Unknown

Saya tak teragak-agak


FASHA... tidak perlu ada pihak tokok tambah.
SETINGGI mana dia terbang memperdagangkan bakat, sebesar itu juga kontroversi yang mengulit. Bukan kehendaknya, namun rencah anak seni yang bernafas di bawah limpahan populariti, Fasha Sandha akur meskipun setiap inci peribadinya dibogelkan.

Peluh dan kerut dahinya yang sukar disembunyi kerana berlari ke lokasi penggambaran drama siri terbaru lakonannya, Samson Delaila dan kembali menguruskan salun miliknya, Salon Chinta yang bakal beroperasi tidak lama lagi, Fasha terus diasak dengan berita mengejut perpisahannya dengan kekasih, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Tidak terhenti di situ, sehari kemudian aktres kelahiran Johor Bahru ini berdepan pula kemelut berbalas kenyataan dengan bekas isteri kepada Jejai yang juga dramatis, Nora Danish.

Sejak awal pagi Khamis lalu sejurus segala pengumuman dan perang kenyataan di dada akhbar, aktres terkenal ini tidak henti-henti mendedahkan status ‘berani’ yang cenderung menyerang pihak lawannya di ruangan sosial peribadi Twitter miliknya, @FashaSandha1.

Persoalannya, sampai bila Fasha akan terus mengharungi cerita panas sebegini? Adakah mungkin ia berterusan hingga mencipta satu stigma dan persepsi? Kepada wartawan SELEBRITI, Murshid Eunos, Fasha berkongsi rasa.

“MUSTAHIL saya merancang atau sengaja mencurah pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Tidak mungkin saya bertindak bodoh seperti itu jika tiada alasan kukuh.

Ternyata, saya terpaksa berbuat demikian bagi menegakkan kebenaran dan keadilan diri sendiri. Saya tidak mahu ada pihak lain sewenang-wenangnya menindas saya dengan bergayut sekali dalam permasalahan yang saya hadapi.

Jujurnya, memang ia sedikit mengganggu perjalanan rutin harian, lebih-lebih saya sibuk di lokasi penggambaran dan terpaksa berlari-lari memantau salun yang hampir siap.

Namun itulah harga yang terpaksa saya bayar atas segala kegemilangan dikecapi. Saya akur dan terpaksa menelan semua itu meskipun rasanya sangat pahit.

Selepas pengumuman pihak Jejai dan saya berhubung perpisahan kami, tidak sepatutnya ada pihak lain yang sibuk ingin merasa tempias publisiti dengan memberi kenyataan atau komen. Cerita itu merungkai segala spekulasi ramai pihak. Namun ada pula yang sengaja ingin memanjangkan isu itu hingga mencabar tahap kesabaran saya sebagai wanita.

Berita di muka depan mengenai perpisahan kami itu sudah cukup dan tidak perlu pula ada orang yang tidak tahu-menahu untuk menambah fakta dan bercakap lebih, sedangkan dia tidak tahu kisah di sebaliknya. Bagai menjolok sarang tebuan, usah bising jika sengatnya membunuh secara perlahan.

Saya terpaksa mendedahkan semua bukti yang saya ada seperti senarai panggilan, mesej dalam telefon bimbit dan beberapa keping gambar bagi membuka dimensi mata peminat atau sesiapa yang tekun mengikuti sorotan kisah ini supaya persepsi kononnya saya hanya bersembunyi di sebalik helah adalah salah.

Saya tidak mahu berbuat demikian kerana bimbang ia akan mengaibkan sesiapa, namun jika keadaan mendesak seperti mana pernah dicanangkan sebelum ini, saya tidak akan teragak-agak.

Bukan saya ingin membuktikan siapa menang atau dalang mana yang cuba membelit fakta, sebaliknya saya perlu memikirkan soal reputasi yang seolah-olah sengaja dicalarkan berhubung perkara ini.

Saya tidak peduli soal perasaan sesiapa kerana keutamaan adalah diri sendiri. Saya perlu berdiri untuk menegakkan apa yang benar dan mana yang sepatutnya dibicarakan.

Peminat saya arif dan bijak. Mustahil mereka leka dan berbuai dengan segala macam cerita yang timbul. Alhamdulillah, mereka tidak sesekali lari atau merasa benci, sebaliknya semakin kerap pula peminat menghantar kata-kata semangat dan dorongan kepada saya melalui Twitter.

Twitter adalah ruangan peribadi untuk saya berkongsi rasa atau apa saja yang ingin disembangkan. Ia adalah komunikasi bersama peminat dan mereka yang ingin mengikut perkembangan saya.

Justeru, saya tidak melihat perkara itu sebagai satu peperangan atau mencerminkan sifat peribadi seseorang. Usah terlalu dalam memikirkan soal itu.

Saya hanya ingin berkongsi perasaan bersama peminat dan begitu juga dengan sesiapa yang lain. Masing-masing punya hak untuk menaikkan status di Twitter bagi meluahkan perasaan. Senario itu bukan satu peperangan, sebaliknya hanya medium berkongsi rasa.”

Laporan Penuh Di Sini:



Unknown

Rahsia pak cik power


Oleh MOHD HARZRUL AMINUDDIN
harzrul@hmetro.com.my

NI DIA... Alias bersama isteri, Salmah menunjukkan buku risalah
yang masih disimpannya berkaitan penentangan Malayan Union.

SEGAMAT: Percaya atau tidak, lelaki berusia 97 tahun ini masih terang penglihatannya serta mampu pergi ke kebun serta bercucuk tanam selain memandu kenderaan, termasuk kereta mahupun motosikal, tanpa berteman.

Daya ingatannya juga masih tajam selain mengingati detik bersejarah negara, termasuk perjuangan Melayu dalam menentang Malayan Union sekitar 1948.

Alias Bujal tidak mengamalkan apa-apa senaman istimewa, malah tidak pernah menuntut ilmu pusaka yang berkebolehan tinggi.

Dia hanya mengamalkan pengambilan makanan berasaskan sayuran, termasuk ulam-ulaman seperti pucuk paku, ulam pegaga, ulam raja, petai dan jering.

Beberapa jenis ulaman berkenaan diamalkan warga emas itu setiap hari, malah dia mengakui sayuran kampung itu adalah petua serta kunci utama untuk sentiasa sihat selain lanjut usia.

Lebih menarik lagi, Alias turut menjadikan ulam-ulaman sebagai minuman harian yang diambil bersama madu lebah dan juga telur ayam kampung secara mentah.

Selain itu, dia mengamalkan mengunyah bawang putih mentah setiap hari sebagai petua awet muda.

“Kalau watak kartun Popeye makan bayam untuk jadi kuat, begitu juga yang saya amalkan sejak berusia belasan tahun lagi.


“Tidak lengkap makanan saya setiap hari tanpa ulam-ulaman kampung dimakan bersama nasi, nampaknya petua yang diamalkan itu berbaloi kerana sehingga kini saya masih boleh melihat kemajuan negara,” katanya.

Selain memakan ulam-ulaman, Alias mendedahkan dia tidak pernah meminum air sejuk kerana menyifatkan bahan minuman sebegitu mengakibatkan badan menjadi lesu serta cepat letih.

“Air sejuk tidak elok untuk badan kerana boleh mengakibatkan pelbagai penyakit selain semput, lelah, asma dan demam.

“Pak cik boleh demam jika minum air sejuk,” katanya yang masih boleh menghayun cangkul, membajak tanah selain tidak perlu memakai cermin mata untuk membaca mahupun ketika memandu kereta atau menunggang motosikal.

Penulis melihat sendiri bagaimana lelaki berusia emas itu masih mampu memandu kereta selain bercucuk tanam dengan menghayun cangkul di belakang rumahnya.

Warga emas ini mengakui mempunyai empat isteri yang dikahwininya sejak 1930-an sehingga kini dan hasil perkongsian hidup bersama empat wanita berbeza itu dia dikurniakan empat cahaya mata.

Difahamkan, menerusi dua perkahwinan pertama, dia dikurniakan dua anak lelaki, manakala hasil perkahwinan ketiga, dua anak perempuan.

Semua isterinya berasal dari Johor iaitu isteri pertama dari Labis; kedua, Kota Tinggi; ketiga, Segamat dan isteri keempat, juga dari Labis.

Bagaimanapun, Alias dikatakan hanya berkahwin baru selepas isteri terdahulunya meninggal.

Alias bersyukur walaupun usianya mencecah 100 tahun dia masih boleh melihat 30 cucunya lahir ke dunia, malah berkesempatan mengazankan seorang daripada 14 cicitnya.

Katanya, dia kini tinggal berdua bersama isteri keempatnya, Salmah Hussein, 59, di Kampung Tenang, di sini, sejak lima tahun lalu.

Ketika menceritakan pengalamannya melalui beberapa peristiwa yang mengubah sejarah negara mahupun dunia, Alias berkata, dia masih ingat saat pemimpin terdahulu menuntut kemerdekaan Malaysia.

“Saya bersama Datuk Onn Jaafar pergi menjelajah satu Malaya untuk menentang penindasan dilakukan pemerintah Inggeris melalui Malayan Union.

“Saya juga merasa keperitan dijajah tentera Jepun dan komunis selain diseksa, termasuk dipaksa melakukan kerja berat seperti membina landasan kereta api,” katanya.

Menurutnya, penindasan demi penindasan diterima orang Melayu ketika itu akhirnya membangkitkan satu semangat bersatu padu dan melawan demi menuntut kemerdekaan.

Alias juga dianggap antara pejuang kemerdekaan oleh penduduk setempat, malah beliau tidak lokek berkongsi pengalaman bersama generasi muda setempat.

Dia yang dilahirkan pada 1914 berkata, pada usia emasnya dia melihat beberapa perubahan negara, termasuk bersalaman dengan empat mantan Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir Mohamad.

Namun, di sebalik usia emasnya dia melahirkan rasa kecewa apabila generasi muda kini lebih gemar berfoya-foya dan semakin melupakan sejarah kemerdekaan negara, malah semakin rosak akhlak dari semasa ke semasa.

Seperkara menarik mengenai Alias, dia tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia apabila 12 kali mengundi di kawasan Parlimen Labis dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sejak puluhan tahun lalu.

“Pada 30 Januari (hari ini), saya akan mengundi buat kali ke-13 dan mungkin jika panjang umur murah rezeki saya akan mengundi kali ke-14 pada Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Laporan Penuh Di Sini:
Unknown

Masa untuk anak


Oleh MURSHID EUNOS
murshid@hmetro.com.my


JIWANYA pernah diguris, perasaan dipermain dan hati bagai ditusuk sembilu. Kolam matanya sukar dikeringkan lantaran kesakitan batin itu. Pun begitu, sekeras mana dugaan menghempap, Norish Karman cuba untuk tidak mengalah. Cuba untuk berdiri seteguh mungkin kerana apa yang dilalui dianggap sebagai rencah hidup.

Perpisahan dengan bekas suami dan kini memikul tanggungjawab membesarkan empat cahaya mata tidak sekali mengundang kesal sebaliknya si empunya nama Nor Ashikin Karman ini menyifatkan setiap satu episod yang ditayangkan dalam kamar hidupnya adalah satu hikmah yang membentuk kekuatan diri. Meskipun sandaran Datin yang pernah mengulit dirinya selama 11 tahun kini sudah terlucut, itu tidak sekali mengasingkan jiwanya.

Jelasnya menyusun kata, berbisik seolah-olah enggan berkongsi dengan anak-anaknya yang turut menemani si ibu ketika sesi fotografi SELEBRITI, semuanya adalah suratan yang tidak boleh lagi disembunyikan.

“Sakit yang ditanggung bukan sedikit dan rasa kecewa yang menemani setiap malam

adalah sesuatu yang luar biasa pedihnya. Bukan kerana kesal tiada lagi lelaki yang memeluk menahan kedinginan, namun membayangkan kesengsaraan seorang diri dan segala macam persepsi yang melekat pada saya sejak perceraian itu. Ia adalah satu tamparan yang tidak mungkin terbayang dek akal.

“Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan mungkin itu semua balasan atas kesilapan sendiri. Cuma apa yang menjadi bebanan sekarang adalah kisah mengarut yang tersebar, stigma seolah-olah saya seorang yang bersalah sedangkan itu semua adalah kisah di sebalik tirai kamar tidur yang tidak perlu dikongsikan dengan masyarakat.

“Selepas episod seribu satu persoalan yang semuanya menjurus mencari kesilapan saya, sekali lagi saya perlu menanggung impak. Itulah kebarangkalian yang perlu dihadapi sebagai insan seni. Mahu atau tidak, satu kewajipan untuk saya jelaskan.

“Apa yang paling saya bimbangkan adalah anak-anak. Saya tidak mahu mereka menjadi mangsa atau mengalami kemurungan hanya kerana silap perkahwinan saya sendiri. Saya berusaha memastikan agar mereka tidak terkena tempias kekecewaan ini,” katanya.

Sesekali aktres berusia 34 tahun ini mengukir senyum melihat gelagat anak-anaknya yang tidak henti bergurau. Tampak ketegasan dirinya sebagai seorang ibu yang bertungkus-lumus memanggil kebahagiaan dalam kehidupan Nor Zam Zam, 16; Muhammad Haqiem Amany, 9; Muhammad Hady Amieran, 5 tahun dan puteri tunggalnya, Nur Hanyz Amanda yang kini berusia empat tahun.

Perlahan-lahan persoalan peribadi ditusuk dalam perbualan. Meskipun tampak keberatan menyambut pertanyaan, namun profesionalisme aktres yang mula mencipta nama dalam filem Sayang Salmah 15 tahun lalu ini menundukkannya untuk akur.

“Sukar untuk terus bersembunyi apabila berbicara soal peribadi. Itu adalah rencah menjadi anak seni dan tidak sekelumit pun timbul rasa bimbang bagi berkongsi mengenainya. Jujurnya, saya mengakui yang kini sudah pun mempunyai seorang teman, Luqman yang boleh saya sifatkan istimewa.

“Bukan setakat memahami dan sentiasa mengisi kekoso­ngan sejak saya sendiri menjalani rutin harian membesarkan anak-anak, namun Luqman adalah lelaki yang tidak henti memberi semangat serta menyokong kerjaya seni saya. Anak-anak dan Luqman adalah inspirasi buat diri saya untuk terus memacu ke depan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Status ibu tunggal tidak semudah dilihat dan seindah didengar namun ia satu tanggungjawab besar. Saya perlu berkerja lebih kuat mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak. Setakat ini, alhamdulillah tawaran lakonan tidak henti. Seperkara yang saya pegang adalah disiplin dan kejujuran dalam kerjaya. Kepercayaan yang diberi pihak produksi dan pengarah amat saya hargai.

“Insya-Allah jika ada jodoh nanti, saya tidak sekali merahsiakannya,” katanya yang mesra disapa NK.

Bukan sekali suara nakal yang menceritakan kononnya bintang yang popular menerusi drama bersiri Kasut Tumit Tinggi ini sombong dan berlagak. Hanya bersandar pada karakter yang kuat dan wajahnya yang tidak mudah senyum, ramai pula mata sekeliling yang menghakimi sedangkan kebenarannya jauh tersasar.

Namun peluang duduk bersembang dengan beberapa pengarah yang pernah membentuk lakonannya serta tenaga produksi yang biasa kerja dengannya jelas membuka satu dimensi bertentangan mengenai Norish.

Pemegang watak pelacur, Nora dalam teater Bukan Dejavu ini sebenarnya seorang yang begitu mementingkan kesempurnaan baik dalam lakonan mahupun lontaran karakter. Bukan itu saja, Norish juga gemar memasak dan menjamu produksi di lokasi penggambaran.

Ironinya jelas Norish yang selama ini menyembunyikan bakat nyanyiannya, ada beberapa individu yang datang memohon maaf kepadanya kerana sekian lama menganggapnya sebagai sombong namun selepas berpeluang bekerjasama, semua itu tidak benar.

“Saya sangat komited dan inginkan sesuatu yang terbaik dalam setiap hasil kerja lakonan. Mungkin kerana saya tegas dan tidak mudah termakan pujuk menyebabkan beberapa pihak mengandaikan saya sombong namun selepas mereka mengenali saya, barulah mereka sedar dan datang menceritakan anggapan awal mereka. Saya tidak kisah dan tidak langsung berkecil hati.

“Setiap kali ada skrip baru, saya akan memastikan pemba­ngunan karakter itu saya sentuh dan wujudkan bagi mendapatkan keserasian sepanjang menjayakannya. Saya mengkaji sedalam-dalamnya dan apa yang boleh saya baiki bagi mencantikkan lagi karakter itu. Drama bersiri Asmaradana di slot Samarinda TV3 baru-baru ini umpamanya memerlukan saya menjadi wanita tua yang strok, lihat saja lakonan yang diberikan. Saya sendiri melihat realistik seorang penghidap penyakit seperti itu bagi menterjemahkan sesuatu yang tidak janggal.

“Jujurnya saya inginkansatu watak yang mencabar dan mampu memberikan saya kela­inan seperti pelacur, bohsia, peng­kid atau buta. Saya dahagakan pengarah atau karakter yang mengubah keseluruhan peribadi saya. Sebelum ini saya sinonim dengan watak wanita kaya, moden dan berpengaruh seperti apa yang ditonjolkan dalam Spa Qistina namun hakikatnya saya lebih daripada itu.

“Mungkin satu hari nanti peminat akan berpeluang melihat pembaharuan dalam sisi lakonan saya. Usahmatikan imaginasi dengan tersekat pada ketrampilan saya semata-mata kerana asas seorang pelakon adalah bakat yang tidak pernah tercapai di mata penonton saja,” katanya yang turut berbakat melukis.

Foto: Natrah Mat Jaan, Studio HazelNat, Pantai Dalam, Kuala Lumpur
Busana: Wanpa Collection, Rosix Omar (0196690717) & Ridzuan Ismail (012238614)
Mekap: Reza Amour (0172789981)

Laporan Penuh Di Sini:



Unknown

Siti Nurhaliza terima Anugerah Wanita Inspirasi

Siti Nurhaliza
BANDUNG 29 Jan. - Penyanyi terkenal yang juga usahawan kosmetik dari Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerima Anugerah Wanita Inspirasi pada majlis Malam Anugerah Kasih anjuran Ikatan Setia Kawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam tadi.

Anugerah itu diberikan kepada penyanyi tersohor tersebut sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang ekonomi membabitkan usahawan-usahawan Indonesia.
Ia disampaikan oleh Menteri Negara Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak Republik Indonesia, Linda Amalia Sari Gumelar sempena Maybank Semi '10 Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2010 anjuran Iswami.

Turut menerima anugerah ialah Institut Teknologi Bandung dan Universiti Padjajaran, Bandung bagi Anugerah Jasa Pendidikan.

Anugerah Khas pula diberikan kepada Allahyarham Des Alwi yang secara konsisten memperjuangkan hubungan yang lebih akrab antara Malaysia dan Indonesia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Chamil Wariya dan Pengerusi Iswami Indonesia, M. Saiful Hadi.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional dari Indonesia dan nyanyian Siti Nurhaliza yang menggamatkan dewan kerana kesyahduan dan kelunakan suaranya.

Linda Amalia ketika berucap pada majlis itu mahukan ikatan dan persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia sebagai bangsa serumpun terus dipergiatkan dengan sokongan padu di kalangan usahawan wanita kedua-dua negara.

"Kita mahukan hubungan ini macam 'angin sejuk' dan saling menerokai bidang-bidang baru bagi menguatkan kemesraan dan jalinan keharmonian agar memberi motivasi untuk terus maju," katanya.

Sebelum itu, Siti Nurhaliza dalam ucapan ringkas sebelum mengadakan persembahan menyatakan persetujuan untuk menjadi Duta Budaya Dunia Melayu yang dicadangkan oleh M. Saiful dalam usaha mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat Melayu di rantau ini.

Laporan Penuh Di Sini:

Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

'Kami masih dalam fasa awal'

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

GAYA PENGHIBUR...Yuna turut menghiburkan tetamu pada petang itu.


SEKIAN lama berteka-teki mengenai hubungannya dengan pengacara dan pelakon Qushairi atau Qi, penyanyi wanita popular masa kini, Yuna akhirnya memberi jawapan sebenar siapakah jejaka kacak itu di hatinya.

Dan sebenarnya... Qi tidak lain daripada teman lelaki yang paling istimewa dalam hidup Yuna ketika ini.

Lebih jauh daripada itu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 23, mengharap�kan hubungannya dengan Qi (disebut Chi), 34, itu akan berakhir dengan sempurna apabila sampai masanya nanti. Malah, Yuna juga tidak menolak sekiranya dia dan Qi bertemu jodoh kelak.

“Saya memang sangat ‘boyish’ dan semua kawan saya adalah lelaki termasuk pemuzik band dulu. Tapi, saya hanya anggap mereka seperti abang angkat saya saja. Kawan perempuan pula hanyalah Wawa (pengurus).

“Sekarang, Qi adalah kawan lelaki yang paling rapat dan istimewa dalam hidup saya. Saya selesa berkawan dengan Qi kerana kami ada minat yang sama dalam bidang muzik. Qi seorang yang ‘cool’, kelakar, khlas dan jujur dalam persahabatan.

“Memang beza umur kami jauh tapi minat kami cukup mendalam dalam bidang muzik walaupun genre muzik kami berbeza. Saya minat akustik dan Qi pula minat `house music’. Pada masa sama, hubungan kami juga direstui keluarga kedua-dua belah pihak. Semoga peminat doakan yang terbaik buat hubungan kami nanti,” katanya.

Namun, buat masa ini, Yuna tidak mahu terlalu mengheboh�kan hubungannya dengan Qi kepada peminat.

“Hubungan kami masih dalam fasa awal lagi dan dalam proses mengenali hati budi lagi. Bukannya kami hendak berkahwin esok atau dalam tempoh terdekat ini. Perkara itu juga masih jauh lagi kerana saya sibuk dengan album baru dan Qi juga sibuk dengan kariernya. Banyak lagi perkara lain yang saya boleh cerita dengan peminat.

“Saya tidak mahu cerita peribadi diperbesarkan kerana perlu menjaga nama baik keluarga yang cukup rapat dalam hidup saya.

Pada masa sama, saya tidak mahu bila cerita seperti ini dihebohkan nanti peminat hilang fokus pada karier muzik saya. Hidup saya gembira ketika ini dan ingin fokus pada karier muzik yang dicintai ini,” katanya.

Perkenalan Yuna dan Qi bermula ketika mereka sama-�sama menjayakan program realiti Kamilah Bintang Coca-Cola pada tahun lalu. Hubungan mereka mula dihidu ramai apabila hadir bersama sedondon ketika Shout Awards!, di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur, November tahun lalu. Kedua-duanya juga sering dilihat bersama menghadiri beberapa majlis lain selepas itu.

Yuna ke New York bulan depan 

DEMI merealisasikan impian menempa nama di persada muzik antarabangsa, Yuna terpaksa berjauhan dengan keluarganya selama beberapa bulan.

“Hubungan saya dan keluarga cukup rapat terutama nenek dan datuk malah keluarga juga menyokong karier muzik saya sejak dulu. Justeru, saya tetap meluangkan masa untuk berjumpa keluarga di Malaysia dua bulan atau seminggu sekali sekalipun sibuk dengan projek album dan persembahan di luar negara,” katanya.

Kata Yuna, dia yakin muziknya diterima di peringkat antarabangsa.

“Saya juga sudah mengikat kontrak dengan syarikat Fader Label yang berpusat di New York sebelum Krismas, tahun lalu.

“Syarikat ini juga mempunyai beberapa artis antarabangsa yang lain bernaung di bawah pengurusannya. Mengikut kontrak, saya akan buat satu EP dan satu album dengan mereka,” katanya.

Setakat ini, kata Yuna, dia sudah merakamkan 10 lagu untuk album barunya itu.
Insya-Allah, saya akan muncul dengan 3 lagu untuk EP (album mini). Tiga atau empat lagu ini untuk memperkenalkan nama saya di peringkat antarabangsa dan selepas itu, barulah saya akan muncul dengan album penuh pula.

“Saya juga sudah bersedia menembusi pasaran muzik antarabangsa berdasarkan impak yang saya terima daripada peminat di sana sebelum ini. Saya juga merakamkan album Decorate di Amerika Syarikat sebelum ini.

“Saya juga dapat maklum balas, orang sana juga suka lagu Gadis Semasa nyanyian saya dan mereka kata lagu itu bagus,” katanya.

Yuna berkata, dia akan ke New York selepas menjayakan rakaman program realiti TV Yuna Inspired, di London selama empat hari pada awal Februari ini.

“Saya pernah bekerja di London dan merakamkan beberapa lagu di Kenselton Studios di sana. Dalam perjalanan, saya akan ke New York pula untuk buat rakaman album dan menjayakan persembahan sekali. Selepas itu, saya mungkin akan ke Los Angeles pula selama beberapa bulan seperti yang saya beritahu sebelum ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan membawa pemuziknya sekali, kata Yuna, dia memang ada perancangan ke arah itu.

“Buat permulaan, saya akan ke luar negara ditemani Wawa nanti. Pada masa sama, saya juga merancang untuk membawa pemuzik saya iaitu Paan atau Aidil sekali bersama-sama saya ke sana kerana mereka berada di sisi saya sejak hari pertama saya berkecimpung dalam bidang muzik lagi.

“Saya benar-benar ingin membawa mereka sekali ke sana bila keadaan saya sudah kukuh di sana,” katanya yang bakal mengeluarkan jenama pewangi sendiri tidak lama lagi.

Teruja jayakan program sendiri, Yuna Inspired 

YUNA Inspired cukup bermakna buat penyanyi berbakat besar Yuna kerana akhirnya mempunyai program realiti TV sendiri. Program sebanyak 24 episod ini memaparkan
perjalanan dan penerokaan muzik Yuna khusus sebagai penghargaan kepada peminat yang menyokong karier muzik�nya selama ini.

Berkongsi lanjut mengenai program itu, kata Yuna yang mengakui dirinya pemalu, mengakui tidak suka menjadi perhatian ramai pada peringkat awal.

“Semuanya berubah apabila ditawarkan penerbit untuk buat program ini. Saya juga tertarik untuk menjayakannya kerana ia bercerita mengenai latar belakang muzik saya serta perkembangan terkini karier muzik saya.

“Program ini menceritakan cinta saya yang mendalam pada bidang muzik dan mendedahkan aktiviti belakang tabir dan penerokaan muzik di London dan Amerika Syarikat,” katanya.

Yuna ditemui pada majlis pelancaran Yuna Inspired Powered By DiGi, di Ampang, baru-baru ini.

Tambah Yuna lagi, program realiti TV itu membolehkan dia berinteraksi dengan peminatnya.

Katanya, antara aktiviti yang akan ditonjolkan dalam Yuna Inspired ialah sesi rakaman lagu dan beberapa persembahan bakal di jayakan di luar negara.

“Peminat juga berpeluang berinteraksi bersama saya di laman web dan menyertai pertandingan mencipta sebaris lirik lagu baru untuk saya. Pemenang terpilih berpeluang mendapat hadiah ke konsert rahsia saya nanti. Setakat ini, saya sudah merakamkan lapan episod daripada 24 episod dari penghujung tahun lalu di Kuala Lumpur,” katanya.

Program realiti itu juga akan disiarkan menerusi laman sosial www.yunainspired.com pada 14 Februari, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk mendekati dan berinteraksi dengannya. Program ini bakal disiarkan di saluran Astro Hitz TV (saluran 705) bermula 27 Februari depan.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
ASAL: Alor Setar, Kedah
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
UMUR: 24 tahun
KERJAYA: Penyanyi, komposer dan duta produk
STATUS: Bujang
ALBUM: Decorate
PRODUK: Duta produk Libresse
PENCAPAIAN: Popstar Award, Break Out Award (Artis Baru), Ultimate Shout! Award; Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009; Pemenang tempat kedua, Anugerah Juara Lagu 2009 (AJL2009) menerusi lagu Dan Sebenarnya itu, Anugerah Industri Muzik ke-17 dengan memenangi empat anugerah iaitu Artis Baru Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation), Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya) dan Lagu Terbaik (Dan Sebenarnya).
LAGU LAIN POPULAR: Cinta Sempurna, Gadis Semasa dan Penakut

Minat Sama.Muzik Satukan Qi dan Yuna
Laporan Penuh Di Sini:

myMetro | 'Kami masih dalam fasa awal'




Unknown
Eruwan Gerry Affiliates


Diam lebih baik

Oleh Zul Husni Abdul Hamid





DULU setiap apa juga soalan yang diajukan kepadanya akan segera diberikan jawapan, tanpa sesekali menimbang kemungkinan ketelusan itu akan perlahan-lahan memakan dirinya sendiri. Bernaung di bawah zodiak Gemini yang dikenali dengan sikap terbuka dan lantang bersuara, Scha Al-Yahya akan menyuarakan apa saja yang terlintas di fikiran. 

Dia cuma mahu menjadi manusia yang telus kerana sentiasa berpegang kepada prinsip, kebenaran biar cuba diselindungi lambat laun akan mampu dihidu juga. Tatkala pekung kenyataan semakin terbuka, Scha gusar tidak mampu menanganinya lantas meletakkannya dalam situasi sulit untuk memperbetulkan semula keadaan.


Namun, selepas berdepan satu demi satu episod yang menguji kekuatan dan kesabarannya sepanjang 2010, Scha kembali menilai diri.
Keterbukaan kata Scha, ada ketika menjerat diri lalu mengheretnya dalam situasi lemas yang menyukarkan dirinya untuk bernafas selesa. 

“Scha perlu bijak mengawal diri, memberi reaksi hanya apabila diminta dan harus berfikir panjang sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan. 

Itu yang cuba Scha lakukan selepas berdepan pelbagai episod pahit, tahun lalu,” kata Scha tatkala lembaran kontroversi silam kembali diselak. 

Akur semua itu terlalu berat untuk dilaksanakan, apatah lagi pemilik nama lengkap, Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 28, ini selesa memilih untuk berterus terang. Namun dalam situasi tertentu, Scha menerima hakikat ketika berdiam itu lebih baik daripada bersuara mempertahankan diri kerana interpretasi setiap manusia itu berbeza-beza. 

“Industri hiburan itu sendiri bersifat eksentrik, sarat dengan keunikan dan kepelbagaian sikap pemainnya membuatkan tidak semua orang bersedia menangani kebenaran. Belajar daripada pengalaman lalu, Scha mengambil pendekatan untuk berkongsi perkara yang hanya lunak didengar dan diterima oleh majoriti. 

“Scha menerima kenyataan Scha tidak boleh cuma memuaskan hati sendiri kerana hati dan pendapat orang lain juga wajar dihormati,” kata Scha yang semakin mengerti permainan industri hiburan. 

Kekasih kepada pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari ini berkata, selama ini dia mengambil pendekatan telus supaya peminat memahami segala yang bersarang di sudut hati dan pemikirannya. Scha juga enggan menyesakkan fikirannya dengan isu remeh, apatah lagi menyembunyikan kebenaran kerana kurang gemar dirinya dibaluti lapisan halangan yang cuma membawanya jauh daripada masyarakat. 

“Scha percaya jika bersikap ikhlas dan benar, lebih banyak kebaikan akan datang. Orang juga senang dan tidak sesekali menjadikan diri kita sebagai subjek untuk ‘ditembak’. Sekarang Scha memilih untuk bercakap apabila perlu. Sebahagian lagi kisah hidup Scha akan disimpan kemas tanpa perlu dikongsi kerana penilaian setiap manusia terhadap diri Scha tidak sama,” katanya. 

Mahu lebih hati-hati bercakap 

Scha tidak menafikan dulu dia terlalu terbuka untuk berkongsi apa saja kerana tidak mahu dirinya menjadi sasaran subjek sendaan media dan khalayak. Ternyata prinsip yang diamalkan selama ini cuma membawanya meniti satu demi satu episod yang menguji. Semua itu memaksa Scha supaya kembali berfikir untuk tidak terus dilukai. 

“Baru Scha sedar tidak semua orang mempunyai kecenderungan yang sama, jadi kali ini Scha cuba mengikut rentak dan situasi. 

Tetapi semua itu tidak bermakna Scha perlu mengubah diri dan menjadi orang lain. Scha tetap Scha yang sama, cuma lebih berhati-hati dalam tindak tanduk serta perkataan yang mungkin selama tidak disenangi ramai,” katanya. 

Sengaja perbualan bersama B*POP tidak menyentuh mengenai hubungan cintanya dengan Awal kerana ia sudah terlalu klise untuk diperkatakan. Scha yang pada permulaan bicara agak tenang, perlahan-lahan mengungkap rasa bimbang apabila persoalan mengenai karier lakonannya mula dibincangkan. 

Kata pelakon yang baru menyempurnakan penggambaran drama bersiri, Awan Dania 3 di Bali, Indonesia di samping Gambit Saifullah, dia resah apabila acap diserahkan watak sama. Gusar gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berganda apabila menyedari namanya sering menjadi pilihan pengarah untuk membawakan watak tomboy. 

“Pengarah nampak Scha semakin selesa dengan watak itu. Disebabkan itu, Scha menolak beberapa tawaran filem yang mahukan Scha beraksi dengan peranan hampir sama. Ia bukan isu baru kerana di Hollywood juga berlaku perkara yang sama. Mungkin kerana keberkesanan lakonan yang diberikan membuatkan pengarah selesa memberikan watak yang sama kepada seseorang pelakon. 

Tolak watak stereotaip 

“Tetapi sebagai pelakon, Scha juga mahu mempelbagaikan lakonan. Jika terus diberikan peranan gadis berperwatakan tomboy, sampai bila pun Scha tidak akan belajar perkara baru dalam bidang lakonan. 

“Untuk itu, pada 2011 ini, Scha menjadi semakin selektif dalam menerima sesuatu tawaran. Bukan menolak tuah atau rezeki, cuma Scha tidak mahu terbawa dengan peranan stereotaip,” katanya. 

Bakal muncul dengan tiga filem, Aku Bukan Tomboy, Awan Dania The Movie dan Libas, Scha tidak meletakkan sepenuh kesalahan itu kepada penerbit atau pengarah. 

Scha berkata, dia juga harus dipersalahkan kerana tidak merencana karier lakonannya dengan baik pada permulaan bergelar pelakon. 

“Scha menyertai dunia lakonan tanpa sebarang latar atau pengetahuan dalam bidang ini. Jadi Scha memilih watak yang dekat dengan diri supaya tidak nampak kekok di depan kamera. Tetapi lama kelamaan, Scha mahukan cabaran baru dan Scha sedar keinginan itu cuma terlaksana sekiranya lebih selektif,” katanya yang masih terikat sebagai Bintang Eksklusif Astro sehingga April ini. 

Terkejut jadi finalis dua kategori 

Seandainya lembaran 2010 diselak, Scha sebenarnya tidak yakin namanya akan melepasi Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010. Ini kerana kata Scha, sepanjang 2010 dia memilih untuk tidak terlalu menjadi fokus media kerana enggan terus diasak persoalan yang sama. 

“Sangka Scha tidak mungkin lagi nama akan tersenarai. Tetapi apabila dimaklumkan nama Scha masih tersenarai, mengejutkan lagi apabila membolosi dua kategori ABPBH 2010, jujurnya ia jauh daripada jangkauan. 

“Bayangkan tahun lalu, paparan mengenai diri Scha lebih menjurus kepada isu kontroversi dan itu cukup membimbangkan. 

Ternyata peminat kini lebih menilai bakat dan mereka juga sedia memaafkan kesilapan. Semua itu memberi peringatan berguna kepada Scha supaya tidak mengulangi kesilapan serupa,” katanya. 

ABPBH 2010 yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 3 April depan menyaksikan Scha bersaing untuk dua kategori - Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Laporan Penuh Di Sini:



Unknown
Eruwan Gerry Affiliates

Artis mangsa minyak dagu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman

am@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Akibat disihir dengan minyak dagu mayat, seorang pelakon wanita drama bersiri popular membuat pengakuan pernah meninggalkan suami dan tiga anaknya semata-mata untuk bersekedudukan dengan seorang lelaki warga Kemboja yang baru dikenali walaupun ketika itu dia hamil tiga bulan.



Mangsa mendakwa ilmu hitam itu menyebabkan dia seolah-olah menjadi hamba seks lelaki terbabit selama lebih dua tahun sekitar 2007 hingga 2009. Sepanjang tempoh itu juga, semua pendapatan bulanannya turut diserahkan kepada lelaki berkenaan.

Lebih tragis lagi, pelakon itu yang berusia 27 tahun dan hanya mahu dikenali sebagai D berkata, dia juga terlantar selama sebulan di wad psikiatrik, Hospital Selayang dekat sini, selepas doktor mengesahkan dia mengalami gangguan mental.

“Segala-galanya bermula selepas saya berkenalan dengan seorang penghantar surat yang kerap datang ke pejabat saya di Damansara atas urusan kerja.

“Entah mengapa saya tiba-tiba seperti hilang pertimbangan diri kerana sentiasa dihantui wajah lelaki berusia 24 tahun itu seolah-olah ada satu daya tarikan istimewa pada dirinya.

“Saya gagal mengawal diri sehingga tidak mampu menolak setiap arahan yang diberikan, malah tidak teragak-agak meninggalkan suami dan anak untuk tinggal serumah dengan lelaki itu di Gombak,” katanya.

D berkata, sepanjang tinggal dengan lelaki itu, dia dilayan seperti pembantu rumah apabila diarah melakukan semua kerja rumah selain terpaksa menyerahkan semua wang pendapatannya.

“Biarpun dimaki-hamun dan dipukul saban hari, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkannya, malah hati saya tetap menyayanginya. Setiap kali saya berhasrat pulang ke pangkuan anak-anak, seolah-olah ada satu kuasa mematikan niat saya itu,” katanya.

Menurut D, hampir tiga tahun bersama lelaki durjana itu, dia langsung tidak pernah menjenguk orang tuanya di kampung dan suaminya juga gagal menjejaki tempat tinggalnya.

“Saya juga seperti dirasuk kerana setiap kali ada pihak melarang hubungan kami, saya tidak teragak-agak memarahi serta memaki-hamun mereka,” katanya.

Kemuncaknya, keadaan diri D menjadi tidak keruan apabila lelaki itu menghilangkan diri. Dia mula meracau siang dan malam memanggil nama lelaki itu hingga akhirnya terpaksa dimasukkan ke hospital.

Selepas terlantar di hospital, barulah keluarganya dapat bertemu dengan D selepas dihubungi pihak hospital dan sokongan mereka membuka laluan untuk D kembali pulih seperti sedia kala.

“Saya hanya menangis sepanjang tempoh ditahan di hospital. Ketika itu, bapa menasihati saya supaya kuat semangat dan memohon pertolongan daripada Allah.

“Bimbang melihat keadaan saya semakin parah, bapa membawa saya berjumpa pengamal perubatan tradisional kerana mengesyaki saya terkena ilmu hitam,” kata D.

Menurutnya, selepas berubat dengan dua pakar perubatan tradisional, dia diberitahu lelaki itu menggunakan ilmu hitam dengan mencalitkan minyak dagu pada badannya.

“Saya turut diberitahu lelaki terbabit menggunakan sihir itu untuk mengikis harta ramai gadis sebelum menghilangkan diri,” katanya.

D bersyukur kepada Allah kerana hasil rawatan tradisional dia semakin pulih dan kini sudah mampu melupakan lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, perbuatan kejam lelaki itu menyebabkan rumah tangga D berakhir apabila dia diceraikan suaminya pada penghujung tahun lalu.

“Tentunya dia marah dan kecewa dengan apa yang berlaku, tapi dia tak tahu saya menjadi mangsa ilmu hitam. Kini saya sudah mampu menjalani kehidupan seperti biasa dan melupakan episod perit yang meragut kebahagiaan rumah tangga saya.

“Saya sanggup berkongsi pengalaman hidup saya kerana mahu ia menjadi pengajaran kepada semua wanita. Berhati-hatilah dan jangan mudah percaya dengan lelaki,” katanya.

Laporan Penuh Di Sini:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...