Unknown

Teruja ‘dicintai’ Randy Pangalila


Oleh Norhayati Nordin

yati@hmetro.com.my




PENGIKLANAN komersial menjadi pentas pertama bakat seninya dikesan pada usia seawal empat tahun lagi.

Ketika berusia 12 tahun, dia dilamar pula membintangi teater kanak-kanak popular, Ali Baba The Muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 2006.

Namun siapalah dirinya pada masa itu berbanding sekarang?

Kini, nama Nurul Elfira Loy, 17, semakin dikenali ramai tatkala lakonan hebatnya dalam drama di Astro seperti Qaleesya, Waktu Rehat untuk saluran Disney dan telefilem seram, Kum Kum.

Menerusi Kum Kum juga, dia mara mengorak langkah seterusnya bersama produksi Box Lite Film milik penerbit dan pengarah, Michael Ang apabila si manis 17 ini mendapat lamaran bergandingan dengan aktor sinetron Indonesia, Randy Pangalila.

Kalau tiada aral dan mengikut perancangan dibuat, Nurul Elfira yang mesra dengan sapaan Elfira akan ke set penggambaran drama pertamanya di sisi Randy, Selaginya Ada Cinta pada April atau Mei nanti, berlatarkan lokasi luar negara.

Ditanya apakah dia yakin untuk bergandingan dengan Randy yang popular menerusi sinetron Cinta Kirana itu, Elfira berkata, dia sudah bersedia menyahut cabaran.

“Ujarnya, memanglah perasaannya sangat berdebar tetapi pada masa sama cukup teruja.

“Bukan mudah mendapat peluang berlakon dengan bintang terkenal dari Indonesia seperti Randy.

“Saya sendiri tak sangka, Michael selaku pengarah drama ini percaya pada saya untuk menggalas tanggungjawab besar itu.

“Saya bersyukur dan gembira.

“Saya berlakon kerana bakat dan minat.

“Telefilem Kum Kum adalah projek pertama saya berlakon di bawah Michael dan memang selesa bekerja dengannya.


“Tidak dinafikan, saya suka dengan cara kerja Michael yang kreatif dan tahu apa dia inginkan.

“Apapun, sukar untuk saya gambarkan bagaimana gandingan bersama Randy.

“Maklum saja, kami belum lagi dipertemukan, namun apa yang diharapkan, dia (Randy) mampu ‘memberi’ dalam lakonannya supaya saya juga boleh berbuat demikian.

“Saya pentingkan keserasian wujud antara kami kerana drama ini berkisar kisah cinta remaja.

“Jadi akan ada babak romantik perlu dilakonkan dan semestinya Randy harus membantu ‘mood’ saya,” katanya yang menjelaskan latar konsep cerita ala dongeng Cinderella.

Memiliki pakej lengkap sebagai artis, Elfira yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras ini, seorang yang bijak dalam pelajaran.

Di sebalik kesibukannya berlakon, pelajaran tetap tidak pernah diabaikan.

Buktinya, Elfira salah seorang pelajar aliran sains di sekolahnya.

Gelisah kerana akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Elfira berkata, dia perlu bijak membahagikan masanya antara karier lakonan dan tuntutan diri yang masih bersekolah.

“Tidak dinafikan, sekarang pun tidur saya tak tenang.

“Asyik memikirkan peperiksaan SPM.

“Balik ke rumah selepas penggambaran, saya tidak terus tidur kerana harus membereskan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.

“Malah, saya juga ke kelas tuisyen.

“Saya harus belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Ini kerana, kalau keputusan baik, saya bercita-cita mahu menjadi juruterbang.

“Bahkan, pada masa sama, saya juga ingin mengambil pengajian komunikasi massa.

“Hanya karier dan pelajaran saja yang ada di minda saya sekarang.

“Buat masa ini, saya belum terfikir ingin bercinta memandangkan usia masih muda.

“Saya bukan seorang remaja yang suka membuang masa atau terjebak dalam cinta monyet,” katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran program Waktu Rehat 2, baru-baru ini, Elfira yang melakonkan watak Amira berkata, penonton Disney Channel (Saluran 615) akan berpeluang menyaksikan musim terbaru itu bermula 12 Mac ini, jam 4.50 petang dan 5.30 petang.

Dalam program lima minit itu, barisan pelakon lain yang membintangi Waktu Rehat 2 ialah Mohd Nazreen Norzali sebagai Syed, Mohd Addy Ashraf (Faiz), Tengku Lezahdiyana Nurhanie Tengku Alaudin (Luna), Sharon Alaina Stephen (Kieran), Nicholas Cheng Zhu Hann (Lee Wai Chon), Farhanna Qismina/Sweet (Julie), Amirul Hakim Ahmad Lokman (Anding) dan Muhammad Nasiruddin Nasir (Suresh).

Calon Top 5 termuda ABPBH2010


LIMA tahun berlakon, ia jelas berbaloi buat Elfira kerana dia kini di ambang popular.

Tanpa pernah diduga, namanya turut tersenarai dalam kelompok artis popular kerana dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) yang sedang rancak berlangsung.

Gadis manis yang mesra dan petah berbicara ini mengakui dia sangat terkejut apabila dimaklumkan namanya tersenarai dalam Top 5 kategori Artis Baru Wanita Paling Popular.

Ujar Elfira, sukar juga untuk dipercayai pada mulanya.

Berentap di samping calon lain seperti penyanyi Ana Rafali, Adira (AF8), Mizz Nina dan pelakon Nur Syuhadah atau lebih dikenali sebagai Dottie, anak kedua daripada empat beradik ini berkata, dia melihat persaingan cukup sengit.

“Saya tidak mengharap kemenangan kerana semuanya bergantung pada rezeki.

“Seandainya ditetapkan Tuhan, saya yakin ia memang menjadi milik saya.
“Apapun, terpulanglah kepada peminat untuk mengundi bintang kesukaan mereka.

“Bagi saya, sudah tersenarai dalam Top 5 pun dikira satu pencapaian awal yang cukup baik.

“Ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk berlakon dengan lebih bagus dan cemerlang.

“Saya ingin menjadi seorang anak seni yang berjaya,” katanya yang melakonkan watak Nisa dalam drama Hani yang kini disiarkan di TV3, setiap Selasa, jam 10 malam.

Elfira juga muncul dalam filem Damping Malam, baru-baru ini.

Menyentuh soal pelakon lain yang akan berlakon dengannya, Elfira berkata, selain Randy, dia juga bakal bekerjasama dengan seorang lagi pelakon sinetron terkenal, Baim Wong.

Cuma, katanya, kerjasama dengan Baim itu masih lagi dalam perbincangan.

PROFIL

NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
PANGGILAN PENTAS: Elfira
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994
USIA: 17 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
MULA AKTIF BERLAKON: Sejak 2006
KARIER: Pelakon, pengacara, model iklan
IKLAN: Antaranya Motosikal Honda, Sunway Lagoon, Mee Sedap, Institut Jantung Negara, Bank RHB, Mamee Slurp
TEATER: Ali Baba, Ibu Zain 1 & 2
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Tentang Bulan The Series, Persis. Kak Long, Permata Hati, Persinggahan, Sanggar Cinta Raudhah, Cinta Itu Buta, Senja Permai, Waktu Rehat, Qalesya, Kum Kum, Qalesya 2, Waktu Rehat 2 dan Hani.
FILEM: Damping Malam
PROGRAM TV: Berani Jadi Bos (Astro Ceria), Cuti-cuti Famili (TV1), Selamat Pagi Putera Puteri musim 1 dan 2 (TV1), Shana & Nina, Kids n Cash (TV3)

Laporan Penuh Di Sini:



1 Response
  1. Unknown Says:

    Calon Top 5 termuda ABPBH2010


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...