Faizal yang tercalon menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular kini sedang sibuk mengumpul bahan untuk penerbitan album terbarunya. Katanya lagi jika sebelum ini dia meng­­hasilkan satu album dalam tempoh dua tahun, namun memasuki 2011, dia sedang berusaha menghasilkan dua album setahun. 

Dalam masa sama, dia juga baru selesai pembikinan klip video terba­­runya, Karma yang dipetik daripada album Adrenalin. 

Dalam usaha Faizal menghasilkan produk berkualiti dan mempertahankan popularitinya, dia juga pernah 'tersasar' suatu ketika dulu apabila pernah dilabel tidak mesra media dan peminat, sekali gus dicap artis bermasalah kerana cukup sukar memberikan kerjasama. 

Tapi, semua itu hanya tinggal ke­­nangan kerana Faizal hari ini sudah semakin pulih dan segar apabila tidak kedengaran lagi komen atau kritikan negatif yang dilemparkan ke atasnya. Dirinya mudah didampingi dan soal komitmen menunjukkan perubahan drastik. 

"Saya dah masuk 'sekolah'. Segala teguran dan kritikan yang dilemparkan, membuatkan saya cepat sedar. Bagi saya, jika ditegur, wartawan mengkritik, ia satu perkara positif dalam kerjaya. Apabila ditegur, kita tak boleh merungut, melenting atau melatah tak tentu pasal. Seorang artis patut rasa bersyukur jika dirinya ditegur, ia satu petanda, ada orang ambil berat soal kita yang nak kita jadi lebih baik. Justeru, kita harus merendah diri apabila ditegur. 

"Apabila bergelar artis, mereka adalah public figure. Artis perlu menjaga tingkah laku mereka setiap masa. Ingat, di depan wartawan, jangan berpura-pura jadi baik, tapi dalam apa juga keadaan, artis perlu mengawal keperibadian supaya peminat tidak membenci," kata Faizal. 

Tambahnya lagi, kebanyakan mereka yang bergelar artis hari ini sebenarnya belum benar-benar bersedia apabila beranggapan kerjaya artis perkara mudah, tapi sebaliknya ia sesuatu yang sukar apabila menuntut banyak pengorbanan. 

"Bagi saya, kalau seseorang artis belum bersedia untuk berkorban masa, tenaga, hanya tahu nak glamor saja, tak perlulah jadi artis! Setiap kali bertemu peminat dan bekerjasama dengan media, mereka suka dengan out-put yang kita berikan, bagi saya itu satu kejayaan. 

"Moralnya, nak jadi artis, glamor, orang suka kita, jangan jadikan faktor itu sebagai lesen untuk kita berbuat sesuka hati. Lagi besar nama kita dalam industri, lagi besar pengorbanannya dan kita perlu lagi tunduk merendah diri. Ada artis lagi hebat daripada kita di luar sana," terangnya. Faizal menambah, dia merendah diri dengan 'come back' Anuar Zain dalam saingan ABPBH 2010. Baginya, Anuar sudah lama menyepi, tiba-tiba dia muncul semula menyertai 'liga', sekali gus memberi petanda, pengaruh penyanyi kacak itu begitu kuat dan hebat dalam industri. 

"Calon Top 5 lain termasuk saya sendiri lahir daripada program realiti, justeru, saya memang teruja apabila Anuar kembali memberi saingan. Semua calon ada kelebihan tersendiri dan update yang terkini. Jadi, masing-masing punyai peluang sama cerah untuk menang. 

"Namun, saya tak nafikan, pembabitan Top 5 dalam siri jelajah ABPBH 2010 memberi impak yang cukup besar. Ia adalah satu platform untuk artis mendekati peminat secara langsung biar mereka rasa dihargai seperti mana artis ingin dihargai," kata Faizal yang bakal muncul di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang petang ini dalam siri jelajah ABPBH 2010 diikuti Village Mall, Sungai Petani (12 Mac) dan Klang Parade (27 Mac). 

Acara kemuncak ABPBH 2010 akan bersiaran secara langsung menerusi TV3 dan HotFM pada 3 April ini dari Arena of Stars, Genting Highlands. Holiday Villa Hotel & Suites Subang adalah hotel rasmi ABPBH 2010 yang menaja lokasi sidang media dan penyampaian hadiah. 

NAMA PENUH: Ahmad Faizal Mohd Tahir 
TARIKH LAHIR: 26 Oktober 1978 
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam 
ALBUM: Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin 
ANTARA PENCAPAIAN: Naib juara One In A Million (OIAM) musim pertama (2006); Artis Baru Lelaki Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008; Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Album Rock Terbaik dan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15), tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) dan Persembahan Terbaik pada AJL25 
PENGALAMAN SENI: Pengacara Gangstarz musim pertama (2007) dan pernah menganggotai kumpulan Mirwana 
ISTERI: Siti Raihanim Noran 
ANAK: Ahmad Mikaeel Zidane, 6; Siti Raudhah Nur Iman, 5, dan Ahmad Rifa'ie Zidane, 2. 

Laporan Penuh Di Sini:



Unknown

Sudah lama berminat

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my



DAPHNE... memeluk Islam kerana keindahannya.

KUALA LUMPUR: “Jangan salah sangka kerana saya tidak memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki Melayu. Saya sudah lama terdedah kepada agama ini dan kerana keindahannya, saya tertarik untuk menjadi seorang Muslimah,” kata pelakon dan personaliti terkenal, Daphne Eleanor Iking.

Sebelum ini, gosip mengenai bintang filem Belukar berusia 32 tahun itu memeluk Islam menjadi tajuk hangat di laman web hiburan tempatan. Bagaimanapun, tidak lama kemudian Daphne menjelaskan kepada media, dia memeluk Islam awal bulan lalu selepas mempelajari selok- belok agama itu, Disember lalu.

“Selepas memeluk agama Islam, saya membuat keputusan berkahwin dengan lelaki pilihan hati, iaitu Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe. Majlis resepsi dilakukan di kampung halaman saya di Keningau, Sabah 8 Januari lalu.

“Majlis perkahwinan itu hanya dilakukan kecil-kecilan. Bagi saya, tidak perlu mengadakan majlis besar- besaran kerana yang penting adalah keutuhan rumah tangga berkenaan dan bukan majlis perkahwinan,” katanya, semalam.

Menurut Daphne, dia dan Joe adalah rakan kongsi dalam perniagaan.

Katanya, sejak mengenali hati budi masing-masing, mereka tertarik antara satu sama lain dan membuat keputusan menamatkan hubungan yang terjalin ke jenjang pelamin.

“Suami saya bersikap rendah diri dan tidak mahu terlalu menonjol di khalayak ramai mahupun media. Malah, saya mencintainya kerana sifatnya yang lemah lembut dan penyayang,” katanya.


Laporan Penuh Di Sini:






Unknown

Rita mimpi ibu

Oleh NORAINON OTHMAN, IBRAHIM ISA dan FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Enam bulan selepas pemergian ibu tercinta, anak sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, bermimpi Allahyarham datang ke pejabat, seolah-olah menggambarkan impian arwah supaya anaknya melebarkan empayar perniagaannya.

Berkongsi rasa hati meniti hari mendatang tanpa insan tersayang di sisi, Erni atau lebih mesra dipanggil Rita berkata, dia tidak menganggap musibah menimpa keluarganya sebagai bebanan, malah menjadikan dirinya lebih kuat. Kematian sadis ibunya bersama tiga individu lain di Banting memang mengejutkan, tetapi dia reda dengan takdir Allah.

“Selepas ketiadaannya, Rita dan adik-beradik pernah bermimpi emak. Dalam mimpi itu, emak datang ke pejabat, melihat Rita bekerja. Emak tidak pernah bercakap tetapi sering mengajak Rita berjalan-jalan dengan memberi isyarat tangan. Sebagai hamba-Nya, kita tidak tahu ketentuan Allah.

“Walaupun emak tiada, Rita berasa seolah-olah dia masih hidup kerana sentiasa teringatkannya. Emak memang sentiasa hidup dalam hati Rita. Mungkin Rita bermimpi sebab rindukan emak. Biasanya apabila bangun daripada tidur, Rita menceritakan mimpi berkenaan kepada adik lain, begitu juga mereka. Bermimpi ibu satu kepuasan bagi Rita.

“Rita juga sering teringat sikap emak yang suka memasak makanan kegemaran kami. Sayangnya, kini kami tidak dapat rasa air tangan emak lagi. Kalau rindu emak, Rita pergi ke tempat yang emak suka pergi.

“Terlalu banyak kenangan bersama emak yang sering bermain di ingatan. Bilik (pejabat) yang Rita duduk ini pun bilik emak. Rita tidak pernah ubah apa-apa susun atur di bilik emak kerana ini akan mengingatkan Rita pada emak,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.


Kerana rasa bertanggungjawab untuk meneruskan legasi Allahyarham, Rita yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd membuat keputusan membahagikan tugas perjalanan syarikat itu di kalangan adik-beradiknya, Erwan Suwari Rizuwan, 25, Md Erwan Nasri, 24, Erni Erinawati Sofia, 22, dan Erni Rineelawati, 21.

“Kami bahagikan tugas sama rata dan tahu kerja masing-masing. Rita mengaku tidak mampu buat kerja seorang kerana Rita pun manusia biasa. Bantuan adik diperlukan. Rizuwan menggalas tugas sebagai eksekutif pemasaran, Erwan (eksekutif operasi), Rina (eksekutif pentadbiran) dan Rinee (duta Nouvelle Visages). Tugas ini berkuat kuasa sejak kes yang menimpa emak kerana sebelum itu Rita dan emak menguruskan perniagaan,” katanya.

Matang dalam membuat keputusan, gadis itu tidak menghalang adiknya, Rina dan Rinee menyambung pengajian jurusan perniagaan menerusi Program Jarak Jauh (PJJ) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Mereka ada cita-cita yang ingin dicapai. Rita tidak mahu disebabkan kes itu (pembunuhan ibunya bersama tiga individu lain), cita-cita mereka terkandas di tengah jalan.

“Bagaimanapun, pada hari biasa, mereka bekerja dan mengikuti pengajian PJJ hanya pada Ahad,” katanya yang mengakui masih tidak dapat mengikis rasa kesal tidak sempat memohon maaf kepada ibu buat kali terakhir.

Dia yang kini bertanggungjawab menjaga kebajikan lima adiknya serta perniagaan berkenaan berkata, kenangan suka duka bersama arwah membakar semangatnya untuk berjaya.

“Perasaan Rita, sebagai anak, kadangkala kita tidak sedar ada sikap atau perlakuan kita mengguris hati emak. Rita terkilan kerana tidak sempat meminta maaf dengan mencium tangan dan dahi emak buat kali terakhir,” katanya.

Menurutnya, dia kini memberi lebih tumpuan terhadap promosi jenama kerana masih ramai tidak tahu mengenai Nouvelle Visages.

“Ketika turun padang di satu pameran di Mid Valley baru-baru ini, Rita dapati ramai belum mengenali Nouvelle Visages. Rita akui bukan semua orang membaca akhbar, jadi usaha lebih giat perlu dilakukan untuk memperkenalkan jenama ini,” katanya.

Mencontohi sikap dermawan ibu, Rita meneruskan amalan pengasas Nouvelle Visages menyalurkan sumbangan kepada badan kebajikan dan tiga sekolah anak angkat di Johor.

“Rita akan teruskan apa yang emak lakukan sebelum ini. Malah, keperluan orang kampung emak, Kampung Seri Menanti, Batu Pahat, tidak kami abaikan sebab di situ tempat emak dibesarkan.

“Baru-baru ini kami memberi sumbangan wang ringgit dan makanan kepada mangsa banjir di kampung itu dan berpesan kepada ketua kampung, jika inginkan bantuan, jangan segan beritahu kerana ibu lahir di situ,” katanya.

Diusik mengenai soal hati, Rita enggan mengulas lanjut tetapi mengakui dia kini dalam tempoh berkawan dan mengenali hati budi seseorang. Ditanya perancangan hidup berkeluarga, Rita berkata, dia tidak menetapkan sasaran bila akan berkahwin kerana baginya, jodoh pertemuan di tangan Tuhan.

Mengenai kes tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang diberikan jutawan kosmetik itu kepada bekas suaminya, Nash, Rita berkata, dia tidak berani membuat keputusan sendiri kerana membabitkan ramai pihak.

“Kami adik-beradik akan mengadakan perjumpaan dengan peguam emak, Datuk Zaidi Zain dalam masa terdekat ini untuk membuat keputusan sama ada meneruskan kes berkenaan atau sebaliknya,” katanya.

Disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan selepas ketiadaan ibu, Rita mengakui tidak sempat bertemu rakannya seperti dulu, tetapi masih berhubung melalui facebook dan twitter.

“Rita berharap kawan faham, Rita bukan berniat memutuskan silaturahim yang terjalin tetapi cuma mahu memberi lebih fokus terhadap tugas dan amanah sekarang. Apapun, Rita ingat setiap kawan Rita daripada sekolah rendah hingga zaman universiti,” katanya.

Dalam menghadapi situasi sedih dan mencabar, bapanya, Bukhari Mohamad, selalu ada di sisi.

“Sejak dulu, emak tidak pernah menghalang kami berjumpa ayah. Sampai sekarang, apabila berlaku kes seperti ini, yang paling dekat ialah ayah kami yang berperanan sebagai penasihat dalam semua hal ehwal, berkaitan rumah dan pejabat,” katanya yang masih menetap bersama adik-beradiknya di rumah agam Allahyarham Sosilawati di Gombak.

Rita yang akan mengerjakan umrah bersama tiga adiknya Mac ini berhasrat memanjatkan doa untuk ibunya di depan Kaabah.

“Kalau betul mak Rita sudah tiada, kami berdoa semoga dia ditempatkan di kalangan ahli syurga,” katanya.


Laporan Penuh Di Sini:



Unknown

Mahu bina masjid lagi

Oleh Nor Akmar Samudin

INDAH...Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Kuala Muda, Kedah.


KONGSI RAHSIA..Siti menemu bual pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib.


APABILA menyebut 'membina masjid' pasti kita lebih terbayangkan dua insan yang ingin mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, berbeza dengan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kerana sejak kecil lagi masing-masing sudah memasang impian untuk benar-benar membina sebuah masjid - tempat bagi umat islam beribadah.

Nyata penyatuan dua jiwa yang sudah bergelar haji dan hajah itu akhirnya memungkinkan hajat mereka menjadi kenyataan apabila terbinanya Masjid Al-Khalidiah yang tersergam indah di Kampung Permatang Pasir, Kuala Muda, Kedah. Ia selamat dirasmikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 19 Februari lalu.


Masjid yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu diharap dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh umat Islam khususnya masyarakat setempat.


Ia dibangunkan Yayasan Nurjiwa yang diasaskan Siti dan Khalid bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada 1896 di tapak sama.

"Sebelum terbinanya masjid baru itu, suami Siti selalu melihat kerosakan pada masjid yang lama dulu apabila bumbungnya bocor dan banyak yang rosak.

"Suami Siti terus berbincang dengan penduduk kampung untuk membina masjid baru untuk keselesaan mereka beribadah. Lalu menerusi wang yang terkumpul dalam Yayasan Nurjiwa, kami salurkan kepada pembinaan masjid ini.

"Kebetulan masih ada lagi tanah di sekeliling masjid lama yang belum digunakan maka dapatlah kita membina masjid baru yang lebih besar.

"Masjid ini mula digunakan untuk solat Aidilfitri tahun lalu. Bagaimanapun, ketika itu hanya ruang untuk solat saja yang baru siap. Masjid itu hampir siap sepenuhnya pada Aidiladha lalu," kata Siti.

Siti berkata, mereka sekeluarga sangat gembira dengan pembinaan masjid itu kerana dapat memenuhi hajat dia dan suaminya.

"Arwah bapa mentua Siti suka membuat kerja kebajikan dan sejak kecil suami itu kagum dengan usaha bapanya itu. Sekarang suami Siti meneruskan apa yang biasa dilakukan bapanya dulu. Dengan adanya masjid baru ini, penduduk kampung pun seronok dan bersemangat untuk bersolat jemaah.

"Dengan kemudahan baru, mudah-mudahan dapatlah mereka mengadakan pelbagai aktiviti di masjid itu," katanya.

Siti turut berdoa Allah SWT meluaskan lagi rezeki dirinya dan suami untuk membina sebuah masjid di kampungnya pula iaitu di Kuala Lipis, Pahang. Walaupun belum dapat membina masjid di kampungnya, Siti akan cuba membantu masyarakat di sana dalam cara berbeza. Contohnya, ketika banjir melanda Johor dan Pahang, Yayasan Nurjiwa juga turun padang memberikan sumbangan untuk mengurangkan beban mereka yang ditimpa bencana.

"Yayasan Nurjiwa juga ingin membantu orang miskin membina kehidupan yang lebih baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti sudah bersedia untuk merakamkan musim kedua program bual bicara SITI yang kini rancak ke udara di Astro Ria, setiap Sabtu dan Ahad, jam 9 malam.

"Siti masih dalam proses belajar menjadi pengacara yang baik. Masih kekok kerana siapalah Siti kalau hendak dibandingkan dengan pengacara yang sudah terkenal. Bagi membaiki apa yang kurang untuk musim kedua, kami akan melakukan 'brainstorming'. Kalau tiada aral, rakaman musim kedua akan dibuat bulan depan," katanya.

Program bual bicara itu dibahagikan kepada enam segmen yang menonjolkan karisma Siti selaku penghibur dan pengacara yang peka.

Enam segmen itu adalah Gambit Pembukaan dan Muzikal, Sesi Temu Ramah, Interaksi Siti Dengan Audien, Perspektif Siti, Sentuhan Kasih dan Siti Bersama Bakat Istimewa Minggu Ini.
Segmen Sentuhan Kasih misalnya, akan menyentuh perasaan dan jiwa penonton. Di sini, Siti akan berkongsi kes mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat. Kisah dan cabaran hidup mereka akan diketengahkan dan Siti akan mengajak penonton supaya bersama-sama prihatin, mempunyai sifat mengasihani dan mengambil bahagian dalam tugas membantu mereka yang memerlukan.

Menyentuh perjalanan dunia nyanyiannya, Siti berkata dia masih menyanyi, namun aktiviti seni terpaksa diperlahankan sedikit kerana memberi tumpuan kepada perniagaan kosmetiknya, SimplySiti.

"Siti dalam rangka mempromosikan SimplySiti dan bertemu peminat di beberapa lokasi antaranya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan beberapa daerah di luar bandar. Sekarang SimplySiti ada lebih 100 produk termasuk kosmetik dan penjagaan kulit," katanya.

Hampir lima tahun berkahwin, Siti dan suami terus mengharapkan kehadiran cahaya mata namun penyanyi nombor satu negara itu tidak mahu terlalu memikirkannya sangat soal itu agar tidak memberikan tekanan hidup.

"Siti akan terus bekerja seperti biasa dan berdoa agar Allah SWT mengurniakan kami zuriat satu hari nanti," katanya.

Laporan Penuh Di Sini:










Unknown

Beratur panjang dalam kebun

Oleh Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


SEGAMAT: Harga getah yang melambung tinggi turut menyumbang kepada aktiviti maksiat apabila ada pelacur memindahkan operasi mereka ke stor usang di tengah kebun getah di pekan Jementah, di sini, untuk menawarkan khidmat seks kepada penoreh getah.

Kegiatan itu terbongkar apabila polis menahan seorang wanita warga Indonesia diberi gelaran Nina Montok yang menawarkan pakej semurah RM50 untuk sekali langganan menyebabkan penoreh getah tempatan dan warga asing berkunjung ke stor itu tanpa mengira waktu.

Tanpa segan silu, segelintir penoreh getah yang kemaruk seks beratur panjang menunggu giliran dan pada masa sama menyaksikan tayangan percuma rakan melakukan seks bersama wanita berusia 20-an itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali, berkata Nina Montok dipercayai menawarkan khidmat seks di kebun getah itu sejak beberapa hari lalu sebelum ia berakhir apabila polis menyerbu lokasi terbabit pada jam 10 malam kelmarin.

“Ketika serbuan, wanita itu melayan seorang pelanggan manakala lima lelaki membabitkan dua warga tempatan dan tiga warga asing berada di tepi pondok berkenaan dipercayai menunggu giliran.

“Kedua-dua lelaki tempatan terbabit yang berusia 42 dan 51 tahun serta semua warga asing yang berusia 22 hingga 40 ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati Nina Montok turut menghantar SMS secara rawak kepada beberapa penoreh getah di kebun berkenaan untuk mempromosi khidmat seksnya.

Abd Majid berkata, polis turut menemui tiga peket kondom yang belum digunakan di dalam beg tangan wanita itu, telefon bimbit dan selain wang RM394 dipercayai hasil kegiatan pelacuran.

“Pemeriksaan mendapati wanita itu masuk ke negara ini secara sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown

'Ini semua salah faham'


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya sudah bebas daripada semua tuduhan dan kejadian yang berlaku sebenarnya hanyalah salah faham,” kata pelakon drama popular, Zaefrul Nadzarine Nordin, 45, atau Zaefrul ketika mengulas mengenai insiden dia ditahan pihak berkuasa selepas terbabit dalam kes ugutan terhadap dua pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), minggu lalu.

Zaefrul dan dua lagi rakannya berusia lewat 30-an yang ditahan bagi membantu siasatan selepas menyerah diri dibebaskan Selasa lalu selepas pihak berkuasa melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu selain berpuas hati dengan keterangan serta kerjasama diberikan mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Menceritakan bagaimana kejadian itu bermula, Zaefrul berkata, dia dipanggil kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menggunakan sindiket nikah palsu untuk perkahwinannya yang kedua.

“Dua pegawai terbabit mendakwa mahu bertemu di sebuah kafe di Danau Kota sebelum saya pergi bertemu mereka ditemani tiga rakan kira-kira jam 11.20 malam Ahad lalu.

“Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang apabila seorang daripada rakan saya bercakap sesuatu yang kurang enak kepada dua pegawai penyiasat itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia tidak menyangka seorang daripada tiga rakannya itu mengambil tindakan itu dan dia kesal dengan apa yang terjadi.

“Selepas mengetahui dua pegawai itu membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan, saya tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong.

“Jika tidak bersalah, kenapa perlu takut dan selepas siasatan dilakukan saya dibebaskan. Ini jelas membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Menurut Zaefrul, dia berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap kejadian yang menimpanya itu.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya menggunakan sindiket nikah palsu didalangi pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berkahwin, Zaefrul mendakwa dia tidak terbabit sama sekali.

“Tidak semua yang dipanggil untuk proses siasatan terbabit dalam sesuatu kes yang sedang disiasat itu. Saya hanya dipanggil menyalurkan maklumat kepada mereka.

“Saya harap penjelasan ini dapat membersihkan semula imej yang tercalar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan pembebasan ketiga-tiga lelaki termasuk Zaefrul yang ditahan pihaknya bagi membantu siasatan membabitkan kes ugutan terhadap dua pegawai SPRM.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pelakon drama popular ditahan polis pada 19 Februari lalu selepas menyerah diri berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan keduanya menggunakan sindiket nikah palsu.

Pelakon lelaki berusia 45 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet.

Beliau bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, supaya tidak meneruskan siasatan terhadapnya yang dilaporkan menggunakan sindiket nikah palsu untuk perkahwinannya yang kedua.


Laporan Penuh Di Sini:



Unknown

Menoreh hanya tiga hari seminggu dapat RM2,200
Oleh Norfatimah Ahmad dan Nahar Tajri
bhnews@bharian.com.my
2011/02/26


350,000 pekebun kecil getah lega harga meningkat tinggi 

KUALA LUMPUR: Lebih 350,000 pekebun kecil getah terutama 187,074 yang memiliki dan mengusahakan tanaman getah sendiri dapat menarik nafas lega apabila harga komoditi itu meningkat secara berperingkat sejak 2009.

Kini, harga semasa mencapai RM17.05 sekilogram (sekg), manakala harga di ladang ada yang mencecah sehingga RM9 sekg, sekali gus meletakkan sebahagian besar pekebun kecil hidup di luar taraf kemiskinan.


Pekebun kecil yang memiliki tanah seluas sehektar, Mohd Nasri Lateh, 45, berkata kerja menoreh yang dilakukan antara 20 hingga 22 hari sebulan itu membolehkan beliau memperoleh lebih 1,000 kg susu getah. 

Bapa tiga cahaya mata yang menetap di Kampung Teknologi RISDA, Kampung Sawa Besar di Pendang, berkata jumlah berkenaan membolehkan beliau memperoleh pendapatan kasar mencecah RM7,200 sebulan berdasarkan harga getah di ladang sebanyak RM7.20 sekg sekarang. 

“Pendapatan sekarang macam langit dan bumi berbanding sebelum 2009, ketika itu nak dapat lebih RM1,000 sebulan pun sukar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Mohd Sapri Abdul Aziz, 49, pula menganggap pemantauan berterusan pegawai RISDA banyak membantu untuk memastikan semua pekebun kecil menjalankan kerja torehan dengan betul. 
“Setakat ini, bagi tiga kali torehan seminggu saya boleh dapat sehingga RM2,200 dan sebulan boleh mencapai lebih RM7,000 sebulan,” katanya yang kini menggunakan Toyota Hilux bernilai hampir RM90,000 untuk berulang alik ke kebun getahnya sejak tiga bulan lalu. 

Selain itu, penduduk Kampung Sawa/Kampung Teknologi RISDA di Pendang ini juga bijak mencari alternatif apabila menoreh pada waktu malam. 

Mereka berbuat demikian kerana menoreh pada waktu malam menyebabkan pengeluaran susu getah tidak terjejas, walaupun pada musim panas dan daun luruh sekali gus membolehkan mereka mengaut keuntungan ketika harga getah tinggi, iaitu hampir RM7.50 sekilogram. 

Tinjauan Berita Harian di kampung itu malam kelmarin, mendapati lebih 30 penduduk mula berkumpul selepas solat Isyak di satu kawasan di kampung itu sebelum memasuki kebun getah masing-masing untuk menoreh bagi memastikan keselamatan terjamin. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Mohd Nasri Lateh, 45, berkata idea penduduk untuk menoreh pada waktu malam nyata berhasil apabila kebanyakan mereka mendapat hasil 50 kilogram (kg) getah sekerap bagi setiap hektar, berbanding hanya 35 kg jika menoreh pada waktu siang. 

“Kami mula menoreh pada waktu malam sejak Januari lalu kerana tidak mahu pendapatan terjejas berikutan musim panas dan daun luruh yang dijangka berlarutan dua bulan lagi. 

“Kami lega apabila usaha ini berhasil kerana hasil yang dicatatkan lebih berbaloi. Penduduk juga tidak bimbangkan keselamatan mereka kerana keluar beramai-ramai menoreh sehingga kecoh suasana dalam kebun getah,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin. 

Sementara itu, penduduk Kampung Banggul Katong, Mukim Serada, Kuala Terengganu, Ibrahim Ali, 71, turut mengakui pendapatan lebih RM6,000 yang diperoleh ketika ini boleh meningkat jika penjagaan pokok lebih berjadual dengan taburan baja dan racun secara berkala. 

Katanya, harga getah di ladang yang mencecah RM8.30 sekg membolehkan beliau mendapat hasil sebanyak 407 kg hanya untuk torehan selama empat hari, minggu ini. 

“Bagaimanapun, faktor daun yang luruh kebelakangan ini menyebabkan hasil agak menurun dan dijangka meningkat sedikit masa lagi,” katanya. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...